Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan Hujung

Jalan Hidup di Ardhil kinanah Sebelum Kembali ke Tanahair

Oleh: Akhi Masrawi

Sememangnya empat tahun dalam safar ilmi jika ditinjau semula terasa terlalu singkat. Terasa bagai sekelip mata. Kehidupan manusia juga begitulah halnya. Kita dilahirkan dan diazan-iqamatkan kemudian apabila mati datang menjemput kita disolatkan. Beza masa antara azan/iqamat dan solat sangatlah sedikit. Itulah tasybih hayat kehidupan kita.

Pada saya, ketibaan di bumi warisan anbiyak ini disambut dengan rasa berkobar-kobar. Semangat menuntut ilmu pada waktu sangat menyinar. Bagai purnama yang menerangi kegelapan malam disokong bintang-bintang yang berkerdipan. Jauh di dada langit, tetapi cahayanya tetap menyala meski tidak seterang mentari yang turut memancarkan kepanasan. Walau sehebat mana mentari ia pasti menghilang dan malam akan berulit dengan cahaya bulan. Bukankah cahaya bulan itu juga dari pancaran matahari? Ya... sememangnya sang suria itulah yang memancar. Justeru sehingga kini dan sampai bila-bila manusia tak akan mampu menandingi kehebatan Allah sebagai pencipta, Tuhan yang mana Esa.

Saya menjejakkan kaki ke Mator Jadid (lapangan terbang baru) antarabangsa Cairo, pada pagi 11 Oktober 1999. InsyaAllah moga dengan izin Tuhan, saya akan kembali ke Malaysia pada 17 Disember 2003 dan tiba di Malaysia pada 18 Disember 2003. Ramai yang bertanya "adakah kepulangan ini kepulangan yang tak akan menyebabkan saya kembali ke Mesir." Walaupun saya sudah menamatkan pengajian sarjana muda Syariah Islamiah di Universiti tertua di dunia itu, tetapi jiwa saya tak mampu membohongi diri sendiri bahawa saya tetap menyayangi Mesir sebagai negara kedua saya.

Tanahnya yang subur, ulamaknya yang ramai, athar anbiyak, auliyak dan ulamak yang masih kekal, gedung ilmu yang menjadi kiblat keilmuan dunia, muamalahnya yang mujamalah dan tentunya memori-memori yang dilalui adalah teman sepanjang hidup adalah tiket paling berharga untuk menaiki pesawat kehidupan seterusnya. Ia telah mematangkan insan yang menempuhinya. Saya bukan hendak menyembunyikan keresahan warga asing di bumi kontang ini. Tetapi biarlah keresahan, kejemuan, kehampaan, kegeraman, dan segala macam rasa tidak puas hati itu mentarbiyah kita menjadi manusia yang mampu berfikir dan bertindak dengan melalui jalan yang terbaik. Kadang-kadang bila difikirkan itulah perkara-perkara yang menjadi 'guru' kepada seorang pemikir.

LAMBAIAN MADINATUL AHLAM

Sabtu lepas 6 Disember saya telah dijemput ke bumi Iskandariah, di tepian laut Meditrenian untuk mengajar kelas bimbingan kitab Usul Fiqh kepada para mahasiswi Al-azhar tahun 4 Kuliah Usuluddin dan Kuliah Lughah Arabiah selama tiga hari dan mengajar kitab Qawaid Fiqhiyyah kepada para mahasiswi tahun 4 kuliah Syariah Islamiah pada dua hari selepas itu menyambung apa yang dibentangkan oleh Azril. Alhamdulillah kelas selesai pada 9 Disember.

Kehadiran saya ke Iskandariah kali ini rasanya sebagai lawatan terakhir sebelum pulang. Iskandariah memberikan ketenangan. Khususnya kepada anak pulau seperti saya. Sentiasa dambakan bisikan ombak, tenunan badai dan bualan bayu. Sesekali ke tepian laut Mandara mengingatkan saya kepada gigi-gigi air di Pulang Langkawi. Selain saya dan Azril, Bait Muhajirin di Asafira turut disendatkan dengan kehadiran tiga lagi tenaga kelas bimbingan yang lain. Wan Haslan mengajar Tauhid, tiga Usuluddin. Hasrul Nizam mengajar Manhaj Dakwah 3 Syariah manakala Zubir mengajar Nahu dan Sorof 2 Syariah. Lima orang kami tidak menyepikan. Suasana sesekali bingar dengan gelak tawa dan gurau senda. Mujurlah kami masing-masing sudah pun mengenali. Malam pertama kehadiran kami ke sana dikunjungi Anuar dan dua junior baru yang datang dengan tiket STAM. Khabarnya dua junor baru itu juga mengikut jejak Anuar di Fakulti Usuluddin Al-Azhar, Kaherah. InsyaAllah, Anuar juga khirrij tahun ini.

