Laman Puteri Reformasi
Undur Mahathir Negara OK

                      
                   “Ya...memang betul...saya baru saja bergaduh dengan Daim,” 

                        KUALA LUMPUR, Isnin 23 April – Perdana Menteri, Datuk Sri Dr Mahathir
                        Mohamad hari ini menafikan bahawa beliau berselisih faham dengan Menteri
                        Kewangannya, Tun Daim Zainuddin yang kini sedang menghabiskan cuti panjang
                        selama dua bulan.

                        ”Ya…memang betul…saya baru saja bergaduh dengan dia…sebab tu dia datang
                        Parlimen hari ni nak dengar apa saya cakap,” katanya dalam nada yang bergurau
                        apabila ditanya mengenai perkara itu oleh para wartawan selepas membentangkan
                        Rancangan Malaysia Kelapan, di Dewan Rakyat.

                        Menurut Dr Mahathir, para wartawan perlu bertanya kepada Daim sendiri
                        mengapakah beliau datang ke Parlimen hari ini kerana dia sedang bercuti sekarang.

                        Kepada satu lagi soalan yang ditanya oleh seorang wartawan akhbar berbahasa Cina,
                        apakah benar Tengku Razaleigh Hamzah akan kembali ke kabinet, Dr Mahathir
                        berkata, beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu dan tidak pula mendengarnya.

                        "Angin mana pulak ni...you punya anginlah," kata Dr Mahathir dalam nada yang
                        berjenaka apabila wartawan itu bertanya; "Khabar angin kata Ku Li akan masuk
                        balik..."

                        Isu mengenai kembalinya Tengku Razaleigh (Ku Li) ke dalam kabinet semula menjadi
                        sebahagian daripada desas-desus dan percakapan ramai sekarang ekoran cakap-cakap
                        bahawa Daim akan meninggalkan kerajaan sebaik sahaja menghabiskan cuti
                        panjangnya selama dua bulan.

                        Cuti panjang Daim juga telah mendapat reaksi yang pelbagai memandangkan negara
                        sedang berhadapan dengan kesan sampingan ekoran kelembapan ekonomi Amerika
                        sekarang.

                        Daim menjadi menteri kewangan dari 1984 hingga 1991 sebelum jawatannya itu
                        diambil alih oleh Anwar Ibrahim. Beliau kembali semula ke pangkuan Dr Mahathir
                        pada bulan Jun 1998 sebagai menteri tugas-tugas khas sebelum kembali menyandang
                        jawatan lamanya ekoran pemecatan Anwar tidak lama kemudian.

 

Hosted by www.Geocities.ws

1