Laman Puteri Reformasi
Undur Mahathir Negara OK

           
       Meniti Gelora SAID ZAHARI

Tanggal 18 Mei hari ini, 73 tahun yang lalu, lahirlah seorang insan yang bernama Said Zahari. Biar pun tidak pernah bersua muka dan hanya pernah mendengar namanya, selepas habis membaca buku tulisan Pak Said yang bertajuk “Meniti Lautan Gelora” itu saya merasa seolah-olah sangat dekat dan mengenali dirinya. Bukan tujuan saya untuk memuji-muji corak dan gaya penulisan yang ditampilkan di dalam buku tersebut, kerana itu mungkin satu anugerah Allah kepadanya, tetapi apa yang lebih penting adalah fakta-fakta sejarah yang terselit di dalamnya di samping catatan pengalaman hidupnya yang banyak memberikan pedoman kepada kita, khasnya para pendokong gerakan reformasi.

Apabila membicarakan tentang fakta-fakta sejarah, usahlah mencebik bibir mengatakan bahawa sejarah Malaysia telah cukup sempurna dirakamkan di dalam buku-buku ilmiah termasuk buku-buku teks sekolah. Kita harus ingat bahawa sejarah ditulis oleh manusia, dan manusia berupaya mengolahnya dari berbagai sudut mengikut citarasanya sendiri dan tidak kurang juga yang mengikut kepentingan pihak-pihak tertentu.

Fakta-fakta sejarah yang dipersembahkan oleh Pak Said adalah sebenarnya fakta-fakta yang halus dan tersembunyi yang berlaku di sebalik beberapa peristiwa penting yang pernah melanda negara kita satu masa dahulu. Ini tidak mungkin kita perolehi dari mana-mana buku teks sekolah. Yang menjadikan persembahan fakta-fakta sejarah itu hidup adalah kerana beliau sendiri menyaksikan, mengalami dan menerima kesan darinya. Contohnya adalah pendedahan beliau tentang apa yang berlaku semasa rundingan damai Baling di antara Tunku Abdul Rahman (Perikatan) dan Chin Peng (Parti Komunis Malaya) pada tahun 1955, dan mengapa rundingan tersebut mengalami kegagalan. Satu lagi adalah peristiwa “Operation Cold Store” pada tahun 1963 di mana penangkapan borong beramai-ramai dilakukan terhadap para “pemimpin yang gagal kita miliki” yang terdiri dari Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Pak Said sendiri dan ramai lagi yang lain.

 Terlalu banyak pengetahuan dan panduan yang berharga yang boleh kita ceduk dari hanya sebuah buku yang berjodol “Meniti Lautan Gelora” itu. Saya ingin berkongsi beberapa perkara yang menjadi asas kekuatan kepada buku yang begitu sukar untuk dilepaskan sebaik sahaja kita mula membacanya itu. Di antaranya :-

 (1)Utusan Melayu Tinggal kenangan:

Mengikuti perjalanan sejarah gergasi surat khabar Melayu satu ketika dahulu, Utusan Melayu, yang pernah diterajui oleh Pak Said, akan mengesahkan lagi punca segala penyelewengan dan kepincangan yang sedang dipamerkan oleh kumpulan akhbar yang sama, Utusan Malaysia, pada masa ini. Tidak ada siapa yang dapat menafikan pentingnya nilai sejarah “Mogok 100 hari Utusan” yang dilancarkan pada zaman Pak Said sehinggakan si mamak ZAM sendiri mengakui bahawa “……..orang seperti Pak Said menjadikan Utusan itu hebat.” Kita soal beliau kembali : “Apakah kini Utusan itu masih hebat sehinggakan terpinggir sebegitu rupa sejak dua tahun kebelakangan ini??”

(2)Keperibadian Lee Kuan Yew (LKY) dan Tunku Abdul Rahman (TAR) :

Selepas habis membaca buku ini saya telah dapat mengenali siapa LKY yang sebenarnya. Jika sebelum ini kita telah berprasangka terhadap LKY,buku ini akan melonjak tahap prasangka itu ke tangga yang teratas sekali. Apa sahaja yang terlintas di fikiran seperti manusia yang tidak mengenang budi, lupa diri, mementingkan diri sendiri, hipokrit, berhati binatang, pendendam, sanggup berbuat apa sahaja demi kepentingan politiknya…….semua ini tidak ubah seperti satu watak yang kita kenali sedang menguasai negara kita ini! Rupa-rupanya mereka berdua telah ditakdirkan berkongsi naluri yang sama……barulah saya benar-benar faham akan tujuan kunjungan LKY ke Malaysia tidak berapa lama dahulu.

Berkenaan dengan TAR pula, biarpun banyak kepahitan yang terpaksa kita telanlantaran perlakuan ‘Bapak Kemerdekaan’ yang kita cintai itu, namun ada juga terselit keperibadiannya yang mulia……..cinta terhadap bangsa seagamanya. Tak faham?? Apa maksudnya?? Sila dapatkan dan baca sendiri buku ini…..he,he

(3)PPSO = ISA :

Preservation of Public Security Ordinance (PPSO) di Singapura adalah kembar kepada Internal Security Act (ISA) di Malaysia. Kaedah dan matlamat penguatkuasaannya adalah tidak jauh bezanya. Bahkan peminat dan penjunjung nombor satu kedua-dua akta ini juga tidak jauh bezanya dari segi peribadi dan nafsu buas mereka. Sebenarnya akta-akta ini berkembar tiga, satu lagi di Israel…….yang ini pun tidak perlu diceritakan kebinatangannya!

