Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan 271

RM 10 Untuk Sebuah Buku?

Oleh: Akhi Masrawi

PERNAHKAH kita melihat kata-kata ini "Pay for view"? Pada saya ini bukanlah sesuatu perkara yang aneh. Ianya adalah suatu polisi. Kata-kata seperti yang saya nyatakan itu boleh diubahpelbagaikan lagi. Sebagai contoh: "Pay for read" "Pay for seat" "Pay for drink" "Pay for enjoy" dan sebagainya.

Dalam dunia Weblog, penulis tidak meminta "pay for view" kepada pelayar-pelayar internet yang melayari laman web mereka. Ini kerana konsep weblog adalah berada pada tahap maya yang tidak memerlukan kos berbentuk material kepada penerbitnya iaitu penulis sendiri supaya penerbitan mereka menemui pembaca.

Weblog adalah salah satu bentuk media. Saya bersetuju sekiranya ada pihak yang mengatakan weblog tidak setaraf media cetak. Dari pelbagai aspek topik ini boleh dikupas. Sama ada dari sudut isi penerbitan itu sendiri yang sesetengah weblog tidak menepati selera khalayak pembaca. 

Weblog bergantung penuh kepada penerbitnya iaitu penulis weblog tersebut. Apa yang hendak diterbitkan menemui pembaca adalah bebas. Namun, terpenting ia tidak memerlukan kos yang tinggi. 

Inilah salah satu alasan mengapa saya memulakan penulisan weblog pada Jun 2002 yang lalu. Saya tidak mempunyai kos untuk menerbitkan penulisan saya. Juga saya sebenarnya, saya merasakan tidak mempunyai ruang di majalah suara kampus setelah beberapa karya yang saya hantar tidak tersiar. Maka lahirlah laman Jurnal Jalan Hidup atas paksi PUJANGGA Online. Pada masa itu saya tidak pernah memikirkan lagi soal kos untuk menerbitkan hasil kerja saya walaupun setelah itu karya saya diterima baik oleh mereka yang berkerja untuk penerbitan majalah dan suara kampus di Lembah Nil. 

Bermula terlalu sedikit pengunjung, akhirnya saya bersyukur mampu membina empayar pengaruh pembaca terhadap hasil kerja saya. Hits meningkat dengan sangat pantas lantaran tetamu yang semakin bertambah hari demi hari. Saya kemudian terbuai lena dengan hal penerbitan maya yang sangat menarik ini.

Setelah pulang ke Malaysia, saya semakin jarang mengupdate laman weblog saya, sehingga ia seolah-olah menjadi akrab dengan sawang-sawang maya yang lain. Saya sedar, saya kehilangan ramai pembaca. Mereka yang masih ingat saya sahaja yang berkunjung. Mungkin kunjungan mereka ke http://akhimasrawi.cjb.net kerap hampa kerana saya tidak memasukkan entri yang baru sehingga pada jarak masa yang lama.

Saya sebenarnya menghadapi sedikit masalah. Masalah ini tidak terfikir oleh saya semasa saya ghairah menulis di weblog. Tidak lain dan tidak bukan iaitu masalah kos penerbitan.

Saya telah menyiapkan sebuah buku yang berjudul "Insurans Menurut Perspektif Islam" pada Januari 2003 lalu. Pada mulanya saya telah membawa manuskrip buku saya itu ke Pustaka Darus Salam di Alor Setar untuk diterbitkan. Saya tidak bernasib baik kerana tidak sempat untuk berbincang dengan Pengurus Pustaka berkenaan. Setelah itu manuskrip itu saya tunjukkan pada seorang rakan penerbit setelah berbincang untuk diterbitkan. Namun pada masa tersebut saya tidak mempunyai kos untuk menerbitkan sendiri buku saya itu. 

Kemudian seorang kawan saya yang tinggal di Gombak menawarkan tawaran untuk mencetak dan menguruskan jualan buku tersebut dengan persen akan saya perolehi. Walaupun persennya sedikit... saya tidak sangat memikirkan kerana pada saya cukuplah kalau buku itu dapat diterbitkan dan saya akan memperolehi sedikit wang. Namun... apa yang diharapkan tidak berlaku. Disangkakan mentari sehingga ke petang, rupanya gerimis di tengahari.

Buku tersebut masih tidak dapat diterbitkan. Entah apa masalahnya saya sendiri tidak faham. Semakin hari semakin banyak pula masalahnya. Ini membuatkan harapan saya berkecai. Impian saya tersekat. Kewangan saya meruncing dan akhirnya saya memilih untuk tidak memohon pengajian sarjana lantaran kewangan yang tidak stabil.

