Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Kerap Berjaulah!

Oleh: Akhi Masrawi

Bulan April saya agak kerap menjejak Bumi Daqhiliyah. Ibu kotanya dikenali dengan nama Mansurah, kota permai yang cantik di pinggir sungai Nil. Sehingga ada kawan yang ketika gurau bertanya-tanya "mengapa terlalu kerap ke Mansurah?" Saya pula dengan nada selamber menyimpulkan jawapan bahawa saya ke sana melepaskan resah dan mencari damai sambil menjengah tempat orang. Walaupun dua kali yang paling penting ialah saya ke sana untuk mengajar para pelajar tahun tiga, kuliah Dirasat Qisim Syariah Islamiah Al-Azhar lil-Banat. Saya mengajar dua madah. Pertama madah Bahas Qadaya Muasorah dan kedua madah Qadaya Muasorah.

Kawan-kawan yang suka perli pula kata saya ke Mansurah mencari calon. :) Sambil tersenyum saya mengatakan bahawa memang dah sampai masanya untuk saya mencari calon. Mak dan Ayah pun dah beri lampu hijau. Jangan tunggu sampai lampu itu merah kembali.... bila hijau sudah menyala. Kawan-kawan memang suka mengusik. Sebabnya Mansurah atau negeri Daqhiliyah itu ada cawangan Al-Azhar yang menempatkan kuliah banin dan banat. Namun majoriti ialah banat. Kalau tidak salah saya.... banin hanya seramai kurang lebih 100 orang sedang banat hampir 600 orang (?). Saya tidak pasti jumlah sebenar, sebetulnya.

Di Mansurah saya bertuah masih punya kawan untuk menumpang safar. Sekurang-kurangnya persahabatan dengan Ustaz An sepupu Talib dan Solahuddin timbalan saya dalam KOFI membuka peluang untuk saya mengeratkan lagi ukhuwah antara kami. Jarang dapat menziarah jika tidak ada tugasan. Meski Solah sudah agak lama saya kenal... Hanya setelah saya di tahun empat ini, hubungan kami kian agak akrab. Sebelum ini... masing-masing ada haluan sendiri. Kebetulan mereka berdua tinggal berhampiran murur dan madinah Salam, kawasan yang punya banyak maktabah. Ops... sebelum saya terlupa, Ustaz Anuar Hassan, pengerusi DPMM juga ahli bait mereka.

Semalam bertandang lagi ke Mansurah, sempat beli beberapa buah kitab sambil-sambil ketika menjenguk maktabah-maktabah sekitar Madinah Salam. An menjadi musyrif. Kesian dia... sehari suntuk terpaksa bersama saya dan sepupunya, Talib. Tak banyak juga kitab yang dibeli... Hajat saya cuma sekadar menjenguk dan 'berkenalan' dengan jalan-jalan ke maktabah kerana barangkali kalau ada peluang bertandang lagi, saya sudah mampu untuk ber'derap' sendiri.

Habis hampir LE 50 membeli beberapa buah kitab. Koleksi kitab saya kian bertambah lagi. Biar duit susut, yang penting kitab terbeli. Teringat Us Zul Ahmad, x-fasi saya... dia pernah berpesan untuk saya sering menjengah Mansurah. Sekurang-kurangnya kalaupun tak dapat untuk beli kitab dapat kenal maktabah dan nama kitab pun sudah memadai. Majaznya... mengenali kitab sangat muhim. Mafhumnya setakat kenal nama kitab belum cukup... kenalah juga beli bila dah 'jatuh cinta' dengan tajuk kitab dan perbahasannya.

Di Mesir kami agak beruntung, syurga kitab sebagaimana dakwaan ustaz saya ketika di sekolah menengah dulu menjadi realiti depan mata saya sendiri. Maktabah menawarkan harga kitab mengikut tukaran USD. Jadi tak hairanlah jika harga kitab sekarang agak mahal berbanding dahulu. Kalau sebelum pound Mesir dilanda krisis... barangkali harga kitab agak sedikit murah, tetapi semenjak Atif Abid, Perdana Menteri Jumhuriyah ini mengumumkan bahawa 'hukumah' tidak campur tangan dalam urusan tukaran dan urus niaga dollar... harga tukaran menjadikan USD 100 mampu ditukar dengan lebih dari LE 600.

Zaman dah berlalu... itu yang sebetulnya. Jangan lagi dibandingkan harga kitab dulu (sebelum duit jatuh) dengan harga sekarang. Dulu harga barang murah... sekarang harga barang naik. Tapi USD 100 yang kita tukar dulu tidak sama dengan nilai sekarang. Kalau dulu tukar USD 100 terpaksa berjimat, sekarang boleh menabung lagi. Jadi tak salah juga sesuatu itu berubah mengikut suasana. Hari ini... mungkin kita dapat apa yang kita usahakan kerana semalam atau sebelum itu, kita pernah mencita-citakan untuk sesuatu yang kita dapat itu. Tapi kalau hari ini pun masih tak dapat... jangan disalahkan takdir, yang tersurat sudah nyata... cuma kadang-kadang kita saja yang kurang mengerti.

Tika jam sudah hampir menepati 10 malam saya, Talib dan An meninggalkan rumah Us Nazir. Dirasat pada waktu itu masih seperti siang... cuma bezanya siang mungkin lebih zahmah berbanding malam. Melintas jalan di mauqaf setentang kedai gambar jalan masuk ke rumah Us Nazir... dan dapatkan tramco ke Talkha. Sambil memerhati ke arah Bait Ummu Rumman, rumah siswi yang pernah saya hadiri untuk mengajar pada hari-hari lalu. Ia kekal di situ... hanya kenangannya saja saya bawa ke Talkha, kemudian melintas landasan keretapi untuk digendong ke dalam puejoet dibawa pulang bersama kewalahan ke bumi Gharbiyah, Tanta.

Sampai di Murasyahah, orang sudah kian berkurang... yang ada cuma deretan tramco dan puejoet yang tersadai menanti untuk bertugas siangnya. Kami menyesak sebuah tramco untuk ke Kubri Kuhafa... Selamat.

30 April 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1