Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

KARYA SASTERA KITA: Mampukah Menghantar Mesej?

Oleh: Akhi Masrawi

AKHI Masrawi bukanlah seorang penulis prolifik yang betah untuk memperkatakan tentang dunia sastera apa lagi untuk menulis di ruangan ini. Namun, setelah mengamati dunia penulisan kreatif lewat beberapa tahun permukiman di dada kiblat Ilmu ini, juga tercampak menulis dalam genre cerpen, puisi dan rencana untuk penerbitan suara kampus edisi PMRAM, saya merasa terpanggil menyuarakan pandangan dari pojok peribadi mengusik dunia penulisan kreatif 'kita'. Mungkin bukan sebagai seorang penulis atau pengkritik sastera, tetapi sebagai seorang pemerhati yang membaca dan menilai.

Pengamatan selama hampir empat tahun itu menemukan saya bahawa lingkar budaya warga Azhari dan Azhariah di Lembah Kinanah masih jauh dengan dunia karya sastera. Tidak ramai yang sudi menghampiri serta menggulatinya. Apa lagi untuk bercumbu dengan bunga-bunga bahasa, meraba kesenian dan lekuk-lenggok tatabahasa serta mengaplikasikan kekayaan yang ada pada bahasa itu sendiri. Meskipun begitu ramai yang beranggapan melalui wahana penulisan mampu menghantar mesej dakwah sebagai alternatif. Apa ada pada cerpen, puisi dan novel sebagai wahana penulisan sastera?

Barangkali ramai yang beranggapan, sastera adalah unsur penipuan. Metaforanya sekadar mitos dan liburan tanpa faedah. Berbaur emosi mencipta khayalan yang diinterpretasikan dalam karya sastera adalah kepunahan yang sering berperang dengan dunia realiti. Apa tidaknya mitos yang terpamer dalam prosa klasik mahupun karya moden memperlihatkan dunia sastera tidak dapat lari jauh dari unsur penipuan itu. Persoalannya, mengapa dilihat penipuan semata, sedangkan hakikat dan pengajaran yang hendak disampaikan adalah kebenaran yang tersorok dalam sesebuah karya jauh menghantar maksud. Lewat pemerhatian terhadap karya-karya sastera penulis generasi baru (lapis ketiga) memperlihatkan bukan sekadar melakar mitos, tetapi menjentik sensitivi terhadap hakikat yang berkaitan manusia dan kehidupan. Namun, khalayak bebas menilai apa yang dihidangkan kepada mereka melalui sastera.

Sepanjang bermukim di Ardil-Anbiyak ini, saya mengamati karya sastera kita. Puratanya karya sastera kita masih berada di tahap sederhana. Tema yang dikemukakan dalam penulisan cerpen lewat beberapa tahun kebelakangan ini masih terikat dengan persoalan sempit, terbelenggu. Tidak bisa meletupkan kraton keremehan. Apa tidaknya, penulis kita masih terjerat dengan persoalan berbaur percintaan, rumahtangga, keluarga, persahabatan dan kasih sayang yang sudah acap ditampilkan dalam karya-karya eceran biasa yang lain.

Sebagai penulis yang lahir di 'timur tengah' ini, apakah bentuk karya yang sepatutnya dihasilkan oleh kita untuk dipersembahkan kepada khalayak pembaca? Supaya karya-karya yang terhasil mencipta identiti penulis serta melakarkan warna yang tersendiri sekaligus mencerminkan sumbangan penulis-penulis Islam dalam dunia sastera.

Zaid Akhtar pernah mencetuskan pandangannya terhadap unsur latar timur tengah dan tema penulisan para panulis sastera Islam 'timur tengah' lewat beberapa tahun dahulu. Teguran Zaid Akhtar itu bolehlah disifatkan sebagai cetusan yang masih belum terungkai sepenuhnya. Saya prejudis agaknya, tetapi bukan bertujuan mengenepikan keseluruhan karya sastera kita. Sememangnya tidak dinafikan ada karya yang menyentuh, mengemukakan tema yang menyihir dan bahasa yang mempersona pasca luahan Zaid Akhtar itu.

