Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Manusia Menghadapi Ramadhan

Oleh: Akhi Masrawi

TERDAPAT pelbagai golongan manusia di dalam menghadapi Ramadhan. Ada yang gembira tak kurang yang tidak suka dengan kehadiran Ramadhan. Sewaktu artikel ini ditulis, umat Islam telah melalui 15 Ramadhan yang pertama bagi tahun 1424.

Ada ulamak yang mengklasifikasikan umat Islam kepada beberapa golongan di dalam menghadapi Ramadhan. Antara yang saya ingat ada tiga pembahagian umat Islam di dalam menghadapi Ramadhan.

Pertama: Golongan yang sangat suka kepada Ramadhan. Mereka berdoa sepanjang tahun untuk bertemu dengan Ramadhan. Apabila lagi enam bulan hendak bertemu Ramadhan mereka akan memperkuatkan doa. Antara doa yang dilafazkan ialah "Allhumma ballighna Ramadhan" (Ya Allah sampaikanlah kami kepada Ramadhan. Beerti mereka berdoa supaya Allah memanjangkan usia mereka. Mereka bersiap untuk menyambut Ramadhan seawal yang boleh. Mereka memperbanyakkan syukur dan berazam untuk menjadikan Ramadhan yang akan mereka tempuhi sebagai Ramadhan yang lebih baik dari Ramadhan sebelumnya. Mereka bagai tidak sabar. Mereka juga mempersiapkan amalan-amalan untuk Rejab dan Syaaban sebagai persedian menghadapi Ramadhan. Ibadat yang mereka lakukan dijagai rapi. Puasa yang mereka kerjakan semata-mata kerana Allah SWT. Mereka mengihya'kan Ramadhan dengan amalan-amalan yang disyariatkan pada bulan yang pernuh keberkatan ini. Mereka bercita-cita untuk bertemu dengan lailatul Qadr menyebabkan mereka memperhebatkan ibadat qiyamullail dan solat malam. Mereka melakukan ibadat-ibadat dengan penuh ketaqwaan dan kesabaran. Apabila Ramadhan hampir ke penghujungnya mereka akan merasa hiba. Mereka tidak berlebih-lebih untuk menyambut Syawal kerana mereka telah diberikan kegembiraan yang dijanjikan Allah kepada orang yang berpuasa; iaitu kegembiraan untuk berbuka puasa dan kegembiraan untuk bertemu dengan Allah di akhirat kelak. Setelah usai Ramadhan mereka akan terus berdoa supaya mereka ditemukan lagi dengan Ramadhan yang akan datang. Merekalah golongan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Kedua: Golongan ini hampir seperti golongan pertama. Mereka gembira dengan kedatangan Ramadhan. Mereka berazam akan menyambutnya dengan penuh meriah. Mereka berazam akan melakukan ibadat-ibadat serta memperbanyakkan amalan-amalan sunat di dalam Ramadhan. Setelah tibanya Ramadhan mereka melaksanakan dengan bersungguh. Mereka tidak mempersiapkan diri sebelum menghadapi Ramadhan. Akibatnya apabila berlalunya beberapa waktu dari hari-hari Ramadhan mereka akan kehilangan arah. Semangat untuk melakukan ibadat pudar sepudar kekenyangan yang mereka makan pada waktu berbuka. Mereka ini berlebih-lebih dalam bulan Ramadhan sama ada berbelanja atau persedian untuk menyambut Syawal pula. Kepenatan mereka menyebabkan Ramadhan mereka hambar dan tidak sabar-sabar menanti tibanya Syawal. Mereka inilah yang apabila di awal Ramadhan memenuhi masjid-masjid untuk bersolat Terawih tetapi semakin berlalu Ramadhan masjid akan berkurangan bilangan Jemaah kerana mereka. Akhirnya mereka melalui Ramadhan seperti tahun-tahun sebelumnya. Niat mereka untuk menjadikan Ramadhan tahun itu sebagai yang terbaik akhirnya tidak kesampaian melalui amal.

