Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Bayi Tabung Uji: Menurut Perspektif Sains dan Fiqh Islami

Oleh: Akhi Masrawi

Bulan lepas (Ogos) menyaksikan purata pencarian yang menjumpai laman saya menggunakan kalimah "pengklonan" atau klon. Saya sendiri tidak pasti, mengapa begitu banyak surf yang dibuat semata-mata mencari subjek berkenaan dan siapa pencarinya.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa saya ada menulis satu catatan tentang klon dan pengklonan pada catatan 234 bertarikh 11 Ogos selepas menghadiri pembentangan kertas kerja tersebut yang dibentangkan oleh Ustaz Sarif Yusof, khirrij (Graduan) al-Azhar Damanhur. Sekurang-kurangnya catatan tersebut telah menjadi satu modus operandi kepada para pelayar yang mahukan informasi berkaitan klon walaupun catatan itu hanya sekadar beberapa sedutan ringkas dari isi pembentangan dan kertas kerja yang dibentangkan itu. Catatan itu juga sedikit sebanyak menyebabkan peningkatan hits kemasukan pelayar ke laman PUJANGGA Online.

Semalam saya menghadiri satu lagi majlis ilmu di Bait Izzah dengan perbincangan mengenai Bayi tabung uji. Dua orang ahli panel dijemput menjayakan perbincangan tersebut. Panelis pertama, Dr Ahmad Shuib Yahaya, pelajar tahun 2 Fakulti Perubatan Universiti Ain Syam, Kaherah dan panelis kedua ialah sahabat saya sendiri, Ustaz Hairul Nizam Mat Husain, khirrij Fakulti Syariah Islamiah Universiti al-Azhar cawangan Tanta dengan taqdir Jayyid Jiddan (khabarnya akan menyambung pengajian sarjana di Universiti Al-Azhar, Kaherah dalam pengkhususan Usul Fiqh).

Saya begitu tertarik dengan kedua-dua perbahasan (sains-fiqh) yang dikupas dengan teliti oleh kedua-dua panel yang dijemput. Walaupun kehadiran pendengar agak kurang, namun tidak mematahkan semangat panelis. Panelis pertama membicarakan tentang definisi, sejarah, teknik-teknik yang dilakukan untuk operasi bayi tabung uji, pembekuan embrio, pemilihan jantina bayi, ibu tumbang, permanian beradas, peruntukan perundangan, tanggapan dan risiko yang dihadapi. Saya tertarik dengan fakta bahaya bayi tabung uji pertama telah berjaya dilahirkan pada 25 Julai 1978 dalam sejarah dunia dinamakan Louise Brown atas usaha Dr Robert Edwards. Walau bagaimanapun kejayaan tersebut hanya selepas 100 percubaan menemui kegagalan.

Sejak kecil saya berfikir (walaupun tidak serius) tentang mengapakah dinamakan bayi tabung uji? Apakah kerana bayi tidak dihamilkan didalam rahim wanita bernama ibu? Sebenarnya ramai yang keliru... meskipun dinamakan bayi tabung uji, tetapi persenyawaan dilakukan menggunakan piring. Jawapan itu sebenarnya telah saya temui semasa di sekolah menengah lagi, ketika seorang guru sains saya menceritakan tentang persenyawaan dalam subjek sains. Ketika itu peluang ke makmal sains adalah sangat terhad, namun bukanlah halangan untuk saya tidak kenal perkakasan makmal sehingga tidak dapat membezakan antara tabung uji dan piring pateri. Namun, pengistilahan bayi tabung uji sudah amat tersohor malah di dalam bahasa Arab sendiri disebut "al-atfal al-anabib" yang bermaksud bayi tabung uji. Mengapa ya?

