Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan 270 

Kesusahan Hidup Sebagai Nilai Seni Karya

Oleh:Akhi Masrawi

KESUSAHAN hidup atau kemiskinan adalah antara bentuk penderitaan yang menjadi nilai seni dalam sesebuah karya. Tidak semua karya mampu menampilkan gambaran kepada nilai tersebut sebagai estetika karya mereka. Penulis sekurang-kurangnya memerlukan pengalaman sendiri atau pemerhatian yang tajam bagi menghasilkan karya yang mengangkat tema kesusahan hidup atau kemiskinan.

Tema seperti ini seringkali diangkat oleh penulis-penulis mapan yang barangkali kehidupan mereka dikitari oleh senario sedemikian sebelum hidup agak senang seperti sekarang. Penulis-penulis muda amat jarang ditemui mengangkat tema sedemikian kecuali ada segelintir yang mencuba. 

Nilai dan tema kesusahan hidup atau kemiskinan bukan sahaja boleh diterjemahkan melalui penulisan, malah turut boleh digambarkan melalui seni-seni yang lain seperti seni lukisan dan pementasan. Sebagai seorang penulis muda saya tidak mempunyai pengalaman yang luas (mungkin kerana pembacaan yang minima) untuk mengulas dengan lebih terperinci.

Walau bagaimanapun saya beranggapan kesusahan hidup boleh dijadikan tema yang baik untuk sesebuah karya seni. Menggambarkan kesusahan hidup melalui penulisan memerlukan kepada pengamatan yang mendalam. Jika tidak khalayak tidak akan terkesan.

Persoalannya sekarang apakah yang dimaksudkan dengan kesusahan hidup itu? Apakah ianya bersifat linear sepanjang zaman atau fleksibel berpandukan perubahan masa dan taraf hidup sesuatu masyarakat. Dalam hal ini saya beranggapan nilai kesusahan hidup itu perlulah dipadankan dengan senario kehidupan dari sudut penempatan dan masa.

Ini kerana kesusahan hidup masyarakat yang hidup di kampung tidak akan sama dengan masyarakat yang hidup di bandar apatah lagi jika dibandingkan kesusahan hidup pada zaman pra kemerdekaaan dengan zaman pasca alaf baru. Sepicing masa beranjak masakah tiada berlaku apa-apa perubahan?

Saya mengambil contoh yang mudah iaitu pada era peperanganm, kesusahan hidup pada zaman tersebut telah sering digambarkan menerusi karya pentas dan layar perak. Misalnya filem-filem terbitan FINAS seperti EMBUN dan PALOH disamping filem-filem lain. Teori yang digunakan oleh sutradara barangkali memerlukan kepada kajian semula agar apa yang hendak ditonjolkan kepada khalayak penonton meninggalkan kesan yang mendalam. Set-set kostum dan latar perlu dibina dengan teliti agar gambaran kehidupan zaman itu tidak mampu dipertikaikan oleh generasi masa kini yang dilahirkan pada zaman moden.

Generasi zaman kini mengenali kesusahan dengan ideologi yang berbeza. Jika pada masa dahulu kesusahan digambarkan dengan masyarakatnya tidak mempunyai makanan atau tidak mencukupi, tempat tinggal yang daif, pakaian yang compang dan tidak memiliki kemudahan-kemudahan peribadi seperti kenderaan, perabot rumah dan sebagainya. Namun kesusahan pada zaman sekarang jauh berbeza dari gambaran tersebut. Pada masa sekarang mungkin mereka yang memiliki rumah yang besar, kereta yang mewah, perabot rumah yang lengkap, peralatan peribadi yang mencukupi juga menghadapi kesusahan hidup. Justeru kesusahan hidup sebenar secara literalnya berbeza mengikut tempat dan masa.

Orang-orang tua selalu berpesan supaya jangan membazir kerana mereka pernah mengalami zaman kesusahan hidup yang tidak pernah generasi sekarang rasai. Mereka tentunya arif dengan suasana tersebut, sedangkan kita? 

Zaman peperangan digambarkan dengan haru-biru dan kacau-bilau. Zaman itu sudah pun berlalu bagi generasi masyarakat Malaysia. Tetapi zaman itu masih ditempuhi oleh umat yang tinggal di negera-negara peperangan seperti di Iraq, Palestin, Afghanistan dan lain-lain. Zaman kebuluran dan bencana alam yang menyebabkan kematian mungkin juga sudah jauh ditinggalkan kita, tetapi di negara-negara miskin dan tertimpa musibah mereka masih merasai suasana tersebut.

Baru-baru ini di Iran telah berlaku gempa bumi yang dahsyat sehingga mengorbankan ribuan manusia dan kediaman mereka... tentunya kesusahan hidup yang mereka deritai tidak sama yang dideritai orang-orang miskin di negara-negara yang lain termasuk negara kita. Justeru, kesusahan hidup ini sememangnya sesuatu yang bernilai untuk dihayati di dalam karya. Ia mempunyai mesej yang tersendiri sebagai mandala membentuk tingkah dan adab manusia supaya sentiasa mensyukuri apa yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya.

Sebagai manusia, selalulah bermuhasabah. Kesusahan hidup sememangnya mengkitari setiap manusia. Tetapi tahap kesusahan itu tidak sama. Kita barangkali susah, tetapi masih ada insan lain yang lebih susah daripada kita. Kita beruntung bukan? 


ditulis pada 08 Januari 2004

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1