|
PENGENALAN
Dilema utama dalam aktiviti perdagangan sejak dahulu ialah jarak yang jauh.
Untuk mengembangkan perniagaannya, pembekal perkhidmatan perlu meluaskan
pasarannya yang akan melibatkan kos yang banyak seperti pengangkutan,
penyelenggaraan dan sebagainya. Di samping itu faktor waktu juga perlu
diambil kira, lebih-lebih lagi jika melibatkan perdangangan antarabangsa
diantara negara yang berbeza zon waktunya. Ini sudah tentu merumitkan bagi
mereka berurusan.
E- Dagang (kini lebih
popular dengan istilah dotcom) merupakan satu alat atau mekanisma yang akan
membantu pembekal perkhidmatan/produk menyelesaikan masalah ini. E-Dagang
merupakan satu kaedah transaksi elektronik maya tanpa sempadan jarak atau
waktu. Dalam suasana maya, organisasi dapat menubuhkan pejabat maya yang
dapat dikunjungi oleh pelanggan pada bila-bila masa sahaja. Contohnya
seorang penjual buku, cenderamata, memorablia dll dapat mendirikan
gedungnya menerusi laman web selaku pejabat maya (lihat Amazon.com) Ini
merupakan satu metodoloji perdagangan yang sangat ideal dan mempunyai
potensi besar untuk dikembangkan.
E-DAGANG
E-Dagang merupakan satu metodoloji perniagaan yang menggunakan perantaraan
elektronik untuk melakukan keseluruhan transaksi perniagaan. Pembekal dan
Pelanggan bertemu dalam suasana virtual/maya untuk melakukan urusniaga
dengan menggunakan teknologi Internet, digital dan lain-lain. E-Dagang
melupuskan sempadan dan masa. Pelanggan dapat membeli-belah pada bila-bila
masa sahaja dan di mana jua menerusi akses kepada Internet. Kaedah ini amat
selesa bagi mereka yang tidak mempunyai masa untuk pergi membeli-belah atau
tidak mahu terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas atau berbaris di
kaunter.
Pembekal akan
mendirikan gedung maya dan mempromosikan melalui laman web.
Produk/Perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan/pengguna disenaraikan.
Antara cara pengiklanan adalah dengan meletakkan sepanduk elektronik secara
berbayar atau pintar seperti penukaran sepanduk dengan mana-mana laman web
lain. Organisasi-organisasi lembah silikon biasanya akan menawarkan laman
web percuma kepada pengguna Internet dimana mereka boleh memaparkan iklan
sepanduk kepada pengunjung laman web tersebut.
Pembeli/Pelanggan
hanya perlu mengunjungi mana-mana tapak web E-Dagang dan membuat pemilihan
produk/perkhidmatan yang dikehendaki. Produk yang dipilih pasti akan sampai
dalam tempoh yang ditetapkan.
SECARA PINTAR
Rakan Kongsi Maya
Ada pembekal yang melantik 'agen maya' secara bebas kepada mana-mana
pemilik/webmaster laman web. Pemilik laman web yang berminat akan mengisikan
borang permohonan dan dalam tempoh yang singkat mereka akan dilantik menjadi
agen maya setelah memasang sepanduk pembekal didalam laman mereka. Kod
sumber html sepanduk berkenaan akan melibatkan No. ID (pengenalan) perujuk
(pemilik laman web) dimana perujuk akan diberikan komisyen setiap kali
transaksi berlaku menerusi laman web berkenaan.
Penajaan
Ada juga pemilik/webmaster laman web lain yang ditaja oleh organisasi
korporat untuk memaparkan produk/perkhidmatan yang dibekalkan.
Pemilik/webmaster biasanya terdiri daripada orang-orang yang bertaraf
professional di bidang masing-masing dan sesuai untuk mempromosikan
produk/perkhidmatan organisasi korporat dan dibayar royalti atau gaji bagi
mereka yang bekerja secara rasmi dengan organisasi berkenaan, samada secara
langsung atau pun secara maya.
Kaedah Pembayaran
Transaksi E-Dagang biasanya melibatkan pihak ketiga seperti bank, syarikat
kewangan, pengeluar kad kredit dan badan-badan persijilan tertentu. Apabila
pembeli membuat sesuatu pembelian, mereka akan diminta memberikan nombor kad
kredit mereka untuk dienkripsikan oleh komputer penjual. Kaedah enkripsi ini
akan membenarkan komputer penjual memintas nombor kad kredit pembeli untuk
menyelesaikan proses pembayaran. Dengan ini nombor kad kredit pembeli tidak
akan dibaca oleh penjual. Di antara teknologi yang menyokong pembayaran
melalui kaedah ini ialah Secure Electronic Transaction (SET) yang
dibangunkan oleh Master Card dan Visa serta Secure Socket Layer (SEL).
Selain itu, terdapat
beberapa mod pembayaran yang telah diperkenalkan organisasi yang
membangunkan E-Dagang seperti tunai digital (digital cash), cek digital dan
teknologi sokongan seperti sistem Kriptografi PKI (Public Key
Infrastructure) dan sijil digital. Kaedah tunai digital membolehkan pembeli
menghantar wang di dalam talian tanpa menggunakan nombor kad kredit. Kaedah
pembayaran ini dipelopori oleh DigiCash, Net.Trader dan Cyber Cash di
Amerika Syarikat. Di Malaysia kaedah ini mula dibangunkan oleh MIMOS Berhad
dan Hitechniaga Sdn. Bhd. melalui laman web Jaring's Mall. Apa yang perlu
dilakukan oleh pengguna ialah mengisi borang permohonan dan memilih nilai
wang digital yang mereka kehendaki. Setelah proses pembayaran kepada
Jaring's Mall dilakukan anda akan diberikan nombor rahsia yang membolehkan
anda melakukan pembelian.
