Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Artikel Pendek: MEMAHAMI KONSEP AKAL MANUSIA

Oleh: Akhi Masrawi

Imam Al-Ghazali dan Ibnu Sina berpendapat akal mememainkan peranan yang penting kepada manusia untuk menerima ilmu pengetahuan. Dua orang pemikir Islam itu merumuskan akal berperanan sebagai gudang ilmu. Dalam erti kata lain akal berperanan menentukan 'kasta' seseorang manusia pada darjat atau kedudukan yang baik dan terpuji kerana keilmuan tersebut. Hal ini bertepatan dengan realiti masyarakat, di mana manusia yang berilmu dan luas pengetahuan dipandang mulia oleh masyarakat.

Di dalam Al-Quran al-Karim Allah SWT mengulang-ulang perkataan yang berkaitan dengan akal melebih 50 kali. Ini menunjukkan betapa mulianya akal kepada manusia berbanding makhluk yang lain. Melalui nikmat akal tersebut manusia menerima taklif. Menerusi akal juga manusia mencari petunjuk serta kebenaran untuk menjadikan kehidupan mereka menghala kepada kebaikan dan menjauhi keburukan.

Akal juga sangat luas peranannya kepada kehidupan manusia. Melalui akal manusia berfikir dan mengkaji untuk menjadikan kehidupan lebih bermakna. Akal akan melahirkan idea yang berkesan untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara. Allah SWT menjadikan manusia sebagai makhluk yang sangat dinamik kerana penganugerahan akal tersebut. Melaluinya manusia mampu mentadbir dan memakmurkan dunia ini bagi melunasi taklif sebagai 'khalifah' serta mematuhi segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.

Pun begitu, kemampuan akal adalah terbatas. Akal tidak mampu menanggap atau memikirkan semua perkara. Oleh sebab itu, manusia perlu menyedari dan menginsafi akan hal kejadian mereka yang tidak terlalu sempurna supaya menjadikan kehidupan seimbang dan tidak bersifat angkuh, sombong dan sebagainya. Renungi sejenak! Akal hanya mampu menaakul apa yang berkaitan dengan alam nyata sahaja, sedangkan apa yang menjangkaui alam ghaib akal tidak dapat mengetahuinya kecuali melalui wahyu sebagaimana yang berlaku kepada perutusan para nabi dan rasul Allah.

Firman Allah SWT: "Dan mereka bertanya kamu (Wahai Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, "ruh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja." (Al-Isra':85)

Ayat ini jelas menunjukkan keterbatasan akal dan keilmuan manusia. Atau dalam konteks yang lain, manusia hanya mampu mengkaji dan melakukan sesuatu dengan ilmu yang mereka miliki dan melalui izin daripada Allah SWT. Walau sepintar dan secerdik mana manusia dan sekalipun sehingga mereka menggabungkan kecerdikan itu dengan menghimpunkan beberapa ramai, tetapi ruangan taakul tetap terhad dan terbatas.

Firman Allah SWT: Katakanlah (Wahai Muhammad): Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun untuk tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu membantu sesama sendiri."

Apa yang ingin saya perkatakan di sini ialah: akal manusia terbatas meski ia merupakan anugerah yang membezakan antara manusia dengan makhluk yang lain. Oleh sebab keterbatasan itu, maka manusia berhajatkan kepada petunjuk yang datang melalui perantaraan rasul iaitu wahyu. Melalui panduan wahyu maka manusia akan mampu mengkaji dan membuat keputusan yang tepat.

Justeru, tidak diertikan ketinggian sesuatu ilmu jika sekiranya ia bertentetangan dengan petunjuk wahyu disebabkan keterbatasan akal manusia itu sendiri.

29 Mei 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

 

Hosted by www.Geocities.ws

1