Laman Puteri Reformasi
Undur Mahathir Negara OK

           
       ‘KAMI DISIKSA’ 
 
Oleh Wartawan Khas

Empat bekas tahanan ISA Operasi Lalang 87 Membuat Pendedahan 

Empat wanita yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sewaktu Operasi Lalang1987 mendedahkan bagaimana mental dan fizikal mereka diseksa dalam tempoh siasatan, iaitu 60 hari pertama selepas mereka ditangkap.

Menurut keempat-empat wanita itu, pengalaman yang dilalui membuatkan mereka sukar untuk mempercayai kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa mengenai tahanan ISA. Justeru, mereka mendesak supaya 10 orang tahanan ISA terbaru,termasuk tiga orang yang ditangkap atas tuduhan menganut ajaran Syiah, dibebaskan segera.

Bercakap dalam satu sidang akhbar yang dianjurkan Agenda Perubahan Wanita (WAC), mereka berkata, kengganan pihak berkuasa membenarkan ahli keluarga mangsa menziarah menguatkan lagi sangkaan bahawa mereka yang ditangkap itu diseksa.

Keempat-empat wanita itu ialah, penolong profesor bersara Universiti Putra Malaysia Dr Cecilia Ng, aktivis wanita Lim Chin Chin, pengasas Pusat Pembangunan Wanita (WDC) dan Kumpulan Tindakan Wanita (Awam) Dr Chee Heng Leng, dan Irene Xavier dari Sahabat Wanita.

 Tiada belas ehsan

Xavier berkata dalam tempoh 60 hari pertama dia ditahan, tubuhnyadiseksa temasuk kakinya diangkat ke atas supaya mudah dipukul.

“Penahanan di bawah ISA adalah rahsia dan tahanan tidak perlu di bawa ke depan majistret, dan ini bermakna pelindung keselamatan bagi seseorang tahanan telah dihapuskan,” katanya.

Xavier yang dulunya ditangkap oleh polis Singapura dan kemudian diserahkan kepada polis Malaysia berkata, dia berasa cukup kecewa terhadap semangat “solidariti” yang ditunjukkan oleh kedua-dua negara dalam kes penahanannya.

“Pada waktu itu saya berserah nasib pada pihak polis tapi sayangnya pihak polis tidak mempunyai belas ihsan langsung.

“Saya ketika itu mengidap sejenis penyakit yang dinamakan endometriosis tapi saya tidak dibenarkan mengambil ubat. Saya hanya mendapat ubat sebulan selepas saya ditahan. Hanya satu perkataan sahaja yang dapat menjelaskan keadaan sebenar ketika saya disoal siasat – keganasan,” kata Xavier.

Katanya, dalam tempoh siasatan itu diadihina dan pertama kali dalam hidupnya dia berhadapan dengan keganasan.

“Bapa saya sendiri pun tidak pernah memukul saya,” kata Xavier.

“Untuk mendapatkan pakaian dalam yang baru, saya terpaksa menunjukkan lampin wanita saya yang kotor. Dalam sesi-sesi tertentu saya dipukul dan tidak ada seorang pun polis wanita berada di situ. Mereka minta saya memilih, sama ada ingin dipukul dengan alat besi ataupun kayu.

“Tanpa perlu saya menyatakan pilihan, mereka akan memukul kaki dan tumit saya dengan teruk. Ketika dipukul, saya dikehendaki mengangkat kaki supaya senang mereka memukul,” kata Xavier lagi.

Katanya, dia tidak yakin 10 orang yang ditahan di bawah ISAitu kini berada dalam keadaan selamat.

“Buktikan bahawa saya salah– walaupun mereka terpaksa mengemukakan tahanan ini di depan hakim yang menurut sahaja kehendak polis,” tambahnya.

Bahan-bahan beracun

Dr Chee berkata dia adalah orang yang pertama ditahan dalam Operasi Lalang 1987, iaitu operasi yang dilancarkan kerajaan untuk menangkap pemimpin-pemimpin agama, NGO dan ahli parti pembangkang di saat negara berhadapan dengan kemelut ekonomi dan politik.

“Cara seseorang ditangkap di bawah ISA memang bertujuan mewujudkan rasa takut dan gerun,” kata Chee.

“Saya benar-benar rasa hilang keselamatan diri sewaktu ditangkap, dan inilah kesan ISA. Mereka menggelidah rumah saya selama tiga jam sebelum membawa saya pergi dan kemudian disoal siasat selama 72 jam tanpa henti.

“Tangan saya digari, mata saya ditutup, dan saya ditempatkan dalam sebuah bilik yang tidak bertingkap. Makanan dihulurkan melalui ruang kecil yang terdapat di pintu bilik itu. Saya tidak dibenarkan memakai alas kaki, pakaian dalam dan menukar pakaian. Dua malam pertama saya di situ saya tidur di atas plywood tanpa selimut,” kata Chee.

Katanya, sewaktu disoal siasat, pihak polis menghentak-hentakkan meja serta kerusi dan menggunakan kata-kata kesat. Ada ketikanya mereka berpura-pura ingin menyuntik bahan beracun ke dalam tubuh saya, tambahnya.

