Laman Puteri Reformasi
Undur Mahathir Negara OK

 
PROPAGANDA BN SEMAKIN GANJIL DAN LUCU
 

Propaganda berupa tuduhan-tuduhan pucuk pimpinan pemerintah BN serta pihak polis terhadap tokoh-tokoh  keADILan serta aktivis reformasi yang ditahan di bawah ISA, dan juga perhimpunan aman 14 April, sudah menjadi semakin ganjil 
dan lucu.

Tidak siapa mempercayai tuduhan KPN Tan Seri Norian Mai bahawa tujuh orang yang ditahan itu merancang untuk melancarkan demonstrasi militan dengan menggunakan bom, roket serta senjata-senjata api yang lain. Tetapi Perdana 
Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang semakin nyata terbukti sebagai punca asal tuduhan palsu serta fitnah oleh pihak polis ini, mendakwa pula bahawa mereka yang merancang berhimpun pada 14 April itu akan membawa senjata dan melakukan keganasan.

Perhimpunan kira-kira 5,000 orang untuk menyokong penyampaian Memorandum Rakyat oleh pemimpin-pemimpin serta wakil-wakil rakyat BA dan aktivis-aktivis NGO,  telah bermula dan berakhir dengan aman. Ia merupakan satu tamparan hebat kepada muka Dr Mahathir. Pertama, walaupun beliau serta polis mengugut, menggertak dan  memberi amaran, perhimpunan itu telah berjalan dengan penuh kejayaan.  Kedua, ia membuktikan dengan jelas tuduhan Dr Mahathir bahawa peserta himpunan itu akan bertindak ganas dengan menggunakan senjata api adalah pembohongan besar Dr Mahathir semata-mata.

Kemudian TPM merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Abdullah Badwi dan kunco-kunco pemimpin UMNO di kalangan ketua-ketua polis negara memfitnahkan pula kononnya ada usaha  mendapatkan reformis dari  Indonesia menyertai perhimpunan aman itu. Bahkan ada media milik BN yang menuduh bahawa ramai rakyat Indonesia telah
menyertai perhimpunan aman pada 14 April itu. Seperti yang lain-lain, fitnah ini liar dan tidak bertanggungjawab sama sekali. Cuba Abdullah Badawi dan pihak polis mengemukakan bukti yang nyata untuk mengukuhkan dakwaan mereka ini. Berapa orangkah reformis dari Indonesia telah ditangkap? Kemukakanlah nama serta diri mereka kepada umum.

Mahathir, Abdullah dan Norian Mai (yang baru pulang dari haji) mesti berhenti memfitnah, membohong, menipu dan menggertak rakyat. Bertambah ramai rakyat yang tidak percaya dengan propaganda palsu mereka yang disebarkan melalui media khasi mereka. Jikalau para pemimpin pemerintah ini hendak memulihkan nama baik mereka, bebaskanlah Anwar, bebaskanlah tujuh orang tahanan ISA terbaru dan hormati  lunas-lunas hak asasi manusia, seperti terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk yang membenarkan perhimpunan secara aman.

Dr Syed Husin Ali
Presiden PRM

16hb April 2001



http://www.geocities.com/preformasi/
 
Hosted by www.Geocities.ws

1