Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

PALOH: KECELARUAN HIDUP ZAMAN PERANG

Oleh: Akhi Masrawi

FILEM PALOH merupakan salah sebuah filem yang telah mengungkitkan persepsi saya terhadap senario yang berlaku di tanahair seputar zaman perang. Paloh telah berjaya menggambarkan situasi era Jepun hampir menyerah kalah. Berpandukan suara naratif Osman (Gibran Agi) memegang watak seorang penulis (sebelumnya pernah terlibat sebagai anggota komunis) yang berkahwin dengan Azizah (Ani Mayuni) - kakak kepada Ahmad (Nam Ron) penonton diajak berfikir mendalami situasi yang diterjemahkan pada waktu tersebut.

Betapa kecelaruan yang cuba diterapkan menerusi Paloh berjaya digarap dengan baik oleh Sutradara Adman Salleh. Saya kira Paloh bercelaru kerana temanya juga adalah sebuah kecelaruan hidup. Pun begitu kecelaruan itulah yang memberikan Paloh nafas sebagai satu lagi produk filem Melayu yang berkualiti. Namun sentuhan 'tukang-tukang' di sebalik tabir juga tidak boleh dinafikan.

Saya kira - Paloh adalah sebuah filem yang baik. Sebelum ini saya juga sempat menonton filem Leftenan Adnan dan Embun yang saya kira seiring temanya dengan Paloh. Cuma bezanya Leftenan Adnan menampilkan penentangan British dan askar Melayu terhadap Jepun yang menyerang Malaya, manakala Embun mengisahkan kehidupan masyarakat pada era pemerintahan Jepun. Kesengsaraan yang dihadapi dalam Embun seolah diteruskan menerusi Paloh seraya kemunculan Parti Komunis Malaya (PKM) yang menentang Jepun pada waktu tersebut.

Saya sering memujuk diri saya supaya menggemari sejarah sejak di bangku sekolah lagi. Ini kerana menerusi sejarah kita akan kenal keadaan orang-orang yang lebih dahulu daripada kita seterusnya mengambil iktibar untuk menjadi lebih baik daripada mereka.

Dalam Paloh orang-orang Cina diperlihatkan memainkan peranan yang besar dalam Komunis. Gelombang kebangkitan orang-orang Cina bukan hanya semata-mata dengan menentang Jepun tetapi sebagai kesinambungan untuk menguasai Malaya. Siapa yang boleh lupa sejarah Bintang Tiga menghancurkan Bukit Kepong?

Pada pandangan saya Komunis di Malaya tidak semata-mata diwakili bangsa Cina. Nama-nama seperti Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh dan beberapa nama Melayu yang turut terlibat dengan Komunis tidak boleh diabaikan untuk memperlihatkan betapa memang wujud kecelaruan hidup dan pemikiran pada masa tersebut. Santak segelintir orang-orang Melayu sendiri tidak memilih tapak perjuangan mereka yang sepatutnya.

Satu persoalan yang cuba dibangkitkan di dalam Paloh, kenapa watak Arifin Nor (Samad Salleh) digambarkan seorang yang berilmu dan warak akhirnya memilih untuk berjuang bersama Komunis? Apakah Paloh memang sengaja dicipta untuk memburukkan imej pejuang Melayu Islam untuk memerdekakan tanahairnya menerusi cara yang salah? Ini bertitik tolak ketidak selarasan antara faham yang dibawa Komunis dengan praktik yang dianjurkan Islam. Komunis menolak keTuhanan, sedangkan Islam tidak. Kalaulah begitu, mengapa perlunya dijelmakan watak Arifin Nor sebegitu? Mungkin ada yang beranggapan dengan pelbagai andaian. Mungkin juga kerana untuk memperburukkan pejuang kemerdekaan yang menentang penjajahan di mana perjuangan mereka kerana kefahaman tentang jihad. Saya perhatikan beberapa kali Arifin Nor mengungkapkan tentang Jihad dan kematian yang bermakna. Tetapi kefahaman itu bercanggah dengan praktik watak tersebut. Ini menambah kecelaruan.

