Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003
Berapa kalimah kau bertutur dalam sehari?
Oleh: Akhi Masrawi
Kita tidak pernah mengira
berapa kalimah yang dituturkan kita dalam sehari, apatah lagi untuk mengira
kalimah yang kita tuturkan dalam seminggu, sebulan, setahun dan seumur hidup.
Terlalu nadir, akan kita temui manusia yang mengira perkataan yang dituturkan
dalam setiap hari dia melalui kehidupan. Justeru, kita bertutur dan kita
membiarkan pertuturan itu berlalu seperti kita membiarkan setiap detik dari masa
kita berlalu.
Saya pernah menghadkan kalimah yang perlu saya tuturkan dalam sehari. Namun,
saya kemudiannya melupakannya. Bukan kerana saya tidak berjaya, tetapi saya
merasakan saya terlalu terikat.
Cuba kita ambil jam berjarum dan kita lihat pada jarum jam yang bergerak itu.
Setiap gerakan yang berdetik pada jarum itu tidak lagi akan berulang. Masa terus
berlalu. Masa di dalam kehidupan realiti tidak akan menjadi seperti masa yang
dipaparkan di dalam 'Back to the future' di mana watak bisa kembali ke zaman
lampau dan pergi ke masa akan datang. Ini kerana itu hanyalah filem yang
disarati mitos dan kita yang berakal waras ini juga tidak percaya. Kalau begitu
benarlah kehidupan ini, ia tidak akan berulang pada masa yang sama. Kalau hari
ini pada jam 2 petang kita makan nasi berlauk ayam bersama keluarga kita,
mungkin esok hari pada jam yang sama dan tempat yang sama dan orang yang sama
kita makan makanan yang sama; itu bukanlah sama, kerana walaupun tragedi dan
pristiwanya sama tetapi kita jangan lupa masa sudah pun berbeza.
Dalam kehidupan, kita sering berkomunikasi. Dan setiap kemunikasi itu selalunya
meninggalkan perasaan tertentu yang merupakan tanggapan kita terhadap orang
tersebut. Misalnya kita berkomunikasi dengan pensyarah kita di kuliah, persepsi
kita terhadap pensyarah itu sama ada kita menganggapnya hebat, berilmu luas,
peramah dan sebagainya sudah tentu berbeza dengan persepsi kita terhadap orang
lain yang turut berkomunikasi dengan kita. Begitu juga dengan manusia lain
terhadap kita, mereka punya hak untuk menganggap apa-apa terhadap kita. Namun,
pernahkah kita mengira berapa kalimah yang telah kita tuturkan?
Bercakaplah sekiranya setiap kata-kata itu memberikan manfaat, dan diamlah jika
perkataan yang ditutukan itu bakal mengundang sesuatu yang tidak baik. Kita
mungkin pernah mendengar pepatah yang mengatakan: "berkata-kata itu perak,
sedang diam itu emas." Namun, saya beranggapan tidak semua perkara perlu diukur
dengan menggunakan 'pembaris' yang sama.
Bagi seorang ilmuan, berkata-kata adalah lebih baik dari diam. Bagi seorang
penipu, diam lebih baik dari berkata-kata. Bukankah ini sudah menjelaskan maksud
tidak hanya satu pembaris itu?
Di Mesir saya berkomunikasi dengan masyarakat Arab Mesir. Jika ditanya kepada
seluruh masyarakat arab di dunia, mereka akan bersepakat mengatakan bahawa orang
arab yang paling kasar, adalah orang Arab Mesir. Malah saya sendiri mengakui
akan kebenaran provokasi itu. Sememangnya secara literal, orang arab Mesir
sememangnya kasar. Sepanjang hampir empat tahun saya bermukim di sini, saya
dapati satu kesimpulan orang arab mesir memaparkan sosio-budaya kehidupan mereka
menepati tanggapan orang terhadap mereka.
Saya tidak membenci Arab. Apatah lagi Arab adalah bangsa Baginda junjungan.
