Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003
Paparan Kehidupan: Sayang dan benci!
Oleh: Akhi Masrawi
Pernahkah dengar kata-kata
seperti ini: "Kalau seseorang sayangkan seseorang, maka dia akan lakukan apa jua
demi mempertahankan perhubungan mereka. Dan kadang-kadang timbulnya benci. Bila
sudah benci, dia akan lakukan apa jua demi untuk memperlihatkan kebencian atau
menimbulkan kebencian yang mendalam."
Dalam kehidupan realiti, kita tidak terlepas dengan semua perasaan dan sikap
itu. Kasih, sayang, cinta, benci, dendam, sedih, marah, gembira, seronok, sebak,
hiba, bengang, geram, kecewa, resah, gelisah, risau, harap, cemburu,
bertanggungjawab, bersemangat, ego, emosi, hipokrit, berlagak, sombong,
materialistik, keras hati, memaafkan, sesal, berani, rindu, jujur, ikhlas, lara,
bersalah, malu, segan, pesimis dan bermaca-macam lagi ikon yang mendampingi
kehidupan manusia. Barangkali kita boleh berkata untuk mengikis perasaan dan
sikap yang tidak molek seraya mendominasikan diri mengungguli mahmudah, tetapi
kita perlu sedar sebenarnya kesemua perasaan itu ada dalam naluri kita sebagai
seorang manusia.
Manusia yang baik juga mempunyai perasaan dan sikap yang tidak baik dalam
sesuatu masa. Seorang ahli ibadat tidak mampu khusyu' di dalam solatnya kerana
dunia masih berada di dalam hatinya dan mazmumah seperti riya', ta'ajub dan
sum'ah masih melekat pada dirinya. Seorang ilmuan merugikan ilmunya bila
keikhlasan tidak diselitkan dalam kehidupannya. Seorang pejuang yang mati di
dalam peperangan menentang kuffar belum tentu mampu syahid mencari redha Allah
sekiranya tujuan dan qasod dia berjuang untuk mendapatkan nama dan diingati
serta tiada keikhlasan. Persahabatan tiada makna sekiranya hasad masih tertanam
dalam diri.
Saya tidak patut membohongi diri saya sendiri bahawa saya misalnya menyayangi
seseorang, tetapi kadangkali timbul kebencian pada orang yang saya sayangi itu,
maka perasaan itu menghalang, menyekat dan melambatkan saya menjadikan sayang
itu sebagai perasaan yang tunggal. Mungkin hanya kerana faktor yang remeh kita
boleh membenci di antara satu dengan yang lain. Namun tidak boleh disangkal...
Manusia perlukan manusia. Tiada teori yang kukuh, manusia boleh hidup tanpa
manusia.
Kata-kata di atas boleh jadi betul dalam kehidupan manusia. Manusia dipertemukan
dan manusia juga dipisahkan. Jarak waktu di antara pertemuan dan perpisahan
mungkin hanya sepicing cuma. Tetapi apa yang mereka dapat melalui pertemuan
tersebut, dan apa yang mereka rasa akibat perpisahan tersebut. Pertemuan
kadangkala menimbulkan ukhwah, menimbulkan sayang dan kadangkala juga menimblkan
benci dan menampakkan dendam. Maka mereka yang menjadikan pertemuan dan
perpisahan kerana Allah adalah mereka yang beruntung, kerana Rasulullah
mengkhabarkan bahawa Allah menjanjikan tujuh golongan yang akan berada di bawah
payungan Allah di hari yang tiada payungan kecuali payunganNya, salah satu dari
tujuh golongan itu ialah dua orang lelaki (termasuk wanita) yang berkasih sayang
kerana Allah, bertemu dan berpisah kerannNya.
Mampukah kita menjadi golongan tersebut? Justeru perasaan sayang adalah pengikat
hubungan manusia. Melalui perasaan sayang manusia akan melakukan apa jua demi
mempertahankan hubungan mereka. Manusia sanggup menghabiskan wangnya kerana
sayang itu. Manusia sanggup menanggung risiko kerana sayang itu. Manusia sanggup
menggadai nyawa juga kerana sayang itu.
Tetapi adakah kalian pernah alami, setelah sayang... timbulnya benci, atau
timbulnya keraguan. Dan keraguan itu menyeret supaya kita melakukan sesuatu
supaya kita dibenci atau kita membenci. Akhirnya sayang musnah dan benci
terbina. Nah! betapa senangnya menguburkan sayang.
Cuba kita bayangkan... bahawa orang yang hari ini paling kita sayangi, suatu
ketika dia membenci kita, atau kita terasa membencinya. Apakah yang paling wajar
dilakukan pada waktu itu? Manusia tidak akan hidup di dunia ini dengan hanya
satu sikap tanpa sikap penentang. Sekiranya semua kita mahu menang, siapa yang
akan mengalah? Sekiranya semua manusia pentingkan diri sendiri, hidup ini tidak
lagi bermakna. Pemandu kereta merasakan dirinya lebih penting dari pejalan kaki
ketika di atas jalan raya. Pemandu kereta membayar cukai jalan, sedangkan
pejalan kaki tidak. Jika diikutkan logik, wajar sahaja si pemandu melanggar
pejalan kaki yang telah menggunakan hak si pemandu di jalan raya. Justeru
kesabaran menghalang kebinasaan. Sekiranya si pemandu memberikan peluang kepada
pejalan kaki melalui jalan raya sudah tentu si pejalan kaki juga patut
memberikan ruang kepada si pemandu meneruskan laluan. Tetapi sekiranya
kedua-duanya tidak mahu mengalah? Siapa yang akan untung dan siapa pula yang
akan rugi?!
Kasih sayang dijadikan Allah sebagai pengikat hubungan di antara manusia. Orang
yang berdendam dan membenci tidak akan mampu menjalin hubungan. Bush tidak boleh
berkawan dengan Saddam dan Osama Laden, kerana Bush telah menjadikan mereka
sebagai musuhnya. Tetapi apa akan jadi sekiranya bahang dunia ini hanya dipenuhi
kemarahan, pentingkan diri sendiri, ego, sombong dan tidak bertimbang rasa.
Sudah tentu tercetusnya permusuhan, dan menatijahkan peperangan.
Mustahil dalam kehidupan kita kita tidak boleh atau tidak pernah membenci.
Mustahil dalam kehidupan kita, kita hanya menyayangi. Justeru bila orang yang
pernah kita sayangi, suatu hari dia sudah membenci kita, atau kita merasa
membencinya... apa yang patut kita lakukan?
Saya tunggu respons kalian!
31 Mei 2003
© AHMAD TARMIZI ISMAIL