Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Catatan Isra' Mi'raj

Oleh: Akhi Masrawi

SEWAKTU menghadiri solat Jumaat pada hari ini, Khatib  yang berkhutbah menyentuh seputar kepentingan menjaga solat dan diselitkan peristiwa isra' mi'raj Nabi SAW bertemu Allah SWT menerima kefardhuan solat. Saya teringat akan peristiwa tersebut. Setiap kali membacanya semula, air mata pasti mengalir.

Peristiwa isra' Baginda SAW terakam di dalam Al-Quran al-Karim dalam surah al-Isra' ayat pertama. Isra' bererti berjalan malam iaitu perjalanan Rasulullah SAW ditemani Malaikat Jibril AS dari Baitullah di Makkah ke Masjidil Aqsa di Jerussalem, Palestin. Dengan kesucian Allah SWT diangkatNya pula Baginda SAW ke Sidratil muntaha melepasi tujuh lapisa langit. Walaupun berlaku perselisihan pendapat samaada hanya ruh atau ruh dan jasab Nabi SAW diangkat ke langit, bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan oleh Allah SAW terhadap makhlukNya. Tambahan pula Baginda SAW adalah merupakan kekasih Allah SWT. Peristiwa ini wajar diketahui oleh kesemua umat Islam berserta pengajarannya. Betapa mukjizat Nabi SAW mampu isra' dan mi'raj (dari Makkah ke Palestin dan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha dan pulang ke Makkah) hanya dalam jangkawaktu satu malam sahaja.

Hari ini jika kita lihat, belum lagi ada rekod yang dicipta oleh manusia naik ke bulan atau menjelajah angkasaraya dengan tempoh yang singkat sebagaimana yang pernah berlaku kepada baginda SAW. Malah terpaksa memakan masa yang lama, walaupun dengan menggunakan teknologi yang paling canggih. Betapa kekuasaan Allah SWT yang ditunjukkan lebih 1400 tahun yang lalu belum mampu ditandingi mana-mana makhluk.

Ketika Nabi SAW tiba di Baitul Maqdis, Baginda menunaikan solat dengan dimakmumi oleh sekalian para nabi dan rasul sebelumnya (ruh). Kemudian setiap mereka diperkenalkan kepada Baginda SAW sehinggalah tiba giliran Baginda. Maka berkatalah baginda SAW:

"Setiap kamu memuji kebesaran Tuhanku dan aku juga memuji kebesaranNya. Segala puji bagi Allah yang telah mengutuskan aku sebagai rahmat kepada seluruh alam dan dibangkitkan kepada seluruh manusia sebagai memberikan khabar gembira dan peringatan. Diturunkan kepadaku Al-Quran yang di dalamnya terkandung keterangan mengenai tiap-tiap sesuatu. Dijadikan kepadaku sebaik-baik umat yang dikeluarkan di antara manusia dan dijadian umatku umat yang pertengahan dan dijadikan umatku terawal dan terakhir, dilapangkan dadaku dan diletakkan kepadaku tanggungjawab dan dijadikan aku sebagai permulaan dan kesudahan."

Kemudian baginda SAW dimi'rajkan ke langit pertama. Apabila tiba, maka Jibril AS meminta malaikat penjaga langit pertama membuka pintu langit. Lantas malaikat penjaga pintu langit pertama pun bertanya: "Siapakah bersamamu?" Jibril menjawab: "Muhammad SAW." "Apakah dia dilantik menjadi rasul," soal malaikat itu lagi lalu diiyakan oleh Jibril AS. Maka berkatalah malaikat itu: "Selamat datang wahai utusan Allah, semoga Allah memanjangkan usiamu sebagai khalifah Allah di muka bumi."

Kemudian Rasulullah SAW dibawa masuk dan diperlihatkan seorang lelaki yang sempurna kejadiannya iaitu Adam AS. Di kanannya terdapat pintu yang keluar darinya bau yang harum, setiap kali dia memandang pintu itu dia tersenyum. Manakala di kirinya terdapat pintu yang keluar darinya bau yang busuk, setiap kali dia terpandang dia akan menangis dan hiba. Lalu baginda SAW bertanya kepada Jibril "apakah kedua pintu itu?" Jibril menjawab adalah pintu yang kanan itu pintu syurga dan pintu di kiri itu ialah pintu neraka. Kemudian Baginda SAW dipertemukan dengan Nabi Adam AS. Maka berkatalah Adam AS: "Selamat datang wahai anak yang soleh dan Nabi yang soleh." Di langit dunia ini Nabi SAW melihat dua batang sungai di bumi. Jibril memberitahu bahawa sungai itu ialah Nil dan Furat.