Walaupun begitu, saya tidak mengganggap pembikinan Paloh sengaja dicacatkan. Mungkin...pada saya, situasi pada masa tersebut sedikit sebanyak telah mendesak orang-orang seperti Arifin Nor menyokong Komunis. Mereka menyokong Komunis bukan kerana mereka menganut faham yang dibawa Komunis, tetapi mereka menyokong Komunis kerana pada mereka Komunis menentang Jepun (penjajah) dan membela tanahair. Dalam masa yang sama mereka tidak mempunyai medan dan wasilah untuk berjuang. Sekiranya takwilan saya ini betul... Arifin Nor dan pengikutnya telah salah memilih cara perjuangan kerana meski kesempitan dan situasi adalah lebih wajar berjuang bukan atas nama komunis sekalipun untuk menentang penjajah.

Tidak hairanlah jika dailog yang dilafazkan oleh Arifin Nor (Samad Salleh) perlu ditegur oleh ibu Fatimah (Elly Suriati) bagi meneutralkan pemikiran penonton dan tanggapan terhadap watak Arifin Nor. Dia seorang Melayu Islam yang mempunyai faham yang baik tetapi mungkin kebenciannya terhadap penjajah (Jepun dan British) serta memalitkan kebencian tersebut terhadap Puteh (lelaki yang berkawan dengan Fatimah) kerana berkerja sebagai polis Jepun.

Watak-watak di dalam filem Paloh sememangnya bercelaru dan bermasalah. Ahmad (Nam Ron) pada saya berjaya melakonkan wataknya dengan baik meski pertama kali diberi kepercayaan memegang teraju utama. Sebagai seorang anak muda Melayu Melaka yang membawa diri ke Paloh kemudian jatuh cinta dengan Siew Lan (Janet Khoo) semasa berkerja sebagai seorang polis Jepun. Siew Lan pula seorang yang tidak punya pilihan apa-apa dalam kehidupan, sehingga terpaksa mengikut sahaja apa yang disuruh buat. Percintaan di antara mereka berkembang dengan agak keterlaluan. Adegan 'buka-buka baju' dan pra-adegan ranjang adalah klimaks cinta mereka. Saya berfikiran kontra terhadap hal ini. Tetapi jika difikirkan semula... ada kemungkinan hal seumpama itu terjadi pada masa tersebut. Ini meyakinkan saya bila teringat pernah membaca novel-novel yang mengemukakan penceritaan zaman perang tidak melupakan hal percintaan seksual seumpama itu. Entahlah buat saya yang hidup bukan pada zaman tersebut. Namun, pada saya sekiranya adegan-adegan seumpama itu ditiadakan langsung tidak akan merosakkan mutu filem tersebut.

Apa yang menghibakan ialah kematian Puteh apabila pos polis Paloh diserang komunis untuk mendapatkan bekalan senjata. Kematian Puteh membuatkan Ahmad hilang pertimbangan pada janji-janji Ah Meng, ayah Siew Lan yang berkompromi dengan komunis. Malah kenapa pada masa serangan Ahmad sengaja telah diajak Siew Lan ke Kluang juga seolah menggambarkan penyerangan ke pos Paloh telah dirancang dan diketahui oleh Siew Lan. Nyata penglibatan Siew Lan dan keluarganya sebagai komunis.

Paloh sedikit sebanyak telah menjernihkan tanggapan saya terhadap orang yang berkerja dengan Jepun pada zaman Jepun. Kalau sebelum ini golongan ini pada saya tak ubah seperti 'barua Jepun' tetapi setelah menonton Paloh ia menggambarkan bahawa satu kenyataan kehidupan betapa orang Melayu tempatan memang perlu berkerja dengan Jepun pada masa tersebut. Jikalah Jepun tidak menyerah kalah pada 1945 kemungkinan kita akan merdeka dari Jepun dan pentadbiran akan menyerupai Jepun. Tetapi Briting datang semula dan kita merdeka dari tangan 'Orang Putih'.

Pada saya filem seperti Paloh wajar ditonton untuk melihat kecelaruan hidup generasi sebelum kita pada zaman perang. Kita yang dilahirkan pasca peperangan tamat ini... mungkin tidak akan mengetahuinya semua. Kita hanya akan tahu sekiranya kita bersedia untuk mempelajarinya. Tidak kiralah bagaimana cara pelajaran itu disampaikan, asalkan ilmunya tersebar.

Justeru Paloh sengaja meninggalkan beberapa tanda tanya yang perlu difikirkan. Kesudahan filem ini juga tidak sempurna. Memang rasanya sengaja dibiarkan begitu... kerana mungkin Adman Salleh beranggapan biarlah khalayak penonton yang membuat kesimpulan. - TAMAT

09 November 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1