Saya mengamati semula longgokan suara kampus PMRAM edisi BKAN dan DPM terbitan beberapa tahun kebelakangan. Purata cerpen yang tersiar masih fakir daripada mengemukakan persoalan yang bersifat global sebagaimana usulan Zaid Akhtar. Latar timur tengah dan dunia Arab jarang dijadikan model penulisan warga penulis kita. Mengapa tidak kita rebut peluang berada di sini untuk merakamkan peristiwa, menterjemahkan kehidupan, mengulas isu yang berlaku, merekodkan suasana politik dan sosial serta memperkenalkan budaya masyarakat yang setiap hari kita dampingi? Kita beruntung, safar ilmu yang kita lalui hari ini bukan milik semua orang untuk dihamilkan dalam penulisan!

Barangkali sebab utama kegagalan kita adalah kerana tidak ramai yang mampu mengintai latar dengan baik. Justeru kita masih terikat dengan latar negara sendiri dan adakalanya aspek latar terabai begitu sahaja. Ruh kehidupan di lembah kontang sahara wajar dijadikan latar. Lokasi seperti Madinah Nasr, Ramses, Tahrir, Abbas Aqad, Atabah dan banyak lagi boleh diperkenalkan sebagai latar Mesir lewat berkarya. Tebing Barat, Al-Quds, Ramallah, Gaza sebagai mewakili Bumi Isra' Palestin untuk menukilkan kisah para syuhada'.

Beberapa contoh cerpen yang tersiar sepanjang tahun 2002 di dalam terbitan suara kampus seperti Tahanan, Bicara Buat Solahuddin, Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah, Pelabuhan waktu, Untaian Perjuangan dan November yang menjadikan timur tengah sebagai latar adalah percubaan yang patut dipuji. Dengan meletakkan timur tengah sebagai latar, maka penulisan yang menjurus kupasan isu timur tengah juga wajar meranum bersama. Setiap hari pelbagai peristiwa berlaku mengkitari kita. Pergolakan di Teluk, penyembelihan di Palestin dan tragedi-tragedi lain boleh dijadikan kupasan yang menarik dalam sesebuah karya sastera. Rugilah andai bukan kita yang mencicip setiap peristiwa itu untuk diterjemahkan melalui penulisan kita. Malah karya sastera barangkali tidak selamanya menyimpan khazanah mitos lagi andai tembok kebenaran atas apa yang berlaku ini dikitar dalam penulisan karya kita.

Literalnya, di Malaysia karya yang memaparkan tema Islam masih kurang, apa lagi yang menjadikan timur tengah sebagai latar. Kadang-kadang saya terperangkap dengan persoalan mengapa penulis-penulis kita jarang menulis isu dan latar dunia Arab (termasuk saya sendiri). Antologi Cerpen Sinar Horizon Nil dan Pijar Kinanah adalah 'hasil kerja' yang mewakili sejumlah kecil penulis Lembah Nil ini. Namun, garapan yang terbina di dalam antologi yang terhasil itu masih memerlukan peningkatan daripada warga penulis kita. Saya mengimpikan andai mampu terhasil sebuah antologi cerpen atau puisi yang memuatkan karya yang menjadikan dunia Arab sebagai latar, tetapi tanpa sokongan semua pihak impian ini tidak bermakna.

Novelis muda yang lahir di sini seperti Hj Mohnas (Lambaian Huda), Faizah Othman (Lakaran Sahrawi), Amiza Khusyri (Sejernih Salsabila) - sekadar beberapa nama, wajar dijadikan modus operandi dalam mengharungi belantara penulisan. Cerpenis yang lahir juga semakin bertambah bilangannya. Namun sejauh mana kita akan mampu mengangkat martabat penulisan kreatif masih menjadi kesamaran.

S Othman Kelantan berpendapat penulisan karya kreatif bukan hanya sekadar cerita tetapi ia berkaitan tentang manusia. Justeru untuk memperkatakan tentang manusia penulis memerlukan sekurang-kurangnya empat unsur penghayatan iaitu imaginasi, sensitiviti, persepsi dan kreativiti. Imaginasi atau daya reka adalah unsur pembantu seseorang menulis dalam lingkaran logika dan penulisan terarah. Sensitiviti atau daya sentuh adalah sifat yang menjadikan penulis mampu menghidupkan pandangan terhadap apa yang berlaku sekitarnya. Persepsi atau daya tanggap pula membuahkan pandangannya terhadap peristiwa-peristiwa yang berlaku dan kreativiti atau daya cipta menjadikan penulis seorang penemu yang bijak mengetahui minat pembaca sekaligus mencipta permintaan khalayak untuk dipenuhi.