“Semasa dalam tahanan, harapan untuk melihat ahli keluarga datang melawat benar-benar tertakluk pada pihak berkuasa. Salah satu cara untuk membolehkan keluarga datang melawat ialah dengan memberikan “kerjasama” iaitu memberitahu sesuatu yang mereka ingin dengar,” kata Chee yang dipindahkan ke Kem Tahanan Kemunting setelah selesai menjalani tempoh siasatan 60 hari pertama.

Digari dan ditutup mata

Lim, yang ditangkap pada 27 Oktober 1987 berkata, diadiberitahu oleh sepasukan enam orang anggota polis yang menangkapnya bahawa “tindak-tanduknya boleh menjejaskan negara.”

“Saya dibawa pergi dengan sebuah kereta yang tidak mempunyai sebarang tanda dan kemudian dipindahkan ke dalam Black Maria dan dibawa ke satu tempat yang tidak diketahui. Apa saja yang ada di badan saya ditanggalkan dan saya dikehendaki memakai sejanis pakaian yang longgar. Saya tidak dibenarkan memakai alas kaki dan pakaian dalam, malah cermin mata yang saya pakai sejak berumur sembilan tahun lagi,” kata Lim.

Katanya, tangannya digari dan matanya ditutup dan dia ditempatkan dalam sebuah bilik kecil yang tidak mempunyai tingkap, dan di dalamnya terdapat pangkin simen dan sebuah tandas.

“Saya disoal siasat lebih 15 jam sehari dan sewaktu disoal siasat, mereka memasang alat pendingin udara dengan cukup kuat dan dihalakan ke belakang saya.

“Pada hari ke-limabelas, saya dibenarkan berjumpa keluarga saya tetapi hanya untuk 10 minit sahaja. Apabila saya meminta untuk mendapatkan bantuan peguam, pegawai polis yang menyoalsiasat saya mempersendakan saya dengan mengatakan bahawa di bawah ISA tidak ada peruntukan itu.

“Sepanjang tempoh itu saya mengidap pening kepala dan ini disebabkan cermin mata saya telah diambil oleh mereka. Selain itu badan saya sakit-sakit dan otot pula kejang kerana terpaksa duduk di atas kerusi yang hanya mempunyai tiga kaki,” kata Lim.

Katanya, semua itu dilakukan untuk melemahkan semangatnya dan pengurungan selama 60 hari pertama itu memang bertujuan melemahkan semangat mereka yang ditahan dengan menghalang mereka medapatkan sebarang maklumat.

“Harapan untuk mendapatkan maklumat tertakluk sepenuhnya pada pegawai yang menyoalsiasat ketika itu. Saya ingin tahu apa yang telah berlaku di luar sana dan mereka memberitahu saya si anu dan si anu telah ditangkap dan mengaku bersalah, tapi semua itu tidak betul.

“Mereka memanipulasi rasa bersalah saya atas kesengsaraan yang telah saya timpakan ke atas keluarga. Mereka menghidangkan saya maklumat-maklumat yang begitu sukar untuk dibezakan yang mana betul dan yang mana tidak betul.

“Memandangkan betapa besarnya kuasa polis di bawah ISA, saya rasa ISA mesti dihapuskan,” kata Lim. 

“Rempuh”

Dr Ng berkata, dia merupakan orang terakhir ditahan dalam Operasi Lalang.

“Saya berada di Indonesia atas urusan projek dan apabila saya pulang, saya ditangkap di bawah ISA atas dakwaan “menyebarkan fahaman komunis dan melancarkan kebangkitan golongan kelas pertengahan”. Semua tuduhan itu diada-adakan.

“Di dalam sebuah negara yang diperintah oleh diktator, pembohongan seperti itu akan terus berlaku dan mereka akan berlindung di sebalik topeng ISA,” kata Ng yang tidak menceritakan bagaimana keadaan dirinya sewaktu berada dalam tahanan.

10 aktivis reformasi, tujuh daripadanya anggota parti KeADILan, yang ditangkap di bawah ISA tiga minggu yang lalu ialah Tian Chua, Mohamad Ezam Mohd Nor, N Gobalakrishnan, Saari Sungip, Lokman Adam, Raja Petra Raja Kamaruddin dan Badaruddin Ismail.

WAC, dalam satu kenyataan akhbarnya berkata, tiga orang yang ditangkap kerana terlibat dalam aktiviti penyebaran ajaran Syiah ialah Norman Batcha, Zainal Talib dan Ahmadi Asab.

Presiden Tenaganita, Irene Fernendez yang turut hadir dalam sidang akhbar itu menyeru Suhakam menggunakan kuasa yang ada padanya untuk “merempuh” bagi melihat keadaan mereka yang ditahan.

PENERBITAN PEMUDA
24G, Jalan 4/21D, Medan Idaman, Gombak
53100 Kuala Lumpur
Tel : 03-40230175  Faks : 03-40220450
 
Hosted by www.Geocities.ws

1