Salah satu isu yang
amat penting di dalam E-Dagang ialah kebimbangan pengguna terhadap
keselamatannya. Ramai pengguna masih ragu-ragu terhadap keselamatan
transaksasi melalui talian dimana terdapat kemungkinan maklumat peribadi
mereka serta nombor kad kredit akan dipintas oleh penggodam sistem komputer.
Namun dengan kemunculan teknologi seperti SET, SSL serta peningkatan
firewall, pengguna tidak perlu bimbang lagi tentang keselamatan semasa
melakukan pembayaran. Teknologi SET contohnya memerlukan pembeli, penjual
dan pihak bank berdaftar dengan badan persijilan tertentu bagi mengesahkan
identiti mereka semasa melakukan urusniaga. Pengesahan ini akan dilakukan
secara luar talian seperti melalui telefon, faks dan sebagainya.
KATEGORI E-DAGANG
E-Dagang dapat diklasifikasikan kepada dua kategori kunci iaitu diantara
perniagaan dan perniagaan dan diantara perniagaan dengan pengguna. E-Dagang
diantara perniagaan dan perniagaan melibatkan transaksi diantara dua atau
lebih syarikat. Biasanya ia melibatkan diantara pembekal dan organisasi
penjual/pemasar. Contohnya sebuah kilang pengeluar/pencetak buku akan
berurusan dengan sebuah gedung buku. Jenis E-Dagang yang kedua pula
melibatkan penjual dengan pengguna akhir sesuatu produk. Contohnya gedung
buku menjual produknya kepada pengguna melalui E-Dagang.
SAIZ E-DAGANG
E-Dagang merupakan satu bentuk perniagaan yang semakin berkembang di seluruh
dunia. Ini adalah disebabkan peningkatan yang ketara dalam Teknologi
Maklumat (IT) di mana ia bertindak sebagai penyokong utama E-Dagang.
Intelligent Quest's World Wide/ Online Tracking Service, sebuah badan
penyelidikan antarabangsa melaporkan bahawa 12% daripada pengguna Internet
terlibat dalam E-Dagang. Sementara itu menurut Computer Intelligence pula
sebanyak 2% daripada 4.8 juta perniagaan berkomputer diseluruh dunia
menggunakan E-Dagang untuk menjalankan semua atau sebahagian daripada
transaksi perniagaan. Ini menunjukkan peningakatan yang amat ketara dalam
masa beberapa tahun sahaja.
Perangkaan terkini
menyatakan bahawa pengguna Internet telah meningkat kepada 200 juta melalui
sambungan dail terus dan 17 juta pengguna melalui sambungan tetap. Di Asia
Pasifik termasuk Jepun penggunaan Internet telah meningkat kepada anggaran
25 juta pada tahun 2000. Peningkatan ini adalah 150% berbanding tahun 1997
sebanyak 10 juta pengguna. Kecenderungan trend menunjukkan penggunaan ini
berkait secara langsung dengan e-dagang.
Dari segi pendapatan
pula, E-Dagang mencatat perolehan sebanyak US$31 juta di Amerika sahaja pada
tahun 1998. Jumlah ini dijangka meningkat kepada US$183 juta pada tahun 2003
iaitu peningkatan sebanyak 500%. Di Malaysia pula E-Dagang ternyata
menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Pada tahun 1998 jumlah
transaksi perniagaan melalui E-Dagang ialah sebanyak US$15 juta iaitu hampir
50% daripada perolehan di Amerika Syarikat pada tahun yang sama. Ia
meningkat kepada US$46 juta pada 1999 dan pada tahun 2003 pendapatan
E-Dagang dijangka mencecah US$1560 juta.
SKOP E-DAGANG
E-Dagang meliputi enam sektor perniagaan yang utama iaitu pengiklanan,
pendidikan, kewangan, bidang profesional, peruncitan dan pelancongan.
Kesemua sektor menyumbangkan pertumbuhan yang ketara terhadap perdagangan
melalui talian. Pendapatan E-Dagang dalam sektor pengiklanan mencecah US$1.3
billion pada tahun 1998. Aset yang diniagakan menerusi talian oleh broker
ialah US$420 bilion. Dalam bidang pendidikan, bilangan penuntut jarak jauh
ialah 120 ribu pada tahun 1997 dan meningkat kepada 710 ribu pada tahun
1998. Sementara itu penggunaan teleperubatan meningkat kepada 300% dan lebih
3 juta orang mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut. Sementara itu,
bagi sektor kewangan pembelian aplikasi perbankan bernilai US$93 juta pada
tahun 1998 dan peningkatannya dijangka sebanyak US$326 juta pada tahun ini.
Bagi sektor pelancongan, tempahan tiket yang diperolehi melalui Internet
pada tahun 1997 hanyalah US$100 juta tetapi ia dijangka meningkat kepada
US$3.1 billion pada tahun 2002. Ini ialah berikutan keyakinan orang ramai
yang semakin meningkat terhadap keselamatan dan keberkesanan urusniaga
melalui talian. Pengguna yang akan merancang perjalanan menggunakan Internet
dijangka meningkat daripada 3.1 juta kepada 11.7 juta.
