Laman
Puteri Reformasi
Undur
Mahathir
Negara
OK

|
ISA DAN KETIDAKSELAMATAN UMNO Satu ketika dulu ISA (internal Security Act: Akta Keselamatan Dalaman) digunakan apabila orang Melayu naik marah; kini apabila UMNO yang berperasaan begitu. Satu ketika dulu undang-undang di bawah akta itu memang diperlukan, untuk mengelakkan daripada adanya sebarang usaha untuk menjatuhkan kerajaan. Kini, ia digunakan untuk menghambat ahli parti pembangkang. Dalam operasi penangkapan terbaru, semua sembilan orang yang ditahan itu adalah penentang UMNO. Betapa kita melihatnya, ISA dikuatkuasakan berasaskan dakwaan yang dicurigai betapa adanya ura-ura untuk melancarkan revolusi bersenjata di negara ini. Pada masa dulu, ketika ISA dikatakan sebagai alat untuk menahan mereka yang dicurigai sebagai musuh-musuh negara, ia diberikan takrif mengikut dua cara: satu jalan mudah ialah untuk menahan segala bedebah; dan secara bertentangan dengan pendapat umum (paradoks) adanya kesangsian betapa dinding pun boleh bertelinga. Oleh itu adalah lebih baik kalau kita membisu sahaja. Daripada dua anggapan itu tidak ada satu pun yang menyerlahkan kebenarannya melainkan di kalangan mereka yang memang hampir gila. Sebaliknya, Ketua Polis Negara, Norian Mai telah mengugut untuk melaksanakan beberapa tangkapan lagi.. Timbalan menteri dalam negeri terpaksa menyisihkan tanggungan kerajaan daripada tindakan polis - dia berkata kerajaan tidak tahu-menahu sesiapa lagi yang akan ditangkap oleh polis. Kerajaan pernah megnenakan ISA terhadap mantan timbalan perdana menteri, Anwar Ibrahim, pada 1998. Itu merupakan pengalaman Anwar yang kali kedua dengan ISA. Dia pernah ditahan selama dua tahun pada 1973, ketika tercetusnya demonstrasi pelajar memprotes kelaparan di Gerik. (Baling sebenarnya - penterjemah) Penangkapannya itu merobah sengat ISA. Menangkap seorang timbalan perdana menteri dengan menggunakan ISA telah menggoncangkan kerajaan ke akar umbinya, dan bahana tindakan itu masih lagi berterusan untuk menghantui kerajaan sehingga masa kini. Orang Melayu tidak lagi takut kepada ISA. Kerajaan bersama UMNO dan juga pihak polis tidak dapat mencari penjelasan kenapa berlakunya satu anjakan persepsi yang sungguh dramatik, Namun, ia masih berfikiran akta zalim ini boleh diguna pakai untuk mendera sesiapa yang mereka suka. Kerajaan pernah berjanji tidak menggunakan ISA terhadap ahli parti politik pembangkang. Perdana menteri Dr. Mahathir Mohamad dan juga timbalannya Abdullah Ahmad Badawi memang telah berjanji mengenai ini tanpa syarat. Tetapi, lapan orang ahli Keadilan sudah pun ditangkap, dan kalau Norian Mai tepat dengan kenyataannya, masih ramai lagi yang akan diserkap. Kenyataan Norian Mai itu menunjukkan ISA sudah pun digunakan kini bagi tujuan politik. Kalaulah unsur-unsur sabversif itu sudah diketahui, tentu polis boleh menahan mereka tanpa ribut-ribut lagi. Jadi, kenapakah Norian Mai terus melalak memberi amaran terhadap mereka yang mahu ditangkapnya kerana bersikap anti-negara dan aktiviti militan? Bahana Penangkapan Anwar Bahana penangkapan Anwar di bawah ISA pada 1998 telah memaksa kerajaan mengelak menggunakannya untuk memerangkap puak pembangkang. Apabila kerajaan melancarkan penangkapan terhadap pihak yang menentang, dengan menafikan hak mereka untuk mengadakan perhimpunan ataupun sebaliknya, pihak pembangkang memilih untuk melancarkan demonstrasi secara besar-besaran. Polis menjadi bingung dengan fenomena ini dan bertindak di luar batasan. Gelombang manusia itu terus mahu berhimpun juga. Sekarang, betapapun polis cuba memberikan alasan yang dianggapnya munasabah dengan penangkapan itu, alasan itu tidak dipercayai lagi. ISA disauk semula untuk dikuatkuasakan dengan dendam yang lama terperam. Namun, kumpulan