Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Relevankah Merotan Pelajar?

Oleh: Akhi Masrawi

(Respon Catatan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang tersiar di harakahdaily.net pada 8 Oktober 2003)

SAYA amat tertarik dengan tulisan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat bertajuk: "Kalau boleh rotan, apa salahnya merotan atas nama hudud" yang tersiar di laman Harakahdaily.net 8 Oktober lalu. Antara lain Tuan Guru menyebut bahawa kebanyakan akhbar melaporkan keyakinan orang ramai terhadap arahan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia membolehkan guru merotan murid.

Sebenarnya saya amat berminat untuk menulis seputar isu pendidikan. Sebelum ini saya telah memberikan respon terhadap tulisan Subky Latif yang bertajuk "Pelajaran seks bakal jadi peninggalan Dr Siti Hasmah" menerusi artikel saya yang bertajuk: "Wajarkah Pelajaran Seks?" yang tersiar di Harakahdaily.net pada 17 September 2003. Dalam tulisan saya itu, satu konklusi telah dilontarkan bahawa buat masa ini pelajaran seks tidak relevan diajarkan di Malaysia.

Perlukah untuk saya melontarkan persoalan, di manakah relevannya merotan pelajar? Saya tidak menolak tanggapan bahawa merotan adalah salah satu cara mendidik orang yang melakukan kesalahan. Ini dibuktikan melalui sebatan dalam hukuman hudud. Namun, setelah mengamati tulisan Tuan Guru Nik Aziz itu bukanlah merotan pelajar atau sebatan di dalam hukuman Hudud yang hendak ditimbulkan, tetapi sejauh mana sebenarnya sistem pendidikan di Malaysia berperanan mendidik dan mentarbiyah para pelajar supaya menjadi insan yang berakhlak dan diimpikan.

Walaupun Tuan Guru menyatakan bahawa manusia pasti akan kembali kepada saranan Islam apabila mereka merasakan tindakan yang mereka amalkan tidak lagi mampu untuk mengharmonikan kehidupan. Namun saya tidak meletakkan persepsi bahawa arahan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia itu adalah untuk menggambarkan bahawa merotan adalah tindakan yang paling relevan di sekolah dan bertujuan hendak kembali kepada asas pendidikan Islam menerusi saranan merotan anak yang berumur 10 tahun sekiranya mereka meninggalkan solat.

Jika dilihat kepada budaya merotan pelajar, sebenarnya cara ini telah diamalkan sejak dahulu kala lagi. Jika tidak masakan generasi tua sering bercerita betapa garangnya guru-guru pada zaman di mana mereka belajar dan rotan adalah lumrah di kelas dan sekolah. Jika terdapat kesilapan atau kesalahan yang dilakukan pastinya hukuman rotan akan dikenakan. Perkara ini berlarutan dan dibudayakan sehingga ada ibu bapa yang secara rela dan redha memberikan kebenaran kepada guru-guru yang mengajar anak mereka untuk dirotan sekiranya melakukan kesalahan.

Saya sendiri pernah melalui zaman persekolahan selama hampir 12 tahun. Generasi sezaman dengan saya mungkin agak 'bertuah', kerana semasa zaman saya belajar ada beberapa kes guru merotan pelajar sehingga menyebabkan kecederaan yang dilaporkan di media perdana dan akibatnya tindakan merotan itu dianggap tidak relevan. Malah guru-guru yang terlibat didakwa oleh ibu bapa. Kesannya guru-guru diancam rasa takut untuk merotan pelajar dan pelajar mengetahui hilangnya kuasa guru yang kemudiannya mencambahkan budaya hedonisme di sekolah-sekolah terutama sekolah menengah.

Alam remaja adalah alam peralihan yang sangat mencabar. Ini kerana pada era inilah pengawasan longgar ibu bapa terhadap anak-anak akan menyebabkan anak-anak mencari alternatif hiburan yang menghanyutkan mereka. Semangat ingin mencuba dan mengetahui sangat tinggi terhadap anak-anak pada usia remaja. Saya ingin melontarkan persoalan, berapa lamakah kehidupan seorang pelajar bersama guru-gurunya di sekolah? Dan berapa lama pula kehidupan seorang anak bersama ibu bapanya di rumah?

Tuan Guru menyebut wujudnya budaya hedonisme dan kongsi gelap di beberapa sekolah di tanahair, persoalan saya siapakah yang harus dipersalahkan? Oleh sebab saya tidak mahu melihat ada tuding-menuding di kalangan masyarakat, maka saya menyarankan penelitian yang lebih tajam terhadap sistem pendidikan Malaysia perlu dikaji semula. Oleh sebab itu kerajaan BN perlu melihat saranan ini dengan berlapang dada lantaran kegagalan sistem pendidikan akan memusnahkan falsafah pendidikan negara serta falsafah pendidikan Islam sekaligus gagal untuk melahirkan generasi yang diimpikan.

