Arkib Catatan Terbaik PUJANGGA Online - J U R N A L J A L A N H I D U P 2003

Kita bermula sebagai seorang yang baru!

Oleh: Akhi Masrawi

Saya begitu tertarik dengan kata-kata seorang kawan saya. Katanya: "Kita bermula sebagai seorang yang baru." Kata-kata ini diluahkannya kepada barisan AJKT yang baru dipilih di mana sebahagian mereka acap merasa rendah diri, tidak layak dengan jawatan, tidak mampu dan tidak berpengalaman untuk melaksanakan tugas sebagai AJKT yang terpilih kerana beberapa faktor tersendiri.

Meskipun saya kenal kawan saya yang menuturkan kata-kata itu tidak sedalam mana, namun saya dapat menangkap apa maksud lontaran kata itu diluahkan pada sebaris AJKT itu. Kawan saya ini pernah menjawat jawatan AJKT selama satu penggal sesi lalu. Justeru pengalaman yang pernah dilaluinya dijadikan hipotesis untuk membuktikan kata-katanya sebagai tepat dan bersesuaian dengan realiti. Apa tidaknya, di dalam kisah kawan saya itu yang sengaja saya ringkaskan di sini, antara lain menyebut: dia juga pernah dipilih menjawat sebagai AJKT dan falsafah yang dia ambil ialah kita bermula sebagai seorang yang baru. Jadi disebabkan kita bermula sebagai seorang yang baru, maka kita perlu sedar kita terlalu banyak kekuarangan. Tetapi kekurangan itulah lumrah permulaan kita sebagai seorang yang baru itu.

Maksudnya kalau kita tidak pernah ada pengalaman di dalam melaksanakan tugasan berkaitan potfolio yang dipertanggungjawabkan itu adalah perkara biasa. Maka apa yang paling wajar untuk kita lakukan? Adakah hanya terus-menerus mengakui kelemahan diri, lantas tidak mahu langsung merubahnya kerana infiroriti kompleks yang telah bermukim di dalam diri kita. Jika kita memilih jalan ini, maka kita telah silap!

Saya suka mengambil falsafah kawan saya ini untuk diinterpretasikan ke dalam kehidupan kita seharian dengan lebih luas. Setiap kita pernah menempuh beberapa peringkat kehidupan. Lazimnya kita ini sedang berada di peringkat yang pertengahan. Peringkat di mana disebut sebagai tahap dewasa. Sehubungan dengan itu marilah sama-sama kita melihat kepada peringkat-peringkat hidup yang pernah kita lalu. Kita ini... adakah semenjak ada sudah seperti sekarang? Tidak bukan!

Literalnya, kita memulakan hidup ini sebagai seorang bayi (Sebelum dari itu, kita belum bermula). Kita dilahirkan, persoalannya adakah kita dilahirkan dengan kita terus boleh bertindak sebagaimana orang dewasa bertindak? Bertutur sebagaimana orang dewasa bertutur? Berfikir sebagaimana orang dewasa berfikir? Bayi tidak melakukan semua itu. Bayi hanya tahu menangis dan suara tangisan itulah yang akrab dinisbahkan kepada setiap bayi walau dari apa bangsa sekalipun suara tangisan adalah mirip bukan? Itulah yang orang lain tahu kita tahu, sedangkan kita sendiri (sewaktu bayi) tidak tahu. Sebab, kita ini bermula sebagai seorang yang baru. Seorang yang baru memang begitu. Seorang yang baru, pengetahuannya terhad.

Kita membesar. Dari seorang bayi yang baru menjadi seorang bayi yang lama. Kemudian daripada seorang bayi yang lama menjadi seorang kanak-kanak, kemudian budak (kebiasaannya sewaktu budak inilah kita mula ingat apa yang kita buat dalam hidup kita - meski kita tidak mampu mengingat semuanya). Selepas beberapa waktu dari seorang budak kita beransur menjadi seorang remaja. Ketika usia remaja ini (era peralihan di antara zaman budak kepada zaman dewasa) kita akan bermula semula. Ia! Bermula sebagai seorang yang baligh dan bertanggungjawab terhadap diri sendiri atas apa yang kita lakukan. Maka pahala dan dosa kitalah yang menanggungnya sendiri. Ini waktu yang disebut sebagai usia mukallaf.

