Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan Hujung

Jalan Hidup di Ardhil kinanah Sebelum Kembali ke Tanahair
Sambungan Siri 2

NATIJAH OH NATIJAH!

Debaran menanti natijah akhirnya sedikit reda apabila saya menerima sms dari Sobri semasa dalam safar di Iskandariah. Kata Sobri natijah sebenar belum ditampal lagi, tapi mengikut keputusan "kontrol" (minta melihat pada syu'un wafidin (pegawai bahagian pendidikan pelajar bukan Mesir) Ustaz Mustaffa memberitahu najah. Alhamdulillah akhirnya debaran sedikit reda dengan keputusan lulus satu kertas yang saya kena ulangi untuk melayakkan bergelar sarjana muda Syariah Islamiah. Keputusan sebenar sehingga catatan ini ditulis masih tidak ditampal di Fakulti.

Walau bagaimanapun telah memaklumkan kepada Syahzul supaya konfirmkan tiket saya untuk tarikh kepulangan ke Malaysia pada 17 Disember 2003. InsyaAllah, keputusan kontrol selalunya tidak silap dengan keputusan sebenar. Masa kontrol bulan Ogos dulu, Izhar (abanglong) yang tolong tengokkan. Keputusan sama juga yang terbit ditampal pada dinding fakulti. Masa tu sememangnya amat berdebar dan debaran itu tertunggak sehingga melepasi kertas tasfiah satu madah pada 3 november lepas. 

Entahlah bila keputusan sebenar akan ditampal. Doa saya agar saya lulus. Takdir (tahap kelulusan) belum dapat dipastikan lagi. Tetapi congak-congak insyaAllah Jayyid. Saya dapat 3 kertas Imtiyaz 3 Kertas Jayyid Jiddan dan 5 kertas makbul. Alhamdulillah, syukur pada Allah.

MESIR MAKIN SEJUK 

Kerana kesejukan metah, seorang kawan saya yang mengidap athma dimasukkan ke sebuah hopital swasta di Syarie Qatini. Moga junior saya tu cepat sembuh. Mesir semakin sejuk dek bayu syita'. Tapi hujan masih bertahan setelah lebih kurang dua minggu lepas membasuh lumpur dan lambakkan tahi himar di jalanan apabila turun agak lebat di sekitar Tanta dan Kaherah. Furu'-furu' lain saya kurang pasti. Alhamdulillah, mujur Oktober lepas kawasan berlumpur saban tahun di halaman rumah saya sudah diturapkan. Taklah menghadapi musykilah lecah yang sangat kritikal bagi ahli bait imarah Dr 'Ala Sa'dawi ini.

Selepas kepulangan saya, rumah yang sedang saya diami ini akan dihuni oleh Nik Azran yang masih belum menyudahkan pengajian Master di American Open University of Kaherah, dua orang junior baru yang datang melalui SMASZA dengan tiket STAM, Nik Rosdi dan Saidi serta Maszuan yang masih di tahun tiga. Rumah sebelah pula kemungkinan selepas Azril pulang akan cuma didiami oleh tiga penghuni sahaja iaitu Talib, Anwar dan Syukri Mamat.

Kawasan kediaman kami ini namanya Kubri Quhafah. Di awal syarie masuk dari sari'e (lebuhraya) terdapat sebuah nafaq (terowong) melintasi dari kawasan Nadi Quhafah ke Syarie ke Istad Tanta. Pemisah antara Kawasan Masakin dengan Imarah Khulafa' ar-Rasyidin hanya sebatang anak sungai yang dulunya agak kotor. Tetapi akhir-akhir ini setelah masyarakat tempatan diseru kesedaran menjaga kebersihan, sudah agak kurang yang membuang sampah ke dalam sungai itu. Malah semenjak setahun lepas sudah ada perkhidmatan zibalah (sampah) dan bayarannya terus melalui faturah kahraba' (resit elektrik). Sebulan hanya LE 3.00-LE 3.50. Yang menimbulkan persoalan kepada saya bagaimana harganya ditentukan sedangkan kuantiti sampah yang dibuang tidak sama setiap bulan. Entahlah... Mesir nizom (peraturannya) lemah.