Di manakah kebenaran dakwaan yang mengatakan sistem pendidikan di Malaysia mempunyai keistimewaan tersendiri? Perlu diingatkan semenjak negara kita mencapai kemerdekaan sehingga kini konflik pendidikan tidak pernah selesai. Bermula semenjak Parti Perikatan (Gabungan antara UMNO, MCA dan MIC) memenangi pilihanraya pertama 1955 yang kemudiannya menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji soal pendidikan dipengerusikan oleh Tun Razak yang merupakan Menteri Pendidikan ketika itu dan melahirkan Penyata Razak 1956 yang menjadi asas kepada Ordinan Pelajaran 1957 atau lebih awal daripada itu sistem pendidikan kita masih lagi gagal.

Perkara terpenting yang terkandung di dalam Penyata Razak ialah semua sekolah diarahkan menggunakan sukatan pelajaran yang sama serta menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mencapai perpaduan kebangsaan. Selepas pilihanraya kedua 1959 Penyata Razak telah dikaji semula oleh satu jawatankuasa di bawah pimpinan Rahman Talib. Kemudian lahirlah Laporan Rahman Talib 1960 yang memperkuatkan lagi Penyata Razak 1956 dan menjadi asas Akta Pelajaran 1961 dan Dasar Pelajaran Kebangsaan (DPK).

Walaupun kedua-dua tindakan yang dinyatakan itu mempunyai keistimewaan tersendiri bagi menggubal sistem pendidikan Malaysia, namun perlu diingati kegagalan sistem pendidikan adalah berpunca dari kegagalan kerajaan yang memerintah iaitulah kerajaan Perikatan yang kemudiannya Barisan Nasional (BN). Satu bukti yang boleh dibawa ialah pada 13 Mei 1969 sejarah telah mencatatkan peristiwa tragedi berdarah walaupun perpaduan kebangsaan telah diwar-warkan menerusi sistem pendidikan. Ini menunjukkan kepada rakyat Malaysia perpaduan yang dianjurkan oleh kerajaan menerusi bahasa dan pendidikan gagal. Kegagalan sistem pendidikan tersebut adalah disebabkan kerajaan terlalu mementingkan perkara-perkara yang lain seperti pembangunan dan ekonomi.

Hal ini dibuktikan dengan pemansuhan Akta Pelajaran 1961 apabila pada tahun 1996 lulusnya Rang Undang-undang yang menjadi Akta Pendidikan 1996, Akta Universiti dan kolej Universiti 1996 (pindaan), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996, Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 dan kemudiannya Akta Lembaga Akreditasi Negara 1996. Walaupun kedapatan perubahan namun ianya masih tidak menyeimbangi sistem pendidikan Malaysia yang mempunyai keistimewaan tersendiri itu.

Ini menjelaskan lagi bahawa Kerajaan Barisan Nasional sebenarnya telah gagal mentadbir sistem pendidikan di Malaysia yang sedia ada serta tidak mampu menggubal sistem pendidikan yang lebih baik demi untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang diingini.

Ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka menjadi insan yang diimpikan mestilah berusaha mentarbiah anak-anak mereka dengan berkesan. Usaha ini tidak bermula setelah anak-anak itu rosak. Sekiranya ibu bapa tersebut tidak menggunakan cara dan sistem yang betul sudah tentu pentarbiahan terhadap anak-anak mereka juga tidak ke mana-mana.

Di dalam Islam melahirkan zuriat dan anak yang soleh menjadi harapan ibu bapa, tetapi anak-anak yang soleh tidak akan lahir sekiranya pendidikan yang disuapkan kepada anak-anak tidak sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam itu sendiri. Ternyata Islam adalah agama agama yang syumul dan meliputi segenap aspek kehidupan.

Manusia itu hakikatnya dilahirkan secara fitrah dan fitrah mereka tidak boleh dihalang. Antara fitrah manusia ialah mahukan kebaikan. Justeru dalam hal pendidikan manusia juga mahukan pendidikan yang terbaik.

Merotan pelajar barangkali relevan dengan sistem pendidikan yang sedia ada sebagai salah satu cara mendidik pelajar. Sekurang-kurangnya ia mampu menghapuskan hedonisme di sekolah-sekolah. Tetapi andai sekiranya sistem pendidikan itu mampu diubah kepada sistem yang lebih baik dengan menerapkan kefahaman kepada para pelajar apakah memungkinkan lagi untuk mereka dirotan? Hakim tidak akan menjatuhkan hukumah (hudud, qisos dan taazir) kepada orang yang tidak melakukan kesalahan, begitulah juga tidak relevan guru merotan pelajar yang tidak bersalah.

Sistem pendidikan boleh diubah. Persoalannya sama ada kerajaan yang memerintah sekarang mengubahnya, atau rakyat Malaysia mengubah kerajaan untuk mengubah sistem pendidikan! - TAMAT

11 Oktober 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1