Ketiga: Golongan ini tidak suka dengan kedatangan Ramadhan. Pada mereka Ramadhan meresahkan. Mereka akan menzahirkan kebencian mereka terhadap Ramadhan sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mereka mencari alasan untuk tidak berpuasa apatah lagi untuk melakukan amalan-amalan sunat yang lain. Goloangan ini menganggap Ramadhan seperti penjara yang membataskan aktiviti mereka. Mereka adalah golongan yang tidak berjaya.

Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi di dalam kitabnya yang berjudul "Fiqh as-Siyam" (Fiqh Puasa) menjelaskan ada tujuh hikmah dan maslahat Allah SWT mensyariatkan amalan puasa Ramadhan. Hikmah-hikmah tersebut ialah:

1. Pembersihan jiwa dengan mentaati perintah Allah SWT dan meninggalkan larangannya serta menjadikan ibadat sempurna. Semua itu kerana umat Islam menunaikan ibadat puasa dengan meninggalkan keinginan syahwat mereka daripada makan, minum, jima' dan perkara-perkara lain yang ditegah. Allah SWT berfirman di dalam hadis qudsi akan hal orang-orang berpuasa mafhumnya: "Setiap amal anak adam baginya kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu bagi aku dan akulah yang akan mengganjarinya."

2. Para ahli perubatan mengakui dengan berpuasa akan menyeimbangi kesihatan badan.

3. Melalui berpuasa akan mentarbiyah dan mujahadah diri, mempertingkatkan kesabaran dan menjadikan dirinya mampu menginggalkan maksiat.

4. Ibadat puasa boleh menundukkan nafsu syahwat. Ini bertepatan dengan saranan Nabi SAW kepada golongan "shabab" (pemuda) yang tidak berkemampuan untuk berkahwin supaya berpuasa kerana ia menundukkan syahwat kepada wanita.

5. Memperlihatkan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada makhluknya. Ini dikesani dengan kelaparan mengingatkan nikmat kenyang, dahaga kepada nikmat mendapati air.

6. Hikmah dari segi sosial ialah: Puasa Ramadhan mampu memaksa setiap umat Islam merasai lapar sekalipun mereka mampu untuk menyediakan makanan maka Allah menyamaratakan di antara mereka supaya yang kaya merasai sebagaimana yang dirasai oleh yang fakir atau golongan yang dideritakan dengan kelaparan.

7. Hikmah terpenting yang menghimpunkan kesemuanya ialah ketaqwaan manusia menerusi ibadat puasa. Sesungguhnya puasa Ramadhan adalah madrasah mutamayyizah (pembezaan) yang dikurniakan Allah setiap tahun sebagai tarbiyah kepada manusia. Maka sebaik-baik puasa adalah sebagaimana yang disuruh oleh Allah. Bagi golongan yang mengikut suruhan tersebut mendapat keuntungan yang sangat besar. Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA dari Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan keimanan dan kesungguhan mengampuni Allah akan dosa-dosanya yang telah lalu... dan barangsiapa yang mendirikan (menghidupkan amalan-amalan) Ramadhan dengan keimanan dan kesungguhan Allah ampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Muttafaqun alaih).

Ibadat puasa difardhukan oleh Allah SWT seiring selepas kefardhuan jihad fi sabilillah (berperang) selepas hijrah ke Madinah iaitu pada tahun kedua hijrah. Berlainan ibadat solat, ia difardhukan dalam peristiwa isra' mi'raj selepas 10 tahun Baginda Nabi SAW diangkat sebagai rasul. Namun begitu Al-Qardhawi berpendapat ibadat puasa difardhukan sebagaimana sunnah pensyariatan yang lain secara bertadarruj (berperingkat) iaitu menerusi dua marhalah.

Marhalah pertama selepas turunnya ayat 183-184: Al-Baqarah umat Islam pada masa tersebut diberi pilihan sama ada mengekalkan puasa atau berbuka dengan dikenakan fidyah. Manakala marhalah kedua ialah selepas turunnya ayat 185 dari surah yang sama mengilzamkan puasa serta menasakhkan hukum pilihan yang merupakan rukhsah kepada umat Islam pada ketika itu.

12 November 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1