Kemungkinan tahun ini sejuk lebih berbanding tahun lepas. Salji pun kemungkinan turun di Sinai. Sebab biasanya kalau sejuk bersangatan di Sinai akan lebih lagi. Pengalaman tahun lepas memanjat Jabal Musa menyerikkan dan seolah andai tiada hajat yang muhim (penting) mungkin itulah kali pertama dan terakhir memanjatnya. Cubalah kita bayangkan sejenak, bagaimana Nabi Allah Musa dilatih oleh Allah memanjat Jabal (gunung) itu demi untuk bermunajat kepada Allah SWT dan kemudiannya menerima perintah untuk menyeru Bani Israel kepada Ketuhanan yang satu. Oleh sebab itu Antara Nabi yang ramai pengikut selain Nabi Muhammad SAW ialah pengikut Nabi Musa AS. Pada masa itu lawan Nabi Musa AS adalah firaun yang maha zalim. Begitulah halnya Nabi Muammad SAW yang pergi ke gua thur untuk berkhalwat. Di dalam hal ini ada ditimbulkan persoalan apakah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad semasa tempoh khalwat itu. Profesor Dr Abdul Hamid Abu Makarim Ismail, pensyarah Usul Fiqh Al azhar cawangan Iskandariah menulis di dalam bukunya bahawa Nabi beribadat mengikut millah Nabi Ibrahim AS.
Selepas ini mungkin hujan akan turun lagi. Sudah dua minggu tak turun. Tentu kesejukan akan lebih dahsyat. Bila bernafas juga akan berasap. Pakaian tebal adalah teman paling akrab selain saratoga (selimut). Bagi yang tak tahan mestilah menyediakan baju yang mampu menahan aingin dari menyelinap masuk ke badan kerana dibimbangi akan sakit dada dan menyebabkan sakit-sakit lain. Kalau mandi, berwudhu' atau membasuh anggota, selalu diingatkan supaya mengeringkan segera bagi mengelakkan penyakit tulang. Pemakanan pada musim sejuk memang sukar dikawal, kerana cepat merasa lapar dan apatah lagi siangnya yang pendek dan malamnya yang agak panjang. 

Semua itu akan sirna sementara apabila saya pulang ke Malaysia nanti. Tentulah akan menjadi memori yang terkenang sepanjang hayat. Ya... seperti yang saya kata, kadangkala sayang yang lahir selepas kebencian itu lebih bermakna.

DIZIARAHI DR. SYAZWAN DAN DR ISRA'

Dr. Syazwan ialah junior dari sekolah saya yang mendapat tajaan JPA menyambung pengajian sarjana muda kedoteran di universiti 'Ain Syams, Kaherah. Khabarnya 11 orang kesemuanya tajaan JPA yang datang sekapal dengannya. Salah seorang yang sempat dibawa Syazwan ke Tanta menziarahi saya ialah Dr Isra'. Semasa Syazwan call saya sedang berada di hospital bersama kawan-kawan lain. Kemudian berlari ke Syarie' Bahr dan menahan sebuah teksi ke Mahattah Qitar. Sudah berjanji dengan Syazwan supaya menunggu di kawasan tiket mahattah tersebut. Sewaktu sampai, meninjau-ninjau sekitar dan ternampak Syazwan seorang. Naik ke kawasan Rasif (terminal) dan bertemu dengan Isra'. Cadangan saya hendak terus membawa mereka terus pulang ke rumah dan menghidangkan nasi, makan malam, tetapi Isra' sudah menempah kibdah atau kuftah tak pasti di sebuah gerai di situ. 

Bawa mereka berdua pulang dan sempat singgah di Jannah Fawakih (syurga buah-buahan), sebuah gerai jus dan halawiyat berhadapan Syed Nawi. Memesan dua gelas 'asir muz billaban (pisang dan susu) dan segelas 'asir burtuqal (jus limau). Dua junior tu masih muda remaja. Datang ke luar negara pada usia 18 tahun. Moga-moga pandailah mereka bawa diri. Selepas menghirup 'asir saya membawa mereka pulang ke rumah. Hampir sehari berada di Tanta, sempat dibawa berkunjung ke Masjid Syed Ahmad Badawi, masjid yang terkenal di Tanta. Bersolat zohor di sana dan menziari beberapa makam di sisi masjid termasuk makam Syed Ahmad Badawi yang terkenal sebagai seorang sufi dan Syeikh Tarekat Ahmadiah di Mesir. 

Seusai solat sempat meninjau-ninjau kawasan sekitar masjid yang berkecamuk manusia. Ada yang terlelap bersama lena dan mimpi. Ada yang membaca Al-Quran, berzikir atau beri'tikaf mungkin, ada yang bersembang-sembang, ada yang duduk melunjur kaki, melentang, bersila dan mengiring, tetapi yang agak pelik pada saya ada beberapa perkara. 

Pertama seorang syeikhah (perempuan tua) sedang memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran di tengah-tengah kawasan masjid ditemani seorang lelaki mungkin suami atau mahramnya. Kedua-dua mereka buta tetapi mampu menghafal dan memperdengarkan ayat Al-Quran dengan baik. Saya terfikir, apakah hukumnya perempuan itu membaca al-Quran dengan suara yang nyaring di dalam masjid? Ini kerana ada beberapa situasi pada ketika itu termaksuk apa yang hendak saya maksudkan ialah mungkin mengganggu jemaah lain yang masbuk (tertinggal rakaat bersama imam) bersolat. Atau mungkin juga kerana berkaitan khilaf suara wanita. Berfikir tetapi tak ketemu jawapan. Mungkin jawapan perlu diselaraskan dengan waqie' semasa. Sedang asyik meladeni diri melihat ke hadapan seorang lelaki melintas dan menghampiri kedua-dua syeikh (orang lelaki tua) dan syeikhah itu dan menghulurkan sedekah. Entahlah berapa nilaian sedekah itu. Moga rezekinya akan murah dan diluaskan.

