Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003
Dunia Islam Tenat!
Oleh: Akhi Masrawi
DALAM sebuah artikel yang
ditulis oleh Subki Latif, menjelaskan bahawa seorang padri - Jerry Fakwell dari
Amerika disifatkan begitu biadap sekali apabila si padri tersebut menempelak
Nabi Muhammad SAW sebagai pengganas di dalam kenyataannya. Sekurang-kurangnya
dengan penyertaan seorang padri dalam kerancakan barat mentohmah dan memburukkan
imej Islam dan umatnya sebagai pengganas bukan sahaja takrif keganasan itu
diterjemahkan melalui suara orang 'berkot hitam' dalam dunia sepak terajang
politik, malah melibatkan mulut institusi gereja yang sewel lagi menyesatkan
itu.
Kalau beberapa waktu sebelum ini dunia hanya digemparkan dengan pendominasian
media massa antarabangsa yang dikuasai barat dalam menghentam Islam dan umatnya
sebagai pengganas dan menganjurkan keganasan, senario hari ini mungkin sedikit
berbeza. Semalam hanya kaki politik sahaja yang bersemuka dalam siri
penghentaman itu, tetapi hari ini padri sendiri yang turun padang. Mengapa ini
semua berlaku?
Sebagai salah seorang umat Islam seharusnya kita menyedari situasi yang berlaku.
Sekurang-kurangnya sensitiviti kita terhadap isu-isu seperti ini membuka minda
dan ruang untuk umat Islam kenal siapa mereka. Tetapi bukan kenal bahawa mereka
adalah pengganas!
Saya tidak begitu tertarik dengan isu ini berbanding isu penulis 'islam' yang
menghina agamanya sendiri. Tentu kita semua sedia ma'ruf akan nama-nama seperti
Farish Nor, Akbar Ali, Zainah Anwar dan NGOnya Sister In Islam (SII), Astora
Jabat dan Malik Imtiaz Sawar (sekadar menyebut beberapa nama) yang begitu
'berani' menulis dan berhujjah menghina Islam dan keperibadian Islam seperti
Baginda SAW, para Mufti dan Ulamak. Mereka ini bertopengkan dengan nama dan
pertubuhan berlabel Islam untuk menghina Islam itu sendiri.
Sekurang-kurangnya jika Jerry Fakwell melabelkan Islam dan nabinya sebagai
pengganas berpadalah bahawa dia hanya seorang paderi. Tetapi sekiranya yang
menuduh dan memburukkan Islam itu seorang Islam dan berautoritikan pertubuhan
Islam seperti SII adakah ini tidak lebih melampau berbanding paderi itu?
Farish Nor di dalam artikelnya: ["Let Islam Lead The Way With Its Progressive
View On Sexuality"] yang termuat di New Straits Time 4 November 2000 antara lain
menulis:
"...The fact that the Prophet had several wives and was known to have had sexual
relations with 15 women, which included the concubine Rayhana who remained
non-Muslim all her life is proof of the humanity of the Prophet."
Terjemahan: "Fakta bahawa Nabi mempunyai beberapa orang isteri dan diketahui
telah mengadakan hubungan seks dengan 15 wanita termasuk seorang gundik bernama
Rayhana yang tidak Islam sehingga akhir hayatnya adalah bukti mengenai sifat
kemanusiaan Nabi"
dan di dalam artikel ["The Myth Surrounding the Islamic State"] NST 1hb Disember
2001:
"... the Prophet himself, in his specific historical context, was a tribal
leader, and so the early oath of allegiance given to him were as atribal rather
than just a religion leader."
Terjemahan: "... Nabi sendiri dalam konteks sejarahnya adalah seorang pemimpin
suku, dan oleh kerana itu ketaatan awal kepada baginda diberi kerana baginda
adalah pemimpin suku lebih dari pemimpin agama.." dan beberapa contoh lain lagi
(sekadar menyebut beberapa contoh).
Beberapa contoh yang saya kemukakan itu jelas menunjukkan pendirian dan
kefahaman Farish tentang apa itu Islam. Apakah seseorang itu benar-benar Islam
apabila sanggup melabelkan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang yang bersifat tidak
senonoh itu!. Di mana letaknya kedudukan seorang anak apabila sangguh mencela
ayahnya sendiri? Inikan pula seorang Nabi! Saya lebih kecewa dan marah akan hal
ini. Apa tidaknya seorang manusia yang maksum (tidak melakukan dosa) seperti
para nabi sentiasa diberikan petunjukkan dalam setiap tindakannya bukan bahan
cela manusia seperti Farish. Nabi tidak bercakap berdasarkan hawa nafsu, segala
yang dituturkan adalah wahyu. Apa lagi perbuatannya mencerminkan syariat!
Akbar Ali pula menulis artikel: "Now The Mufti Blame Hindi Films", di dalam The
Sun, 21 Februari 2001:
"Perhaps the turbans of the mufti are too tight and therefore not enough oxygen
is getting into their brains. They are not thinking straight."
Terjemahan: "Mungkin serban mufti-mufti terlalu ketat dan sebab itu tidak cukup
oksigen masuk ke dalam otak mereka. Mereka tidak berfikiran waras."
Apakah autoriti Akbar Ali untuk mempertikai kedudukan mufti, keilmuan,
kewibawaan mereka dan menghina amalam sunnah yang dipraktikkan? Akbar tidak
sepatutnya sekali-kali menghina sunnah sekiranya dia sendiri tidak mampu
melaksanakannya. Inilah salah satu bentuk penghinaan yang melampau. Malah bukan
itu sahaja Akbar juga menyifatkan perundangan islam sebagai perundangan yang
tidak adil menerusi artikel yang ditulisnya: "Death for Apostates Unjust" oleh
Akbar Ali - The Sun, 14 Julai 1999.
Manakala NGO Sister In Islam juga acap kali mengeluarkan kenyataan, artikel dan
rencana yang menyeleweng dari Syariah Islamiah itu sendiri. SIS bukan sahaja
telah mengeruhkan pemahaman Islam berkaitan wadah perjuangannya untuk
mempertahankan hak golongan wanita, malah turut mengecam institusi Fiqh Islami
bilamana sengaja menimbulkan kekeliruan dan pandangan yang salah berkaitan hal
hukum-hakam. Saya pernah menulis satu artikel tentang kebodohan SIS menilai
perundangan Islam dalam erti kata SIS bukan sahaja keliru malah mengelirukan.
Selain itu, Zainah Anwar, Kassim Ahmad, dan Malik Imtiyaz Sawar antara pemuka
tambahan yang sering mempersoalkan tentang Islam. Muak rasanya berhadapan
golongan seperti ini. Saya suka menyifatkan golongan seperti ini sebagai
'pengikut hawa nafsu' akibat meletakkan wahyu di bawah tapak kaki mereka
sendiri.
Bagaimanapun, pemahaman Islam yang jernih dan hakiki perlu diperkemaskan semula.
Manusia-manusia seperti Farish Nor, Akbar Ali, Zainah Anwar dan NGOnya Sister In
Islam (SII), Astora Jabat dan Malik Imtiaz Sawar dan seangkatan dengan mereka
wajar kembali kepada Islam yang hakiki. Buanglah kepentingan apa-apa demi
kemaslahatan di akhirat kelak. Saya percaya, dunia Islam tidak akan rugi dengan
kebiadapan yang ditonjolkan kalian, tetapi ingatlah bahawa Janji Allah pasti
berlaku.
26 Jun 2003
© AHMAD TARMIZI ISMAIL