PEMBANGUNAN
USAHAWAN MENERUSI E-DAGANG
Kemunculan E-Dagang merupakan satu prospek yang pintar dan menguntungkan
para usahawan. Ini kerana berdasarkan saiz pertumbuhannya E-Dagang akan
menjadi satu bentuk perniagaan yang utama pada masa hadapan. Perkembangan
semasa menunjukkan masyarakat semakin peka terhadap K-Ekonomi dan arus
globalisasi. Kesan ini mungkin tidak begitu dirasakan di Malaysia tetapi di
negara-negara maju, ianya telah menjadi trend masyarakat di sana untuk
melakukan pembelian online. Terdapat beberapa faktor yang mana ia boleh
membantu para usahawan mengembangkan perniagaan mereka menerusi talian.
Pasaran Yang Luas
E-Dagang menggunakan teknologi Internet sebagai platform utama
perkembangannya. Oleh itu pasarannya seharusnya dilihat dari segi bilangan
mereka yang menggunakan Internet. Di Malaysia sahaja bilangan ahli yang
berdaftar dengan JARING ialah seramai 100,000 orang dengan 300,000 orang
dijangka menggunakan Internet pada tahun 1997. Jumlah ini tidak menunjukkan
pasaran yang luas tetapi jika dilihat kepada peningkatannya kepada 200,000
orang pada tahun 1998 dengan 600,000 pengguna ternyata E-Dagang mempunyai
pontensi besar untuk dikembangkan. Pada masa sekarang terdapat lebih
daripada satu juta pengguna yang berdaftar dengan JARING dan TMnet.
Walaupun bilangan
pengguna Internet untuk dijadikan peluang pasaran bagi perniagaan menerusi
talian masih lagi secara perbandingannya kecil, namun ia meningkat dengan
begitu cepat sekali. Disamping itu kita perlu ingat bahawa perniagaan
menerusi talian tidak akan terhalang oleh aspek geografi. Produk yang
dipasarkan menerusi talian boleh dicapai oleh pengguna dari serata dunia.
Inilah kelebihan pasaran bagi E-Dagang. Usaha untuk membawa produk ke
pasaran antarabangsa bukan lagi terhad kepada organisasi besar malah
termasuk organisasi kecil/sederhana dan orang perseorangan!!
Kos Perniagaan yang berpatutan
Jika halangan utama bagi seseorang usahawan menjalankan perniagaan di bandar
(untuk peluang pasaran yang lebih luas) ialah kadar sewa bangunan yang
tinggi, maka dengan E-Dagang masalah itu tidak wujud lagi. Dengan
menempatkan perniagaan di sebuah pelayan web utama, mereka telah menempatkan
diri secara global. Ini kerana teknologi web membolehkan ia diakses dari
mana-mana tempat sekalipun. Apa yang menarik lagi ialah kosnya secara
relatif adalah amat kecil. Contohnya untuk menempatkan perniagaan
produk/perkhidmatan di pelayan web Yahoo Geocities atau Fortunecity, dua
buah pelayan web yang mempunyai komuniti berjuta-juta pengguna Internet anda
hanya perlu membayar lebih kurang RM100-150 sebulan. Potensi pasaran
usahawan ialah kesemua komuniti Yahoo Geocities/Fortunecity khususnya dan
pengguna Internet amnya. Selain itu usahawan turut ditawarkan khidmat
penyelenggaraan perniagaan maya mereka.
Sokongan Organisasi Korporat dan Multinasional.
Perkembangan yang pesat dalam IT telah mendorong beberapa firma korporat
tempatan untuk membangunkan E-Dagang. Ini dapat dilihat daripada usaha
firma-firma ini mendirikan mendirikan tapak-tapak web yang menyokong
platform E-Dagang. Antara pelopornya ialah Hitechniaga Sdn.Bhd. melalui
kerjasama Microsoft Corp. telah membangunkan tapak web Mybiz. Tapak web ini
dibangunkan khusus untuk syarikat bertaraf IKS (Industri Kecil dan
Sederhana) mendirikan perniagaan di Internet.
Selain itu syarikat
Mytex Solutions Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mencipta dan mempamerkan
halaman web telah memperkenalkan pakej 'ringgit sehari' untuk perniagaan
tempatan. Pakej ini ditawarkan kepada sesiapa sahaja terutama daripada IKS
untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka melalui laman web sendiri.
Selain itu Kumpulan
Renong juga telah melibatkan diri secara aktif dalam pelaburan jangkapanjang
yang amat menguntungkan ramai usahawan yang terlibat samada kecil mahupun
besar. Dipapan-papan utama BSKL juga menunjukkan potensi yang amat
memberangsangkan terhadap apa yang dikenali sebagai 'saham teknologi' atau
'saham IT' atau 'saham internet'
Di samping organisasi
korporat tempatan, firma/organisasi gergasi/bluechip asing ternyata turut
berminat untuk mengembangkan E-Dagang di Malaysia. Di Malaysia. Microsoft
Corp. umpamanya sudah mengumumkan komitmen mereka untuk membantu pengusaha
kecil agar dapat melibatkan diri dalam E-Dagang. Syarikat ini telah pun
mengadakan usaha sama dengan TMNet (lihat msn.com.my), GHL Technologies,
Hitechniaga, Sunway Technologies dan Silicon Communication dalam
membangunkan persekitaran E-Dagang berasaskan pelantar teknologinya.
