Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan Isra' Mi'raj (siri-3)

Oleh: Akhi Masrawi

Pada pagi hari selepas peristiwa isra' dan mi'raj baginda SAW bersendirian kerana memikirkan penentangan yang bakal diterima dari kafir Quraish. Dukanya ditambah dengan kehadiran Abu Jahal yang datang mengejeknya sambil berkata: "Wahai Muhammad! Adakah ada cerita baru pada hari ini? Lantas Baginda Nabi SAW menceritakan bahawa semalam baginda telah diisra'kan ke Baitil Maqdis dan diangkat ke langit. Abu Jahal kemudian menjawab: "Wahai Muhammad, adakah sekiranya aku himpunkan kesemua Kaum Quraish akan kau ceritakan sebagaimana apa yang kau khabarkan kepadaku?" Nabi menjawab: "Ya."

Abu Jahal sebenarnya hanyalah ingin mempersendakan Nabi SAW. Apabila dihimpunkan kaum Quraish dan Nabi disuruh menceritakan sengaja Abu Jahal memotong percakapan Nabi SAW seraya mengejek dan bertanya kepada kaum Quraish berapakah lama masa yang diambil untuk perjalanan ke Baitul Maqdis. Maka mereka menjawab sebulan perjalanan pergi dan sebulan perjalanan pulang.

Sambil itu bangun seorang lelaki seraya berkata: "Wahai Muhammad! Aku adalah orang yang paling mengetahui selok-belok Baitul Maqdis. Sekarang beritahulah kepadaku bagaimana binaannya, persekitarannya dan jawaknya dengan bukit yang terhampir."

Maha suci Allah yang Maha berkuasa telah menggambarkan keadaan Baitil Maqdis seperti berada di depan Baginda SAW. LaluBaginda menjawab segala persoalan dan menerangkan keadaan masjidil Aqsa tersebut. Maka berkatalah lelaki yang bertanya kepada Nabi SAW: "Sodaqta, faqad sodaqa Muhammad fi ma qa la" (Benarlah apa yang dikatakan Muhammad, sesungguhnya benarlah apa yang diperkatakan Muhammad)."

Lalu berita itu dibawa kepada Abu Bakar As-Siddiq dengan niat supaya Abu Bakar mendustakannya. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila Abu Bakar berkata: "Jika yang berkata sedemikian adalah Muhammad maka aku mempercayainya. Dan aku percaya sekiranya Muhammad menceritakan perjalanan yang lebih jauh daripada itu kerana kami sentiasa percaya perkhabaran dari langit."

Abu Jahal yang tidak berpuas hati mendesak baginda SAW supaya menyatakan bukti-bukti dan tanda-tanda perjalanannya ke Baitil Maqdis. Baginda SAW menceritakan dalam perjalanannya Baginda telah bertemu dengan satu kabilah Arab yang sedang dalam perjalanan menuju ke Makkah membawa barang-barang dagangan dan kabilah itu akan sampai pada hari itu juga. Mereka menunggu kedatangan kabilah tersebut. Setibanya kabilah itu pada waktu tengahari maka mereka bertanya tentang  apa yang diceritakan oleh Muhammad. Kabilah itu menyatakan bahawa semalam mereka telah bertemu dengan Muhammad SAW yang menunjukkan tempat unta mereka hilang membukti kebenaran apa yang diceritakan oleh Nabi SAW.

Akhirnya Abu Jahal kematian hujah untuk mendustakan dan mempersendakan cerita Isra' Mi'raj nabi SAW walaupun beliau enggan mempercayainya dan mengatakan ianya hanyalah sihir muhammad SAW.

bersambung... (catatan peristiwa yang dialami oleh Rasulullah SAW sebelum dan semasa isra')

9 Oktober 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1