Iskandariah bukanlah muhafazah yang asing kepada saya. Tambahan pula saya telah beberapa kali berkunjung ke sana sebelum ini. Namun kunjungan untuk memenuhi jemputan DPMI cuma dua kali pertama sewaktu menjadi pendiskusi risalah "al-Qaumiyah" untuk program NPD dan kedua sebagai tenaga kelas bimbingan. Kunjungan lain cuma sekadar ziarah dan urusan peribadi. Paling awal ke Iskandariah pada tahun 2000 selepas peperiksaan fasal Saifi (musim panas) bersama kawan-kawan tahun pertama menziarahi makam-makam anbiyak, Sahabat dan auliyak. Antara yang sempat kami lawati ialah Makan Nabi Allah Danial AS yang terletak di Masjil Nabi Danial AS berhampiran Mahattah Misr. Bangunan Stesen keretapi Mahattah Misr mengingatkan saya kepada senibina barat yang ada bau penjajahan. Di makam Nabi Allah Danial AS lah saya belajar satu lagi perkataan yang menjadi istilah berbeza iaitu perkataan "pukul" yang dituturkan oleh kawan saya, Aziru dari Kelantan. Mujurlah saya tidak sampai hati hendak memukul makam Nabi kerana salah faham maksud perkataan pukul itu ialah ambil gambar.

Selain makam Nabi Danial AS kami juga berkunjung ke Masjid Abul Abbas, Makam Abu Darda' RA, Qal'ah, Underwaterworld, dan bersantai di pantai Asofirah @ Mandara (saya pun sudah tak begitu pasti). Selain kunjungan itu, kunjungan lain saya ke Alex menghantar saya sebagai tetamu ke Maktabah Suzan Mubarak, Iskandariah yang dikhabarkan sebagai sebuah perpustakaan yang terbaik, Hadiqah Haiwan (Zoo) dan beberapa tempat lagi yang saya sendiri sudah tidak berapa ingat. Cuma kunjungan terakhir baru-baru ini, kebetulan mengajar di Mandara... terlihat Montaza sewaktu bersiar-siar di Laut Mandara dan melalui jalan yang membelah antara Montaza dan Hotel Sheraton. Seorang pakcik tua yang bersolat Asar di atas batu mengingatkan saya kepada pengalaman bersolat di atas batu sewaktu mengikuti XPDC Hutan Belum sewaktu tingakatan lima di ALMAAD dahulu.

Memang tidak dinafikan, kerana masa itu berlalu ia tidak menanti kita. Berpisah dengan Azril, Wan dan Hasrul ketika melintasi Montaza Mall bangunan pasaraya Fathalla yang berwarna kemerahan (sudah membuka cawangan di Tanta) menuju ke Markaz Banat di Akhir Mauqif Mandara. Saya perhatikan jejambat keretapi yang membentu nafaq (terowong) dibawahnya sebagai laluan kenderaan dan manusia dengan pandangan yang sayu. Dua ekor singa batu di pintu masuk nafaq itu seakan mengerti bisikan hati saya. Sampai di Markaz seperti biasa saya meneruskan sesi kelas bimbingan. Kehadiran pada kesemua hari mengajar amat memberansangkan. Kesemuanya amat intimak dan memberikan komitmen yang tinggi. Puas rasanya mengajar di Iskandariah berbanding di tempat lain.

Malam 9 Disember itu, sebelum pulang sempat berkunjung memenuhi jemputan Us Bukhari. Dihidangkan mee kuah yang sedap berbilas air sirap. Turun dari rumahnya jam sudah pukul 8.30 malam. Bateri hp dah habis, terpaksa offkan hp. Lagipun kerja dah selesai. Berpisah dengan Zubir yang masih berbaki sehari mengajar sebelum insyaAllah berjumpa semula pada 17 nanti kerana kami ambil tiket pada tarikh yang sama untuk pulang ke Malaysia. Zubir sudah sambung pengajian Master di Al-Azhar dalam bidang Dakwah. Saya pun masih tak mampu nak jawab soalan-soalan berkaitan pengajian Master. Cuma apa yang boleh saya kata, saya akan sambung master, InsyaAllah.

Saya dan Azril naik tramco ke Mauqif Asofira, kemudian menaiki satu lagi tramco ke Mauqif Jadid untuk mengambil puojoet ke Tanta. Dalam tramco sebelum bertolak Azril sempat bertanya, "mana rumah maksu anta?" saya pun menunjukkan ke arah cahaya bangunan mustasyfa al-Ahram. Dalam hati terungkap kalimah "Terima kasih maksu atas segalanya. Lauk ketam dan sotong malam itu semua kawan-kawan saya puji. Maksu telah menolong mimpi saya menjadi benar." Kesemua kenangan di Iskandariah adalah cerita suka duka, akan saya rangkul bawa pulang ke Malaysia sebagai tinta yang akan melakarkan dakwah dan perjuangan.

Betullah pada kalimah "Adakalanya kita perlu berkorban..." Pertemuan dan perpisahan itu bukankah ditentukan Tuhan?

...bersambung (Siri 2)

11 Disember 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1