Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan Isra' Mi'raj (siri-2)

Oleh: Akhi Masrawi

Kemudian Nabi SAW dibawa melihat syurga. Baginda taajub. Kemudian Jibril AS berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menjanjikan kepada hamba-hambaNya yang soleh satu anugerah (syurga) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terlintas di dalam hati manusia akan kelazatan dan keindahannya."

Tiba-tiba nabi terpandang seorang perempuan cantik yang menyambut kedatangan Baginda lalu bertanyalah Nabi SAW kepada perempuan itu "siapakah kamu?". Jawab perempuan itu, "aku dijadikan untuk Zaid bin Harithah."

Kemudian Nabi meneruskan perjalanan dan dilihannya tiga batang sungai. Sebatang sungai mengalir di dalamnya susu yang enak. Sungai kedua mengalir arak yang tidak memabukkan peminumnya dan sungai ketiga mengalir di dalamnya madu yang lazat. Selain itu nabi juga diperlihatkan beberapa kejadian lagi antaranya kubah yang ditempa dari batu permata dan burung hijau yang berterbangan. Nabi SAW juga diperlihatkan neraka dan bertemu dengan malaikat yang menjaga pintu neraka.

Nabi kemudiannya dibawa ke sidratil muntaha kawasan diliputi awan yang tebal. Nabi bersendirian meneruskan perjalanan tanpa ditemani Jibril. Di sidratil muntaha Nabi diperlihatkan seorang lelaki yang melintasi baginda lalu terdetik dihatinya siapakah lelaki tersebut. Terdengar ada bisikan yang menjawab kepada Baginda. Diperlihatkan daun sidratil Muntaha terdapat 70,000 malaikat pada setiap daun dan bilangan daun hanya Allah yang mengetahui.

Pada malam itu Nabi SAW telah berbicara dengan zat Allah SWT. Pendapat ini harus di sisi Ahli Sunnah Wal-Jamaah khilaf di sisi Muktazilah.

Telah bersabda Baginda SAW:

"Wahai Tuhanku, Sesungguhnya Engkau telah mengambil Ibrahim sebagai kekasihmu dan memberikan kepadanya kerajaan yang besar, Engkau berkata-kata kepada Musa, menganugerahkan kepada Daud kerajaan yang besar dan membolehkannya melembutkan besi dan menguasai gunung-ganang, Engkau anugerahkan kepada Sulaiman kerajaan yang besar dan boleh menguasai jin, manusia dan syaitan, Engkau memberikannya dapat menguasai angin dan kerajaan yang tidak Kau berikan kepada sesiapa selepasnya, Engkau mengajarkan kepada Isa Taurat, Injil dan membolehkannya menyembuhkan penyakit kusta dan sopak, menghidupkan orang yang telah mati dengan izinMu, menghindarkan Isa dan Ibunya daripada Syaitan yang direjam dan tiada jalan bagi syaitan untuk mempengaruhi mereka berdua."

Kemudian berfirman Allah SWT:

"Demi sesungguhnya Aku telah menjadikan Engkau kekasih yang termaktub dalam Kitab Taurat. Aku mengutuskan engkau kepada semua manusia sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan, Aku menerangkan dadamu, Aku menjadikan umatmu sebagai umat yang telah dikeluarkan di kalangan manusia, Aku menjadikan umat pertengahan, Aku menjadikan umatmu mereka yang terawal dan terakhir dan aku tidak menerima penyaksian mereka selagi mereka tidak memberikan penyaksian bahawa aku sebagai Tuhan dan engkau sebagai utusanKu, Aku memberikan kepadamu "Sab'ul Masani" yang tidak aku kurniakan kepada Nabi sebelummu, Aku anugerahkan kepadamu penutup surah Al-Baqarah daripada gedung simpanan di Arasy yang tidak aku berikan kepada Nabi sebelummu, Aku berikan keapadamu al-Kauthar dan lapan pemberian iaitu: Islam, Hijrah, Jihad, Solat, Sedekah (Zakat), Puasa di bulan Ramadhan, Amar makruf Nahi mungkar dan aku menjadikanmu permulaan dan kesudahan."

Maka jawab Baginda SAW:

"Tuhanku telah melebihkan aku dengan enam perkara: memberikan aku pembuka bicara dan penutupnya dan perhimpunan hadis, diutuskan aku kepada semua manusia sebagai pemberi khabar gembira dan peringatan, meletakkan di hati musuh-musuhku rasa gerun sebulan perjalanan, menghalalkan kepadaku harta rampasan perang (al-ghanimah) sedangkan diharamkan kepada nabi-nabi sebelumku, dijadikan bumi ini bersih dan tempat sujud."

Kemudian Nabi SAW menerima kefardhuan solat 50 waktu ke atas umat Islam. Nabi turun dan disambut oleh Jibril AS dan meneruskan perjalanan sehingga sampai ke langit keenam dan disambut oleh Nabi Musa AS seraya bertanya: "Apa yang telah difardhukan Tuhanmu kepada umatmu?" Lalu dijawab Nabi SAW dengan 50 waktu solat. Maka berkata Musa AS "Kembalilah kepada Tuhanmua dan mohonlah keringanan/pengurangan."

Lalu atas permintaan Musa, Nabi SAW naik semula dan memohon pengurangan lalu dikurangkan menjadi 40 waktu. Baginda turun dan dintanya oleh Musa lagi. Baginda menjawab dengan 40 Waktu lantas disuruh lagi untuk meminta dikurangkan. Maka telah berkata Musa AS: "Kembalilah kepada Tuhanmu dan mohonlah keringanan kerana umatmu selemah-lemah umat dan aku telah ditemukan dengan Bani israel yang lebih kuat dan gagah (tetapi enggan melaksanakannya)."

Lalu berulang-aliklah Baginda SAW menemui Allah SWT sehinggalah asal kefardhuan 50 waktu diringankan menjadi 5 waktu. Ketika bertemu semula dengan Musa AS Baginda diminta supaya meminta dikurangkan lagi. Bersabda Nabi SAW: "Sesungguhnya aku telah meminta-minta sehingga aku terasa malu akan tetapi aku redha dan menerimanya..."

Kemudian Baginda SAW turun ke Baitul Maqdis dan seterusnya kembali ke Baitullah (Masjidil Haram) di Makkah.

Lihatlah betapa kefardhuan asal solat 50 waktu telah diringankan oleh Allah SWT menjadi 5 waktu sahaja sehari semalam. Maka perlulah bermuhasabah sejauhmana telah ditunaikan kewajipan tersebut. Apakah telah benar-benar menjaga waktu-waktu dan solat tersebut. Tepuklah dada, tanya iman!

Bersambung siri 3 (InsyaAllah)

5 Oktober 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1