Laman Puteri Reformasi
Undur Mahathir Negara OK

Kenyataan Media: 27 April 2001 

ISA: PENDERAAN UNTUK "PENGAKUAN"

Parti Keadilan Nasional [keADILan] amat khuatir dengan nasib mangsa-mangsa tangkapan ISA yang dinafikan sebarang pertemuan dengan ahli-ahli keluarga maupun peguam mereka. Malah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [SUHAKAM] yang diwujudkan oleh Parlimen Malaysia itupun belum lagi diberikan laluan untuk melawat para tahanan; sedangkan itu adalah satu kuasa yang diberikan kepada mereka oleh Akta Parlimen yang diperuntukkan kepada suruhanjaya tersebut. Hingga ke saat ini masih belum ada tanda-tanda bahawa mereka akan diberikan hak berkenaan.

Sejarah penahanan ISA di masa lalu tidak menjamin bahawa para tahanan tidak akan menghadapi sebarang deraan mental dan fizikal sewaktu berada di dalam kurungan pihak berkuasa. Inilah suatu kebimbangan dan kekhuatiran di kalangan ahli-ahli keluarga, sahabat handai dan rakyat Malaysia yang amat prihatin terhadap nasib yang mungkin menimpa "orang yang tersayang" sewaktu penahanan tanpa bicara ini.

Pengalaman masa lalu juga menunjukkan betapa ada di antara tahanan-tahanan ISA yang mengalami tekanan untuk membuat "pengakuan" yang direkayasa oleh pihak berkuasa. Sejarah pemaksaan ke atas tahanan-tahanan ISA sehingga memaksa mereka membuat pengakuan-pengakuan yang disediakan oleh pihak berkuasa pernah terjadi kepada Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan Abdul Samad Ismail.

keADILan juga menjangkakan bahawa akan ada di antara tahanan-tahanan ISA yang sedang diinterogasi oleh pihak polis yang akan dipaksa membuat pengakuan-pengakuan yang bukan sahaja memburukkan diri mereka, bahkan parti dan perjuangan reformasi aman dan murni ini. Mudahan-mudahan ALlah melipat-gandakan kesabaran dan kekuatan mereka dan kita semua dalam menghadapi fitnah dan mehnah ini. 

keADILan menyeru semua pihak untuk terus bekerja keras untuk menuntut pembebasan tanpa syarat sesegera mungkin ke atas tahanan-tahanan ISA. KeADILan juga mendesak agar diberhentikan penangkapan bersiri yang dilakukan oleh pihak polis untuk mewujudkan suasana takut. 

Mansuhkan ISA!

MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Nasional [keADILan] 


Kenyataan Media: 26 April 2001

TANGKAPAN ISA LAGI?

Parti Keadilan Nasional [keADILan] membantah dengan sekeras-kerasnya penangkapan ke atas Sdr. Badarudin Ismail pada hari ini.

Dengan penangkapan ini jelas menunjukkan bahawa pihak polis sengaja melakukannya secara berterusan dan berperingkat-peringkat untuk mewujudkan suasana dan persekitaran yang menakut-nakutkan orang ramai.

Penangkapan yang dibuat ketika negara dalam keadaan aman begini, pastinya ada tujuan politik untuk menekan rakyat daripada membongkar kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan oleh pimpinan Barisan Nasional.

Kerajaan pimpinan Dr. Mahathir kini jelas sudah tidak dapat menyorokkan lagi rasa takutnya terhadap perjuangan reformasi menegakkan keadilan dan kebenaran di negara ini.
 

 

MOHD ANUAR TAHIR
Setiausaha Agung
Parti Keadilan Nasional [keADILan] 
 

Hosted by www.Geocities.ws

1