Nabi kemudiannya dibawa ke langit yang kedua dan berulang kembali persoalan-persoalan malaikat penjaga langit kedua sebagaimana malaikat langit pertama bertanya. Sehinggalah dibukakan pula pintu langit kedua. Di langit kedua Baginda SAW dipertemukan dengan dua orang Nabi Allah iaitu Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS. Lalu Nabi memberikan salam dan dijawab keduanya. Pernah Nabi memberitahu para sahabatnya bahawa wajah Isa AS mirip wajah Abu Urwah As-Saqafi.

Lalu Nabi SAW dibawa pula ke langit yang ketiga. Di sini Baginda dipertemukan seorang lelaki yang indah rupa parasnya dikelilingi oleh kaumnya. Lantas bertanya kepada Jibril AS. Maka Jibril menawab "itulah saudaramu, Yusuf AS." Nabi memberi salam kepadanya dan Yusuf AS mendoakan kebajikan kepada Baginda SAW. Di langit yang keempat Baginda dipertemukan dengan Nabi Idris AS. Di langit kelima baginda dipertemukan dengan Nabi Allah Harun AS yang sedang dikelilingi oleh kaumnya sambil mendengar cerita daripadanya. Kemudian di langit yang keenam dipertemukan pula dengan Nabi Musa AS yang dikelilingi oleh kaumnya memenuhi pelusuk langit. Sebagaimana nabi-nabi sebelumnya Baginda SAW memberikan salam lalu dijawab oleh Musa AS dan mendoakan kebajikannya sambil menangis. Lalu Baginda SAW bertanya "Mengapakah engkau menangis wahai saudaraku?" Lalu Musa menjawab. "Aku menangis kerana lelaki yang diutuskan selepasku umatnya masuk syurga lebih ramai dari umatku."

Kemudian Nabi SAW dibawa ke langit ke tujuh dan dipertemukan dengan seorang lelaki yang 'putih' rambutnya (beruban) sedang duduk di atas sebuah kerusi yang diperbuat dari emas, sedang mengadap ke baitul Makmur di sisi syurga. Lalu Nabi Muhammad SAW memberikan salam kepadanya dan dijawab kemudian berkata " Selamat datang wahai anakku serta nabi yang soleh, suruhlah umatmu memperbanyakkan buah-buahan syurga. Sesungguhnya syurga amat luas." Nabi bertanya "apakah buah-buahan syurga itu?" Nabi Ibrahim AS menjawab: "Banyakkanlah menyebut:

"La haula wala quwwata illa billahil 'aliyyil 'azim, subhana Allah walhamdulillah Wa la ilaha illa Allah Wa Allahu akbar."

Kemudian setelah beberapa ketika Nabi SAW diperlihatkan dua golongan dari umat baginda berpakaian putih dan hitam. Baginda memasuki baitul makmur dan diikuti oleh umatnya yang berpakaian putih sedang yang berpakaian hitam tertahan dari memasuki baitul Makmur. Kemudian baginda bersolat bersama-sama mereka di baitul Makmur. Setiap hari diriwayatkan terdapat 70,000 malaikat bersolat di situ. Kedudukannya bersetentang dengan kaabah di bumi.

Selepas itu baginda SAW dibawakan arak susu dan madu. Maka baginda telah memilih susu. Berkata Jibril AS: "Kamu telah memilih fitrah (kesucian) kamu dan umatmu di dalam kesucian."

Setelah itu baginda SAW dibawa ke puncak langit ke tujuh. Baginda memandang ke atas dan melihat sidratil muntaha iaitu satu kawasan yang sangat luas melebihi 70 tahun perjalanan belum bertemu kesudahannya. Di dalamnya terdapat empat batang sungai yang mengalir dua darinya adalah Nil dan Furat. Kemudian Nabi dibawa oleh Jibril melawat al-Kauthar. Barangsiapa yang meminum airnya tidak akan dahaga buat selama-lamanya dengan izin Allah. Lalu Bagnda SAW diberi minum air yang sifatnya lebih putih dari susu, lebih manis dari madu dan lebih harum dari kasturi.

Kemudian Nabi SAW dibawa melihat syurga... (bersambung pada catatan akan datang)

3 Oktober 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1