Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Iklim perubahan pemikiran

Oleh: Akhi Masrawi

Hampir setahun yang lalu, ketika seorang kawan bertanya kepada saya mengapa saya menulis? Atau dengan lebih tepat mengapa saya menulis weblog? Saya kira saya telah menjawab dengan tanpa berfikir panjang. Jawapan yang saya lontarkan kepada kartunis muda itu bahawa "saya menulis kerana sekadar mendapatkan kepuasan." Apakah tidak ada cara lain untuk saya mendapatkan kepuasan? Selain menulis?

Ketika itu saya sendiri tidak betul-betul mengerti mengapa saya menulis, atau mengapa saya menulis weblog dan penulisan yang lain? Karya-karya yang telah saya hasilkan ketika itu, apakah saya telah benar-benar mendapat kepuasan melaluinya? Atau kepuasan yang saya inginkan itu sehingga hari ini belum saya temui!

Saya takut andai saya telahpun mendapat kepuasan (yang saya cari) seorang diri, tetapi pembaca-pembaca saya yang membaca karya-karya dan tulisan saya, tidak pula mendapat apa-apa faedah dari hasil penulisan saya itu.

Apabila saya semakin sedar (walaupun memakan masa juga) bahawa fungsi penulisan bukan semata-mata untuk mendapatkan kepuasan atau mencari publisiti bahkan penulisan adalah sebagai mesej yang terpandu, saya mula merasakan penulisan merupakan satu tanggungjawab. Oleh itu saya simpulkan penulisan adalah wasilah untuk menghantar idea, menyampaikan ilmu, memindahkan thaqafah, menggambarkan situasi dan perasaan, mendidik, memaklumkan, memujuk dan menghibur.

Jika mahu mencari publisiti untuk menjadi popular menerusi penulisan saya rasa bidang seni yang lain seperti seni lakon, seni suara, seni pentas dan sebagainya adalah jalan yang sepatutnya. Tetapi tidak dinafikan, awal penglibatan saya naluri membisikkan supaya peluang yang ada wajar digunakan untuk menjadi popular. Semakin dikenali, semakin berpengaruh. Namun itu semua pada saya tidak penting kerana saya beranggapan penulisan adalah wadah interaksi di antara penulis dengan khalayak pembaca bukan wadah untuk menjadi insan popular dipaliti gosip dan kata-mengata.

Barangkali boleh saya katakan penulis yang menulis untuk tidak dibaca adalah golongan yang gagal dan saya tidak mahu menjadi seperti golongan ini. Mengapa mahu menjadi penulis andai tiada keyakinan dan kesungguhan? Takutkan kritikan adalah sifat yang tidak wajar ada pada seseorang penulis. Ini kerana saya beranggapan, kritikan adalah salah satu cara memantapkan penulisan dan mesej yang hendak disampaikan. Tidak semua penulis mampu menulis dengan tepat dan tidak semua mesej yang disampaikan adalah betul. Justeru, kritikan dan komentar akan meneutralkan penulisan.

Seorang calon cerpenis yang cerpennya sengaja saya persembahkan kepada khalayak yang lebih ramai, pernah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap saya kerana tindakan tersebut. Sekurang-kurangnya saya perlu merasa pelik. Mengapa harus malu karyanya dibaca dengan lebih meluas? Ini bukan surat cinta, ini adalah karya. Dengan nada menyindir saya katakan, usah bercita-cita untuk lahir sebagai seorang penulis dengan sikap demikian. Malu yang melampau.

Mungkin agak berbaloi, seseorang calon penulis bersikap malu yang keterlaluan jika dia sebenarnya telah 'meniru' atau menciplak karya penulis lain sehingga tidak mahu karya itu dibaca oleh khalayak yang lebih ramai. Takut. Kalau-kalau ternyata ada insan yang mampu mengesan bahawa karya itu adalah ciplak atau tiruan.

Bagi saya, seseorang calon penulis atau penulis muda mungkin tidak akan dapat lari pada peringkat awalnya daripada meniru gaya penulisan penulis tersohor. Ini kerana identiti calon penulis pada ketika itu masih sifar. Saya beranggapan adalah tidak salah meniru gaya penulis mapan tetapi bukan meniru atau menciplak karya yang mereka hasilkan.

