Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003
AL-GHAZALI: PERINTIS FALSAFAH ISLAM
Oleh: Akhi Masrawi
DALAM dunia falsafah Islam
Al-Ghazali merupakan perintis awal yang sangat terkenal. Beliau yang mendapat
gelaran "Hujjatul Islam" adalah Ilmuwan ulung yang sangat berjasa terhadap
perkembangan dunia keilmuan Islam. Nama lengkap beliau ialah Abu Hamid Muhammad
bin Muhammad bin Muhammad bin Ahmad al-Ghazali at-Tusi. Lahir di Tus, Khurrasan
pada tahun 450H.
Ayahnya merupakan seorang sufi yang sangat wara' dan kerjanya memintal dan
menjual benang yang ditenun dari bulu biri-biri. Turut mendedahkan anak-anaknya
dengan asas sufi. Al-Ghazali mempunyai seorang saudara lelaki bernama Ahmad.
Pada mulanya beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya sendiri dalam bidang
Fiqh dan kemudian meneruskan kembara Ilmu ke Jurjan. Pernah berguru dengan
beberapa orang ulamak terkenal pada zamannya, misalnya Imam al-Juwaini di
Naisabur dan Nizam al-Muluk di Muaskar. Melalui Nizam al-Muluk, Al-Ghazali
diterima mengajar di Madrasah Nizamiyah di Kota Baghdad disokong kemahiran
bermuhadharah sehingga menjadikan dirinya seorang Ilmuwan yang amat terkenal
dalam bidang Fiqh, Ilmu Kalam dan Falsafah pada zaman tersebut.
Lantaran mewarisi sifat Ulamak Islam beliau juga sering bermusafir dan
mengembara dari sebuah negara ke negara yang lain bagi menambah ilmu dan
menyebarkannya. Sangat dihormati oleh Pemerintah Bani Saljuk dan Abbasiah kerana
keilmuannya yang mendalam dan mempelopori bidang ilmu falsafah. Menurutnya
keilmuan dan keistimewaan para sufi tidak akan dapat dipelajari melalui
buku-buku kecuali dengan pengalaman dan merasainya sendiri.
Falsafahnya telah meninggalkan kesan yang berpengaruh dalam diri para Intelek
Islam seperti ar-Rumi, Ibn Rusyd, syah waliuLlah dan ramai lagi. Setelah
beberapa lama mengembara dan mempertajamkan ilmu serta sikapnya sebagai seorang
sufi, al-Ghazali kembali ke Naisabur atas desakan Fakhrul Muluk, anak kepada
Nizam al-Muluk untuk kembali mengajar di Madrasah Nizamiyah. Namun tidak
beberapa lama setelah itu, Fakhrul Muluk mati terbunuh dan Al-Ghazali kembali
semula ke Tus dan membuka sebuah madrasah bagi menyebarkan ilmu dan mendidik
hati. Al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada tahun 505H dalam usia 55 tahun.
ASAS-ASAS FALSAFAH AL-GHAZALI
Menurut Al-Ghazali falsafah secara ringkasnya dikatogerikan kepada enam aspek
penting iaitu: matematik, fizik, metafizik (KeTuhanan), politik, logik dan etika
(akhlak). Malah menurutnya Islam tidak melarang mempelajari ilmu-ilmu seperti
falsafah Greek asalkan ianya tidak bertentangan dengan Islam sebagaimana
dibahaskan di dalam karyanya yang berjudul "Tahafut al-Falasifah" mengenai fizik
dan metafizik yang mengatakan alam ini terurus dengan sendiri tanpa kawalan.
Walaupun beliau bersetuju dengan sumbangan teori falsafah yang dipelopori oleh
Aristotles dan Plato terhadap nilai keilmuan Islam, namun tidak semua diterima
oleh beliau kerana terdapat sejuzuk dari bidang falsafah yang bertentangan
dengan akidah Islam.
Dalam kitab "al-Munqidz Min ad-Dhalal" al-Ghazali menyatakan bahawa para Filosof
yang menganut pelbagai mazhab dan yang membawa pemikiran yang berciri kekufuran
dapat dibahagikan kepada tiga golongan:
a. Golongan ad-Dahriyyah (Aties)
Golongan ini mengingkari adanya Tuhan. Kata mereka, alam ini ada dengan
sendirinya. Seperti haiwan yang ada melalui mani dan mani dari haiwan tanpa
kesudahan lingkarannya, demikian pula halnya dengan alam ini. Golongan ini
adalah zindiq.
b. Golongan at-Tobi'iyyah (Naturalis)
Golongan ini memusatkan perbahasan pada alam fizika, terutama haiwan dan
tumbuh-tumbuhan. Keajaiban yang mereka temui menjadikan mereka mengakui adanya
Pencipta yang Maha Bijaksana. Golongan ini berpendapat setiap jiwa akan fana dan
tidak kembali lagi. Lantaran itu mereka mengingkari adanya hari akhirat, syurga
dan neraka. Golongan ini juga termasuk zindiq.
c. Golongan al-Ilahiyyah (Theis)
Golongan ini muncul dari dua golongan yang telah dinyatakan. Seperti Sokrates,
Plato dan Aristoteles. Kesan daripada itu, Aristoteles telah menyanggah
pemikiran para filosof sebelumnya, tetapi dia sendiri tidak mampu membebaskan
diri dari sisa-sisa kekufuran. Namun ilmu-ilmu falsafah selain yang
membincangkan tentang KeTuhanan boleh diterima selagimana tidak bertentangan
dengan ajaran Islam. Sebagai contoh Al-Ghazali menunjukkan satu contoh dalam
ilmu matematika yang tidak dapat diingkari kebenarannya.
