Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

PIRAMID PENDIDIKAN: Respon kepada tulisan Khairusy

Oleh: Akhi Masrawi

Lama saya tidak berkesempatan menjengah jurnal-jurnal para jurnalis lain lantaran tidak sempat berkunjung ke cyber cafe (cc). Kesempatan berkunjung saya manfaatkan menjengah beberapa jurnal online kegemaran saya seperti jurnal encik Khairul a.k.a cikgu khairul, Bandar sepi, Khairusy, Fajar Online, Enmiya, Tok rimau, Spyz, Jigo, Biskut, Nureffa dll.

Tertarik dengan tulisan Khairusy tentang piramid pendidikan. Saya tidak punya pandangan peribadi tentang hal itu. Cuma kesempatan berada di Mesir barangkali menemukan saya dengan beberapa senario dan situasi dalam hal piramid pendidikan itu. Seperti apa yang saya fahami daripada maksud Khairusy, pendidikan kita bermula dengan menemukan pelajaran yang pelbagai dan kemudian menjurus kepada sesuatu bidang. Sehingga ke tahap PHD takhassus menjadikan seseorang itu menguasai satu bidang ilmu sahaja. Kemungkinan ada yang lebih.

Saya tidak pasti adakah piramid pendidikan ini adalah agenda barat ketika mencampuri urusan pendidikan dalam negara kita setelah kemerdekaan dulu. Tetapi apa yang saya tahu dalam dasar pendidikan Malaysia sendiri telah berlaku pelbagai perubahan semenjak kemerdekaan 1957 yang menyaksikan rombakan-rombakan dan perubahan dalam sistem pendidikan. Misal yang paling dekat ialah SPM kalau dahulu dihitung berdasarkan pangkat dan aggregat, tetapi sekarang SPM menggunakan graf A B C D sebagai keputusan peperiksaan. Tak ubah seperti UPSR dan PMR bukan?

Hampir empat tahun saya berada di Mesir ini memberi saya peluang melihat sistem pendidikan di Mesir. Di sini, sekolah telah dipecahkan mengikut jurusan semenjak dari sekolah rendah lagi. Sebab itu jika di Mesir ini ada sekolah bahasa, ada sekolah pertanian, ada sekolah sains dan lain-lain. Pernah saya bertanya dalam sembang santai bersama seorang kawan berbangsa Arab tentang sistem pendidikan. Dari apa yang saya lihat: tahap IQ pelajar di Malaysia yang terdedah dengan sistem pendidikan yang menemukan pelajar dengan pelbagai subjek menjadikan pelajar Malaysia jauh lebih tahu tentang banyak ilmu dan perkara berhubung sejarah, geografi, matematik dll. Berbanding pelajar di Mesir. Sekiranya mereka mendaftar di sekolah pertanian misalnya maka mereka akan tersisih dari subjek yang dipelajari di sekolah Sains atau sekolah bahasa. Dan begitulah situasi sebaliknya yang berlaku. Pelajar di Mesir akan terus mengadap ilmu dalam bidang jurusan di sekolah ke peringkat menengah dan peringkat Universiti. Di Mesir Jamiah (universiti) dipecahkan mengikut kuliah jurusan. Sebab itu jika diperhatikan Jamiah 'Muhafazah' (Negeri) seperti Jamiah Tanta mempunyai cawangan dalam jurusan yang tersendiri. Jamiah Tanta dipecahkan kepada Kuliah Tarbiyah (Fakulti Pendidikan), Kuliah Handasah (Fakulti Kejuruteraan), Kuliah Huquq (Fakulti Perundangan dan Kehakiman), Kuliah Tijarah (Fakulti Pedagangan), Kuliah ziraah (Fakulti pertanian) dan sebagainya. Dan bagi yang tidak pernah belajar geografi akan menjadi insan tersisih dari pengetahuan dalam ilmu itu. Sayangnya... melihat situasi ini, saya seperti bersetuju pelajaran-pelajaran seperti itu diajarkan sebagai asas kepada pelajar, seperti yang berlaku di Malaysia. Tetapi saya tidak bersetuju dengan sistem pendidikan yang tidak mengutamakan pelajar pendidikan Islam kerana ianya merupaya fardhu Ain kepada setiap muslim.

Di dalam pemerhatian saya terhadap para ulamak terdahulu pula, misalnya a`immah arba'ah (Imam Empat), mereka menjadi ulamak dengan bermula dengan satu ilmu dan kemudian berkembang kepada kesemua ilmu yang lebih luas. Barangkali kita boleh mengatakan bahawa pada mereka terdapat keberkatan yang banyak. Imam Abu Hanifah (pengasas mazhab Hanafi) misalnya mula menguasai ilmu Tauhid dan kemudian menjadi fuqaha dengan menguasai ilmu-ilmu yang lain. sebab itu jika dilihat pada sejarah hidup imam Abu Hanifah kerap kali kita akan bertemu dengan kisah beliau berjidal dengan para muktazilah ketika hayat remajanya. Dan di dalam perjidalan itu selalunya akan berpihak kepada Imam Abu Hanifah sehingga terserlah akan kepintarannya. Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad Bin Hambal diriwayatkan menguasai ilmu-ilmu asas terlebih dahulu dan paling asas adalah Al-Quran dan As-sunnah. Jadi tidak hairanlah jika riwayat hidup mereka diceritakan bahawa mereka telah menghafaz al-Quran dalam usia yang terlalu muda. Imam Syafie mengusai ilmu bahasa yang mantap sehingga mencetuskan ilmu Usul Fiqh. Begitu juga ulamak-ulamak yang lain. Kesimpulan yang nak diperkatakan di sini para ulamak terdahulu mempelajari ilmu dari perkara yang asas dan ilmu itu berkembang sehingga mereka menguasai ilmu yang pelbagai. Piramid pendidikan mereka songsang dengan piramid pendidikan kita pada hari ini. Maka seseorang itu menjadi mujtahid (PHD) setelah mengusai pelbagai bidang ilmu bukan pengkhususan satu bidang ilmu.

Dua situasi yang saya datangkan dalam catatan ini bersifat tersendiri. Jadi untuk membentuk piramid pendidikan diri, tidak salah kalau kita mengikut piramid songsang sebagaimana yang didapati dari peribadi para ulamak terdahulu. Meskipun penguasaan ilmu secara khusus itu adalah hukumnya fardhu kifayah, namun sebagai manusia tiada sebarang tegahan untuk mengusai pelbagai bidang ilmu. Saya secara peribadi mempunyai minat dalam bidang psikologi, sastera, siasah syari'yah, Fiqh Islami, Ekonomi, Undang-Undang, dan beberapa lagi. Tetapi mampukah saya menguasai semua itu dalam jangka masa yang singkat? Sudang tentu tidak. Justeru sekalipun telah memiliki PHD dalam sesuatu bidang, tidak salah rasanya menguasai bidang yang lain pula. Malah itulah yang terbaik.

Dan apa yang penting adalah kesungguhan, disiplin dan istiqamah. Bukan begitu Khairusy?

23 Feb 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1