Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan 267

Mengintai Pengajian Sarjana

Oleh: Akhi Masrawi


Orang selalu pesan: "Buatlah pilihan yang paling tepat agar kita tak akan menyesal dengan apa yang akan kita tempuhi." Pesanan ini jika diteliti dengan baik boleh dianggap sebagai satu ancaman yang menyimpan segugus nasihat.

Saya tidak pernah menanggung sesal yang lama. Seringkali sesuatu yang saya tempuhi khalif dari apa yang saya cadangkan atau impikan saya akan cuba memujuk hati agar redha dan menerimanya sebagai suratan takdir.

Semasa membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia dan menyambung pengajian Master di IPTA Malaysia, saya rasa pilihan saya sudah tepat. Meski kawan-kawan ada yang memujuk supaya mengambil Master di Mesir, saya tetap merasa saya wajar pulang merasa suasana di Malaysia pula.

Selasa lalu ke Universiti Utara Malaysia (UUM, Sintok) untuk mengambil borang permohonan pengajian sarjana. Pergi bertiga dengan Ikhwan dan Azwan. Saya dan Ikhwan lepasan Al azhar, Mesir. Manakala Azwan lepasan dari London.

Mula-mula diarahkan oleh pak guard ke bangunan Canselori untuk urusan tersebut ketika kami bertanya di pintu masuk UUM. Ke Canselori tapi tak tahu ke bilik mana. Akhirnya bertanya kepada seorang staf atau student yang baru keluar dari bilik Hal Ehwal Akademik dan dia menyarankan ke bahagian pendaftar di aras atas (aras 3). Kemudian disuruh semula ke bahagian Hal ehwal Akademik dan kemudian diarahkan pula ke tingkat bawah bahagian siswazah. Alhamdulillah dapat juga beli 3 borang di situ. Harga borang RM 10 untuk satu unit. 

Saya, Ikhwan dan Azwan kemudian ke bahagian Pendaftar sekali lagi untuk bertanya tentang borang permohonan tutor (pembantu pensyarah). Tanpa banyak soal diberikan borang yang diminta. Cuba mencari Tuan Haji Nasri Hussin, pensyarah yang dimaksudkan kawan saya untuk berhubung tentang permohonan tutor. 

Menurut Tuan Haji Nasri, seramai tujuh orang telah menjalani temuduga. Beliau bertanya apa ijazah yang saya ada. Saya jawab lah Saya B.A Hons dari Al Azhar dalam bidang Syariah Islamiah. Beliau menyarankan memohon untuk sesi akan datang. Katanya lagi tiga sudah terpilih tetapi baru seorang dipanggil bertugas.

Sukar juga nampaknya. Hantar sms kepada Izhar. Kemudian dibalas dengan menelefon saya... memberitahu dia masih tak berkerja. Memohon tutor di UM, UKM dan UIA. UM katanya dah tak ada harapan. UKM dan UIA masih dalam proses. Mungkin panggilan temuduga pada Mac nanti. Dia bersungguh menyarankan saya memohon tutor di UUM. InsyaAllah. Cuma saya masih teragak-agak kerana apakah bidang pengajian di UUM memerlukan saya dari lulusan Syariah Islamiah sedangkan fakulti yang memakai siswazah pengajian Islam cumalah Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Kewangan dan Perbankan. Serahkan pada Allah.

InsyaAllah... akan ke Kuala Lumpur dengan kawan-kawan untuk urusan pengesahan JPA terhadap sijil. Mungkin hujung bulan Januari atau awal Februari. Terpaksa berkejar-kejar sebab permohonan UUM akan tutup pada 11 Februari 2004. Sambil-sambil tu nak ke UM dan UKM beli borang sarjana di sana. Doakan kami.

Pilihan sudah buat, kita sudah melangkah... bukan berundur lagi ke belakang tetapi terus mara.

Kata-kata Pujangga: "Lihatlah dunia sebagai seorang yang berjiwa besar."

16 Januari 2004

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1