Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

MENTALITI MAHASISWA: Persepsi Terhadap Alam Politik Kampus

Oleh: Akhi Masrawi

DUNIA mahasiswa semakin hari kian hilang nilai survivalnya. Mahasiswa selaku generasi kepimpinan negara masa depan merupakan aset penting yang paling berharga bagi sesebuah Negara. Hebatnya golongan mahasiswa akan menjanjikan mantapnya kepimpinan akan datang. Begitulah sebaliknya.

Di Malaysia, sejarah pergerakan mahasiswa bukanlah perkara baru. Sejak tahun 60-an sehingga kini banyak peristiwa penting yang berlaku sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa yang melibatkan golongan mahasiswa. Penyertaan mahasiswa ini dilihat sebagai suatu yang positif menangani pelbagai isu yang berlaku di dalam negara. Mereka menyuarakan suara mereka salaku golongan intelek dan terkehadapan. Namun setelah beberapa dasawarsa kemudian, ada pelbagai label yang dikepilkan bersama hieraki perjuangan mahasiswa sehingga mencemarkan budaya politik kemahasiswaan itu sendiri. Persoalannya mengapa semua ini berlaku?

Tahun-tahun 70-an Gerakan mahasiswa di kampus dikatakan menerima serapan budaya pemikiran ideologi luar dalam lingkaran budaya politik kampus. Misalnya, dasar pemikiran sosialisme, nasionalisme dan pemikiran berhaluan Islam yang wujud dalam ‘ruang udara’ kampus hasil dari pengaruh pembacaan mereka terhadap ideologi-ideologi tersebut, didapati menyerap dan merebak melalui bahan bacaan.

Tidak dinafikan pada dekad tersebut sosialisme dan nasionalisme diungguli mahasiwa di dalam memperjuangkan isu-isu yang berlegar di tanahair. Tidak ketinggalan fikrah Islamiah juga meresap masuk dalam dunia kampus. Bagaimanapun pemahaman Islam ketika itu masih lagi dipengaruhi oleh aliran sosialisme dan nasionalisme. Ini disebabkan oleh fahaman bahawa isu-isu berhubung dengan nasionalisme itu adalah isu Islam. Tetapi kemudiannya golongan mahasiswa Islam yang membawa fahaman tersebut telah berubah corak. Mereka dengan mengambil Islam sepenuhnya untuk dijadikan landasan kepada pergerakan mereka dengan menolak semua isme-isme yang lain hasil dari pemahaman pembacaan dan revolusi penterjemahan buku-buku haraki dan gerakan Islam di Malaysia.

Kesannya, akhir dekad 70-an memperlihatkan perkembangan positif kesedaran politik Islam di kalangan mahasiswa sehingga ada yang menamakan sebagai ‘Era Dakwah.’ Fenomena ini juga dikenali sebagai 'Ledakan Ubudiyyah' apabila golongan mahasiswa bergiat aktif dalam politik kampus bagi memimpin persatuan-persatuan mahasiswa.

Di awal dan pertengahan tahun 80-an, terdapat banyak rungutan di kalangan masyarakat terutama ibubapa bila mendapati perubahan mendadak di kalangan anak-anak mereka yang belajar di Institusi Pengajian Tinggi. Masyarakat digembar-gemburkan dengan terdapatnya sebilangan pelajar yang meninggalkan pengajian untuk kepentingan dakwah. Ketika ini istilah-istilah ‘dakwah songsang’, ‘ekstrimes agama’, ‘Islam fanatik’ begitu popular. Kebarangkalian di dalam penelitian penulis, api kebangkitan semangat keislaman yang wujud di kampus ketika itu adalah kesan dari kegagalan sistem pendidikan rendah dan menengah yang kurang menekankan aspek keagamaan sehingga menyebabkan jiwa mereka tandus dan kekosongan itu ditemui di dunia ‘menara gading.’ Penerimaan mahasiswa terhadap era ini mendominasikan dunia kampus sehingga ke tahun-tahun dan dasawarsa seterusnya.
Ketika itu, boleh dikatakan perjuangan mahasiswa berlandaskan fenomena ‘Ledakan Ubudiyah’ masih fitrah dari haluan dan kiblat kepolitikan. Kampus dijadikan medan ukuran dakwah dan penghayatan nilai-nilai Islam. Melalui penerapan biah solehah yang diperkenalkan menjadikan dunia kemahasiswaan Islam semakin menyerlah sinarnya. Program menghidupkan rohani dibangunkan dengan giat. Ceramah-ceramah dan seminar berkaitan Islam mula menarik perhatian luas. Malah jika diteliti kepada penulisan-penulisan para penulis dalam dekad 80-an dan 90-an boleh dikatakan api kebangkitan kesedaran Islam ini turut dijadikan tema dalam karya-karya mereka sehingga seolah-olah wujudnya satu katalis yang menyatukan fikrah dalam berkarya.

