Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Demam imtihan bermula!

Oleh: Akhi Masrawi

Teringat masa sekolah rendah dulu, nostalgia itu meranum di dinding memori. Apa tidaknya pengalaman enam tahun bertemankan kerusi dan meja kayu banyak mengajar saya erti mencari kehidupan seterusnya. Oleh itu, saya belajar dari falsafah, "jangan sesekali kita salahkan orang lain dengan apa yang kita dapat sekarang" kerana kitalah natijah kepada diri kita. Justeru fahamilah itu adalah takdir Ilahi yang menyimpan maksud dan hikmah yang amat bermakna.

Dulu masa sekolah rendah, tidak pun saya berangan-angan atau menyimpan mimpi suatu hari saya akan menjadi 'anak rantau', yang diberi peluang seperti sekarang dalam safar ilmi yang sangat bermakna. Apalah yang saya mengerti pada usia kanak-kanak itu jika difikirkan semula? Ketika itu yang paling menarik buat saya hanyalah hari penyampaian hadiah yang saban tahun diadakan sekira-kira sesi pengajian akan berakhir. Apa tidaknya saban tahun itu jugalah saya sering menggendong hadiah untuk dibawa pulang. Kecemerlangan akademik dan ko-kurikulum yang kemudian hadiah-hadiah itulah menjadi bahan kebanggaan saya menunjuk-nunjuk pada emak dan ayah.

Mengenangkan itu semua, ingin rasanya diputarkan semula bumi ini ke detik kegembiraan itu. Namun... saat itu tidak akan berulang kembali. Tiada jam yang menanti kita. Tiada mentari yang menunggu kita bersedia, supaya membolehkannya mengubah waktu. Tiada paksi terhenti untuk melambat-lambatkan takdir. Kini setelah berada di menara gading... barulah terasa betapa berharganya detik-detik yang pernah kita lalui, sedangkan detik-detik itulah yang suatu masa dulu kita bosan, resah dan gelisah menghadapinya.

Entah bagaimana, saya menyudahkan UPSR dengan 2A 2B yang menatijahkan dianugerahkan tokoh murid tahun 1992 SKUM, Langkawi. Saya masih ingat bagaimana Pengerusi PIBG menarik tangan saya lalu menghulur not RM 50 sebagai derma peribadinya kepada saya. Perasaan saya waktu itu entah bagaimana. Kegembiraan dan hiba berselingkit. Melalui keputusan itu jua, ayah menerima pelawaan Cikgu Nol (Penolong Kanan 1) waktu itu supaya saya dihantar mengikuti temuduga di Alawiyah, Arau. Alhamdulillah impian ayah supaya saya sambung belajar di sekolah menengah agama kesampaian.

Saya sendiri tidak tahu hala tuju saya kala itu. Bidang agama bukanlah terlalu akrab dengan keluarga saya. Sehingga kini jika dihitungkan kembali, cuma yang berpendidikan agama di peringkat menengah sehingga universiti hanyalah saya. Oleh itu saya berharap kalau-kalau adik bongsu saya juga akan mengikut jejak saya. Ayah dengan pendidikan Inggeris, Kak Chaq di bidang sastera, Teh kekal di jurusan sastera yang kemudian menyambung diploma di ILP, Alang dan Bangcik menjengah aliran teknik dan adik yang bongsu masih di sekolah rendah. Mungkin saya mirip kepada impian emak, kerana susur galur keluarga cuma emak berpendidikan agama, itupun separuh jalan. Adik emak, Pakcik Mansur meski dibesarkan dalam hawa Ma'had Mahmud tetapi beralih ke bidang tentera dan polis.

Haluan saya ketika itu dibentuk oleh ayah, alhamdulillah... saya bersyukur. Sekurang-kurangnya saya diseret mengungguli bidang agama kerana terlontar ke bumi Alawiyah. Jika tidak entahlah di mana sekarang saya berada. Orang lain mungkin adalah faktor yang mendorong, tetapi natijahnya berada dalam kemahuan diri sendiri. Berapa ramai kawan-kawan saya yang mendaftar di tingkatan peralihan di Alawiyah sesi 92/93 itu, tetapi yang kekal dengan aliran agama dan seterusnya menyambung di aliran agama cuma berapa kerat!

Mungkin ramai yang beranggapan, aliran ini menghalang segalanya. Aliran ini jumud dan ketinggalan zaman. Hah... biarlah apa juga anggapan manusia. Manusia tidak akan senang dengan apa yang kita lakukan. Kisah bagaimana Luqman Al-Hakim bersama anaknya bermusafir berserta seekor himar yang diahadiahkan kepadanya masih bermain-main mengetuk dinding ingatan saya. Kadang-kadang kisah sebegitu menjadikan diri termotivasi.

Saya sendiri pernah diherdik oleh Kak Chaq bahawa tiada makna saya belajar di sekolah agama jika masih memakai seluar pendek, akibatnya selepas itu saya beriltizam memakai seluar panjang. Mengapa kita perlu menilai sesuatu itu dengan pandangan yang negatif, jika kesan positifnya lebih bernilai? Berapa ramai yang tahu, budak-budak sekolah agama khususnya SAR dan SAN yang mengamalkan pendidikan bersilibuskan kementerian pendidikan dan silibus ma'had Al-Azhar seperti Alawiyah terpaksa mendepani antara 17-25 subjek saban tahun? Sehingga mereka sanggup untuk mengatakan bahawa pelajar-pelajar SAR tiada kualiti dan disarati masalah.

Bila sudah sampai masanya menentukan haluan sendiri untuk menyambung pengajian, saya memilih Mesir sebagai medan keilmuan seterusnya. Mengapa tidak IPT tempatan? Entahlah. Suara hati saya menjerit supaya Al-Azhar, Universiti Islam tertua ini menjadi medan saya. Betullah, sampai suatu masa kita perlu membuat keputusan daripada pilihan yang ada. Memilih yang tertentu untuk dijadikan keputusan.

Bila kenangkan itu semua, hati jadi hiba. Imtihan ini akan cuba saya hadapi dengan sebaiknya. "Nahnu ma'a ma qaddara Allahu lana." Saya menolak falsafah supaya tidak perlu dikenangkan hari-hari lalu, kerana jika tidak hari-hari lalu itu, masakan sekarang kita begini? Meskipun hari-hari lalu itu pahit dan disarati kegagalan.. ia jugalah yang merubah kita. Dan hari ini juga akan menjadi hari lalu untuk hari mendatang. Sehingga tibanya hari mendatang itu, hari ini perlu dicipta sebaik mungkin supaya hari mendatang yang bakal hadir dalam hidup kita itu sudah bakal menjadikan impian kita tercapai.

22 Mei 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL



 

Hosted by www.Geocities.ws

1