Pengabaian terhadap aspek-aspek itu akan menjadikan sesebuah karya sastera kelihatan leweh dan tidak bernafas. Penulis yang mempunyai sensitiviti yang menyerlah kerap menjadikan isu sekeliling sebagai tema cerpen. Faisal Tehrani adalah merupakan contoh yang menyerlah dalam menghasilkan karya yang segar memperkatakan isu semasa. Saya melihat tidak ramai penulis kita yang mempunyai sensitiviti dalam berkarya. Ramai yang lebih suka terperap dengan dunia sempit dan tema yang remeh.

Nama-nama seperti Mohd Nazmi Yaakob, Al-Marjan Yusuf dan Masrati Mohamad (sekadar menyebut beberapa nama) mungkin agak familiar dengan dunia penulisan cerpen kita. Selain mereka, beberapa nama lain seperti Amiza Khusyri, Mohd Ubaidillah Alias dan beberapa nama pena yang barangkali muncul jarang-jarang dalam penulisan puisi juga menampakkan kita masih mempunyai 'simpanan' penulis dan mereka yang berbakat.

Langkah Badan Penerangan dan Penerbitan PMRAM menganjurkan Seminar Penulisan di bawah Kem Latihan Penulisan (KELAP) pada awal April sesi ini menemukan lagi 12 orang calon penulis yang bakal memeriahkan lagi dunia penulisan karya kretif khususnya cerpen, di Bumi Kinanah ini. Saya yang turut terlibat mendamping para peserta bengkel cerpen tersebut mengesani beberapa calon penulis yang mempunyai bakat besar. Namun saya beranggapan penulis tidak semestinya lahir melalui bengkel. Justeru, sementara menanti mereka benar-benar lahir sebagai penulis, saya tidak ghairah untuk memperkatakan tentang mereka kerana masih ramai yang tidak mengikuti bengkel juga sebenarnya mampu menulis dengan baik.

Cerpen, puisi dan novel adalah genre sastera yang masih bernyawa untuk dijadikan medium dakwah dan penyampai mesej yang berkesan. Saya melihat ramai yang berminat dengan karya sastera majoritinya terdiri dari kalangan hawa dan sebilangan kecil dari golongan adam. Mungkin kerana sastera dipandang mempunyai unsur yang lembut, khayal, berbaur emosi dan membelai. Maka unsur itu lebih akrab dengan ciri-ciri kewanitaan. Justeru tidak hairanlah jika bilangan penulis wanita kita lebih ramai berbanding penulis lelaki. Malah lebih menyedihkan apabila ada yang dalam berjenaka menghitung penulis karya sastera tergolong golongan jiwang, yang akhirnya menjauhkan jiwa keras lelaki dari mengungguli sastera. Sedangkan jika diamati secara ranum dunia penulisan juga adalah dunia keras, gegar, menjerit-jerit dan kadangkala menggerunkan.

Tidak dinafikan setiap manusia mempunyai bakat yang tersendiri. Tetapi selalunya bakat itu hanya akan matang apabila diketengahkan dan diasah melalui latihan. Menulis kerana terpaksa tidak sama dengan menulis berpaksi kesedaran. Ini kerana jika disandarkan kepada kehadiran ke seminar dan bengkel sebagai batu loncatan seseorang itu untuk menulis atau digelar penulis, saya sendiri sebenarnya tidak lahir melalui kaedah tersebut. Hanya melalui minat, pembacaan yang sederhana dan percubaan menulis dari semasa ke semasa. Malah saya percaya masih ramai lagi penulis kita yang lahir melalui keiltizaman dan kemahuan mereka sendiri untuk terus menulis bukan seratus peratus melalui bimbingan.

Justeru, andaikanlah kita punya ramai penulis, sudah tentu dunia penulisan di Ardil-Anbiyak ini akan menjadi semakin riuh dan gegar. Lambakan karya akan memajukan teknik penulisan. Masalah untuk mendapatkan ruang untuk tersiar akan menjadi laluan mematangkan karya. Pada ketika itu, medium penulisan sastera akan mampu membuktikan bahawa karya yang dilihat santai juga mampu menghantar mesej dengan baik. Apa tidaknya jika sesuatu yang kesat dan keras metah mampu disampaikan melalui karya sastera dengan menggunakan bahasa dan lengguk yang lembut akan menjadikan dakwah, lebih berkesan.

Tetapi sementara menanti masa itu, benarlah seperti kata-kata Nazmi Yaakob, jalan masih panjang dan berliku.

5 Mei 2003

*** Tersiar di kolum Realiti, Suara Kampus edisi Iskandariah (SKEI bil. 17)

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1