Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

PENULIS DAN PENULISAN
Di mana dan Ke mana?

Oleh: Akhi Masrawi

DUNIA penulisan bukanlah dunia indah seperti yang dibayangkan dan dikhabarkan. Malah untuk melabelkan penulisan sebagai laman untuk mengejar nama dan populariti, jauh sekali. Tetapi tidak sukar untuk menjadi penulis kerana setiap yang menulis itu adalah penulis. Cuma belum tentu mampu menjadi penulis dalam erti kata penulis prolifik.

Menulis bukan seperti berucap walaupun asasnya mungkin sama. Ini kerana ada yang boleh berucap tetapi tidak boleh menulis dan saya tidak mengatakan denag analogi ini setiap penulis itu petah berucap. Seperti berucap, menulis juga memerlukan ketajaman minda dan kesungguhan yang kental serta istiqamah. Ini kerana sesuatu hasil karya atau karangan yang dianggap baik tidak akan terhasil dalam jangka waktu yang singkat. Justeru seseorang penulis memerlukan tidak kurang dari aspek-aspek bakat, minat, penguasaan bahasa yang baik, keazaman yang tinggi, sikap rajin membaca dan membuat rujukan, rajin menulis dan sikap-sikap peribadi yang lain sebagai katalis pembinaan penulisan.

Dalam SKEI edisi 17 lalu saya telah menulis tentang penulisan karya sastera kita di mana saya telah mengemukakan empat aspek penting yang perlu dimiliki seseorang karyawan iaitu: imaginasi, sensitiviti, persepsi dan kreativiti. Dalam penulisan karangan non-kreatif aspek-aspek yang sama juga adalah 'mahar' yang perlu disiapkan calon penulis dan para penulis untuk 'mengahwini' dunia penulisan.

Penulisan juga adalah wadah interaksi di antara penulis dengan khalayak pembaca. Ia merupakan wacana menghantar idea, menggambarkan perasaan, mendidik, memaklumkan, memujuk dan menghibur. Oleh itu, tidak hairanlah jika khalayak akan terasa hampir dan akrab dengan penulis yang dikagumi mereka kerana apa yang tersurat melalui penulisan penulis, menggambarkan pemikiran dan perasaan mereka.

Lembah Nil telah melahirkan sejumlah penulis melalui pelbagai wadah terutama mandala penerbitan. Saya beranggapan dunia penulisan di sini akrab dengan bidang penerbitan. Oleh itu, mereka yang terlibat dalam penerbitan selalunya juga terlibat secara langsung dengan penulisan. Mereka tentunya terdiri dari kalangan sidang editorial. Penelitian saya menemukan ada tiga katogeri penulis yang kita miliki iaitu mereka yang menulis kerana kesedaran dalam pelbagai genre, mereka yang menulis dalam sesuatu genre dengan kesedaran dan mereka yang menulis dalam apa-apa genre kerana dipaksa dan terpaksa. Menyelak WARTA dan Suara Kampus PMRAM Edisi BKAN dan DPM menemukan saya sejumlah nama yang telah membina 'empayar' penulisan sebagai wasilah menghantar idea dan kefahaman kepada khalayak pembaca. Penulis datang dan pergi silih berganti. SUTRA misalnya mempunyai ketumbukan penulis dalam bidang penulisan ilmiah barangkali kerana memiliki para pelajar sarjana. SUKEJ pula menyimpan sekelompok penulis yang mampu mengulas dan menghuraikan isu semasa serta melakukan penterjemahan. SUKEK pula selain juga mempunyai jaringan pengkaji thaqafi turut mempunyai identiti tersendiri dalam setiap keluaran. Manakala edisi suara kampus yang lain seperti SKEK, SKEMA, ATOM, SKEP, SKENS, SKEI dan lain-lain antara membina identiti dan ada yang sudah mencuba mendekati bidang reaksi dan luahan pandangan sebagai alternatif merancakkan dunia penulisan kita.

