Laman
Puteri Reformasi
Undur
Mahathir
Negara
OK

|
MAHATHIR DAN UMNO: MENGGALI AKAR UMBI KEBAJINGAN (Mahathir & UMNO: What Is Root Of Evil) Perdana Menteri dan Presiden UMNO cuba menangani masalah besar yang menghantui UMNO dalam usaha memerangi politik wang dan korupsi yang berleluasa. Ketika berucap merasmikan persidangan UMNO bahagian yang dipimpinnya sendiri di Kubang Pasu, Kedah, Mahathir telah membuat satu cadangan yang memeranjatkan untuk menghalang orang yang kaya raya daripada bertanding sebarang jawatan dalam parti; dan ketua cawangan dan bahagian tidak lagi diberikan kontrak kerajaan. Untuk menyokong cadangannya, Mahathir telah mendedahkan banyaknya tindak balas yang diterima daripada sebahagian besar masyarakat dalam lawatannya seluruh negara baru-baru ini. Ada satu konsensus bahawa hiraki UMNO adalah korup dan mementingkan diri, sambil mengabaikan tanggungjawab terhadap bangsa, agama dan negara. Dengan lain perkataan, UMNO sudah kehilangan sokongan rakyat jelata. Dengan mengambil langkah-langkah yang dicadangkan itu, untuk membersihkan UMNO, Mahathir merasa yakin bahawa UMNO boleh menarik minat orang Melayu untuk kembali menyokong parti dan memperbaharui sokongan rakyat marhaen. Tanpa sokongan itu Mahathir fikir UMNO tidak mungkin berjaya memenangi pemilu yang lagi satu. Walaupun rakyat negara ini sudah lama mengetahui betapa UMNO sudah semakin lemas di samudera korupsi, pengakuan Mahathir secara terbuka ini merupakan satu pengakuan yang ada kepentingan sejarahnya. Inilah pertama kalinya seorang perdana menteri negara ini yang mengaku betapa adanya sikap pilih kasih yang meluas dalam pemberian kontrak kerajaan kepada pemimpin UMNO. Perbuatan ini adalah bertentangan dengan undang-undang rasuah negara. Walaupun Mahathir tidak pun menjelaskan perkara itu, rumusan terhadap kesongsangan ini memang tidak boleh dinafikan lagi. Kalau penganugerahan semua kontrak kerajaan kepada pemimpin UMNO dilaksanakan dengan penuh ketelusan, kenapa pula semua aktiviti itu telah mencemarkan imej UMNO dan kenapakah UMNO memikirkan perlunya menyekat amalan itu dengan tujuan menyelamatkan martabat parti daripada terus tercemar? Apakah ura-ura menidakkan kontrak kerajaan kepada pemimpin UMNO seperti itu merupakan pencabulan hak perlembagaan mereka, lebih-lebih lagi kalau mereka sudah memenangi kontrak selama ini melalui tender yang bersih dan terbuka? Apakah cadangan Mahathir itu (menghentikan pemberian kontrak kepada pemimpin parti) mendedahkan betapa kepimpinan UMNO dan bukannya perkhidmatan awam, yang membuat penentuan terhadap pengagihan kontrak kerajaan. Sekaligus ia memperakukan adanya campur tangan politik dalam peraturan pentadbiran, yang merupakan amalan korupsi di bawah peraturan undang-undang? Pengakuannya berkaitan amalan rasuah yang merebak luas itu menarik tumpuan kita kepada satu lagi kegagalan besar dalam perjalanan Badan Pencegah Rasuah, kerana ia tidak pernah berjaya mengemukakan sebarang kes mengenai amalan rasuah untuk dikenakan tuduhan. Satu lagi rumusan negatif yang boleh kita andaikan daripada kenyataan Mahath)r itu ialah cara beliau berfikir yang tidak lagi mempunyai unsur prinsip moral. Perhatikanlah betapa dorongan Mahathir untuk menyekat amalan korupsi itu bukannya disebabkan pendiriannya bahawa amalan itu adalah salah, tetapi kerana dia memikirkan itulah satu strategi yang baik untuk menarik bakat-bakat baru sebagai jaminan memenangi pemilu yang lagi satu. Sebaliknya, seorang perdana menteri yang bijaksana sudah tentu mengarahkan amalan rasuah itu dihentikan sebaik sahaja amalan itu dikesan. Tindakan seperti itu bukanlah kerana amalan itu memang salah, malahan ia amat bercanggah dengan perundangan kita. Soalannya sekarang: Berjayakah Mahathir menyintuk limau amalan korupsi UMNO itu, seandainya cadangan beliau dilaksanakan sepenuhnya? Jawapannya semesti tidak, kerana Dr. Mahathir hanya membawa penawar untuk mengubati simptom penyakit dan bukan penyebab penyakit itu. Sebagai permulaan, apakah yang menghalang kepimpinan UMNO