Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

HUKUM JIHAD

Oleh: Akhi Masrawi

Para ulamak bersepakat bahawa jihad adalah sesuatu yang disyariatkan, akan tetapi mereka berselisih tentang hal pensyariatan adakah menunjukkan wajib atau menunjukkan sunat.

Bagi memperjelaskan hukum jihad Dr Ibrahim Raf'at Jamal membahagikan kepada dua keadaan (hal) iaitu:

Hal pertama: Hukum jihad semasa hayat Baginda SAW
Hal kedua: Hukum Jihad selepas kewafatan Baginda SAW

Hal Pertama:

Para fuqaha' telah berselisih pendapat tentang hukum Jihad semasa hayat Baginda SAW kepada tujuh pandangan/mazhab:

Mazhab pertama: Ashab mazhab ini berpandangan bahawa hukum jihad adalah fardhu ain ke atas semua umat Islam semasa hayat Baginda SAW seperti kefardhuan aini yang lain seperti solat, zakat, puasa dan haji. Pendapat ini disandarkan kepada 'Ato' dan Auzai'e dari kalangan tabi'en dan ia merupakan kata-kata Ibn Umar sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Razi di dalam tafsirnya, juga apa yang dinaskan oleh sebahagian as-Syafieah. Mereka menyandarkan pendapat ini kepada ayat Surah al-Baqarah ayat 216.

Mazhab kedua: Hukum jihad adalah wajib aini ke atas para muhajirin (orang yang berhijrah) tidak selain mereka. Pendapat ini disandarkan kepada al-Mawardi dari kalangan fuqaha' as-Syafieah berdalil bahawa kewajipan hijrah adalah ke atas umat Islam Makkah yang berhijrah ke Madinah.

Mazhab ketiga: Hukum jihad adalah Fardhu ain ke atas para al-Ansar (Orang Madinah) tidak selain mereka. Pendapat ini adalah pendapat Imam as-Suhayli dan menyandarkan kepada hujah bahawa al-Ansar adalah mereka yang berbai'ah kepada Baginda SAW untuk menolong Baginda. Maka ini menunjukkan bahawa pandangan mazhab kedua dan ketiga meletakkan kefardhuan kepada selain taifah (kumpulan) yang ditentukan adalah berupa fardhu kifayah.

Mazhab keempat: Jihad adalah fardhu yang menunjukkan wajib aini ke atas semua umat Islam baik semasa hayat Rasulullah SAW mahupun selepas kewafatan Baginda. Ini adalah pandangan Said bin Musayyib dan Makhul daripada kalangan fuqaha' tabien. Mereka bersandarkan kepada dalil ayat 41 dari surah at-Taubah.

Mazhab kelima: Jihad adalah tatawu' (sunat), merupakan salah satu qaul Ibn Umar dan merupakan pandangan as-Thauri dan Ibn Syubramah daripada kalangan tabien. Mereka menyandarkan hujah kepada ayat al-Baqarah: 180.

Mazhab keenam: Jihad pada ketika hayat Baginda SAW adalah wajib aini terhadap peperangan yang dihadiri oleh Baginda SAW dan bagi peperangan yang tidak dihadiri oleh baginda adalah fardhu kifayah sebagaimana yang didakwa oleh Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fathul Bari dan tidak disandarkan kepada mana-mana ulamak.

Mazhab ketujuh: Akthar ahli ilmu (jumhur) adari kalangan Fuqaha', Mufassirin dan Muhaddisin berpandangan bahawa hukum jihad pada ketika hayat Baginda SAW adalah fardhu kifayah. Bererti apabila dilakukan sebahagian umat Islam maka terlepaslah tanggungan yang lain. Hujah yang didatangkan ialah ayat 95 dari surah an-Nisa', ayat 122 dari surah at-Taubah di mana menunjukkan bahawa kefardhuan jihad adalah fardhu kifayah.

Pandangan yang rajih (terpilih): Setelah diteliti hukum jihad pada hayat Rasulullah SAW adalah fardhu kifayah sebagaimana pandangan mazhab jumhur berdasarkan kepada dalil yang kuat dan pandangan ini juga bertepatan dengan kaedah pensyariatan di dalam Islam.

Hal kedua:

Fuqaha' membahagikan kepada dua keadaan untuk memperjelaskan hukum jihad pasca kewafatan Rasulullah SAW.

Hal pertama: Adalah kafir di negara mereka (dar kufr).

Jihad menjadi fardhu kifayah apabila ditunaikan sebahagian umat Islam dan terlepas tanggungjawab yang lain. Terhasilnya fardhu kifayah ini apabila ketua negara menentukan pasukan ketenteraan yang memadai bagi memerangi kuffar dan melindungi Umar Islam. Justeru tidak harus bagi seseorang hamba untuk keluar berperang tanpa keizinan tuannya, sebagaimana tidak harus bagi wanita yang tiada keizinan suaminya kerana hak mentaati suami adalah fardhu ain yang perlu didahulukan ke atas fardhu kifayah, sebagaimana hak mentaati kedua ibu bapa bagi seseorang anak lebih awla (utama) dari berjihad dalam keadaan jihad fardhu kifayah.

Hal kedua: Hal-hal yang menyebabkan jihad menjadi fardhu Ain adalah seperti berikut:

Pertama: Apabila ditentukan oleh Imam (ketua negara) sesuatu (kaum) pasukan bersandarkan kepada ayat 38 dari surah at-Taubah.

Kedua: Apabila bertemu dengan musuh maka haram bagi mereka melarikan diri dari berjihad bersandarkan kepada ayat 15-16 dan 45-46 dari surah al-Anfal.

Ketiga: Apabila pihak kafir menyerang negara Umat Islam dan mendudukinya. Maka pada ketika ini wajib aini ke atas setiap umat Islam di dalam negara itu mempertahankan Islam dan negara mereka bersandarkan kepada ayat 41 dari surah at-Taubah.

Komen penulis: "Hal ketiga adalah sebagaimana berlaku dalam dunia penindasan kafir terhadap Umat Islam hari ini seperti yang berlaku di Palestin, Iraq, Checnya, Kosova, Bosnia, Kasymir, dll. Bilakah Islam akan kembali izzah?"

10 Jun 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

 

Hosted by www.Geocities.ws

1