Saya secara jujur tidak mengenali dengan akrab kesemua penulis-penulis yang lahir dalam genre yang pelbagai (kreatif dan non-kreatif) di Ardhil Kinanah ini. Seperti yang saya katakan penulis datang dan pergi silih berganti. Namun saya boleh membuat satu kesimpulan bahawa kemunculan penulis-penulis tersebut berkait rapat dengan kemeriahan agenda penerbitan samaada berwadahkan suara kampus, warta, buletin-buletin dan sebagainya yang selama ini diperjuangkan dengan tarian pena. Justeru, boleh dikatakan BKAN dan DPM yang tidak turut memeriahkan dunia penerbitan menyebabkan penulis-penulis mereka terpaksa menempuh tembok penerbitan di tempat yang lain sebagai wadah penulisan mereka atau mengintai di laman siber.

Dalam genre penulisan kreatif sememangnya saya telah menyatakan bahawa kaum Hawa lebih ramai melibatkan diri hasil tinjauan singkat saya, tetapi dalam genre non-kreatif setelah membuat pemerhatian dan tinjauan Azhari agak terkehadapan walaupun Azhariah turut memberikan persaingan yang juga hebat terutama melalui SKEMA dan SKEI. Inilah realitinya yang terpamer.

Kelahiran penulis-penulis muda dalam genre non-kreatif banyak berkait rapat dengan keterlibatan langsung mereka dalam penerbitan baik di peringkat PMRAM, BKAN mahupun DPM. Jika diperhatikan, sebenarnya ramai di kalangan Azhari dan Azhariah kita yang mampu menulis, tetapi tidak semua mampu menulis dengan baik. Pengabaian terhadap aspek-aspek penulisan yang sempurna menyebabkan hasil yang ditampilkan tidak mencapai tahap kepuasan khalayak pembaca dan ciri-ciri penulisan yang tepu. Pun begitu saya amat berbangga dengan secangkir usaha tersebut, kerana tanpa usaha seperti itu mana mungkin akan lahir penulis-penulis islam pada masa hadapan sebagai mana mereka yang telah terdahulu. Sunnah ulamak silam dan kontemporari tidak mengabaikan aspek penulisan sebagai salah satu medium dakwah mereka, sebaliknya ada yang menjadikan penulisan sebagai medium yang paling berkesan, wajar diinterpretasikan dalam budaya para Azhari.

Jika kita kembali melihat sejarah Nusantara bagaimana penulisan telah menjadi salah satu wasilah paling berkesan membakar api kebangkitan menentang penjajah. Nama-nama seperti Syed Syeikh Al-Hadi, Tahir Jalaluddin al-Falaqi dan ramai lagi yang menyebarkan kefahaman islam melalui Al-Imam banyak mengukir alasan kebangkitan penentangan tersebut. Selain mereka, ramai lagi tokoh-tokoh ulama dan sasterawan yang telah memanfaatkan sepenuhnya bidang penulisan sebagai cara untuk menyampaikan Islam dan membangkitkan kesedaran di kalangan umat Islam. Maka tercernalah tugas para penulis.

Kebanyakan penulis di Lembah Nil (Non-kreatif) memusatkan genre penulisan mereka dalam bidang karangan ilmiah sebagai proses menterjemahkan thaqafah. Penulisan kertas-kertas kerja ilmiah, artikel ilmiah, diskusi kitab, penterjemahan dan sebagainya antara contoh penulisan ilmiah yang wujud di kalangan Azhari. Malah nama-nama seperti Zahari Ali, Zaharuddin Mohammad, Tirmizi Taha, Tuan Saripuddin Tuan Ismail, Zahari Sulaiman, Ahmad Yusuf, Anhar Opir, Mohd Asri Mat Daud, Dayang Siti NurAini, Mahyuddin Hashim, Zairi Al-Amir, Yasmin Hanani (kebanyakannya adalah dilamar sebagai kolumnis penerbitan) dan ramai lagi antara contoh mereka yang melibatkan diri dalam penulisan ilmiah baik di lidah rasmi PMRAM mahupun di suara kampus dan buletin. Manakala Zairol Aladib, Ubaidillah Alias, Almarjan Yusof, Azrul Azlan, Hadi Abdullah, Lenny Kurniasih, Tarmizi Balya, Fakerei Muhayidin, Fatimatuzzahra', Wan Hasnawiyah, MdZuhi, Ibnu Ismail, Fauzan Naim, Fairuzah Mustaffa, Ahmad Sidqi dan ramai lagi yang tidak saya sebutkan nama mereka menulis dalam pelbagai ruang seperti komentar isu semasa, reaksi, pendapat dan sebagainya. Inilah bukti bahawa kita mempunyai simpanan penulis yang ramai dalam genre non-kreatif berbanding genre kreatif seperti cerpen, novel, puisi dan lain-lain.

