Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

ANTARA DUA BENGKEL: Adakah akan lahir penulis?

Oleh: Akhi Masrawi

USAI mengendali Bengkel Penulisan Artikel KELAP di bawah anjurang BPP PMRAM dan UPP Hewi PMRAM saya menerima e-mel daripada salah seorang peserta bengkel penulisan cerpen yang diadakan April 2003 yang lalu. Isi e-mel itu saya teliti satu persatu. Memahami ujaran yang dimaksudkan melalui aksara yang disusun kemas.

Mungkin terlalu awal untuk melatah bangga lantaran usia saya yang masih terlalu muda dalam dunia penulisan. Biasanya pendamping cerpenis muda atau calon cerpenis adalah dari kalangan penulis yang boleh dianggap mapan dan mempunyai populariti tersendiri. Suka saya mengambil satu contoh, Bengkel KEPEZI (Kelap Penulis Zaharah Nawawi) menemukan para peserta dengan beberapa pendamping yang jauh berpengalaman seperti Zaharah Nawawi dan Siti Aminah Mokhtar. Malah Zaid Akhtar dan Mohd Nazmi Yaakub sebagai contoh terdekat penulis yang pernah belajar di Timur Tengah juga ditangani oleh pendamping KEPEZI.

Lantaran itu saya rasa perlu diujarkan falsafah saya dalam perjuangan pena. Pada saya peserta bengkel adalah mereka yang perlu lahir sebagai penulis. Jika tidak mengapa melangkah ke medan bengkel? Meski dalam masa yang sama, saya bersependapat dengan Nazmi Yaakub bahawa penulis tidak semestinya lahir menerusi bengkel tetapi secara peribadi saya menganggap mereka yang menjengah ke medan bengkel adalah mereka yang sememangnya mahu lahir sebagai penulis.

Saya kemukakan satu analogi mudah, seorang teruna tidak akan menghantar rombongan meminang ke rumah dara jika tujuannya hanya untuk suka-suka. Begitulah halnya dengan penyertaan peserta. Barangkali saya silap. Ada yang hadir ke bengkel hanya sekadar suka-suka dan mahu mengisi masa lapang. Nampaknya golongan ini tidak ubah seperti teruna yang menghantar rombongan meminang tetapi tidak mahu berkahwin. Apalah pula perasaan si dara dalam hal tersebut?

Falsafah perjuangan pena saya itu dikuatkan lagi dengan satu lagi falsafah yang mungkin agak ganjil pada pengamatan penulis lain. Bagi saya, saya mahu melahirkan seramai mungkin penulis. Tidak kiralah sama ada dalam genre kretif mahupun non-kreatif apabila saya diberi peluang melatih dan membimbing mereka.

Jika 12 calon penulis yang hadir ke bengkel cerpen awal April lalu diberikan perhatian lebih oleh para pendamping (atau calon-calon itu yang sering meminta bantuan para pendamping) tentunya mereka tidak akan merasa tersisih, pesimis dan terus senyap.

Empat peserta menjadi 'dampingan' saya. Seorang teruna dan tiga lagi dara. Sebenarnya jauh di hati saya untuk meletakkan taraf penulisan mereka di tahap mana. Ini kerana pemerhatian singkat saya itu, satu konklusi dapat dibuat bahawa kesemua mereka mempunyai bakat dan kebolehan. Hanya tiga peserta di bawah saya sahaja yang cerpen mereka dibedah pada hari tersebut. Seorang peserta yang keciciran menghantar naskah cerpen pada waktu yang ditetapkan, terpaksa berpuas hati cerpennya tidak dibedah pada hari tersebut tetapi disemak dan di'tembak' selepas itu.