anti-UMNO dan anti-kerajaan tidak hairan dengan tindakan itu. Lagi galak ISA digunakan untuk menekan, lagi galak kerajaan menjadi tertekan. Isu sebenar bukanlah seperti yang disebut oleh kerajaan yang beranggapan kalau para penunjuk perasaan dan aktiviti anti-kerajaan dibiarkan, ia akan terus menular menjadi satu konfrontasi antara kerajaan dengan pembangkang. Demokrasi hanya boleh bertapak dengan suburnya kalau ada pertembungan pendapat politik mengenai cara negara ini harus ditadbirkan. Inilah yang tidak dibenarkan oleh kerajaan Malaysia. Mungkin ia bersedia dengan pendapat ini apabila ia sudah mencengkam kuasanya ke atas orang Melayu dan rakyat Malaysia. Tetapi, keadaan sudah jauh berubah. Orang Melayu sudah mempunyai pendirian berbeza daripada UMNO. Mereka mahukan hak untuk didengar dan hak untuk menerangkan pendapatnya. Orang Melayu sudah bijak memahami apakah batasan hidupnya dan sudah bersedia untuk menentukan mereka berupaya melepasi hambatan itu. Inilah satu iktiqad yang tidak mudah ditarik balik. Dalam banyak hal keyakinan diri ini merupakan satu kesedaran berpolitik. UMNO melawan untuk merangkul kembali asas sokongan yang pernah dimonopolinya, sedangkan orang Melayu, terutama golongan muda terus menolaknya. Di tengah-tengah kemelut inilah ISA ditunggang kembali untuk menyekat kebangkitan hegemoni budaya Melayu yang semakin membuak geloranya. Inilah yang membuatkan UMNO bercelaru. Tekanan-tekanan orang Melayu inilah yang menyukarkan usaha untuk mengembalikan sokongan Melayu kepada UMNO. Tetapi, para pemimpin yang sudah terkenal kerana kelesuan, keangkuhan, tamak dan haloba semakin sedar walaupun secara terkejut, betapa usaha yang sukar ini kalau diteruskan juga akan menelan mereka dan UMNO akhirnya. UMNO sudah berpecah kepada beberapa fraksi, di mana cengkaman
pusat sudah pun semakin tetas di tepiannya.
Inilah yang tidak mahu diperakui oleh UMNO itu sendiri.
Inilah juga sebabnya mereka sanggup bermati-matian
untuk menahannya.
Bahana Kemelut Fauzi Pengundian UMNO di peringkat bahagian tidak menghasilkan keputusan yang diharapkan oleh para pemimpinnya. Bahana tuduhan Fauzi berkemungkinan menyebabkan persaraan orang yang dituduhnya sebagai korup - itulah dia bekas menteri besar Pahang yang kini menjadi menteri penerangan dan setiausaha agung UMNO. Perdana menteri sudah pun mengugut untuk menyekat orang yang kaya raya daripada memegang jawatan dalam parti. Menteri kewangan Daim Zainuddin mengambil cuti untuk dua bulan lamanya, sedangkan dia amat diperlukan di Parlimen untuk menerajui pelancaran Rancangan Malaysia Kedelapan. Media perdana, memang pantas melaporkan majlis UMNO secara sambil lewa sahaja, dan menutup cerita yang pelik-pelik yang tercetus ketika mesyuarat dikendalikan. Cerita sebenar memang tidak diketahui, tetapi kumpulan puak Anwaristas telah mencapai kejayaan. Apa lagi dengan kemelut Fauzi yang membuatkan UMNO menggelupur kepanasan. Ada juga calon kesayangan perdana menteri yang menang kerusi mereka, walaupun ada juga yang terpaksa berduka. Kebanyakan yang kecundang adalah mereka yang terlibat dalam konspirasi memenjarakan Anwar dan mengaibkannya laksana binatang. Ketua bahagian yang menang perlu berusaha menggerakkan bahagiannya semula dan menghidupkan kembali kegemilangan sokongan lama. Usaha seperti itu tidak boleh dilaksanakan dengan menggunakan ISA terhadap pihak pembangkang. Ia tidak akan menarik minat bekas orang UMNO untuk balik semula menjadi ahli.. UMNO menjadi terkejut beruk apabila seorang bekas exco UMNO menubuhkan cawangan PAS terbaru di pinggir Kuala Lumpur dan berjaya menarik beratus tetamu untuk menyerikan majlisnya. Apa yang UMNO memang perlukan ialah satu reformasi
dalaman sendiri, dan ISA bukannya alat
untuk mencapainya.
-MGG Pillai-
|