Baginda Rasulullah SAW lahir dalam masyarakat Arab. Dia bertutur di dalam bahasa
bangsa itu. Tetapi jangan kita lupa bahawa Baginda sendiri pernah mengingatkan
di dalam sebuah hadis: "Tiada perbezaan di antara arab mahupun a'jami (bukan
Arab) selain ketaqwaan."
Saya pernah menempelak seorang rakan sekuliah berbangsa Arab yang menafikan kami
'ajnabi (Orang luar) terhadap keistimewaan kuliah. Dan kebetulan pada masa itu
saya teringatkan hadis dan ayat Al-Quran surah al-Hujurat ayat 13 lantas
membacakan kepada rakan Arab itu. Meski dia berkeras dengan mengatakan 'araby
aula, nahnu sya'bil mukhtar!" (Orang Arab lebih dahulu (baik), kami bangsa
terpilih). Saya mula menanam kebencian kepada bangsa Arab yang angkuh dan
bersifat 'al-qaumiyah' (nasionalis) serta sombong.
'Isam adalah seorang sahabat yang juga berbangsa Arab. Beliau mengubah persepsi
saya sedikit demi sedikit. Sekurang-kurangnya saya berpendapat kita orang Melayu
yang dikenali bersopan santun ini, boleh berkawan dengan arab yang kasar itu.
Saya masih ingat bagaimana saya pernah berjidal (berhujah) dengan 'Isam tentang
persoalan-persoalan berbaur salafi, akidah dan hukum. Dan di dalam setiap
perjidalan itu saya sering kalah, bukan kerana pandangan yang saya utarakan itu
lemah...tetapi penguasaan bahasa saya yang agak kurang memuaskan ketika itu.
Padanlah bagi seorang penuntut tahun satu, yang sering janggal bermulazamah
dengan lughah arabiah baik fushah mahupun ammiah. Namun selepas "Isam dan saya
berselisih faham kami agak kurang mesra seperti di tahun satu dulu. Namun, Arab
seperti Isam boleh dijadikan kawan.
Saya pernah berjumpa dengan seorang pemandu teksi yang menyumpah-nyumpah
Presiden Republik ini. Padanya Mesir terlalu bacul untuk menghulurkan bantuan
kepada mangsa Palestin. 'Muzaharat' (demonstrasi) yang diadakan saban waktu
tidak diendahkan. Dan beliau begitu kesal terhadap polis-polis yang menyekat
suara rakyat. Saya mengira apa yang dituturkan itu seolah beliau menelaah negara
saya (Malaysia). Kemudian bila saya hampir tiba ke destinasi saya beliau
bertanya bagaimana suasana di negara saya. Saya hanya diam dan pemandu itu
tersenyum.
Seorang pemandu teksi lain yang saya sempat berbual ketika perjalanan dari
'Muhafazah ke Talkha' di Mansurah juga meninggalkan persepsi saya bahawa Masihi
di Mesir sudah akrab dengan Islam, cuma mereka tidak mahu memeluk Islam kerana
orang Islam Mesir sendiri tidak menunjukkan contoh yang baik. Dia begitu
bersungguh menanyakan kepada saya apakah 'an-nadzofah' (kebersihan) sebagai
perkara penting di dalam Islam dan beberapa perkara lain yang dilihatnya
diamalkan oleh orang-orang Islam Arab Mesir seperti menipu di dalam berniaga,
bergaduh dll. Tanpa berfikir panjang saya mengiyakan bahawa sememangnya
kebersihan adalan anjuran Islam. Dan akhirnya jawapan saya itu menyebabkan dia
mengutuk umat Islam Mesir yang tidak menjaga kebersihan. Padanya Islam tidak
memaparkan contoh yang baik. Walaupun saya berkeras mengatakan bahawa jangan
melihat kepada orang yang menganut, tetapi lihat kepada Islam yang dianuti, dia
tetap berkeras... bahawa Jika tiada contoh dari yang ada, bagaimana pula yang
tiada! Saya bingung. Kalaupun saya menggunakan pelbagai hujah ketika itu, saya
tetap sukar untuk menang. Benarlah lisanul hal (contoh perbuatan) itu lebih baik
dari lisanul qaul (perkataan).
