Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Kenapa Saya Cemburu Nik Nazmi?

Oleh: Akhi Masrawi

Saya kira, kali pertama mengenali nama Nik Nazmi Nik Ahmad ialah sewaktu tersesat di ruang maya memasuki laman webzine Suaraanum.com (kini khabarnya sudah tidak aktif) ketika melayari dunia tanpa sempadan, internet. Bermula dari situlah, saya menelaah Nik Nazmi sebagai seorang penulis muda berbakat yang menulis untuk beberapa website dan majalah seperti malaysiakini.com, Siasah, berita Keadilan, Tamadun, Harakah dan suaraanum.com. Bolehlah dibanggakan, walaupun anak muda ini dilahirkan pada 1982 tetapi mempunyai misi dan visi yang sangat besar kerana mula memperjuangkan suaraanum.com pada usia 19 tahun.

Keterlibatan beliau sebagai editor pertama Suaraanum.com setidak-tidaknya telah berjaya memperkenalkan satu lagi ruang buat warga anum (muda - bawah 35 tahun) menyuarakan pandangan, mengupas isu semasa, berkarya dan mengkritik serta memperkayakan penulis muda. Saya sendiri pernah menghantar beberapa karya dan tulisan ke Suaraanum.com. Hasilnya sebuah puisi berjudul Sebening Cinta Kota Cairo, sebuah cerpen berjudul Tahanan dan sebuah artikel berjudul Sanggahan Terhadap Metod Sister In Islam (mendapat komentar) tersiar dalam beberapa siri yang berlainan. Keghairahan menghantar karya yang baru bermula itu akhirnya 'mati', gara-gara Suaraanum.com menghadapi masalah update setelah perubahan editor daripada Nik Nazmi (yang khabarnya ketika itu hendak menyambung pengajian di U.K) kepada editor baru dan natijah akhirnya Suaraanum.com berkubur dari ruang maya.

Kesempatan mengenali Suaraanum.com juga menemukan saya dengan laman peribadi Nik Nazmi sendiri. Ketika itu, laman n3alostideas miliknya ditulis dalam versi bahasa Inggeris (mungkin sedikit dalam Bahasa Malaysia - yang tidak saya sedari). Namun, saya agak kurang menjadikan laman peribadinya itu sebagai medan bacaan maya saya berbanding laman-laman peribadi yang lain seperti laman encikkhairul, Mat Jan, Rudy, Tok Rimau, Enmiya, Rasanubari, Saharil, Spyz dll yang juga berkonsep weblog. Bukanlah bermakna saya membenci laman yang ditulis dalam Bahasa Inggeris, meskipun sentimen peribadi saya amat bencikan bangsa penjajah. Semenjak dari sekolah rendah lagi, saya didedahkan dengan bahasa tersebut. Malah ayah saya juga salah seorang yang berkelulusan LCE dari sekolah Inggeris selepas merdeka. Tetapi, taraf penguasaan saya yang agak lemah tidak memungkinkan saya menjadi pembaca setia laman peribadi Nik Nazmi itu.

Masa berlalu dengan begitu pantas. Sedang saya terkial-kial untuk menyudahkan pengajian Syariah Islamiah di Al-Azhar, Nik Nazmi khabarnya sudah sampai ke London, United Kingdom untukmenyambung pengajian dalam bidang Undang-undang. Dan meskipun begitu, kami terus berhubung melalui maya terutama menerusi YM. Beberapa kali berchating dengannya membuka minda dan pengamatan saya terhadap anak muda ini. Meskipun kami agak berbeza status pendidikan (Saya di ALMAAD dengan aliran agama - Nik Nazmi di MCKK) tetapi fikrah kami adalah sama, Islamik dan menjunjung dasar Al-Quran dan As-Sunnah.

Nik Nazmi menulis secara serius semenjak di bangku sekolah rendah lagi iaitu ketika berusia 9 tahun. Apabila menjengah alam remaja, penulisannya semakin matang. Beliau juga menulis dalam genre kreatif seperti sajak dan cerpen tetapi tidak seserius menulis artikel dan blog. Berbanding saya, meski sudah mengenal pen/pensil dan kertas sejak hari pertama dimasukkan ke sekolah rendah (dalam keluarga, saya satu-satu anak yang tidak pernah dihantar ke tadika atau pra-skolah), tetapi tidak pernah menulis/mengarang dengan inisiatif sendiri sepanjang berada di sekolah rendah. Minat saya lebih tertumpu kepada membaca, tetapi hobi seorang anak kampung yang membesar bertemankan sawah, sungai dan belukar tidak pernah kekal satu, berubah-ubah.