Ledakan ini akhirnya merebak pantas sehingga menyebabkan mentaliti kemahasiswaan turut berubah sedikit demi sedikit. Kayu ukur meletakkan haluan perjuangan mereka pasca zaman kampus dinilai melalui acuan keterlibatan seterusnya di dalam dunia politik tanahair. Mungkin situasi ini tidak terlalu mencengkam kampus ketika itu kerana masih di peringkat penilaian berdasarkan kecenderungan masing-masing. Mereka yang terdedah dengan alam politik kemahasiswaan ini mengintai-ngintai haluan politik Malaysia supaya perjuangan mereka pasca alam kampus berkesinambungan dengan teori dan pendedahan yang diterima semasa alam kampus. Justeru politik kemahasiswaan dalam dunia kampus bolehlah dikatakan sebagai medan memilih haluan dan sistem politik yang terbaik bukan berhaluankan kepada parti politik tertentu sehingga menutup ruang berhujah dan menjadikan pemikiran golongan yang dianggap intelek dan berpelajaran menjadi generasi yang jumud dan pasif.

Walaupun politik kampus sering dikatakan hanya melibatkan beberapa perkara namun, bukanlah sesuatu yang baru apabila keterlibatan mereka dalam ruang yang lebih global dilihat sebagai ancaman dan anti-establisment. Apakah skop politik kemahasiswaan? Secara umumnya ruang aktiviti-aktiviti politik mahasiswa di kampus melibatkan:

i.          Aktiviti berbentuk simposium, seminar, forum, debat, ceramah dan sebagainya di mana perkara-perkara politik, ekonomi dan isu-isu semasa dibincangkan. Aktiviti-aktiviti seumpama ini membolehkan mereka berkomunikasi dengan pemimpin-pemimpin politik dan tokoh- tokoh masyarakat yang diundang ke kampus.

ii.          Mesyuarat-mesyuarat di dalam berbagai organisasi pelajar seperti Majlis Perwakilan Pelajar dan lain-lain persatuan pelajar di mana keputusan atau resolusi diambil akan dipaparkan atau dihebahkan untuk tatapan pelajar.

iii.         Kenyataan-kenyataan pelajar yang disalurkan melalui media massa dalam kampus ataupun peringkat kebangsaan yang menyatakan pendirian dan hasrat perjuangan mereka.

iv.         Proses pilihanraya kampus dan pemilihan pemimpin berbagai persatuan mahasiswa di mana mereka berpeluang untuk berkempen dan mengundi untuk memilih kepimpinan sesuatu persatuan atau badan.
v.         Reaksi spontan mereka terhadap sesuatu isu yang berlaku sama ada berbentuk bantahan-bantahan, perarakan, tunjuk perasaan dan demonstrasi aman yang sering dilakukan. Menerusi tindakan-tindakan seperti ini, mahasiswa mampu menyuarakan pandangan dan kritikan mereka.

Fathi Aris menulis: “Skop aktiviti pelajar harus lebih meluas dengan fungsi dan potensi yang ada pada mahasiswa. Tohmahan bahawa perjuangan mahasiswa merupakan ciplakan idea pembangkang harus ditolak. Soal pelajar menyebelahi pembangkang adalah soal lain tetapi tidak sewajarnya mereka menerima membuta tuli. Harus diingat pembangkang tidak mempunyai imej yang baik kepada pelajar dan sekiranya pelajar berterusan menyuarakan bangkangan serupa dengan parti politik, akan timbul kesukaran untuk memenangi hati masyarakat kampus.”

Meskipun begitu harus diingat, golongan mahasiswa khususnya di IPT tanahair sebenarnya terikat dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Akta ini antara lain menyekat mahasiswa daripada terlibat dengan mana-mana parti politik sama ada secara langsung sebagai ahli mahupun tidak langsung melalui sokongan terhadap parti-parti tersebut. Selain itu juga akta ini menghalang mahasiswa mengikuti program-program yang dianjurkan sama ada perhimpunan mahupun aktiviti. Keterlibatan mereka dikawal oleh akta ini sehingga menjadikan mereka tidak bebas menyuarakan suara mahasiswa lagi. Apa yang mampu dilakukan adalah meneruskan agenda perjuangan mereka melalui skop politik kampus (seperti yang dijelaskan di atas) semata-mata. Namun apabila berlaku penentangan untuk mengembalikan hak mahasiswa, mereka dilabelkan sebagai pembangkang kepada kerajaan yang memerintah. Kesannya politik kemahasiswaan bukan sahaja dicengkam malah ruang lingkup menjadi semakin sempit dan mengecil hari demi hari.

Jika diteliti, AUKU sememangnya adalah merupakan akta yang asalnya mempunyai alasan yang relevan. Selain memelihara status golongan mahasiswa dari terjebak dalam caca-merba dan sepak terajang politik, AUKU juga sebenarnya membendung aktiviti pelajar agar berpada dengan status mereka sebagai pelajar. Namun sejauh mana akta ini berperanan?

