Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Wajarkah Pelajaran Seks?

Oleh: Akhi Masrawi

(Respon catatan Subky Latif Min Aina ila Aina di http://harakahdaily.net menerusi catatan saya - Catatan Min Huna ila Hunak, oleh: Akhi Masrawi di http://akhimasrawi.cjb.net)

Saya ada terbaca satu artikel yang ditulis oleh Subky Latif bertajuk: "Pelajaran seks bakal jadi peninggalan Dr Siti Hasmah" seminggu yang lalu. Ulasan tersebut dibuat oleh penulis pojok "Min Aina ila Aina" itu ekoran tercetusnya idea Dr Siti Hasmah supaya pelajaran mengenai seks diperkenalkan segera kepada masyarakat kita.

Menurut Subky mungkin itulah idea terakhir atau juga boleh dikatogerikan sebagai wasiat Dr Siti Hasmah sebelum menjelang detik persaraan suaminya sebagai PM (Oktober 2003) dan bakal menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa. Paling tidak tentu suatu masa nanti, pasti rakyat Malaysia akan mengenang budi Hasmah kerana idea tersebut.

Saya tidak mengatakan ini sebagai satu idea yang tidak bernas, tetapi melihat kepada situasi dan status negara Malaysia sekarang idea ini seakan-akan menghina status Malaysia sebagai sebuah 'Negara Islam' sebagaimana yang diumumkan oleh PM (meskipun ada yang menyanggah).

Persoalannya, adakah idea itu wajar dilaksanakan di Malaysia? Sekiranya wajar, apakah alasan yang menyokong? Bagaimanakah bentuk perlaksanaan? dan Apakah kesan langsung perlaksanaannya? Ini antara beberapa persoalan yang perlu difikirkan bersama secara akademik, bukan mengikut kepentingan politik semata-mata.

Saya tidak nampak bahawa ini adalah satu idea yang baru. Buktinya di negara-negara maju (terutama di barat) telahpun lama dilaksanakan. Malah boleh juga dikatakan, telah disuarakan di Malaysia beberapa waktu yang lalu. Cuma - mungkin kerana idea tersebut masih tidak sesuai maka perlaksanaannya terus tertangguh.

Atas alasan apakah pelajaran seks perlu diperkenalkan kepada masyarakat? Adakah kerana masyarakat kita tidak mahir ilmu seks, sehingga perlu dijadikan pelajaran! apabila sesuatu perkara telah diklasifikasikan sebagai pelajaran, sudah tentu tempat yang paling terbaik untuk dilaksanakan ialah di institusi pengajian. Tak kiralah sama ada institusi tersebut adalah sebuah sekolah, kolej mahupun universiti.

Di barat, pelajaran seks bukan sahaja diperkenalkan dengan menggunakan silibus pelajaran berpandukan buku dan bahan bacaan kerana mereka menganggap perlunya kepada pendedahan tentang praktikal perhubungan seks yang betul. Dengan peruntukan yang dimiliki, mereka menghuraikan pengajaran seks dengan menampilkan model yang berbogel untuk melakonkan teknik-teknik hubungan kelamin yang betul supaya ketelusan pelajaran seks diperkenalkan kepada masyarakat mereka. Malah kelas senilukis di Perancis (mungkin di tempat-tempat lain juga) menampilkan seorang model wanita jelita yang berbogel di depan khalayak untuk dilukis para mahasiswa kerana itulah juga ketelusan yang ada dalam sistem pendidikan mereka. Bagaimana pula dengan sistem pendidikan kita?

Mungkin jika kita juga ghairah hendak meniru barat, model-model adegan ranjang itu perlu dipelbagaikaumkan kerana negara kita bermasyarakat majmuk. Vcd lucah yang sebelum ini dianggap 'sampah' akan menjadi 'buku teks dan rujukan', pelakon-pelakon adegan ranjang akan lebih dikenali di kalangan pelajar berbanding para ilmuwan, ulamak dan pemimpin.

Semasa saya di bangku sekolah menengah dahulu, guru sains juga agak janggal mengajar kami tentang pelajaran yang berkaitan seks dan organ-organ seks. Itupun guru saya tidak mendedahkan dengan jelas kerana mungkin dipengaruhi oleh perasaan malu. Sesuailah kerana guru itu seorang wanita dan beragama Islam dan kami juga kesemuanya pelajar putera.