Sudah sampai masanya kita bukan hanya terperap menanti saban keluaran penerbitan untuk menyalurkan karya, tetapi perlu menjengah ke gerbang siber yang lebih luas lapangannya. Anjakan paradigma penulisan perlu bermula. Tapak-tapak laman web perlu diselongkar untuk menyalurkan mesej dakwah. Laman-laman webzine yang membuka peluang penulisan juga bukan sedikit dewasa ini mewajarkan penyertaan warga Azhari. Jika yang berkebolehan dalam bidang ICT, saya menganjurkan kalian membuka laman web peribadi untuk dipublishkan agar segala penulisan kalian akan menjadi bahan bacaan dan rujukan di dunia tanpa sempadan itu. Bagi penulis-penulis yang telah menyiapkan buku syabas diucapkan. Antara yang terkini dalam genre penulisan ilmiah berbentuk kertas kerja Monograf Andalus II, himpunan tujuh buah kertas kerja dalam pelbagai perbahasan adalah contoh yang agak berkesan sebagai usaha membudayakan thaqafah di kalangan warga azhari sekaligus menjadi pemangkin dan galakan kepada penulis-penulis lain.

Namun perlu diingatkan menulis dalam penulisan ilmiah memerlukan kekuatan tersendiri. Penulis tidak bebas mengutarakan perbahasan tanpa mempunyai fakta, rujukan dan pembacaan yang luas. Ini kerana bidang ini bertujuan untuk menyampaikan ilmu, menyemarakkan dakwah dan menggerakkan jihad. Sudah tentu sesuatu yang bermatlamat mempunyai disiplin yang ketat. Dispilin pula perlu diikat dengan sikap penulis itu sendiri. Penulis perlu memikili keikhlasan, kejujuran, kesedaran dan sensitiviti yang tinggi terhadap apa yang hendak ditulisnya. Tanpa ilmu penulisan akan tersasar. Ole itu jangan menulis kerana nafsu. Penulisan yang tidak jujur akan menimbulkan kecelaruan dalam komuniti masyarakat. Misalnya Astora Jabat yang mencetuskan pelbagai kontroversi dalam hal berkaitan agama Islam dan fiqh, Faris Nor dengan tulisannya mencela Baginda SAW, Sister In Islam dengan penulisan yang menyeleweng, Akbar Ali mempersenda Islam dan Mufti, Zainah Anwar, Malik Imtiyaz Sawar dan Kassim Ahmad antara pengeliru kesan meletakkan wahyu di bawah tapak kaki. Makin menyedihkan apabila terdapat penulis-penulis bukan Islam yang 'berani' mempersendakan Islam melalui penulisan.

Lalu persoalannya di sini siapakah yang perlu menjawab segala kecelaruan dan tohmahan yang ditimbulkan itu? Para Ulamak muktabar terdahulu membasahkan tinta mereka di lembaran kertas agar ilmu yang mereka miliki akan tersebar sepanjang zaman. Imam An-Nawawi, As-Suyuti dan ramai lagi antara contoh yang sangat menonjol melalui hasil-hasil karya mereka. Jika Imam Ibn Kathir di akhir hayatnya buta akibat terlalu banyak menulis, siapa pula kita? Tugas untuk menjawab segala kecelaruan dan tohmahan terhadap Islam masa kini terpundak di bahu kita selaku agamawan. Jika bukan kita yang mengambil bahagian, kepada siapa lagi hendak dibiarkan?

Justeru izinkan saya mengusik penulis-penulis kita dan lebih-lebih lagi khalayak yang mempunyai bakat dalam bidang penulisan tetapi kerana tidak mahu mencuba, malas dan takut bakat itu dibiarkan mati lebih awal dari ajalnya. Fikirkan! Kita punya penulis dan penulisan... tetapi kita ibarat tidak tahu di mana kita dan ke mana kita? Bukan begitu?- TAMAT

24 Ogos 2003

*** Tersiar di kolum Realiti, Suara Kampus edisi Iskandandariah (SKEI bil. 18) 2003.

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1