Adapun dalam bidang keTuhanan Al-Ghazali berpendapat para filosof banyak
bertentangan dengan agama Islam, sehingga wajib ditolak. Untuk maksud tersebut
karyanya yang berjudul "Tahafut al-Falasifah" yang mengemukakan 20 masalah yang
tidak sesuai dengan Islam (meliputi hal kufur dan bid'ah) harus diteliti oleh
Umat Islam. Konklusi yang dibuat oleh Al-Ghazali di dalam perbahasan kitab
tersebut meletakkan tiga aspek pertentangan antara filosof dan Islam iaitu:
1. Filosof menganggap qadimnya alam
2. Tuhan tidak mengetahu peristiwa-peristiwa kecil yang berlaku di bumi
3. Mengingkari kebangkitab semula jasad pada hari akhirat
Sebagai cadangan untuk menyelak pemikiran falsafah Al-Ghazali bolehlah membaca
karyanya "Tahafut al-Falasifah" dan "Maqasid al-Falasifah."
PERSPEKTIF SARJANA ISLAM TERHADAP AL-GHAZALI
Para Ilmuwan Islam baik sezaman dengan beliau atau selepasnya amat tertarik
dengan daya pemikiran dan falsafah yang diketengahkan beliau untuk tatapan umat
Islam. Sebagai seorang pengkritik kepada filosof beliau juga tidak terlepas
daripada diertikaikan sebagai seorang ahli falsafah. Contohnya Ibn Rusyd yang
menulis sebuah buku berjudul "Tahafut at-Tahafut" sebagai serangan balas
terhadap dakwaan Al-Ghazali yang menentang pemikiran falsafahnya. Walau
bagaimanapun perkara ini dianggap sebagai suatu kebiasaan para ilmuan
mendatangkan hujah dan dalil terhadap perselisihan pendapat di kalangan mereka.
Perkara sebegini juga berlaku terhadap Plato apabila teori falsafahnya
diperbetulkan oleh muridnya, Aristoteles.
Menurut Ibn Tufail dalam menghuraikan penentangan Al-Ghazali terhadap aspek
metafizik di atas tadi bahawa ianya memang suatu kontradiksi daripada fikirannya
dan ada lain pendapat yang mengatakan ianya kesan perkembangan pemikiran
Al-Ghazali bermula dari peringkat awal pendidikannya sehinggalah beliau
mengalami pelbagai pengalaman dan peningkatan terhadap ilmu pengetahunnya.
Selain Sarjana Islam, Orientalis barat dan penulis-penulis bawat juga sering
menulis tentang Al-Ghazali. Antara mereka ialah J.Wensik, Obbermana, Cara De
Vaux dan lain-lain lagi lantaran kekaguman terhadap teori falsafahnya. Pun
begitu mereka yang sering mengikuti perkembangan Al-Ghazali sering memberikan
pandangan dan penafsiran yang berbeza-beza antaranya B.B Mc donald yang
menyifatkan Al-Ghazali sebagai seorang tokoh yang terkenal di dunia Islam
sebagaimana Augustinus dalam dunia Kristian. Malah Pascal, filofoh terkenal
Perancis sering merujuk kepada pendapat Al-Ghazali dalam falsafahnya.
KARYA AL-GHAZALI
Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali adalah ulamak dan pemikir Islam yang sangat
produktif dalam penulisan. Jumlah hasil tulisannya sehingga kini masih tidak
dapat ditentukan dengan tepat secara defenitif oleh para penulis sejarahnya. Ini
kerana ada di antara kitab-kitabnya yang telah diterbitkan dan masih ada yang
tersimpan dalam perpustakaan makhtutah negara-negara Arab. walau bagaimanapun
Abdurahman Badawi mengklasifikasikan karya Al-Ghazali kepada tiga katogeri.
Pertama kitab yang dikenalpasti dengan tepat sebagai karya Al-Ghazali sejumlah
72 kitab. Kedua, kelompok yang diragui terdiri dari 22 kitab dan ketiga, Kitab
yang dapat dipastikan bukan karyanya sejumlah 31 kitab.
Kitab-kitab yang ditulis oleh beliau meliputi pelbagai bidang ilmu seperti
al-Quran, akidah, ilmu kalam, usul fiqh, fiqh, tasauf, mantiq, falsafah,
kebatinan dan lain-lain. Antara karyanya yang sangat berpengaruh dan dominan
ialah:
1. Tahafut al-Falasifah
2. Ihya' Ulumiddin
3. al-Munqidz Min ad-Dhalal
4. Miskat al-Anwar
5. Maqasid al-Falasifah
6. Majalis Al-Ghazali
7. al-Mustazhari
Hasil karya beliau sering menjadi rujukan terutama dalam bidang falsafah ialah
"Tahafut al-Falasifah" yang banyak membongkar pemikiran dan pendirian beliau.
Karyanya ini merupakan jawapan dan pendirian terhadap falsafah yang bertentangan
dengan akidah Islam. Inilah bukti yang menjadikan beliau ahli falsafah yang
mempunyai keistimewaan. Dalam pencarian hakikat dan kebenaran yang sering
mendorong dirinya menjadi seorang pengkaji yang bukan hanya mendalami ilmu malah
mengamalkan keilmuan dan merasai dzuq seorang muslim sejati. - Tamat.
15 Ogos 2003
*** Tersiar di http://arahkiri.cjb.net isu 15 Oktober 2003.
© AHMAD TARMIZI ISMAIL