Usaha Kerajaan
Usaha kerajaan menerusi cetusan idea YAB Perdana Menteri Malaysia dalam
menggalakkan penyertaan industri tempatan dalam E-dagang memang tidak dapat
dapat disangkal lagi. ni dapat dilihat daripada Pelan Utama E-Dagang Negara
dan Rangka Kerja E-Dagang Negara yang diketengahkan semasa mesyuarat Panel
Penasihat Antarabangsa (IAP) MSC di Cyberjaya yang melibatkan Microsoft,
Lotus, Apple dll. Rangka kerja tersebut meliputi tiga prinsip panduan dan
empat pendekatan yang strategik. Prinsipnya meliputi kerjasama pihak
kerajaan, perniagaan dan komuniti, pengiktarafan ciri E-Dagang tanpa
semapadan dan penciptaan peluang untuk negara memperolehi manfaat daripada
inisiatif tersebut. Pendekatan strategik pula meliputi amanah dan keyakinan
terhadap e-dagang, memperbaiki rangka kerja undang-undang dan
peraturan,memperkukuhkan infrastruktur dan sokongan logistik untuk e-dagang,
disamping mengoptimakan ekonomi dan faedah sosial.
Pelan utama e-dagang
negara pula terdiri daripada program dan projek khas yang meliputi tujuh
kawasan untuk mencerna inovasi, meningkatkan akses pasaran, memacu
pembangunan kreatif, perlindungan harta intelektual, pengedaran atau portal
mengukuhkan identiti jenama dan antara muka perkhidmatan. .Inilah di antara
intipati dalam rangka kerja dan pelan utama e-dagang negara yang diharapkan
dapat menjana ke arah perkembangan e-dagang Di Malaysia. Usaha kerajaan ini
tidak dapat di pandang remeh memandangkan rancangan ekonomi yang dijalankan
oleh kerajaan sebelum ini telah mencapai kejayaan. Para pengusaha tempatan
seharusnya tidak ragu-ragu lagi untuk turut terlibat dalam e-dagang
berdasarkan peranan kerajaan yang begitu aktif untuk membangunkanya.
Selain itu, pelbagai
skim/geran yang telah disiapkan untuk penyelidikan dan pembangunan, bantuan
usahawan (termasuk latihan/pemindahan teknologi) oleh agensi-agensi yang
terlibat secara langsung dengan MSC.
Projek MSC memberikan
kesan yang kuat dalam pembangunan e-dagang. Melalui salah satu aplikasi
utamanya iaitu pemasaran tanpa sempadan yang relevan dengan e-dagang.
Pembukaan Bandar raya pintar iaitu Cyberjaya juga turut mempengaruhi
perkembangan e-dagang. Masyarakat di bandar ini akan menggunakan sepenuhnya
kemudahan dunia IT dan e-dagang disamping aplikasi-aplikasi utama serta
pecahan/perinciannya yang lain.
KESIMPULAN
Boleh dikatakan perubahan dalam industri IT adalah yang paling pantas sejak
bermulanya revolusi perindustrian pada abad ke-19 dahulu. Industri IT adalah
dinamik sekali apabila ia mengambil masa kurang daripada 20 tahun untuk
berkembang. Bersama-sama industri IT ini adalah perdagangan elektronik atau
e-dagang yang memberi impak cukup besar dalam bidang perniagaan. Organisasi
gergasi antarabangsa terutamanya yang berada di lembah silikon telah
mencatat pulangan berbilion dollar melalui e-dagang.
Kebanyakan raja
perniagaan e-dagang ini bermula secara sederhana. Yahoo! Inc. contohnya
sewaktu memulakan operasinya hanya mempunyai 12 orang pekerja dengan ruang
pejabat yang sempit dan tidak berhawa dingin. Tetapi dalam masa dua tahun
selepas penubuhanya ia mempunyai kakitangan diseluruh dunia dengan
pendapatan bernilai berbillion dollar sehingga dapat menguasai kepentingan
dalam Geocities, sebuah pelayan web yang terkenal di kalangan komunitinya.
Faktor penting yang mendorong kejayaan mereka ialah kemampuan kualitatif dan
kuantitatif mereka memahami kehendak pelanggan/pengguna. Dengan melakukan
inovasi terhadap kaedah konvensional, mereka mampu menarik minat pengguna
untuk berurusan dengan mereka.
Kembali ke atas
PENGENALAN
Kerajaan Elektronik dijangkakan akan meningkatkan operasi dalaman kerajaan
dan pembekalan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia. Ianya bermatlamatkan
keselesaan, ketelusan dan kualiti interaksi dengan masyarakat dan
perniagaan; sekaligus, membaikpulih taraf aliran dan proses maklumat di
dalam kerajaan bagi membangunkan dasar, menyelaras dan menguatkuasakannya
secara lebih pantas dan berkualiti.
Kerajaan Elektronik
akan memainkan peranan yang utama dalam menjadi pemangkin kepada pembangunan
MSC, serentak menyahut seruan sosio-politik dan ekonomi Wawasan 2020 dan
K-Ekonomi.
VISI
Visi Kerajaan
Elektronik ialah untuk mempastikan setiap kakitangan kerajaan, perniagaan
dan orangramai supaya dapat bekerjasama demi kebaikan negara. Visi ini
menyaran penyusunan semula kerajaan (menggunakan teknologi maklumat dan
multimedia bagi meningkatkan produktiviti secara dramatik) dan mencipta satu
suasana kerjasama yang akan menggalakkan pembangunan secara bersinambung
dalam industri multimedia.
Visi ini difokuskan ke
arah membekalkan perkhidmatan yang cekap dan berkesan daripada kerajaan
kepada rakyat secara lebih peka dan prihatin terhadap kehendak-kehendak
semasa.
Program pengkomputeran
kerajaan sehingga kini telah pun mencapai tahap-tahap automasi yang tinggi.
Walaubagaimanapun, objektif-objektif tonggak Kerajaan Elektronik tidaklah
terikat kepada pengkomputeran kerajaan semata-mata kerana kalau dengan hanya
memperkenalkan komputer kedalam struktur dan proses kerajaan, pastinya tidak
akan mampu membantu hasrat pencapaian yang dinyatakan sebagaimana di atas.