Ada satu rahsia yang sehingga kini saya simpan mengenai peserta keempat itu. Cerpennya yang berjudul "Curi Tulang" saya sarankan kepada ketua editor Suara Kampus Edisi Iskandariah (SKEI) untuk diterbitkan di dalam SKEI edisi 18 (selepas dibetulkan) setelah sebelum itu SKEI menerbitkan sebuah cerpen karya Nur Kenari berjudul "Nur Hidayah" di mana saya diberikan kepercayaan menyemak dan mengedit oleh ketua editor SKEI.

Saudara serahim penulis "Curi Tulang" yang juga mengikuti bengkel cerpen KELAP tersebut yang mempertaruhkan cerpennya berjudul "Semalam Menjadi Esok" yang didamping Almarjan Yusoff juga adalah antara yang mempunyai bakat dalam penulisan cerpen. Nampaknya saya terpaksa menukilkan mafhum kata-kata ketua pendamping, Nazmi Yaakub bahawa "bengkel adalah medan untuk mencari seberapa banyak kesalahan peserta oleh pendamping dan bagi peserta pula perlu bersedia 'memakai baju besi' untuk di'tembak'. Malah Nazmi sendiri seawal berbengkel berpesan kepada para peserta perkara yang sama sebelum cerpen mereka dibedah.

Saya kira semua peserta ketika itu sudahpun 'memakai baju besi' mereka dan bersedia untuk di'tembak'. Walaupun saya kurang bersetuju dengan cara Nazmi mengendalikan bengkel, tetapi saya terpaksa akur dengan tradisi tersebut kerana tidak berpengalaman mengikuti bengkel sepertinya.

Secara jujur saya tidak mampu memastikan adakah 'peluru' saya mengenai peserta. Sehinggalah apabila usai berbengkel dan menjalani kehidupan seperti biasa selaku seorang mahasiswa cerpen yang saya hantar ke Suara Kampus Edisi Kelantan (SKEK bil. 29) diterbitkan. Cerpen berjudul "Di Dalam Dewan Besar Itu" boleh saya sifatkan sebagai bukanlah sebuah cerpen terbaik yang pernah saya hasilkan. Berkisar persepsi dan luahan saya selaku seorang mahasiswa terhadap alam kampus yang menampilkan bentuk kepelbagaian tarbiyah di Lembah Nil. Plot yang dikisar kemudiannya diadaptasi menjadi sebuah skrip pentomen yang saya tulis dan gubah bersama seorang teman untuk Majlis Konvokesyen dan Anugerah Mahasiswa Cemerlang (MKAMC 2002). Bayangkanlah cerpen yang saya hantar kepada editor SKEK pada September 2002 hanya diterbitkan pada April 2003!

Ternyata nampaknya sayalah pula yang perlu menyarung 'baju besi' untuk ditembak oleh calon penulis lain lantaran semasa berbengkel sabagai pendamping saya akui agak keterlaluan menembak para peserta. Komentar yang saya utarakan barangkali ada yang tidak boleh diterima oleh peserta. Telahan saya betul apabila saya menerima satu e-mel dari seorang calon penulis yang mengkritik dengan telus tetapi berbaur emosi seolah membalas dendam pada persepsi saya. Saya tidak cepat melenting. Sikap saya yang memandang karya sebagai bahan untuk dikritik menjadikan komen yang saya terima sebagai anjakan paradigma mematangkan karya-karya saya.

Namun tidak dinafikan kritikan juga kadang-kala mematikan semangat menulis. Kritikan kadangkala menjadikan penulis luntur. Terutama bagi calon penulis yang baru cuba-cuba mengintai lapangan penulisan. Jauh di sudut hati saya untuk mengungkit bahawa saya adalah seorang penulis (jika gelaran ini layak) yang tidak pernah menerima bimbingan dari mana-mana penulis seniur. Walaupun pernah mengujarkan keinginan untuk lahir sebagai seorang penulis kepada seorang yang boleh dianggap 'sifu' respon yang saya terima mengecewakan. Kesan dari situ, saya terpaksa belajar merangkak, bertatih, bangun, berjalan dan berlari sendiri untuk menghamilkan impian dan melahirkan karya.

