Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan 269

Siri Artikel Iklim Perubahan Pemikiran

MIGRASI INSAN DAN ANJAKAN PARADIGMA

Oleh: Akhi Masrawi

SEWAKTU berada di bangku sekolah rendah, guru bahasa Malaysia saya pernah menyuruh saya dan rakan menulis sebuah karangan perbandingan untuk menunjukkan pro dan kontra hidup di kampung lebih baik daripada hidup di bandar. Pada masa itu saya telah memilih untuk menulis dengan berpersepsikan pro hidup di kampung. Saya tidak menghadapi kesukaran lantaran saya dilahirkan dan membesar dalam suasana kampung. Tentulah saya mampu meluahkan sekurang-kurang lima kebaikan hidup di kampung.

Kawan-kawan saya yang lain ada yang menulis dengan persepsi pro hidup di bandar, walaupun secara majoriti mereka juga seperti saya dilahirkan dan dibesarkan di kampung. Mungkin dunia kanak-kanak adalah alam keanakan. Kanak-kanak melihat sesuatu dengan bayangan yang berbeza berbanding orang dewasa mahupun remaja.

Adik sepupu saya yang berumur tujuh tahun pernah dilihat melayang-layangkan pembaris sambil mulutnya membunyikan bunyi jet apabila ditanya tentang apa yang dilakukannya dia menjawab dia sedang bermain dengan kapal terbang. Lihatlah bagaimana kanak-kanak mampu melihat pembaris sebagai kapal terbang. Setelah ditanya apakah cita-citanya bila dewasa dia menjawab mahu menjadi seorang pilot.

Saya melihat kebaikan tinggal di kampung terlalu tepu. Pada masa tersebut saya tidak mampu membayangkan kebaikan tinggal di bandar. Alhamdulillah... karangan saya mendapat markah yang sangat baik pada masa tersebut. Saya menulis dengan penuh semangat kerana saya menceritakan kehidupan saya sendiri. Saya mengisahkan pengalaman saya sendiri tanpa perlu merujuk atau mengkaji gaya kehidupan mereka yang tinggal di bandar.

Hanya setelah saya memasuki alam menengah dan usia remaja pemikiran saya mula berubah. Persepsi buruk saya terhadap bandar sekurang-kurangnya telah terhapus kesan daripada proses pengajian dan kehidupan yang saya alami pada masa remaja. Ketika usia ini saya dikenalkan dengan bandar (sekarang bandaraya) Alor Setar, Jitra, Kangar, Arau, Sungai Petani dan bandar-bandar lain di utara tanahair. Saya mula merasakan adanya keselesaan tinggal di bandar. Dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur yang dibangunkan di bandar-bandar memudahkan orang-orang awam meneruskan rutin kehidupan.

Minda saya nuetral. Saya tidak lagi menganggap hanya kebaikan itu ada di kampung meski karangan saya mendapat markah yang bagus berbanding rakan saya yang menulis tentang kebaikan tinggal di bandar atau memburukkan kehidupan di kampung. Isi karangan dan gaya penulisan memungkin saya mendapat markah yang bagus tetapi tidak semestinya apa yang ditampilkan itu tepat dan menolak penulisan dengan gaya yang lemah.

Seperti seseorang yang mampu berhujah dengan bagus mungkin boleh menang dalan perdebatan walaupun dia hanya mewakili pihak yang salah. Kemampuan mempengaruhi minda orang lain ini adalah satu sifat istimewa yang tidak dianugerahkan kepada semua orang. Seperti bakat-bakat dan kemampuan yang lain juga. Mungkin ada orang yang mampu menulis tetapi tidak mampu berucap, ada yang mampu mencapai kecemerlangan dalam akademik tetapi tidak mampu mengaplikasikan kecemerlangan itu, ada yang mampu berjenaka sehingga menyebabkan orang lain ketawa terbahak-bahak tetapi tidak mampu ketawa dengan humor yang orang lain tampilkan dan banyak lagi.

Selama empat tahun saya membawa diri ke Mesir. Berkenalah dengan Kota Kaherah yang sesak dan rimas, Bermukim di Tanta dan menjejak Iskandariah, Mansurah serta furu'-furu' lain sekali-sekala cukup untuk membuatkan saya rasa rindu metah kepada kampung halaman di Malaysia. Mungkin di bandar semuanya sudah lebih dari cukup tetapi ada sesuatu yang cuma ada di kampung tidak di bandar. Apakah sesuatu yang dimaksudkan itu?

Ianya adalah sebuah ketenangah. Ketenangah tidak saya temui di bandar. Ketenangan di bandar adalah hipokrasi yang dicipta-cipta buat meredakan hati. Tetapi lakonan itu lambat laun akan terbongkar. Realiti yang akan tetap mendominasi situasi.

Setelah pulang ke Malaysia pada 25 Disember 2003 saya melepaskan seluruh kerinduan. Melihat liuk lentuk pohon-pohon kayu, buluh di tebing-tebing sungai, alir sungai, renek-renek yang membelukar dan kicau-kicau burung serta sawah-sawah padi mengembalikan nostalgia mengapa saya terlalu ghairah menulis tentang kebaikan tinggal di kampung.

Mungkin suatu hari nanti saya akan keluar dari kampung ini menuju ke bandar-bandar. Suatu hari itu, mungkin adalah hari ini. Hari anda membaca catatan saya. Manusia melakukan migrasi. Dalam bahasa Arab dinamakan hijrah. Tetapi ia bukanlah hijrah dalam konteks penghijrahan Rasul SAW dari kota Makkah ke Madinah. Hijrah yang dimaksudkan ialah berpindah dari suatu tempat ke tempat yang lain.

Akhbar berita Minggu semalam pada ruangan Perspektif menampilkan kisah migrasi burung-burung di Benua Artik di bawah tajuk "Penjelajah Benua". Burung-burung itu bermigrasi untuk meneruskan kehidupan. Tetapi mereka tetap kembali ke tempat asal mereka. Mereka telah terdidik sedemikian. Selain burung, ikan Solomon juga begitu. Ikan Solomon di'lahirkan' di sungai air tawar tetapi menjelajah sehingga ke laut masin kemudian hidup di laut dalam satu tempoh masa dan pulang melawan arus ke sungai di mana dia di'lahirkan'. Mengikut fakta jika tidak terjadi apa-apa kepada ikan itu ia akan mati di sungai di mana dia di'lahirkan'. Akan tetapi majoritinya mati ditangkap manusia atau menjadi mangsa kepada pemangsa.

Kisah-kisah haiwan ini kadangkala mengusik nubari kita sebagai manusia. Memang tidak dinafikan baik kampung mahupun bandar ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Saya tidak suka memburukkan mana-mana. Minda saya telah beranjak daripada parasigma pemikiran yang terbatas. Kini saya tidak lagi akan gusar andai suatu hari nanti saya akan bermigrasi ke bandar untuk kerjaya dan kehidupan berkeluarga andai jodoh saya adalah orang bandar dan memilih untuk menetap di bandar. Tetapi seperti juga burung-burung penjelajah benua dan ikan Solomon itu ia tetap tahu dari mana asalnya. Bukankah ini juga berlaku pada kalian?

09 Februari 2003 

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1