Saya kemudiannya memilih untuk berkerja. Saya memohon pelbagai jawatan dan menghantar resume ke banyak tempat. Akhirnya awal Mac saya dihubungi oleh Pejabat Pendidikan Daerah Langkawi memaklumkan saya akan ditawarkan mengajar di Sekolah Kebangsaan Teriang (guru ganti atau sandaran saya belum dimaklumkan) bermula selepas cuti persekolahan bulan Mac ini. 

Saya bersyukur. Emak dan ayah juga begitu. Namun, dalam masa yang sama... ia turut merunsingkan emak. Ini kerana dengan pengangkutan apa pula saya nak berulang ke sekolah tersebut. Pengangkutan yang ada digunakan oleh ayah dan adik saya yang juga berkerja. Kerunsingan emak itu akhirnya mendesaknya untuk menyuruh saya membeli motosikal baru. Saya akui dalam masa yang sama kewangan keluarga juga tidak stabil. Simpanan ayah dan emak tidak memadai. KWSP ayah tidak boleh dikeluarkan. Saya kembali memikirkan bagaimana untuk mendapatkan duit bagi membeli motosikal. Kata orang tak dapat bayar badan, bayar muka pun jadilah.

Sekurang-kurangnya sekrang saya memerlukan wang sebanyak RM 2500 untuk membayar muka motorsikal tersebut. Saya kembali terfikir pada buku saya yang masih tidak dapat diterbitkan. Kalaulah buku itu sudah diterbitkan sekurang-kurangnya ia akan membantu saya. Namun... harapan tinggal harapan.

Semalam saya mendapat satu idea. Mungkin idea ini akan mengundang kemarahan pembaca-pembaca saya. Saya bukan mahu "pay for view" daripada kalian untuk terus melayari laman ini. Sebaliknya saya mahu berhutang atau meminta sesiapa yang sudi membantu saya menyediakan kos percetakan. Sekiranya cepat buku itu dapat dicetak cepatlah saya dapat duit untuk membli motorsikal.

Saya berkira-kira kalau-kalau sesiapa yang sudi memberi saya RM 10 dan wang ini adalah wang tempahan untuk sebuah buku saya yang akan dicetak. RM 10 itu boleh dimasukkan ke dalam akaun BANK ISLAM (Alwadiah) saya atas nama AHMAD TARMIZI BIN ISMAIL no. akaun 02-066-02-346674-2 (jangan silap no. akaun!) dengan seberapa segera (Kelewatan amat dikesali). Bagi mereka yang ingin memesan 2 buah buku boleh membayar RM 20. Kemudian slip bank tersebut hendaklah discan dan dihantar ke emel [email protected] dengan menyatakan nama penuh dan alamat untuk urusan penghantaran buku. Bagi sesiapa yang ingin membayar lebih dari RM10 (sebagai contoh RM 15, RM 20, RM 50 dll) tetapi hanya mahukan sebuah buku juga dialu-alukan. Kegagalan menyatakan bukti bahawa anda telah memasukkan wang ke dalam akaun saya akan menyebabkan anda tidak menerima buku anda (amat dikesali).

Saya juga membuka peluang kepada sesiapa yang berminat untuk memberikan sumbangan ikhlas, atau pinjaman pada kadar jumlah melebihi RM 100 tanpa faedah, sebagai kos untuk saya menerbitkan buku saya. Saya juga turut mempelawa kepada sesiapa yang berminat untuk menjadi wakil penjual buku saya dengan beberapa kelebihan yang akan diberitahu kelak. Setakat ini wakil penjual di Perlis telah menyatakan persetujuan. Mereka yang berada di institusi pengajian tinggi sangat dipelawa terutama yang yakin akan mampu menjual melebihi 50 naskah. 

Inilah yang dinamakan polisi "pay for read" yang sedang saya terjemahkan kepada kalian. Mereka yang membayar RM 10 untuk sebuah buku tidak akan rugi (insyaAllah). Bagi mereka yang tidak menghantar emel memaklumkan nama, alamat dan slip bank saya menganggap bahaya wang yang dimasukkan ke dalam bank sebagai sumabangan kepada saya. Didahului dengan ucapan terima kasih. Manakala mereka yang membayar lebih dari RM 10 untuk sebuah buku, moga-moga bayaran lebih itu akan menjadi amal soleh yang memberatkan timbangan kebaikan di akhirnat kelak. Manaka mereka yang sanggup mendahulukan wang atau meminjamkan saya untuk kos percetakan semoga jasa itu akan dibalas oleh Allah SWT sama ada di dunia dan di akhirat kerana di dalam sebuah hadis ada menyatakan bahaya "sesungguhnya Allah bersama orang yang menolong saudaranya."

Saya tidak meminta kalian membayar untuk view page ini. Tetapi buku yang akan saya cetak sebagai sebuah buku sulung saya mengambil polisi "pay for read". Apakah saya telah mengundang kemarahan kalian? 

5 Mac 2004

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1