Dengan merealisasikan
Kerajaan Elektronik, perubahan pastinya akan berlaku ke atas operasi
kerajaan dan terbentuknya tanggungjawab yang baru ke atas kakitangan
perkhidmatan awam,perniagaan dan orangramai.
Dengan menawarkan
pembaharuan dari segi perkhidmatan, informasi dan rangkaian akan membantu
kearah perkalihan paradigma dan pembangunan kemahiran-kemahiran yang baru.
Hasilnya, KerajaanElektronik akan membantu menjadikan Malaysia sebagai
negara maju.
OBJEKTIF
Terdapat dua objektif
yang perlu dicapai oleh Kerajaan Elektronik sebelum menyusun kembali konsep
kerajaan menerusi perhubungan (connectivity) dan menjadi pemangkin kepada
pembangunan pesat MSC.
MENYUSUN KEMBALI
KERAJAAN MENERUSI PERHUBUNGAN
Kerajaan Elektronik
akan mentakrifkan kembali perhubungan kerajaan dengan rakyat, perniagaan dan
dirinya sendiri. Kepada rakyat, perhubungan ini akan menyebabkan peningkatan
yang dramatik terhadap perkhidmatan dan membuka ruang kepada mereka untuk
mendapat akses yang lebih meluas, selesa, peka, lebih berkualiti dan pada
harga yang berpatutan. Sambungan menerusi kios elektronik dan Internet akan
dapat membantu kerajaan dalam meningkatkan taraf pembekalan perkhidmatan
tanpa kertas dan transaksi secara langsung (on-line).
Begitu juga kepada
perniagaan dan industri, Kerajaan Elektronik akan meningkatkan perhubungan
dan kepekaan terhadap aplikasi dan kelulusan. Di pihak kerajaan,
perhubungan-perhubungan baru ini akan mengeratkan lagi hubungan menerusi
aliran maklumat dan komunikasi bertaraf tinggi di antara komponen-komponen
kerajaan. Peningkatan di dalam penyelarasan sumber kerajaan dan penggunaan
peralatan penyokong analitikal dan keputusan (analytical and decision
support tools) akan turut berlaku.
PEMANGKIN MSC
Sebagai salah satu
daripada tujuh aplikasi tulang belakang (flagship) Kerajaan Elektronik akan
turut menyumbangkan kepada kepesatan pembangunan Malaysia.
Kerajaan Elektronik
menjadi model kepada pelaksanaan teknologi tanpa kertas untuk keseluruhan
jabatan kerajaan seluruh Malaysia. Dengan terhasilnya yang sedemikian,
peningkatan produktiviti disektor awam akan merangsang pula produktiviti di
sektor swasta. Gabungan kedua-duanya akan menstabilkan perkembangan ekonomi
yang pesat di Malaysia.
Hubungan Kerajaan
Elektronik dengan lain-lain tulang belakang aplikasi MSC adalah rapat dan
menjalani proses perubahan secara serentak.
PENDEKATAN
Kerajaan Elektronik
merupakan projek beraspirasi tinggi. Bagi mencapai visinya akan memerlukan
program pembangunan dan pelaksanaan yang merangkumi segala aspek kerajaan
seperti:-
a) proses
menjuruterakan semula,
b) sistem yang baru,
c) struktur yang lebih baik dan
d) program latihan untuk membangunkan kemahiran yang baru serta
menggalakkan nilai perkongsian.
Keutamaan dalam
perlaksanaan aplikasi berdasarkan potensi akan diberikan.
Lima aplikasi utama
untuk Kerajaan Elektronik telah pun disediakan. Kumpulan yang terdiri
daripada agensi Multimedia Development Corporation (MDC) telah membangunkan
'Permohonan Cadangan dan Konsep. ("Concept Requests for Proposals" (CRFPs)
yang menerangkan keperluan setiap aplikasi utama ini dan memberikan
fleksibiliti yang diperlukan kepada konsortium dan syarikat swasta bagi
melakukan inovasi dan membekalkan penyelesaian yang terbaik.
Dasar dan panduan
mengenai aplikasi ini yang didasarkan kepada piawaian teknologi dan bukan
teknologi sedang dibangunkan untuk memastikan penyelarasan dan kesesuaian
terhadap keseluruhan aplikasi Kerajaan Elektronik di masakini dan di masa
hadapan.
Pasukan ini juga akan
mewujudkan Pelan Biru untuk Kerajaan Elektronik yang berasaskan visinya,
mengambilkira arus perubahan aplikasi di alaf baru dan mendefinisikan tempoh
CRFP di masa-masa hadapan.
APLIKASI UTAMA
Aplikasi utama
Kerajaan Elektronik ialah :-
o Pelesenan dan Lain-Lain yang berkaitan dengan perkhidmatan dan kegunaan
kenderaan.
o Pembayaran Utiliti - ini akan memudahkan orangramai menjalankan transaksi
dengan lebih mudah. Dengan adanya tetingkap perkhidmatan secara 'one-stop'
yang disediakan oleh Kerajaan Elektronik dijangka hanya memerlukan
orangramai memperbaharui lesen atau membayar bil elektrik di kios-kios
pusat-pusat membeli-belah atau menggunakan Komputer Peribadi di rumah
menerusi sesi yang sangat mudah.
o Pembelian Elektronik - Aplikasi ini bertujuan untuk menjuruterakan
kembali, mengautomasi dan menukar sistem pembelian yang sedia ada. Sistem
yang baru ini akan mempercepatkan masa dan menjimatkan kos pembelian
sekaligus menjadikan kerajaan sebagai "Pembeli Pintar", Pembekal, besar
ataupun kecil, akan dapat sama-sama merasai nikmat ketelusan yang ditawarkan
oleh sistem ini.