Saya kecewa. Dari kekecewaan itu semangat saya untuk menulis pernah mati. Bahkan beberapa tulisan saya yang pernah dihantar ke penerbitan sekitar Lembah Nil kebanyakannya tidak tersiar (barangkali telah dibakulsampahkan).

Sehinggalah pada awal tahun 2002 saya kembali aktif menulis karya kreatif, itupun setelah mendapat suntikan daripada Melayu.com sebuah laman maya sastera. Apabila semangat saya kembali 'sembuh' saya mula serius menulis. Sampai ketika itu pun orang yang saya pernah anggap sebagai 'sifu' itu masih tidak memberikan saya perhatian. Ingin saya tegaskan di sini, tidak pernah terlintas di hati saya untuk menyaingi 'sifu' tersebut andai pada waktu tersebut beliau menghulurkan tangan membantu saya merealisasikan bakat yang ada.

Bukan tujuan untuk saya membalas dendam kepada mereka yang menjadi peserta saya lantaran bukan sikap saya berdendam, malah falsafah saya lebih baik melahirkan lebih ramai penulis daripada menunggu hanya akan lahirnya seorang penulis 'hebat' sahaja. Jika ada antara peserta saya yang terasa disisihkan, kemaafan saya pinta.

Saya terus berfikir apakah boleh diadakan satu mandala sebagai satu institusi yang mampu melahirkan penulis. Hasilnya pada Julai 2003 saya mengilhamkan penubuhan laman web Akademi Karyawan Muda Malaysia, AKRAM Online (pada asalnya Akademi Karyawan Muda Mesir) sebagai katalis para penulis muda dan calon penulis memusatkan karya mereka. Maka Muncullah http://akramonline.4t.com sebagai memeriahkan laman sastera berkonsep maya bagi mengatasi masalah ruang menerbitkan karya.

Saya kira antara sebab mengapa PUJANGGA Online di http://akhimasrawi.cjb.net lahir adalah kerana untuk mempublikasi karya-karya dan penulisan saya di ruang maya di samping berkonsep weblog. Biarlah jika karya saya tidak boleh diterima di media cetak, tetapi bisa menjerit di ruang maya. Pada saya sastera maya bukan hanya longgokan sampah di sawang-sawang, tetapi juga bernilai dan mempunyai ketrampilan tersendiri. Malah jika ditinjau dewasa ini, penulis-penulis mapan dan tersohor juga telah mengaplikasikan dunia internet sebagai saluran mereka mempublikasikan karya dan memperkenalkan diri. Antara mereka ialah Zaharah Nawawi, Nisah Hj Harun, Faisal Tehrani, Uthaya Sankar SB, Mawar Shafie, Hasyuda Abadi, Marsli NO, Amaruszati dan ramai lagi termasuk penulis bertaraf antarabangsa.

Tindakan saya membuka Laman PUJANGGA Online pada awal Jun 2002 dan AKRAM Online pada hujung Julai 2003 yang direalisasikan oleh rakan saya adalah antara usaha awal saya untuk melihat keterlibatan para penulis dan calon penulis di lembah Nil ini, menulis dengan lebih serius.

Pengarah KELAP berjumpa saya dan menyatakan pengendali asal bagi bengkel artikel, saudara Zairol al-Adib pulang bercuti di Malaysia dan bengkel penulisan artikel kemungkinan tidak dapat dilaksanakan jika saya tidak mengambil alih tugas tersebut. Dengan rasa berat hati, saya terpaksa menerima. Walaupun sebenarnya saya bukanlah orang yang layak.