Kesemua peringkat hidup kita itu, kita antara sedar atau tidak kita telah bermula sebagai seorang yang baru. Baru pada zaman bayi - seperti kita belajar untuk menangis (di mana kita tidak pernah lakukan sebelum kita dibayikan) bergerak-gerak bebas, meniarap, merangkak, bertatih, berdiri, menyebut beberapa perkataan yang diajarkan sehinggalah ke peringkat kita diberi peluang untuk makan dengan menyuap sendiri (meskipun makanan yang jatuh kala itu lebih banyak dari yang masuk ke mulut kita). Baru pada peringkat kanak-kanak - seperti kita sudah lebih lancar bertutur, lebih pandai menyuap makanan, lebih cerdas berlari, dan lebih selebih daripada zaman bayi. Manakala baru pada zaman budak pula - tidak jauh bezanya dengan baru pada zaman kanak-kanak. Cumanya pada zaman budak ini, kita sudahpun dimasukkan ke sekolah. Maka dengan kehadiran kita ke sekolah kita didedahkan dengan pelbagai suasana, ilmu, pergaulan dan sebagainya. Maka baru pada zaman budak ini lebih sedikit berbanding barunya kita pada zaman kanak-kanak. Kalau zaman kanak-kanak pergaulan kita terbatas kerana kita hanya bermain di sekitar rumah, dengan masuknya kita ke zaman budak alias budak sekolah rendah - maka pergaulan kita pun semakin meluas. Kalau dahulu kita cuma
ada Ucop dan Mamat sebagai kawan, masa itu kita bukan lagi ada Ucop dan Mamat, tetapi kita juga ada Man, Zul, Bri dan ramai lagi. Malah kawan-kawan perempuan juga. Tetapi adakah kita pernah terfikir bahawa semua itu kita sebenarnya bermula sebagai seorang yang baru? Tetapi apa hebatnya ketiga-tiga zaman itu? Selain zaman yang sangat rencah dengan permainan, itulah zaman yang bagi kita tidak perlu memikirkan tentang kehidupan ini. Justeru apa yang kita buat selagi ianya baik kita akan terselamat dan gembira.

Setelah itu kita melangkah ke zaman seterusnya iaitu zaman remaja - Peralihan di antara zaman sebelumnya untuk memasuki zaman selepasnya iaitu zaman dewasa. Zaman remaja ini, zaman yang sangat mencabar. Apa tidaknya? Inilah zaman kita diperkenalkan dengan pelbagai ragam kehidupan. Yang rata-rata menarik minat kita untuk mendekatinya. Wajarlah pada zaman ini, kita memilih yang baik dan menolak yang tidak baik.

Kawan saya itu menambah riwayat kisah hidupnya lagi di mana dia sewaktu zaman sekolah dahulu pada peringkat menengah rendah (tingkatan 1-3) tidak pernah terlibat dengan organisasi, tetapi setelah memasuki menengah atas (tingkatan 4-6) dia dipilih untuk berkerja di dalam organisasi. Jadi kawan saya ini katanya: "Saya bermula dengan menjadi seorang yang baru." Tentu sebagai seorang yang baru terdapat banyak kelemahan dan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan itu, kita perlu terus berusaha belajar dan memperbaiki.

2003 baru sahaja melangkah. Binalah sesuatu yang kita impikan itu. Mungkin kita dahulu pernah mengimpikan untuk jadi seperti sekarang, maka sekarang kita telah menjadi seperti impian kita dulu. Walaupun kadang-kadang impian kita itu tidak kita perolehi. Maka eloklah kalau diimpikan sesuatu yang baru - siapa tahu kalau-kalau impian itu adalah apa yang akan kita dapat pada hari-hari mendatang!
Ingatlah kita kalau kita sekarang berada di peringkat pertengahan seperti yang saya sebutkan itu, maka kita masih punya peringkat selepasnya iaitu peringkat tua. Adakah setelah kita memasuki alam tua, kita sebenarnya telah lama menjadi tua? Kita juga bermula baru sebagai orang tua!

Konklusinya, falsafah itu sebenarnya boleh diterjemahkan ke dalam jiwa sesiapa juga. Sama ada jiwa saya atau jiwa anda, terpulanglah. Maka dengan sebab itu, setiap kali kita bermula - ingatlah kita sebenarnya bermula sebagai seorang yang baru. Kerana itu kita sememangnya punya pelbagai perasaan. Sama ada perasaan itu baik untuk ditonjolkan atau buruk untuk diketepikan kitalah yang harus membentuknya.
Saya masih belum boleh membuat apa-apa kesimpulan tentang perubahan diri barisan AJKT yang ditaujih oleh kawan saya itu. Meskipun begitu saya berdoa moga-moga mereka memahami bahawa mereka bermula sebagai orang yang baru. Maka mereka punya tanggung jawab yang besar.

Maka tidak salah kalau dijuruskan di dalam dunia penulisan juga, kita ini bermula sebagai seorang yang baru - Kalau kita sudah pun merasa lama, ingatlah masih ada orang lain yang lebih lama dari kita. Dan apabila kita merasa kita ini masih baru (sehingga menyebabkan hina diri) ingatlah masih ada yang lebih baru dari kita. Bukan begitu?

3 Jan 2003

© AHMAD TARMIZI ISMAIL

Hosted by www.Geocities.ws

1