Mendengar penjelasan teknik persenyawaan yang dilakukan untuk pengoperasian bayi tabung uji oleh Dr Syuib, menambah keyakinan saya betapa rahim ibu (wanita) adalah satu ciptaan Allah yang tidak mungkin ditiru oleh manusia. Ini kerana jika manusia mampu meniru rahim wanita, sudah tentu bayi mampu dihamilkan diluar. Akan tetapi bagaimanapun bentuk persenyawaan samaada persenyawaan luar atau dalam, masih tetap memerlukan rahim sebagai tempat penghamilan. Teknik-teknik yang dianjurkan seperti In Vitro Fertilization (IVF) atau persenyawaan luar rahim, iaitu dilakukan dengan mengeluarkan sperma dan ovum dan disenyawakan di dalam piring makmal dengan persekitaran yang sesuai menjadi embrio yang kemudiannya dipindahkan ke dalam rahim. Selain dari teknik IVF, terdapat juga teknik persenyawaan yang lain seperti Gamete Intrafallopian Transfer (GIFT) dan PGD. Namun saya tidaklah berkesempatan untuk membincangkan keseluruhan isi perbahasan menurut sains, kerana ianya melibatkan proses-proses perubatan yang agak janggal.

Kesempatan membicarakan topik bayi tabung uji ini, saya lebih merasa perlu menjelaskan perkaitan perkembangan sains dengan qarar penghukuman menurut fiqh Islami. Justeru sejauhmanapun kemajuan yang mampu dicipta oleh sains sekiranya ianya bertentangan dengan fiqh Islami ianya tetap dianggap mempunyai kelemahan dan larangan untuk diamalkan.

Menurut panelis kedua, Ustaz Hairul Nizam terdapat dua bentuk asas talqeh al-istinai'e (persenyawaan buatan) bayi tabung uji iaitu persenyawaan dalam dan luar. Pembahagian ini diperincikan kepada tujuh katogeri.

Persenyawaan dalaman

Pertama: Sperma yang diambil dari si suami dimasukkan ke dalam faraj isteri untuk bergabung dengan ovum si isteri dengan kaedah persenyawaan tabi'e (biasa). Kaedah ini dilakukan apabila suami tidak mampu memancutkan sperma yang memadai untuk disenyawakan melalui persetubuhan. Hukum bagi kaedah ini adalah harus.

Kedua: Sperma daripada lelaki asing diambil dan dimasukkan ke dalam faraj wanita yang sudah bersuami. Cara ini apabila sperma suami tidak layak untuk menghasilkan anak atau tidak mampu bergabung dengan ovum. Seolah seperti berlaku perzinaan walaupun tidak melalui persetubuhan badan. Cara ini adalah haram.

Persenyawaan luar

Ketiga: Sperma suami dan ovum isteri dikeluarkan dan disenyawakan di luar. Kemudian setelah menjadi embrio dimasukkan semula ke dalam rahim isteri dan berlaku kehamilan seperti biasa. Cara ini adalah harus.

Keempat: Persenyawaan dilakukan di luar dengan sperma diambil dari suami dan ovum daripada wanita yang bukan isterinya. Lalu setelah disenyawakan dimasukkan pula ke dalam rahim si isteri. Kaedah ini digunakan apabila si isteri tidak mempunyai ovum atau ovumnya tidak mampu disenyawakan tetapi mempunyai dinding rahim dan rahim untuk proses penempelan yang telah disenyawakan. Cara ini adalah haram.

Kelima: Sperma dan ovum diambil daripada orang asing, lalu disenyawakan dan dimasukkan ke dalam faraj seorang wanita yang telah bersuami. Kaedah ini dilakukan kerana si isteri dan suami tidak mempunyai benih yang baik untuk disenyawakan. Namun si isteri mempunyai rahim yang sesuai untuk hamil. Cara ini juga haram kerana ianya melibatkan benih asing yang tidak melibatkan nasab yang betul.

Keenam: Sperma dan ovum adalah milik sepasang suami isteri tetapi dimasukkan ke dalam faraj wanita asing yang tiada perkaitan pernikahan dengan si suami. Keadaan ini berlaku apabila si isteri tidak mampu hamil tetapi mempunyai ovum yang mampu disenyawakan. Perbincangan lanjut melibatkan hukum sewa rahim. Cara ini juga haram sebagaimana hukum sewa rahim.