o Pejabat Perdana Menteri - Pejabat Bersuasana Generik yang akan menyediakan
perkhidmatan teknologi informasi multimedia yang penuh integrasi, penyebaran
yang mudah dan dapat diukur. Kakitangan perkhidmatan awam akan dibekalkan
dengan cara yang mudah dan pantas dalam mengakses maklumat yang tepat dan
terkini.
o Sistem Informasi Pengurusan Sumber Manusia - untuk membantu kakitangan
kerajaan bagi untuk melaksanakan fungsi Pengurusan Sumber Manusia dengan
pantas dan cekap dalam suasana integrasi penuh.
o Sistem Pengawasan Projek - mekanisma untuk membantu pelaksanaan projek.
Perkhidmatan ini akan menyediakan pelantar penukaran idea dan
mendemonstrasikan model amalan terbaik dalam perkhidmatan komunikasi dan
pengurusan informasi.
PELUANG UNTUK
SYARIKAT-SYARIKAT
Kerajaan sedang dalam
usaha untuk menubuhkan perkongsian pintar dengan konsortium tempatan dan
antarabangsa yang terletak di dalam MSC bagi memperkenalkan penyelesaian
terbaik dan terkini serta membangunkan aplikasi yang canggih. Inisiatif
Kerajaan Elektronik ini akan mencipta satu laluan kepada syarikat-syarikat
untuk merapatkan lagi hubungan dan mewujudkan kerjasama dalam menyelesaikan
sebarang masalah yang timbul.
Selain daripada
kebaikan-kebaikan yang dinyatakan, Kerajaan Elektronik akan menyumbang
kepada terciptanya suasana yang ideal bagi menyokong pembangunan industri
multimedia di Malaysia.
Spesifikasi kontrak
yang jelas akan membuka peluang kepada syarikat-syarikat bagi mengadakan
inovasi penyelesaian baru yang kelak akan dapat dikomersilkan di pasaran
antarabangsa. Sesungguhnya, pembangunan multimedia dalam kerajaan adalah
serentak menjadi pemangkin kepada projek MSC.
RENUNGAN
Peluang Ke Arah
Penyusunan Kembali Kerajaan adalah sebahagian daripada kejayaan Pentadbiran
Awam dalam memperkenalkan perubahan pengurusan dan pentadbiran ialah hasil
perkembangan yang mendadak teknologi maklumat.
Perhatian akan terus
difokuskan kepada memperkembangkan lagi teknologi terkini, dalam usaha
keseluruhan kerajaan menghala ke arah Pentadbiran Awam Tanpa Kertas dan
pelaksanaan Kerajaan Elektronik dalam sebagai sebahagian daripada
pembangunan Koridor Raya Multimedia
Kembali ke atas
"Sebanyak RM3.494 bilion disediakan untuk meneruskan peningkatan taraf
dan mutu perkhidmatan perubatan dan kesihatan awam dan memperluaskan
perkhidmatan kepakaran ke hospital-hospital negeri dan daerah. Sebanyak
RM743 juta pula disediakan untuk membina prasarana yang melibatkan antara
lain pembinaan dan kenaikan taraf pusat-pusat kesihatan, klinik desa dan
hospital baru. Dengan tambahan peruntukan yang besar ini, hospital dan
klinik-klinik sewajarnya dapat memberi perkhidmatan yang lebih bermutu dan
selesa kepada orang awam. Di samping itu, adalah diharapkan dengan
memperkenalkan teleperubatan dan perkhidmatan teleperundingan dapat
mengatasi masalah berkaitan dengan kekurangan perkhidmatan pakar yang
dihadapi dinegara ini. Kita akan juga terus membantu badan-badan kebajikan
yang terlibat dengan usaha-usaha murni memberi perkhidmatan kemasyarakatan."
- Petikan Ucapan Belanjawan 1997
Mengikut Definisi Rang Undang-Undang Teleperubatan 1997, "Teleperubatan"
ertinya amalan perubatan dengan menggunakan komunikasi audio, visual dan
data
Di Hospital Universiti
Kebangsaan Malaysia, Kementerian Kesihatan akan menjadikan HUKM sebagai
hospital contoh kerana selain dari memberikan perkhidmatan kepada pesakit
yang datang ke hospital ini, HUKM juga turut memberi latihan kepada
pelajar-pelajar pakar di hospital-hospital di seluruh negara dan memberikan
kemudahan rawatannya kepada masyarakat di luar bandar. Konsultansi juga
boleh didapati melalui Teleperubatan. Melalui Teleperubatan ini,
doktor-doktor luar akan dapat berhubung terus dengan pakar-pakar di hospital
ini untuk membuat rujukan dan sebagainya. (kini pembaca dapat melihat elemen
ini di Hospital Elektronik Selayang)
Teleperubatan ini juga
berfungsi bagi membolehkan pakar-pakar di hospital ini berhubung terus
dengan pakar-pakar perubatan di seluruh negara bagi mendapatkan nasihat dan
pandangan mereka.
HUKM mempunyai
hubungan yang erat dengan hospital-hospital lain di seluruh dunia. Sebagai
contoh, pakar-pakar Obsetetrik dan Ginekologi, Neurosurgeri dan
Endokrinologi di hospital ini, sentiasa mengadakan hubungan kerja dengan
pakar-pakar dari Amerika Syarikat, Australia dan sebagainya. Tiap-tiap
jabatan pula sentiasa menjemput profesor-profesor dari luar negara untuk
menjadi pemeriksa luar sekurang-kurangnya 2 kali setahun. Ini satu cara
untuk menentukan taraf dan prestasi yang tinggi dicapai dalam semua bidang.
