Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

HUKUM AL-QADHA'(MENGHAKIMI) DALAM ISLAM

Oleh: Akhi Masrawi

Berlaku perselisihan untuk menentukan hukum al-Qadha' di dalam Islam. Perselisihan tersebut boleh dikatogerikan kepada 3 keadaan:

Pertama: Hukum al-Qadha' ke atas Masyarakat.

Hukum al-Qadha ke atas Masyarakat adalah fardhu kifayah, maka apabila telah melaksanakan sebahagian terlepaslah sebahagian lain dari menanggung dosa. Imam al-Nawawi menyatakan di dalam Rawdhah at-Tolibin: al-Qadha'dan Imamah adalah fardhu kifayah. Apabila didirikan sebahagian yang berkeupayaan maka terlepas kefardhuan ke atas yang lain, dan sekira tidak terlaksanan maka berdosa kesemua dan boleh memaksa akan Imam ke atas seseorang untuk melaksanakan Qhada'.

Kedua: Hukum al-Qadha' ke atas Imam (Ketua Negara)

Fuqaha' telah bersepakat bahawa hukum al-Qadha' ke atas Imam atau Hakim adalah fardhu Ain. Ini kerana al-Qadha' adalah sebahagian tugas yang meliputi tugasan khilafah, maka wajiblah bagi imam menentukan atau melantik Qadhi yang memenuhi syarat dan kelayakan, walaupun hukum asal adalah ke atas dirinya (Imam). Ini berhujahkan bahawa Rasulullah SAW melakukan tugas menghukum (al-Qadha') dan setelah luasnya empayar Islam Baginda telah mewakilkan sebahagian wilayah kepada sahabatnya seperti Mu'az yang diutuskan ke Yaman dan Utab bin Asyad ke Mekah dan selain mereka.

Ketiga: Hukum al-Qadha' ke atas afrad al-mujtama' (individu masyarakat)

Perselisihan adalah seperti berikut:

1. al-Ijab (Wajib): Menjadi wajib ke atas individu yang dilantik menjadi Qadhi dan tiada orang lain yang layak melainkan dirinya. Maka apabila dilantik wajib ke atasnya, dan apabila menolak maka berdosa kerana meninggalkan wajib aini. Ini juga kerana melalui al-Qadha' meliputi maslahah umum.

2. al-nadb (Sunat): Menjadi sunat ke atas hak orang yang selainnya masih ada yang berkelayakan, akan tetapi kelayakannya melebihi orang lain.

3. al-tahrim (Haram): Haram ke atas individu yang tidak mempunyai kelayakan dan syarat-syarat sebagai seorang Qadhi, atau ada padanya syarat tetapi diketahui bahawa dia tidak boleh berlaku adil atau melakukan perkara lain yang menjejaskan kelayakan. Dan berhukum dengan tidak adil ditegah oleh Allah SWT.

4. al-karahah (Makruh): Menjadi makruh apabila seseorang memenuhi kelayakan tetapi ada orang lain yang lebih baik berbanding dirinya. Telah berkata Imam ar-Rafie: Makruh baginya pada ketika ini memohon dan begitulah juga menerima kerana terdapat larangan."

5. al-Ibahah (Harus): Harus bagi mereka yang sama kelayakan dengan orang lain, maka baginya pilihan sama ada menerima perlantikan qadha' atau menolaknya.

10 Jun 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1