Melalui akta ini juga kalau tidak salah penulis, mahasiswa dijadikan musuh kerajaan untuk berkelahi. Penulis percaya, mahasiswa atau persatuan mahasiswa yang memperjuangkan sesuatu perkara bukan berkiblatkan kerana pembangkang memperjuangkan perkara yang sama, tetapi kerana kefahaman mereka di dalam menilai sesuatu perkara. Sebagai contoh: Sewaktu kerajaan Malaysia menerima pasukan kriket Israel beberapa tahun dahulu mendapat tentangan parti pembangkang. Dalam masa yang sama persatuan mahasiswa juga menentang dan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Situasi ini seolah-olah persatuan mahasiswa mirip berhaluan pembangkang. Sedangkan penentangan mereka adalah kerana menganggap penerimaan pasukat kriket Israel itu sebagai suatu yang tidak relevan melihat kekejaman yang dilakukan bangsa Yahudi berdalang Zionis itu, terhadap umat Islam di bumi Palestin. Selain itu, beberapa peristiwa bantahan mahasiswa untuk menyatakan pendirian mereka menjadikan mereka bahan kejar pihak keselamatan. Apa yang lebih menyedihkan mereka yang terkehadapan dipecat dari universiti, digantung peperiksaan dan pengajian, di‘ISA’kan malah ada yang diseret ke ‘tirai besi’.

Kesan daripada perlaksanaan AUKU, ruang lingkup politik kemahasiswaan juga turut terjejas. Kesempatan untuk mahasiswa mengemukakan pandangan terhadap sesuatu isu yang berlaku dalam Negara dibataskan kepada pandangan yang pro-kerajaan sahaja. Apabila mahasiswa menyuarakan bantahan, mereka dilabelkan sebagai pro-pembangkang. Apakah ini adil dan boleh berlaku dalam sebuah kerajaan yang mendakwa sebuah negara Islam? Penulis melihat akta ini sebagai sesuatu yang berat sebelah. Apa tidaknya, saluran anti-establisment yang menyuarakan untuk diambil pusing disekat semahu-mahu sedangkan suara pro-establisment yang tak ubah sekadar mengampu diketengahkan sehingga menampakkan kelesuan dalam dunia politik kampus.

Amat merbahaya apabila suara mahasiswa disekat, tiada memorandum yang dinilai, reaksi mahasiswa dikesampingkan, pilihanraya kampus dikawal tanpa ketelusan dan bantahan untuk menunjukkan pendirian mereka kian dihalang, maka mentaliti masyarakat terhadap golongan mahasiswa juga akan mula merosot. Kalau dahulu mahasiswa dilihat sebagai golongan terkehadapan dalam pelbagai perkara maka tidak mustahil mahasiswa juga boleh dilabelkan sebagai golongan sepi dan pasif.

Di luar Negara keadaan berbeza. Mahasiswa tidak terikat dengan AUKU. Tetapi pelbagai ancaman dan tohmahan yang sama dilemparkan kepada perjuangan mahasiswa di tanahair turut terkena tempiasnya kepada persatuan mahasiswa di luar Negara. Keadaan semakin meruncing apabila dikesani adanya campur tangan Jabatan Penuntut dan Kedutaan Malaysia di luar Negara bagi menyekat suara dan politik kampus. Agenda kebajikan yang diperjuangkan dalam dunia keorganisasian pelajar diertikan dalam situasi yang mengelirukan. Penubuhan Nadi UMNO Republik Arab Mesir (NUMRAM) sebagai bukti kerajaan menggalakkan pelajar luar Negara berpolitik kepartian. Apa tidaknya dakwaan yang mengatakan NUMRAM mendapat peruntukan daripada kerajaan Malaysia untuk melaksanakan aktiviti adalah merupakan bukti yang jelas. Apa relevannya NUMRAM untuk melaksanakan misi kebajikan? Sedangkan persatuannya sahaja sudah berimej dan berpaksi politik kepartian!

Amatlah malang golongan mahasiswa yang tidak mampu membezakan antara konsep politik kampus dengan dasar politik kepartian. Namun selaku nukleus yang merancakkan momentum survival kemahasiswaan penulis berbangga kerana masih ada persatuan mahasiswa dan golongan mahasiswa yang memperjuangkan konsep politik kampus ini dengan jujur. Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir meletakkan kebajikan pelajar sebagai agenda yang bertepatan dengan anjuran Islam malah apa yang terpenting ialah menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai dasar perjuangan bagi memastikan keindahan dan kemakmuran Islam sebagai ad-Deen terus terpelihara. Kemana haluan ahli-ahli PMRAM selepas mereka menamatkan pengajian bukanlah persoalan utama kerana apa yang penting ialah pemahaman mereka dari ‘tarbiyah’ yang mereka terima sudah memadai untuk meletakkan mereka kepada pilihan yang tepat.
Sukarkah untuk memahami politik kampus?

3 Mei 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

 

Hosted by www.Geocities.ws

1