Laman Puteri Reformasi
Undur Mahathir Negara OK


DOTMAI- Yang Aku Kenali

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Salam Reformasi dan salam perjuangan buat semua pendukung keadilan dan penentang kezaliman. Sesungguhnya semangat kita semua sentiasa diperlukan, berpanjangan. Apa jua hatta penjara sekalipun jika itu cagarannya kita rela demi negara Malaysia dan warisan bangsa tercinta terpelihara. 

Hishammuddin Rais, semenjak beliau menjejakkan kaki ke tanahair beberapa tahun lalu beliau mula menjadi perhatian aku. Sebagaimana kata saudara mara aku apabila sekembalinya ke tanahair, komen pertama beliau ialah, Malaysia adalah negara maju yang haru biru, pembangunan itu bukan bererti banyaknya bangunan tinggi dan berjalan dengan berkaki ayam di pekan Kuala Klawang. Aku mula tertarik, ada sesuatu yang istimewa pada manusia ini. 

20 tahun di rantauan, hidup berpindah randah tanpa kaum keluarga, saudara mara handai taulan. Berhijrah dari satu negara ke satu negara. Dari benua terbesar, rantau asia, timur tengah, eropah. Dari jajahan demokrasi hingga ke kuku besi. Dari negara republikan, feudal hinggalah bersistem komunis, bahkan bagai hampir ke serata pelusuk dunia. Apa yang beliau cari? 20 tahun dulu aku pernah bertanya dengan arwah abah bila sekali sekala berita Hishamuddin Rais keluar di akhbar dan menjadi topik perbualan saudara mara aku, siapa abang Hisham tu? Penentang kerajaan, ringkas arwah abah! Dan aku tak banyak soal, maklumlah ketika itu abah aku orang kuat Umno Jelebu, malah boleh dikatakan semua sanak saudara aku berdarah Umno. Hardcore Umno. Pak Ngah Nudin (Dato' Aminuddin Abdul Manaf) tentu ketawa jika terbaca tulisan aku! 

Tetapi itu senario dahulu kala. Untuk bercerita sejarah Umno dalam keluarga aku terlalu panjang. Aku lebih suka berkongsi cerita berkenaan icon aku, Hishamuddin Rais. Malam 18.04.2001 aku dapat saksikan Pak Andak (bapa Hishammudin), Pak Cik Amjal, dan Pak Teh Ramli sebaris diatas pentas bersama para tetamu lain keluarga tahanan mangsa akta zalim I.S.A. Mereka adalah sebahagian daripada keluarga Hishammuddin Rais yang turut simpati. Sayu juga bila dengar rintihan anak sulung saudara Ezam membaca surat untuk KPN Norian Mai. Dan nama Hishammuddin Rais juga sebaris dengan rakan tahanan yang lain mula dan sentiasa di kenali umum. Aku bangga dengannya! Inilah semangat juang yang tak akan terhapus dan Hishamuddin Rais akan berkekalan menentang kerajaan! 

Ya! Ramai yang tidak mengenali Hishamuddin Rais, mungkin juga dikalangan keluarga aku sendiri. Aku mula mendekati melalui kolumnya dalam majalah fantasi. Bercerita tentang pengalaman berkelana di tempat orang, lorong-lorong gelap di Pelastin. Karyanya dilihat bersifat terbuka. Adakalanya sewaktu perjumpaan keluarga besar aku, Hishammuddin Rais diajusoal bab politik dan prisipnya oleh sanak saudara, jawapannya agak kurang memberansangkan, senyum dan seolah-olah tidak berminat. Lebih banyak berdiam. Sentiasa bertopi, bermisai dan janggut. Imejnya dengan rokok gudang garam jarang terputus. Berkot dan tak pandai memandu! Kali terakhir aku melihatnya ketika menghadiri perhimpunan aman di depan balai polis Dang Wangi. Hati-hati. Itulah ayat yang sering aku dengar bila terserempak dengannya setiap kali ada himpunan reformasi. Tintanya sebentar tersiar saban minggu dalam Berita Minggu. Berkisar pada industri perfileman. Sentiasa kritis, apa saja, beliau terus menyuarakan pendapat mengikut acuan pengalamannya. Pernah juga menjadi tamu insan seni di forum-forum, seminar berkaitan industri seni Malaysia. Dikalangan artis kebanyakannya aku percaya tidak pernah atau jarang membaca kolumnya. Sebab tiada warna warni dan tiada glamour. Filemnya dari Mancester ke Jemapuh masih belum masuk panggung Malaysia biarpun telah dimainkan di Singapura dan Cannes. Lalu keprihatinan beliau pada industri seni acuan Malaysia seolah-alah dipinggirkan, apatah lagi beliau secara terang terjun kelombang keadilan dan menuntut yang hak. 