Tetapi itu situasi di sekolah menengah saya. Mungkin di sekolah-sekolah lain jauh berbeza.

Manusia sebenarnya secara fitrah sememangnya memiliki keinginan seks. Ini tidak boleh dinafikan. Tetapi sesuaikah seks dijadikan pelajaran? Apakah pula bentuk perlaksanaan itu nanti. Jika pelajaran seks dikaitkan dengan aspek 'hidup sihat' saya rasa dengan adanya pelajaran seks pun tidak mampu berbuat apa-apa. Di barat setelah diperkenalkan pelajaran seks di sekolah-sekolah dan kolej, kadar penyakit dan kematian akibat berpunca dari gejala seks meningkat mendadak. Apa tidaknya setelah didedahkan di kelas, sudah tentu pelajar-pelajar akan mempraktikkan di luar kelas. Kesannya mereka semakin 'maju' mengamalkan seks bebas kerana masyarakat barat sememangnya tidak ada moral. Jikalau pelajaran seks yang dilaksanakan di barat itu berjaya mengubah kehidupan seks mereka, pastinya ia boleh dijadikan model perlaksanaan di Malaysia. Namun, semakin diajar semakin melampau. Mahukah di Malaysia juga akan terjadi perkara yang sama?

Saya kira rakyat Malaysia perlu berterima kasih (sehingga kini) kepada kementerian Pendidikan yang masih tidak melaksanakan pelajaran seks kerana barangkali mereka juga tidak ghairah untuk memperkenalkan adegan-adegan ranjang di dalam kelas pengajian untuk diketahui anak-anak muda. Jika tidak mungkin ibu-bapa akan turut menjadi guru kepada anak-anak untuk menyingkap rahsia-rahsia ranjang.

Meskipun begitu, saya percaya anak-anak remaja (yang gilakan seks) tentunya amat menyokong pelajaran seks kerana ianya mungkin akan menjadi pelajaran yang paling diminati. Apatah lagi jika guru pelajaran itu seorang wanita muda yang cantik atau guru lelaki yang kacak. Paling tidak, kalaupun tidak berlaku sebagaimana di barat (adegan dikuliahkan) mungkin adegan luar kelas adalah alternatif yang akan terjadi.

Sedang tidak ada pelajaran dan pendedahan seks pun, kebejatan gejala sosial seperti bohsia, bohjan, sumbang mahram, zina, liwat, lesbian dan sebagainya begitu tenat apakah pula yang akan berlaku jika pelajaran seks ni benar-benar ada? Mungkin akan semakin menggalakkan aktiviti seks bebas agaknya!

Seks adalah subjek yang sudah diketahui dan dikuasi tanpa perlukan kepada pelajaran. Masing-masing tahu bagaimana untuk melunaskannya bila waktunya sudah tiba. Jikalau idea pelajaran seks ini sekadar untuk menunjukkan cara yang selamat untuk mengadakan seks, saya berpendapat Islam telahpun mengajar cara terbaik iaitu dengan berkahwin. Malah agama-agama dan ajaran yang lain juga. Masalahnya berapa ramai yang mahu mengikut agama?

Di sebuah negara jiran ketika kempen seks selamat menggunakan kondom diperkenalkan, industri kondom menjadi semakin maju. Saya kira jika pelajaran seks diperkenalkan di Malaysia, kelas-kelas tuisyen seks akan mendapat sambutan yang hebat. Sambutan pastinya akan lebih menggalakkan jika teknik pengajaran dipelbagaikan dan akan berlaku persaingan. Sudah tentu pada waktu itu kelas tuisyen juga ibarat kondom.

Justeru sama-samalah kita tunggu dan lihat, apakah akan dilaksanakan pelajaran seks di negara yang kita cintai, Malaysia. Yang pastinya jika idea ini terlaksana di Malaysia pasti nama Dr Siti Hasmah akan dikenang. Pun begitu, saya tetap berdoa supaya Allah akan terus menjaga kita daripada kemungkaran yang akan menyebabkan terhumban ke neraka.

12 September 2003

*** Tersiar di laman http://www.harakahdaily.net pada 17 September 2003.

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1