daripada meneruskan amalan pemberian kemudahan kerajaan yang dianggap haram kepada agen mereka, nomini, proksi, anak-kesayangan, dan sebagainya selagi nama mereka tidak tersenarai sebagai pemimpin cawangan dan bahagian parti? . Apakah yang boleh menyekat pemimpin UMNO dan kakitangan kerajaan menerima rasuah daripada orang awam, yang tidak pun tersenarai dalam carta orang yang mesti diketepikan? Adalah jelas bahawa punca kepada segala bajingan ini terletak kepada system yang ada dan bukannya pada manusia yang diberikan kontrak. Selagi satu system agihan tender yang telus dan bersih tidak diwujudkan, untuk menggantikan kaedah amalan korupsi dan pilih-kasih dalam pemberian kontrak kerajaan dan projek penswastaan, korupsi yang berleluasa akan terus menjadi amalan harian. Kita boleh memanjangkan perbincangan ini dengan memikirkan seandainya sudah wujud satu sistem pemberian tender itu, apakah korupsi sudah boleh dianggap sesuatu yang dapat dibenteras? Jawapannya pun tidak juga. Pada kali ini alasannya terletak kepada ketiadaan satu jentera pembenterasan korupsi yang bebas dan berkesan. Badan Pencegah Rasuah yang wujud di bawah bidang kuasa Perdana Menteri, dilihat sebagai satu lambang untuk menangkap ikan bilis dan dijadikan satu alat yang menakutkan musuh politik dan untuk menghalang kemungkinan meletusnya sanggahan politik di kalangan kumpulan bawahan; sedangkan ia sepatutnya diwujudkan sebagai satu institusi yang dihormati untuk menentang amalan rasuah. Kegagalannya yang berpanjangan untuk bertindak secara berkesan terhadap amalan korupsi di kalangan orang besar-besar dan salah guna kuasa di kalangan mereka sudah sampai ke tahap yang menjijikkan rakyat marhaen sehinggakan orang yang paling bengap pun tidak percaya dengan keberkesanan agensi itu lagi. Kita memang mudah mencari beberapa contoh betapa sebuah badan pembenterasan rasuah yang bebas dan berkesan adalah jawapan kepada usaha membenteras rasuah. Contoh terbaik ialah Hong Kong. Pada 1970-an dulu, satu agensi pencegah rasuah yang bebas dan tidak tertakluk kepada bidang kuasa Gabenor Hong Kong, tetapi kepada sebuah kementerian di United Kingdom, telah berjaya memperbaiki salah satu masyarakat yang paling korup di dunia bertukar menjadi salah satu kerajaan yang paling bersih sekali. Dengan lahirnya satu pentadbiran yang bersih di Hong Kong menjadikan pulau itu salah sebuah pentadbiran yang mencapai kemajuan ekonomi yang sungguh pesat sekali. Perkara yang sama boleh dikatakan di sini mengenai pencapaian ekonomi yang menakjubkan Kali ini kita boleh menjenguk negara jiran kita, Singapura. Tidak ada sesiapa yang boleh mencabar kenyataan bahawa salah satu sebab Singapore berjaya mencapai transformasi yang menakjubkan daripada sebuah pulau yang serba kekurangan menjadi salah sebuah negara yang terkaya di dunia dan dikagumi dalam satu masa yang singkat tanpa merosakkan martabat negara itu sebagai negara yang begitu bersih daripada rasuah. Sebagai tujuan menjentik minda kita, seandainya Singapura telah mengamalkan korupsi bajingan yang dahsyat seperti amalan di negara ini, apakah Singapura boleh mencapai separuh daripada kemajuan yang telah pun dinikmatinya? Di Malaysia kita pun mempunyai formula yang bijaksana untuk melonjakkan kita daripada cengkaman korupsi. Caranya ialah menentukan BPR itu betul-betul bebas dan tidak lagi tertakluk kepada Perdana Menteri, tetapi kepada Parlimen. Perlantikannya bukan dibuat oleh eksekutif tetapi oleh satu suruhanjaya yang bebas daripada naungan politik, dan diberikan kuasa untuk mendakwa sesiapa sahaja tanpa campur tangan politik. Isu sebenar yang menghantui Mahathir dan UMNO ialah: Apakah UMNO mempunyai keupayaan politik untuk berubah sikap dan keluar daripada bayangan silamnya yang penuh rasuah itu? Ataupun apakah UMNO sudah begitu berkarat dengan daki-daki korupsi sehinggakan sebarang fikiran mengenainya merupakan satu impian semata? Kalau kita mahu lebih berterus terang
kini, apakah cadangan terbaru Mahathir ini hanya
satu sandiwara lagi?
-Kim Quek-
|