Perkara kedua ialah terpandang seorang ibu sedang menyusu seorang bayi yang mungkin anaknya atau anak susuannya di satu pojok Masjid. Saya beristighfar. Rupanya bila bermunaqasyah semua dengan kawan-kawan sememangnya budaya orang orang Arab Mesir memang tak malu atau segan dengan khalayak. Sebab itu ada lelaki yang sanggup kencing berdiri di jidar-jidar (dinding atau tembok) kerana pada mereka tidak 'aib. Begitulah mungkin halnya dengan perempuan itu. Saya sudah acap kali terpandang situasi sedemikian, tetapi di tempat yang agak tidak melampau seperti di dalam masjid. Misalnya di kawasan tepi rumah dan suq (pasar).

Perkara ketiga ialah perangai penziarah makam di situ yang tidak bersandarkan kepada suruhan agama. Misalnya mereka mecium-cium pagar makam yang barangkali ditempa dari tembaga atau besi yang bersalut warna emas. Yang menambahkan rasa gusar apabila terlihat seorang perempuan berpurdah dan berjilbab hitam mencium-cium sambil merintih-rintih. Entah apa yang dia minta. Isra' bertanya tentang bagaimana konsep tawassul, mungkin terkesan dengan sikap yang dilihatnya. Selain makam Syed Ahmad Badawi makam-makam lain seperti makam sahabat-sahabat atau anak muridnya turut kami ziarahi. 

Dalam hal menziarah kubur ini, ada kalangan umat Islam yang agak menyempitkan sehingga menyusahkan. Mungkin sekiranya bagi mengelak perbuatan khurafat dan meminta-minta dari orang mati bukanlah dengan melarang mereka menziarahi makam, tetapi dengan memberikan penerangan yang sebenar. Kesemua bilik makam dibuka. Mujurlah... saya sepanjang empat tahun itulah kali pertama sempat menziarahi kesemua makam, kerana sebelum ini pergi ada sahaja makam yang biliknya tertutup. Ternampak papan tanda "Mamnu' taswir illa bi tasrih min wizarah" dan tersenyum sendiri mengingati peristiwa penahanan pelajar yang bergambar di kawasan "pentagon Mesir" tahun lalu. Mengambil ilham dari peristiwa itu, lahirnya cerpen Tahanan.

Pergi menjamu selera di sebuah mat'am firakh masywi (restoran ayam panggang) di Medan Sa'ah. Tergelak dengan perilaku pelayan mat'am yang selamba meletakkan i'sh tanpa berpinggan di atas meja, sedangkan meja itu memang tidak suci. Pada orang Arab mungkin memadai rasanya. Masa kecil-kecil dahulu sering juga mendengar kisah orang Arab menghidang roti kepada jemaah haji tanpa pinggan. Bila sudah berada di Mesir semua cerita itu menjadi kebenaran. Selepas makan berjalan ke Mahattah Qitar dan menghantar dua adik menaiki kereta api Mukayyafah darajah Thaniah (kelas 2) dan berwida' dengan mereka. Kemudian ke maktabah Andalus membeli syarit (kaset) al-Quran bacaan Syeikh Saad Al-Ghamidi. Bila sampai di rumah barulah sedar baju t-putih yang dibeli di medan tijari belakang masjid Badawi telah terlupa ambil dari dalam beg syazwan.

SELESAI URUSAN TAWKIL SHAHADAH (IJAZAH SARJANA PERTAMA)

Hatta datang ke rumah pada pukul 10 pagi setelah berjanji dengannya terlebih dahulu untuk urusan ke Majlis Niqabiyah di hadapan rumah untuk urusan tawkil (mewakilkan) shahadah muaqqatah (sementara) dan asliah (asli) untuk urusan di Fakulti. Beberapa perkara gharib (ganjil) dipelajari lagi. Satunya pegawai isti'lamat (kerani maklumat) yang bertugas di situ langsung tiada kerusi atau meja untuk beliau menulis apa-apa urusan berkaitan. Simpati. Beliau berdiri di hadapan pintu masuk bangunan dan bilik Majlis Niqabiyah. Majlis ini di bawah Wizarah al-Kharijiah (Kementerian Luar) yang mempunyai autoriti dalam beberapa ansyitah (bidang kerja) berkaitan tukar-menukar, wakil-mewakil dan sebagainya. 

Tak lama kemudian Sobri datang. Khabarnya dia nak ke Mansurah selepas Zohor. Mungkin ke rumah kawan dan ke Usfur (kedai kristal), beli hagah (barang). Banyak lagi yang belum selesai. Membilang hari ke tarikh 17 Disember 2003 sebagai tarikh kepulangan ke Malaysia.


... bersambung siri 3 

1 Januari 2004

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1