Dalam proses untuk
memajukan dan memperkembangkan lagi penggunaan IT di negara ini, IT yang
berasaskan multimedia akan diberikan perhatian utama.
Dalam bidang
Teleperubatan, kita akan menggunakan doktor pakar yang berada di luar negara
untuk membuat diagnosis terhadap pesakit yang berada di Malaysia.
Doktor pakar dapat
melihat gambar pesakit melalui komputernya yang dipancarkan dari hospital di
Malaysia untuk membuat analisis, rujukan dan cadangan rawatan.
Hospital akan
menggunakan teknologi maklumat yang canggih untuk berhubung antara hospital
dirantau ini serta di seluruh dunia. Dengan itu, kepakaran doktor di seluruh
dunia dapat dikongsi oleh doktor tempatan.
Kembali ke atas
Tema: Implikasi ke atas Sektor Pekerjaan dan Perdagangan di Negara-negara
Membangun - Malaysia dan India.
LATAR BELAKANG
Projek ini akan mendokumenkan skop telework di India dan Malaysia, dan akan
menilai potensi mewujudkan peluang pekerjaan dan lain-lain terutamanya ke
atas kaum wanita yang tidak begitu bernasib baik dari sudut akademik,
kemahiran dsb. Penyelidikan ini akan melihat aspek telework didalam dan
diluar sempadan kebangsaan dan memeriksa impak ke atas sektor
perkhidmatan-perkhidmatan utama seperti, perisian, kewangan dan perbankan,
media dan percetakan serta pendidikan. Faktor impirikal (pengalaman dan
pemerhatian) akan mengenalpasti
penghalang-penghalang pelaksanaan telekomuting dan tele-perdagangan (aspek
telework kebangsaan dan antarabangsa) untuk menaikkan taraf pembangunan luar
bandar, kecekapan sektor korporat. dan prospek industri kecil dan sederhana.
Projek ini akan menilai implikasi positif dan negatif telework dari sudut
kualiti pekerjaan untuk menyara hidup. Ianya, sebagai tambahan, akan
menyumbang ke arah meninggikan lagi dayasaing di India dan Malaysia dalam
masyarakat bermaklumat secara global. Ianya juga akan merangsang interaksi
dan pengemaskinian maklumat terutamanya mengenai dasar dan perhubungan
bilateral Benua Selatan dan Utara.
Projek ini pada
dasarnya adalah berorientasikan dasar. Di Malaysia, projek ini dibiayai oleh
Kerajaan dengan kerjasama sektor-sektor korporat dan antarabangsa seperti
UNDP (sebagai Penderma). Penderma projek ini akan mengenalpasti sejauh mana
penglibatan dasar dalam menjadi pemangkin kepada objektif sosial. Projek di
India pula dibiayai oleh IDRC, Kanada dan telah mendapat mandat daripada
ejensi Penderma untuk mengadakan satu rangka dasar dalam usaha menggunapakai
telework bagi meninggikan lagi dayasaing di peringkat kebangsaan, agihan
pendapatan sosial dan wanita bekerja. Dengan penyebaran pengalaman belajar
daripada negara-negara membangun yang lain, projek ini akan membantu
rundingan konsensus di antara Benua Selatan dan Utara terutamanya
berkisarkan isu-isu perdagangan perkhidmatan.
Penyebaran ini akan
diagihkan kepada klien/stakeholder, termasuk kerajaan, kesatuan sekerja,
pertubuhan profesional, pekumpulan wanita dan warga pendidik di bidang
komputer.
METODOLOGI
Projek ini terdiri daripada tiga komponen:
1. Tinjauan budaya;
2. Kerja lapangan berbentuk kuantitatif dan kualitatif;
3. Bengkel-bengkel yang melibatkan pembikin dasar daripada 6 negara Asia dan
para penyelidik di rantau ini bagi menyebarkan pengalaman belajar daripada
faktor-faktor impirikal. Bengkel ini juga akan menggalakkan penglibatan
daripada badan-badan perundangan dan pembuat dasar antarabangsa seperti,
WTO, UNCTAD dan ILO.
Kebanyakan penyelidikan ini akan dijalankan oleh penyelidik dari India dan
Malaysia. UNU/INTECH akan membekalkan kaedah, penyeliaan dan memastikan
kawalan mutu. UNU/INTECH juga akan bertanggungjawab ke atas keseluruhan
pengurusan projek terutamanya penyebaran hasil/keputusan menerusi bengkel
serantau ini.
OUTPUT YANG
DIRAMALKAN
1. Penerbitan Telework di Negara-Negara Membangun seperti India dan
Malaysia.
2. Satu siri artikel dalam jurnal berbentuk professional, perniagaan dan
ilmiah.
3. Laporan telework ke atas pembikin dasar dan stakeholder.
4. Bahan untuk program televisyen, radio dan akhbar.
INDIVIDU DAN
INSTITUSI YANG TERLIBAT
Projek ini akan dijalankan dengan kerjasama semua institut penyelidikan di
India dan Malaysia antaranya MIMOS-Berhad dan NCSTI (National Centre for
Software Technology, India). Institut-Institut ini berhubungan rapat dengan
kerajaan, badan professional dan pendidik, dan mempunyai kuasa dan peranan
pembikinan dasar. Tambahan pula, projek ini mendapat sokongan sepenuhnya
Telecom Group of the Bombay First Initiative, satu organisasi yang di bawah
payung Dewan Perniagaan dan Industri, Bombay. Di India, Bombay akan menjadi
fokus utama kerja-kerja lapangan.