Untuk melabelkan diri sebagai seorang penulis artikel yang produktif, saya rasa Ubaidillah Alias dan Suliana Busu yang sama-sama membantu saya menjadi pendamping menangani 10 orang peserta bengkel penulisan artikel 23 September lalu lebih produktif. Mungkin juga nama-nama yang saya pernah sebut di dalam artikel saya bertajuk: PENULIS DAN PENULISAN: Di mana dan ke mana? yang tersiar dalam ruangan Realiti, SKEI bil. 18 jauh lebih produktif. Tetapi mengambil falsafah tidak semua jurulatih bola sepak mampu bermain lebih baik dari pemain yang dilatihnya saya bersedia melatih calon-calon penulis yang 10 orang itu meski risikonya sangat merbahaya.

Saya akui saya lebih cenderung berkarya dan menulis untuk laman-laman sastera maya dan laman webzine (web-majalah) berbanding media cetak. Oleh sebab itu apabila Ubaidillah bertanya sejak bila saya menulis dengan serius, saya tidak terus menjawab sebaliknya menjawab di dalam sesi pembentangan kertas kerja.

Jika meninjau sejarah penulisan saya sememangnya saya sudah mula menulis semenjak berada di tingkatan dua di sekolah menengah lagi. Namun impian untuk lahir sebagai seorang penulis prolifik hanya wujud ketika umur sudah mencecah 22 tahun. Sebab itu apabila melihat penulis-penulis yang lebih muda berbanding saya terkehadapan, cemburu mengusik.

Walaupun cuma tiga dari 10 peserta bengkel tempoh hari yang membaca naskah mereka saya dapat mengesani bakat yang mereka miliki. Mohd Solahuddin Soleh dengan artikelnya bertajuk, Ukhuwah: Retak Menanti Belah. Khaujah Ngah pula dengan artikel bertajuk, Wawasan Muslimah sejati manakala peserta berikutnya, Nur Hidayah Abd Rahman membaca artikelnya bertajuk Sejarah Telah Berulang Kembali Di manakah Noktahnya?

Rata-rata peserta mampu menggunakan ilmu retorik di dalam penulisan mereka. Malah bentuk naratif yang ditampilkan oleh Nur Hidayah sebenarnya sudah agak baik berbanding saya yang jarang menggunakan bentuk naratif sebagai gaya penulisan. Tahniah!

Lihatlah betapa kegigihan seekor burung ciak rumah membina sarang gantung dengan mengutip satu persatu rumput atau jerami sebagai menunjukkan kesabaran dan ketekunan berkerja. Belatuk yang menebuk lubang pada batang pokok yang keras menggunakan paruhnya, air yang menitis dan berupaya melekukkan batu, ikan Solomon yang mengharung arus semata-mata mahu kembali ke tempat asalnya untuk mati dan pelbagai simbolik lagi demi menggambarkan betapa kegigihan, kesabaran dan ketekunan adalah 'mahar' untuk berjaya.

Saya kira antara resolusi bengkel penulisan artikel yang saya kendalikan supaya para peserta berdaftar sebagai ahli AKRAM adalah tindakan yang wajar. Malah saya terasa dihargai.

Terlalu awal untuk menentukan siapakah yang bakal menggegarkan dunia penulisan di Lembah Kinanah selepas ini. Sama ada dalam genre kreatif mahupun non-kreatif. Namun saya meletakkan satu keputusan bahawa hanya mereka yang bersedia bekerja seperti burung ciak rumah, belatuk, air dan ikan solomon sahaja yang benar-benar akan lahir sebagai penulis. Ini kerana tanpa usaha impian tidak bermakna.

Oleh itu saya kira tidak kiralah di mana posisi kalian sekarang. Tanamkan jatidiri seorang penulis yang saya sebutkan semasa bengkel. Saya percaya dari situ akan lahirlah penulis-penulis muda dalam kedua-dua bidang (kreatif dan non-kreatif) dengan lebih ramai. Sekurang-kurangnya kalian telah menganggap ini sebagai suatu perjuangan yang memerlukan keikhlasan, ketekunan, keyakinan dan paling penting keberanian untuk mara.

Saya tunggu detik itu! - TAMAT

27 September 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1