Pengalaman lari meninggalkan Malaysia sewaktu teman-teman yang lain berhadapan dengan segala kemungkinan mempunyai pelbagai tafsiran. Imbasan bersama Ibrahim Ali, Anwar Ibrahim mengepalai para pelajar berdemontrasi menentang kerajaan membela nasib petani, kemudiannya menjadi buruan pihak berkuasa dan terus hilang entah ke mana bagaikan seorang yang pengecut. Mungkin andainya ditakdirkan tidak seperti itu, Hishammuddin Rais sudah menjadi ahli kabinet Mahathir, atau lebih jauh hebatnya dari Ibrahim Ali. Setidak-tidaknya memimpin Jelebu/N.Sembilan yang ketandusan kepimpinan selain Rais Yatim. Apabila hasratnya untuk pulang ke tanahair menjadi kenyataan setelah sekian lama dinafikan, ditambah pula ibunya sakit kuat ketika itu, beliau amat dirindui keluarga dan sanak saudara. Maka kepulangannya amat dinantikan. Tapi tiada siapa menjangka wataknya kali ini amat berbeza seperti yang diharapkan. Hishammuddin Rais yang dahulu dan yang pulang ini jauh berbeza pembawakannya. Apa yang dapat aku rasakan ramai juga saudara yang mencemuh gaya dan stail beliau. Sosialis,begitulah. Namun bagi aku, manusia ini punya keistimewaan. Masih terus berkarya. Bersama Zunar memimpin persembahan teater Tok Ampoo yang telah dipentaskan ke merata tempat. Agak terhad dan terbatas permitnya. Aku tidak berkesempatan menontonnya secara live cuma terhibur menontonnya melalui vcd. Memang gahnya Panggung Negara di Jalan Tun Razak itu akan bertambah megah jika Tok Ampoo di pentaskan disitu. Tapi kerat jari kelinking pun rasanya ia tetap diharamkan menjejakkan kakinya. Kebanyakan artis Malaysia menilai seni itu sekadar kormasial sahaja tanpa aspek kesenian yang jujur. 

Kini beliau bersama 6 yang lain, Super seven, gelaran Zunar masih didalam tahanan ISA entah dimana. Dituduh akan menghuru-harakan Kuala Lumpur dikesempatan himpunan aman black 14. Bermotif jahat menggulingkan kerajaan BN dengan kekerasan. Ada pelancar roket, Molotov koktail dan pelbagai senjata berbahaya. Lucunya. Secara peribadi bolehlah dikatakan dakwaan ini tak masuk akal, pelik bin ajaib. Apa yang pasti setiap kolumnya sebagai penulis tamu Malaysiakini sangat memberansangkan dan terkehadapan. Sentiasa kritis, pengalaman 20 tahun di banyak negara, mempelajari perbagai kerenah sosial, politik dan ekonomi. Mungkin kegemarannya juga membaca, kerana setiap tulisannya berfakta, menarik dan adakalanya lucu tapi bernas.Bebas. Setiap teguran, sindiran sinis tajam dan jarang tersasar. Beliau terus menjadi penulis bebas. Memberikan pandangan terbaik untuk gaya pentadbiran Malaysia mengikut adunan dari serata dunia yang sempat disinggahi sebagai kebaikan seluruh rakyat. Barangkali inilah yang ditakuti kerajaan Dr. Mahathir. Sesungguhnya keyboard komputer itu lebih tajam dari mata pedang. Bagai pelancar roket umpamanya!Siapa pun tidak mengetahui bila beliau dan 6 rakan yang lain akan dibebaskan, dan aku penggemarnya sentiasa merindui artikelnya. 

Hishammuddin Rais adalah seorang manusia baru dengan roh yang bebas. Pendukung dan pengembang asal mazhab NGI (non governmental individual). Dipengaruhi oleh fahaman Marxis jenis Groucho. Lulusan dari sekolah pemulihan pemikiran politik seperti di Melbourne Tellamarine Center, Bombay Arthur Road, Ayer Molek dan Dang Wangi. Dalam DOTMAI beliau akan menulis isu-isu politik semasa, filem, seksualiti hingga kepada isu estetika kebosanan hidup - Malaysiakini.Com. 

Bebaskan mereka dan Hapuskan akta zalim ISA. 

BudakjolobuDOTCOM
 

Hosted by www.Geocities.ws

1