Berapa banyak karya adaptasi yang telah kita temui? Berapa banyak novel yang dihasilkan berkisar tentang persoalan cinta tiga segi yang klise? Berapa banyak pula cerpen yang sering mengemukakan tema yang sama? Adakah plot, tema dan gaya penulisan adalah milik mutlak seseorang penulis? Misalnya kita bertemu dengan kebanyakan karya A. Samad Said yang mengisahkan tentang kehidupan zaman perang dan pasca perang. Apakah tema yang sama tidak boleh ditulis oleh penulis generasi muda atau penulis lain? Mungkin apa yang akan dilontarkan oleh penulis generasi muda sesuatu yang tidak pernah ditulis penulis mapan dan jauh lebih baik. Malah A. Samad Said sendiri tidak pernah mengatakan tema kehidupan zaman perang adalah miliknya secara mutlak.

Saya sebenarnya pernah berfikir untuk menulis sebuah novel dengan menterbalikkan sejarah. Mungkin kerana terlalu banyak berimaginasi dan berkhayal. Namun dengan tidak bersungguh, saya terpaksa mengakui akhirnya Faisal Tehrani menerbitkan 1515. Saya juga pernah berangan-angan untuk menulis sebuah kisah ketabahan seorang guru menangani pelajarnya dengan pelbagai masalah, tetapi belum pun sempat berbuat apa-apa tema yang sama telah difilemkan. Saya juga pernah hendak menulis novel tentang pengorbanan seorang ibu membesarkan anak-anaknya yang pernah saya temui ketika bergiat aktif dalam sebuah persatuan sewaktu di sekolah menengah dahulu, juga telah difilemkan walaupun jalan ceritanya dengan imaginasi saya agak berlainan. Saya juga ingin cuba hendak menulis tentang percintaan tiga segi antara dua lelaki kembar dengan seorang wanita tetapi seolah-olah menyalin skrip sandiwara dari filem hindi semata-mata.

Persoalannya mengapa saya hanya pernah berfikir, berangan-angan, pernah hendak dan ingin cuba sahaja? Tetapi tidak pernah benar-benar menghasilkan? Jawapannya mudah, kerana saya juga seperti rakan-rakan calon penulis dan penulis muda yang sering dihantui ketakutan kalau-kalau cerita yang hendak ditulis itu sudahpun ditulis penulis lain. Apatah lagi jika novel itu telah diterbitkan ada penulis lain yang menuduh ianya karya ciplak. Perasaan takut dan tidak yakin itulah yang menyebabkan sehingga kini kita masih sangsi dan gagal menghasilkan impian kita itu. Kita telah membiarkan impian itu bening sebeningnya. Sebagaimana saya membiarkan novel yang pernah saya usahakan tidak terhasil. Semangat patah. Tiada sumber inspirasi.

Amiza Khusyri dengan "Sejernih Salsabila" sekurang-kurangnya adalah satu permulaan yang baik, meski saya beranggapan secara peribadi beliau telah menyalin idea Zaid Akhtar dalam "Sesegar Nailofar" dengan beberapa perubahan dan tokok tambah. Paling tidak, Amiza telah pun mencuba dan moga karya kedua penulis muda itu selepas ini akan bertambah baik dan matang.

Apabila salah seorang peserta bengkel cerpen KELAP 2003 menyuarakan impian bersama saudaranya untuk menerbitkan sebuah antologi cerpen, sanubari saya mengucapkan syabas. Akademi Karyawan (AKAR) Mansurah juga khabarnya dalam usaha menerbitkan antologi cerpen. Juga syabas! Saya akan terus berdoa agar usaha kalian itu dipermudahkan. Seorang rakan penulis juga ada bertanya-tanya adakah saya tidak berhasrat untuk menerbitkan sebuah antologi cerpen? atau novel. Izinkan saya merahsiakan jawapannya.

Kini, saya sudah semakin sedar. Penulisan adalah medan interaksi antara penulis dan khalayak pembaca. Boleh menjadi medium untuk menyampaikan mesej dakwah yang berkesan. Bukan hanya untuk mendapatkan kepuasan kerana sehingga kini jika kepuasan yang saya tuntut kepuasan itu sahajalah yang bakal saya kaut, tetapi jika saya beranggapan bahawa penulisan adalah satu tanggungjawab perjuangannya amat panjang sejauh bermulanya hayat perjuangan itu sendiri.

Justeru, sudah tiba masanya iklim perubahan merubah pemikiran saya dan kalian. Persoalannya apakah kita bersedia untuk berubah? - Tamat

1 Oktober 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1