Simpati terhadap umat Islam yang tidak sedar melantun-lantun, tetapi apa boleh
buat? seorang makmum di Masjid berdekatan tempat tinggal saya bertanya apakah
bersalaman selepas solat itu saya pelajari dari negara saya atau di Mesir. Saya
mengatakan di mana-mana juga orang Islam mengamalkannya. Tetapi selepas itu,
'Ammu (pakcik) itu berkata sambil tersenyum: "Tetapi umat Islam tidak
menyukainya." Ini menunjukkan walaupun bersalaman atau memberikan salam itu
adalah syiar Islam, tetapi umat Islam tidak menyukainya atau dalam lain
perkataan umat Islam tidak me'mulazamah'kannya di dalam kehidupan seharian.
Semalam terakhir saya bertemu dengan seorang 'Ammu yang begitu bersungguh
mengatakan bahawa dia amat menyukai orang-orang ajnabi seperti saya (orang luar
yang datang ke Mesir) kecuali orang-orang wisata (pelancong) yang datang sekadar
melancong seperti orang-orang Eropah. Saya mengukir senyuman. Pada saya itu
hanyalah kalimah 'mujamalah' yang sering saya dengar dari orang-orang Arab
Mesir. Tetapi apa yang sering berlaku dalam kehidupan realiti berkomunikasi
dengan mereka meresahkan.
Saya lebih rela tidak membeli barang di suq (pasar) gara-gara harga yang
ditawarkan adalah harga tipu. Saya lebih rela menjadi 'dagang' di sini, dari
menjadi sebahagian mereka. Saya kira kehidupan masyarakat pelajar di Mesir jauh
berbeza dengan kehidupan masyarakat pelajar di tempat lain. Setiap muka bumi
punya kisahnya yang tersendiri.
Apabila Ammu yang saya temui semalam memperkenalkan dirinya Hassan bertanya
apakah saya akan kembali lagi ke Mesir walaupun setelah saya tamat pengajian dan
pulang ke Malaysia. Saya mengatakan InsyaAllah. Saya sendiri tidak tahu
bagaimana perkataan itu boleh terpacul dari bibir saya. Kalau diikutkan
kemarahan dan persepsi terhadap Masyarakat sini, mahu saja saya katakan yang
saya sememangnya tidak menyukai orang Mesir. Tetapi hari ini, seolah hati saya
sudah dilembutkan. Tidak semua orang Mesir itu sebagaimana persepsi buruk saya
terhadap mereka. Ya ada keburukan, ada kebaikan.
Jangan lupa ramai ulamak lahir dari kalangan orang Mesir. Meskipun bumi ini
berlantaikan tamadun Kinanah, lembahnya dari Nil yang basah, Tidak bermakna Ruh
Musa juga terpisah. Biarlah Firaun, Biarlah Haman, Biarlah Qarun. Watak-watak
jahat itu, watak yang juga ada di mana-mana.
Semakin banyak kita bertutur, semakin banyak peristiwa yang kita alami, semakin
bertambah persepsi dan pengetahuan kita. Semakin itu juga kita menjadi matang
dengan apa yang kita lalui. Pasa saya kehidupan kita ini dipengaruhi oleh
persekitaran, bahan bacaan, orang yang kita dampingi, keluarga, sosio-budaya dan
apa yang kita dekati. Tetapi sejauh mana kita terpengaruh, itu bergantung pada
diri kita sendiri untuk membuat pilihan dan keputusan yang terbaik untuk diri
sendiri.
Akhirnya, berapa kalimah telah kita tuturkan? Yang pasti biarlah manfaatnya
tersebar. Kerana kita adalah haiwan yang bertutur mengikut tanggapan ilmu
mantiq.
4 Jun 2003
© AHMAD TARMIZI ISMAIL