Ketujuh: Cara ini sama dengan kaedah keenam, tetapi wanita yang dijadikan ibu tumpang ialah isteri lain bagi si suami yang mengamalkan poligami. Cara ini pernah diharuskan pada majmak Fiqh Islami ketujuh, tetapi pendapat tersebut telah ditarik balik setelah dibincangkan dengan lebih teliti pada majmak daurah kelapan dan berhukum dengan hukum juga haram.

Jelasnya perbahasan mengenai bayi tabung uji berkait rapat dengan perbahasan nasab di dalam Islam. Agama kita sangat menitik beratkan persoalan nasab lantaran ianya adalah merupakan lima perkara asasi dalam pertimbangan darurat, hajat dan tahsiniyat. Cuba kita sama-sama bayangkan jika kemajuan sains tidak dipandu dengan panduan fiqh Islami, pasti dunia akan celaru dan haru-biru. Sekarangpun sudah ada, terutama di barat anak-anak luar nikah yang jika ditanya mungkin tidak mengenali siapakah bapa mereka lantaran gejala sosial yang melibatkan pergaulan bebas dan perlakuan seks bebas.

Walaupun Islam membenarkan 2 kaedah yang disebutkan diatas untuk proses persenyawaan buatan (kaedah pertama dan ketiga), tetapi perlu dilihat adanya syarat-syarat dan dzowabit yang perlu dijaga dan diawasi. Menurut Dr Syuib, kaedah paling praktikal bagi persenyawaan buatan adalah dengan mendapatkan sperma yang segar yang tidak dapat tidak dikeluarkan dengan menggunakan kaedah masturbasi/ onani atau melancap (lelaki mengeluarkan mani dengan menggunakan tangannya sendiri). Jumhur ulamak menegaskan larangan terhadap perbuatan tersebut, malah ahli perubatan juga tidak menggalakkan kerana terdapat kesan sampingan. Walaupun begitu, perlulah dilihat sekiranya terdapat cara lain yang lebih bertepatan dengan Islam. Misalnya dengan menggunakan proses pembekuan sperma, pancutan sperma ke dalam kondom dengan suami mengadakan persetubuhan dengan isteri terlebih dahulu sebelum rawatan atau dengan isteri kedua jika mengamalkan poligami. Cuma perbincangan tidak menyebut apakah boleh menggunakan kaedah onani dengan tangan isteri, kerana saya pernah terjumpa dan terbaca pandangan yang mengatakan boleh onani dengan menggunakan tangan isteri.

Sebenarnya perbahasan tentang persenyawaan buatan dan bayi tabung uji sangat luas. Saya hanya mengeluarkan sebahagian perbahasan sahaja untuk dilihat sebagai suatu yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Tidak hairanlah jika di dalam al-Quran Allah menyuruf manusia mengkaji tentang tubuh badan mereka sendiri, kerana luasnya ilmu Allah itu tidak akan mampu ditandingi oleh manusia. Keith Moore ketika diberikan kesemua ayat-ayat Al-Quran berkaitan manusia juga mengakui masih terdapat apa yang tidak dibongkar oleh kemajuan sains. Justeru sains berlari sejajar dengan agama.

Tak mustahil jika agama diketepikan suatu hari nanti akan lahir kerosakan yang paling dahsyat. Apa tidaknya jika hari ini ada manusia yang bangga seperti Louise Brown mendakwa dirinya sebagai manusia hasil dari persenyawaan tabung uji, mungkin suatu hari nanti ada pula manusia yang berbangga sebagai bayi hasil klon.

Mungkin seorang guru masa depan akan cepat bersara lantaran dalam sebuah kelas yang diajarnya terdapat sekurang-kurang murid yang lahir tanpa bapa (anak luar nikah), murid yang lahir tanpa ibu (pasangan gay - lesbians atau homoseks yang melakukan persenyawaan buatan), murid yang lahir tanpa kenal siapa ibu bapanya (bayi tabung uji dari sperma dan ovum yang dikumpul) murid yang lahir tanpa ibu dan bapa (melalui kaedah klon - walaupun sehingga kini belum ada kejayaan) dan mungkin ketika itu 10 daripada 20 pelajar dalam sesebuah kelas adalah berwajah serupa. Mustahilkah?

9 September 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1