Laman Puteri Reformasi
Undur Mahathir Negara OK

         
MCA Sambut Baik Langkah Benarkan Anggota Cina Akar Sertai Umno
 

KLANG, 20 Mei (Bernama) -- MCA menyambut baik langkah memberi kelonggaran kepada kepada kaum Cina Sabah menyertai UMNO, kata Presidennya Datuk Seri Dr Ling Liong Sik hari ini.

Beliau berkata parti itu tidak kisah dengan langkah sedemikian asalkan kaum Cina Sabah menyertai mana-mana parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri itu. 
 
 

"Walaupun MCA sudah pun berada di sana (Sabah), jika diberikan peluang, mereka (kaum Cina di Sabah) boleh menyertai mana-mana parti komponen BN negeri dan MCA berpendapat langkah itu adalah betul," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan di sini, hari ini. 

Beliau berkata langkah itu tidak membimbangkan MCA kerana parti itu sentiasa bekerjasama dengan Umno untuk membawa kemakmuran kepada rakyat. 

Dr Ling diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad di Sabah hari ini mengenai kelonggaran membenarkan anggota Cina Angkatan Keadilan Rakyat (Akar) menyertai UMNO. 

Akar dibubarkan dengan rasmi hari ini dalam satu perhimpunan khas parti itu di Kota Kinabalu. 

Apabila ditanya sama ada MCA akan cuba menarik mereka menyertai parti itu, Dr Ling yang juga Menteri Pengangkutan berkata pengambilan anggota baru dalam MCA adalah satu proses berterusan dan sesiapa pun layak menyertai parti itu. 

Mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata beberapa isu dibincangkan termasuk pelaksanaan kelas bahasa ibunda murid (POL) di sekolah rendah kerajaan dan kedai permainan video haram yang kini kembali berleluasa. 

Dr Ling berkata sebelum idea itu dilaksanakan di seluruh negara, MCA akan menggesa Kementerian Pendidikan melatih lebih ramai guru untuk memenuhi keperluan POL di sekolah. 

"Ketidakcukupan guru POL akan menyebabkan idea ini menjadi tidak berkesan dan MCA mahu kementerian memastikan ada cukup guru untuk mengendalikan kelas-kelas ini di seluruh negara," katanya. 

Dr Ling berkata adalah tidak wajar untuk menarik guru dari sekolah jenis kebangsaan untuk mengajar POL di sekolah-sekolah kerajaan kerana ia akan menyebabkan berlakunya kekurangan guru lagi. 

Beliau berkata adalah lebih baik menjadikan program itu sebagai projek perintis di beberapa sekolah sebelum melaksanakannya di seluruh negara. 

Mengenai permainan video haram, Dr Ling berkata ia membimbangkan MCA dan meminta pihak berkuasa tempatan dan polis bertindak terhadap pengusahanya. 

-- BERNAMA 

 
Hosted by www.Geocities.ws

1