Perhubungan dengan
lain-lain sistem UNU dan lain-lain organisasi sistem Bangsa-Bangsa Bersatu.
Dalam konteks sistem
Bangsa-Bangsa Bersatu, projek ini melibatkan UNIFEM (bagi menilai dalam
konteks dialog WTO, impak teleperdagangan ke atas wanita bekerja), dari
UNCSTD (input ke atas kerja-kerja mereka mengenai IT untuk Pembangunan),
dari ILO (untuk input ke atas kerja-kerja mereka dalam menjadi pemangkin
kepada perhubungan industri dan pengurusan), dan UNDP (ke atas kerja-kerja
penggunaan telematik bagi pembangunan yang bersinambung.
PERANCANGAN
AKTIVITI PROJEK YANG TELAH DIJALANKAN
Input projek ke atas agenda berikut:-
o Dengan menubuhkan panel 'Teleworking: Persyarikatan Maya dalam Ekonomi
tanpa Sempadan', di New Delhi, India. 4-5 Disember, l997
o Bengkel antarabangsa perdagangan elektronik anjuran Persatuan Komputer
India dan Persekutuan Komputer Rantau Asia Tenggara - Southeast Asian
Regional Computer Confederation (SEARCC)- 5 Disember, l997
o Mengemukakan keputusan tinjauan semasa ke atas teleworking dalam bengkel
yang dibiayai IDRC/Bombay First Initiative di Mumbai - 10 Disember, l997
o Satu pameran dan tunjukajar mengenai telekomuting anjuran Bombay First
Initiative dan Persatuan Komputer India. Acara ini bertujuan mengenalpasti
cabaran dan peluang organisasi dan kakitangan serta pekerja-pekerjanya.
Julai, l998.
o Bengkel Teleworking di Malaysia dan India anjuran Kerajaan Malaysia. Ogos,
l998.
o Bengkel Global Teleworking anjuran UNU/INTECH dengan NCST dan IDRC
December, l998.
Kembali ke atas
SASARAN, STRATEGI, OBJEKTIF PROGRAM
Sasaran jangkapanjang ialah untuk memudahkan laluan sumber maklumat daripada
dalam dan luar negara menerusi hubungan rangkaian komputer termasuklah
kawasan luar bandar. Sasaran ini juga akan membantu pembuat keputusan pada
kesemua tahap seperti penyelidik dan mungkin orang awam termasuklah mereka
di luar bandar dapat menggunakan perkhidmatan telematik untuk:-
o Melibatkan diri secara aktif dalam kerjasama dalam dan luar negara bagi
mendapatkan maklumat, data, grafik, gambar, video dll secara elektronik
untuk meningkatkan perdagangan, pengangkutan, kesihatan, pendidikan, latihan
dan lain-lain. Selain itu mereka juga dapat melibatkan diri dalam
persidangan video dll.'
Antara Objektifnya
pula ialah:-
o Menghubungkan rangkaian ini dengan Koridor Raya Multimedia terutamanya
MIMOS dan MDC menerusi penukaran maklumat berbentuk multimedia dan
penglibatan dalam persidangan video. MIMOS dan/atau MDC akan berfungsi
sebagai pusat latihan untuk kawasan luar bandar samada di dalam dan di luar
negara bagi penyelarasan yang seiring.
Isi Pelan Tindakan adalah sebagaimana berikut:-
1. Mengadakan panduan dasar kebangsaan.
2. Mengadakan Rangkaian
3. Melaksanakan sistem rangkaian (termasuk mengadakan laluan ke peringkat
antarabangsa)
4. Membekalkan peralatan dan terminal
5. Pembangunan Sumber Manusia menerusi Latihan
6. Penilaian
7. Khidmat Nasihat dan Perundingan - menerusi konsep perpustakaan maya yang
dihubungi dengan rangkaian antarabangsa.
MIMOS dan/atau MDC akan mengenalpasti keperluan, formulasi projek, mengawas
dan menilai, spesifikasi kontrak dan penilaian dsb. Ini akan dijelaskan
menerusi seminar, mesyuarat maklumat dan menghantar kakitangan-kakitangan
mereka ke lokasi-lokasi di luar bandar sekiranya perlu.
PEMBIAYAAN PROJEK
Projek yang dijangka akan dibiayai dan disokong oleh kerajaan, MIMOS, MDC,
UNDP, sektor korporat, syarikat yang dilantik, penyelidik dll. akan
mengambilkira sokongan pentadbiran dan teknikal yang dibekalkan bagi
melaksanakan projek ini.
KEBAIKAN
Kawasan luar bandar pastinya akan merasakan kebaikan daripada program
telematik ini Kebanyakan sumber akan disalurkan ke arah prasarana berikut:-
1. Pembangunan telekomunikasi luar Bandar
2. Pembangunan sumber manusia
3. Pengurusan
4. Penyelenggaraan
5. Perancangan
PROGRAM
1. STRATEGI
Strategi keseluruhan pengenalan telematik luar bandar ialah untuk membantu
dalam pelaburan yang stabil seterusnya meraih dan mengagih keuntungan/
pendapatan secara adil menerusi lima prasarana utama yang disebutkan di
atas.
2. SASARAN
Adalah dijangkakan, di alaf baru, program ini akan:-
i. memenuhi kehendak perkhidmatan telekomunikasi - ini bermakna perangkaian
bersepadu akan berlaku di antara kawasan bandar dan luar bandar.
ii. Meninggikan lagi tahap penggunaan perkhidmatan telekomunikasi di luar
bandar.
Kembali ke atas |