Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003
Sifir Kehidupan: Mari menghitung!
Oleh: Akhi Masrawi
Dalam kehidupan ini kita ada
sifir untuk dihitung. Jawapan dari congakan sifir itu selalunya tepat
sebagaimana hitungan di atas kertas. Tidak akan ada jawapan yang lain bagi
jumlah 2 X 2 yang sudah tentu 4, walaupun melalui kaedah 2 + 2 juga 4. Di dalam
iktiqad seorang hamba kita mengenalinya sebagai sunnatullah.
Mari kita mula mengira: Selalunya balasan bagi perbuatan baik mengikut sifir
kehidupan adalah juga balasan yang baik. Seorang yang menolong orang biasanya
akan ditolong pula. Seseorang yang memperdaya, menganiaya orang lain selalunya
akan menerima balasan yang buruk sebagaimana keburukan yang dilakukannya kepada
orang lain. Itu yang saya katakan sebagai salah satu sifir kehidupan. Banyak
lagi contoh-contoh yang lain yang juga merupakan sifir kehidupan.
Tetapi, kadangkala sifir ini berubah. Namun bukan kerana jawapannya yang
berbeza, tetapi sifir ini berubah bila pengiraannya tidak sebagaimana yang
sepatutnya. Di dalam ilmu matematik, jalan kira adalah antara faktor untuk
mendapatkan jawapan yang tepat. Bila jalan kiranya salah, selalunya jawapannya
juga salah... kecuali jawapan meniru!
Kita boleh menolong orang, tetapi jangan mengharap kita akan ditolong! Berapa
ramai yang kita mahu tolong, tolonglah! Tetapi jangan mengharap dibalas. Ini
salah satu sifirnya. Bila pula ia menjadi salah? Apabila kita menolong orang dan
kita mengharap orang itu akan menolong balas kita pula nanti.
Bumi ini tidak dijadikan sia-sia. Peredaran cakerawala di paksinya berputar
mengikut laluan dan tempohnya yang tertentu pernahkan kita fikirkan? Kejadian
malam dan siang yang sering bersilih ganti, pasang surut air laut, gerhana,
hujan, bencana alam, sehingga ke perkara yang paling seni sebenarnya berjalan
mengikut sunnah yang telah disusun. Semua itu juga berjalan atas kiraan yang
ditentukan. Bayangkan jika malam berterusan dan siang tidak muncul, apa akan
berlaku?
Jangan salahkan orang lain bila sifir itu berubah. Jangan kecewa kalau hari ini
kita menolong seseorang, sehingga suatu masa nanti bila kita amat mengharapkan
pertolongan orang itu, dia tidak dapat menolong. Jangan salahkan orang lain!
Tolong jangan salahkan orang lain!
Menonton kehidupan manusia realiti tidak seumpama menonton lakonan manusia dalam
filem. Apa yang berlaku dalam susunan plot filem mungkin tidak boleh terjadi
dalam dunia realiti. Begitu juga setiap yang ditulis dalam plot-plot cerpen atau
novel kadangkala khilaf dengan dunia sebenar walaupun karya kreatif juga
selalunya menceritakan kehidupan manusia.
Dalam filem hero biasanya tidak dapat dikalahkan. Falsafah bagi watak hero
adalah menang. Dalam setiap hal yang dipaparkan hero mesti menang. Jika hero
kalah, filem sudah tidak berupaya dikagumi lagi. Kerana filem sudah tidak
menjadi filem. Begitu juga halnya bila saya menulis dalam karya saya bagaimana
Syam akhirnya menerima Aisyah sebagai isteri walaupun keterjebakkan Aisyah dalam
dunia noda lesbianisme membataskan dinding bezantara antara watak Syam dan
Aisyah (Masihkah Ada Sinar - Akhi Masrawi). Dalam dunia realiti adakah ada
lelaki seperti Syam itu? Seorang yang berpelajaran dan berlatarkan agamawan
sanggup menerima perempuan sekotor Aisyah dari hanyir lesbianisme sebagai
isteri! Jawapannya mudah... kita punya sifir kehidupan. Hisablah sendiri!
Oleh sebab itu kita akan tetap percaya bahawa keimanan kita kepada Allah adalah
iktikad yang soheh. Ibadah kita adalah ibadah yang soheh, puasa kita, zakat kita
dan haji kita adalah haji yang soheh bila iktikad kita adalah iktikad yang soheh
dan kita melakukan sebagaimana disuruh iaitu mengikut jalan kira yang sudah
ditentukan. Oleh itu berimanlah kepada qada' dan qadar sama ada baik atau buruk
yang disuratkan kepada kita kerana itulah yang patut kita redhai, kerana apa
yang ditentukan oleh Allah kepada kita berisi hikmah yang ranum.
Mencurahkan kebaikan kepada orang lain pasti ada ganjaran dari Allah. Tidak luak
walau sedikit amal kita selagi keikhlasan menghiasinya. Tidak rugi andai kita
tidak dibalas makhluk, kerana sifir yang paling tepat ada pada Allah. Bila sifir
yang selalu kita hitung sudah tidak betul lagi... misalnya bila manusia
melakukan kebaikan dia selalunya dicemuh, bila manusia melakukan kemungkaran dia
disokong... ingatlah betapa sifir Allah itulah jawapan yang tepat.
Apa nak resah? Jika begitu!
22 Jun 2003
© AHMAD TARMIZI ISMAIL