(4)Pengalaman di PPSOkan :

Sesuatu yang menarik dapat dicungkil dari kisah pengalaman hidup Pak Said semasa diPPSOkan dahulu. Terutamanya sewaktu bonda tercintanya jatuh sakit dan meninggal dunia semasa beliau masih di penjara. Untuk kedua-dua peristiwa tersebut, beliau telah diberi peluang untuk pulang melihat ibunya. Sungguh menyayat hati membaca secebis kisah itu, mengingatkan kita kepada perkara yang sama dilalui oleh DSAI tidak berapa lama dahulu. Cuma, tidak seperti Pak Said, kepulangan DSAI yang seketika itu telah disambut dengan penuh kerinduan oleh para penyokong setianya sekaligus menyemarakkan lagi semangat juangnya. Mungkin DSAI lebih bertuah kerana dilahirkan pada zaman kesedaran dan kebangkitan rakyat. Namun Pak Said ternyata telah lebih teruji kerana walaupun tanpa sebarang harapan dan sokongan yang sebegitu tinggi dari anak bangsanya, beliau telah sanggup untuk menjadi penghuni penjara selama 17 tahun tanpa dibicarakan langsung!

(5)Nilai Sebuah Persahabatan :

Sebagai seorang wartawan yang cergas dahulu, Pak Said telah menjalinkan hubungan dengan ramai orang, dari berbagai bangsa dan kedudukan, sama ada sewaktu kehidupan senang mahupun susahnya. Apa yang ingin saya petik di sini adalah sebuah persahabatan yang begitu unik yang telah dialami oleh Pak Said yang mungkin boleh menjadi pedoman buat kita semua. Ikatan persahabatan tulen yang terjalin di antara Pak Said dengan beberapa orang sahabatnya dari bangsa Cina dan India begitu menyentuh perasaan. Bayangkan apabila seorang berbangsa asing dan beragama lain menghadiahkan anda dengan sebuah kitab suci al-Quran. Itulah yang berlaku kepada Pak Said. Dan persahabatan yang terjalin itu berkekalan semenjak sebelum beliau dipenjarakan, semasa dipenjarakan, dibebaskan dari penjara dan sehingga ke akhir hayat sahabatnya itu. Alangkah indahnya sebuah persahabatan yang terbina dari perkongsian wadah perjuangan yang sama. Mungkin ini boleh kita teladani di dalam perjuangan kita yang masih hijau ini. Jika kita lihat, contohnya, wadah perjuangan yang dibawa oleh KeADILan turut dikongsi oleh teman-teman kita yang berbangsa India dan Cina. Mungkin di sini akan tercipta sebuah persahabatan yang sungguh bermakna seperti itu!

(6)Sejarah Akan Berulang? :

 Meniti gelora buku ini sehingga ke penghujungnya akan membuatkan kita tidak dapat mengelakkan diri dari bertanya soalan :

“Tidakkah perkara yang sama sedang melanda negara kita kini?”

“Tidakkah makhluk buas yang hampir sama sedang menguasai negarkita?”

“Tidakkah nasib yang sama sedang melanda Ezam dan rakan-rakannya kini?”

Jika itulah soalan-soalan yang akan timbul selepas menghayati buku tersebut, mungkinkah ia juga menjanjikan cara yang berkesan untuk berhadapan dengan kekejaman dan kekusutan seperti di zaman Pak Said dahulu, sebagai panduan kepada kita menghadapi sejarah yang seolah-olah sedang berulang itu? Jawapannya…..Tepuk dada Tanya selera. Itulah keunikan buku ini yang akan merangsang kita untuk berfikir dan terus berfikir!

Buat teman-teman seperjuangan,

Bukanlah bidang saya untuk mengupas sesebuah buku atau karya, apatah lagi ianya hasil sentuhan seorang sasterawan yang berjiwa besar dan banyak berkorban seperti Pak Said. Namun saya merasakan bahawa setiap pendokong gerakan reformasi mesti memiliki sebuah buku “Meniti Lautan Gelora” ini. Terlalu banyak pengetahuan yang amat berharga disumbangkan oleh Pak Said yang telah menghabiskan masa selama 17 tahun dari hidupnya di tempat yang tidak sepatutnya. Tidak ragu-ragu lagi, beliaulah pejuang rakyat yang tulen, yang merupakan di antara barisan “pemimpin yang gagal kita miliki”.

Buat Pak Said yang dihormati,

Saya percaya semangat juang Pak Said tidak pernah luntur. Seorang pejuang akan tetap seorang pejuang sampai bila-bila, sebagaimana yang pernah Pak Said sebutkan tempoh hari…..“Seorang wartawan akan tetap seorang wartawan.” Setinggi-tinggi penghargaan buat Pak Said kerana sudi berkongsi pengalaman yang amat bernilai itu bersama-sama rakyat marhaen yang kini juga sedang meniti lautan yang bergelora. Semoga Pak Said dikurniakan Allah s.w.t. dengan kesihatan yang baik dan umur yang panjang bagi menjadi saksi kepada kebangkitan sebuah perjuangan yang pernah sebati dengan jiwa Pak Said satu ketika dahulu. Semoga cita-cita yang satu itu akan tercapai jua pada suatu hari nanti. Allahuakbar!

Selamat Hari Lahir yang ke-73,

Tabik buatmu Pak Said Zahari!

 

LAWAN TETAP LAWAN!

Kak Id
 

Hosted by www.Geocities.ws

1