Setelah memasuki sekolah menengah dan menetap di asrama sekolah, barulah timbul kesedaran untuk membaca dan menulis dengan serius. Kutubkhannah, maktabah sekolah saya punggah isinya dan ratah buku-buku yang sempat saya capai. Hasilnya, semasa di tingkatan 2, cerpen sulung saya diterbitkan dalam majalah sekolah. Setelah itu, saya semakin bersemangat menulis. Antaranya saya menulis sajak untuk Minda Pelajar, cerpen untuk majalah sekolah dan karangan untuk disemak guru bahasa Melayu serta menulis novel peribadi dalam buku berkulit tebal (tetapi hilang sewaktu cuti panjang persekolahan) dan saya tidak mencarinya lagi. Dunia penulisan saya ketika itu terlalu sempit.

Nik Nazmi pula dalam usia remaja sudah menulis dengan serius. Malah boleh dianggap istimewa kerana anak muda ini juga menulis dalam bahasa Inggeris dengan baik. Mungkin kerana minatnya menelaah buku-buku dan karya tulisan Shakespeare, Leo Tolstoy, Albert Camus, John Grisham dan Jostein Gaarder (beberapa nama) menjadikan penulisannya dalam bahasa Inggeris berkesan. Berbanding saya, walaupun lebih 10 tahun mempelajari bahasa Arab (bahasa Inggeris lebih lama), belum pernah menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa kedua penulisan saya. Saya masih terikat dengan bahasa Ibunda. Kenapa agaknya?

Setelah agak lama tidak berkesempatan menjenguk laman Nik Nazmi khabarnya sudah diberi nafas baru dengan nama n3aissues (mengasingkan catatan blog peribadi dan artikel), baru-baru ini saya telah terbaca satu wawancara bersama Nik Nazmi Nik Ahmad yang dibuat oleh Nizam Zakaria di laman peribadinya 'Kisah Seorang Limau Nipis'. Saya berpendapat, laman versi baru Nik Nazmi adalah menepati citarasa saya. Malah satu kolum yang terbit setiap selasa, dinamai "Warung Bayang-bayang" di laman http://n3a.9599.org,  saya kira sedikit sebanyak kesan permintaan saya semasa berchating dengannya di YM suatu masa dahulu.

Dalam catatan sulung kolum tersebut bertajuk: "Liang-Liuk Antara Dua Benua" turut menyebut bahawa hatinya terbuka menulis dalam bahasa kebangsaan lantaran membaca catatan agung Goenawan Muhamad, malah turut menyatakan bahawa pernah memberitahu Pujangga alias saya sendiri bahawa mindanya terjajah dan menganggap bahasa Malaysia terlalu formal. Saya mendesak agar beliau menyeimbangi penulisannya di dalam bahasa kebangsaan, selain ghairah dalam bahasa Inggeris meski sudah agak banyak artikel yang ditulisnya sebelum itu juga dalam bahasa Malaysia.

Pada hemat saya, seorang penulis yang baik perlu banyak membaca serta ditambah kemahirannya mengolah dari simpanan maklumat yang didapatinya. Jika Nik Nazmi menjadikan pembacaannya meluas dalam bahan bacaan berbahasa Inggeris tentulah beliau lebih mesra menulis juga dalam bahasa Inggeris. Tetapi saya beranggapan, sesuatu penulisan yang baik malah tokoh yang memenangi anugerah nobel ialah mereka yang menulis di dalam bahasa mereka sendiri. Sebagai contoh: terbaru Imre Kertesz juga menulis kebanyakannya dalam bahasa Jerman. Para sasterawan negara kita juga menulis dalam bahasa kita diiktiraf di peringkat Asia dan dunia. Malah ada karya penulis kita yang diterjemahkan ke dalam bahasa luar menunjukkan karya hasil tangan penulis kita juga dihargai. Faisal Tehrani sebelum ini juga pernah mencuba menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi akhirnya kembali ke dalam bahasa Malaysia. Sebab itu saya beranggapan penulis berbakat seperti Nik Nazmi perlu menyeimbangkan penulisannya, agar khalayak pembaca tidak hanya kenal beliau sebagai penulis Melayu yang menulis dalam bahasa asing.

Apapun menjawab soalan "Kenapa saya cemburu Nik Nazmi?" tentu jawapannya terlalu subjektif. Oleh sebab itu saya bertanya diri saya sendiri... untuk apa saya cemburu Nik Nazmi? Tentu jawapannya, saya mahu jadi sepertinya atau lebih baik daripadanya selaku seorang penulis (bukankah lebih objektif?). Tetapi untuk sampai ke sana, saya menghormati Nik Nazmi sebagai penulis muda pilihan saya, meski usianya bertaraf 'adik' dengan saya. - TAMAT

19 September 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1