Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan 268

Sarjana oh Sarjana!

Oleh: Akhi Masrawi

Saya membuat pilihan pertama meneruskan pengajian sarjana ialah Sarjana Syariah dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh di Akademi Islam Universiti Malaya. Manakala pilihan kedua ialah Sarjana Sains (Kewangan Islam) di Fakulti Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia. Tiada pilihan ketiga dan seterusnya lagi buat masa ini. Kenapa tidak UKM dan UIA atau mungkin KUIM atau IPTA yang lain?Sukar untuk saya menjawabnya. Oleh itu jangan bertanya!

Sekarang... kesukaran itu semakin rumit. Kerumitan itu bukan kerana saya tidak gemar menjawab kenapa tidak sambung master atau di mana nak sambung master tetapi kesukaran yang lain pula. Saya tidak suka ungkit. Saya sedar selama ini ayah telah banyak menyara saya. Emak telah banyak berkorban untuk saya. Mungkin kerana impian dan kemahuan... saya telah terbang ke Mesir selama empat tahun. Dan kerana kerinduan saya juga telah pulang dari safar itu ke Malaysia tercinta setelah menamatkan pengajian sarjana muda dalam bidang Syariah Islamiah.

Lebih sebulan menjadi penganggur berijazah, kerap dilontarkan persoalan tentang kerja dan pengajian. Sehingga meresahkan saya sendiri. Dan dalam tempoh itu jugalah saya tidak dengar apa-apa kata putus dari ayah sebagai kesanggupan untuk menyara pengajian saya di peringkat sarjana (Master). Semuanya mulai saya sedar bila emak mencetuskan rungutan tentang banyak wang yang hendak digunakan pada tahun ini. Saya dapat rasakan walaupun ayah tak kata apa-apa mesej yang mak sebutkan seolah menyarankan saya lekas mencari kerja. 

Alang akan masuk ke universiti bulan Mei nanti selepas tamat Matrikulasinya di Gopeng Mac ini. Bangcik pula akan menyusul alang selepas SPM, mungkin akan masuk matrikulasi atau ke mana-mana IPTA. Adik pula akan memasuki sekolah menengah pada sesi hadapan. Walaupun Teh telah tamat Diploma ILP Jitra dan sedang berkerja ianya tidak mampu membantu kewangan keluarga. Adik-adik perlu disara. Saya sedar, sebagai anak lelaki sulung tanggung jawab ini bukan lagi milik ayah dan mak, tetapi telah beransur-ansur berpindah kepada saya. Ini dirasai bila Alang dan Bangcik seperti sudah hendak memainta saya memberikan kesanggupan menyara pengajian mereka dalam gurauan masa mereka pulang beraya korban lalu.

Memang betul saya ada mengatakan pada ayah supaya jangan runsing tentang saya. Pandailah saya mencari wang untuk menyambung master. Keadaan ini menyebabkan mereka (mak dan ayah) tidak menghalang niat dan impian saya untuk sambung mengaji. Malah bila ada kawan-kawan mak dan ayah bertanya tentang saya, tanpa kekok ayah memberitahu yang saya akan menyambung lagi. 

Saya berani kerana saya ada menulis buku. Saya berharap duit jualan buku itu akan membantu kewangan saya dan menampung yuran pengajian master. Tetapi entahlah sehingga kini masih belum ada perkembangan yang menarik tentang buku saya di pengurusan percetakan.

Borang UM dan UUM telah saya isi. Sokongan penyokong pun sudah saya dapatkan. Tinggal hendak hantar sahaja permohonan itu. Semalam dalam Akhbar Mingguan Malaysia, UUM melanjutkan tempoh permohonan sehingga 1 Mac 2004 dari tarikh tutup asal 11 Februari 2004. Kenapa ya? Tidak ramai yang memohon atau kuota masih tidak memenuhi? Nampaknya peluang untuk hantar borang UUM masih ada. Tetapi situasi makin rumit.

Permohonan ke pengajian sarjana kebanyakan memerlukan pengalaman berkerja setelah tamat ijazah sarjana muda. Keutamaan pula kepada calon yang mempunyai sarjana muda dengan kepujian dan beberapa syarat universiti. Kelayakan ikhtisas juga diperhatikan. Setelah berbincang semula dengan mak dan ayah mereka menyokong penuh sekiranya saya hendak berkerja. Dari terperap di rumah... lebih baik berkerja. Rimas juga dengan soalan-soalan orang kampung. Bila nak kerja? Dah kerja apa? dan sebagainya. Sebenarnya saya belum beri kata putus pada mak dan ayah hendak tangguh dulu permohonan nak sambung master untuk pengambilan semester 1 Jun nanti. Bila pula hendak memohon? Entahlah.

Ada beberapa permohonan kerja yang telah saya kemukakan dan masih mengintai peluang lain. Semalam berborak di YM dengan Muring ada dikatakan Karangkraf ada tawaran kerja, tetapi saya tidak ada apa-apa maklumat. Kalau ada sesiapa yang ada tawaran kerja kosong silalah hubungi saya via emel: [email protected] atau h/p: 012-5999046. 

Saya kena kerja. Master? Dulu masa di Mesir bila kawan-kawan bertanya bagaimana dengan Master... saya telah katakan. "Saya akan sambung master, bila dan di mana saya tidak boleh memberikan keputusannya." Mungkin itu juga jawapan yang tepat di Malaysia ini. Dalam situasi saya sekarang, mungkin tidak sama realitinya dengan kawan-kawan lain. Saya perlu lupakan sementara niat untuk sambung master. Bila keadaan sudah mengizinkan dan kewangan stabil... insyaAllah.

Bila nak sejukkan hati, teringat kisah seorang lelaki yang tak tamat pengajian di universiti tetapi mampu berjaya dalam hidupnya di dunia ini. Dia menguasai perniagaan lebuhraya maklumat dan software. Siapa lagi kalau bukan Bill Gates? Orang yang sambung master pun masih susah nak dapat kerja di Malaysia ni, bagaimana pula dengan orang yang cuma ada ijazah sarjana muda? 


09 Februari 2003 

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1