Laman Puteri Reformasi
Undur Mahathir Negara OK

        
                                                                            
                        Kumpulan 108 Individu Rayu PM Benarkan Anwar Dibedah di
                        Luar Negara 

                        KUALA LUMPUR, Isnin 30 April – Sekumpulan 108 orang individu yang
                        mempunyai kedudukan dalam masyarakat termasuk ahli Dewan Undangan Negeri
                        Beserah, Datuk Fauzi Abdul Rahman hari ini menandatangani satu petisyen merayu
                        kepada Perdana Menteri Datuk Sri Dr Mahathir Mohamad supaya memberi
                        kelonggaran kepada Anwar Ibrahim untuk mendapat rawatan sakit tulang
                        belakangnya di luar negara.

                        Dalam rayuan berkenaan yang turut ditandatangani oleh dua orang Sasterawan
                        Negara (SN) seorang Seniman Negara dan seorang lagi ahli lembaga pengarah
                        Kumpulan Akhbar Utusan Melayu menyifatkan Anwar sebagai seorang warganegara
                        yang telah memberi sumbangannya kepada negara dan oleh itu beliau wajar diberi
                        kelonggaran oleh kerajaan untuk memilih rawatan perubatannya sendiri.

                        Antara nama besar dalam masyarakat yang turut menandatangani surat rayuan
                        berkenaan ialah SN Usman Awang; SN Muhammad Haji Salleh; Seniman Negara,
                        Datuk Syed Ahmad Jamal; Pengarah Teater terkenal tanahair, Krishen Jit; Pengarah
                        filem, U-Wie Haji Saari; Pelakon Spanar Jaya, Zaibo; Pelukis terkenal, Redza
                        Piyadasa; penulis, Amir Muhammad; pengkritik filem, Wahab Hamzah dan johan
                        deklamasi puisi hari kebangsaan 1996, Shukri Abdullah.

                        Penyelaras petisyen itu ialah Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah, ahli lembaga
                        pengarah Kumpulan Akhbar Utusan Melayu.

                        Selain nama-nama besar dalam bidang seni, lain-lain aktivis yang nama mereka
                        termasuk di dalam surat rayuan ini terdiri daripada pakar perubatan, penulis, artis,
                        ahli akademik, sasterawan dan golongan profesional dalam pelbagai bidang.

                        Raja Ahmad Aminullah berkata kesemua mereka yang menandatangani surat
                        berkenaan berbuat demikian atas dasar peri kemanusiaan bukan kerana kepentingan
                        politik mahupun pengaruh mana-mana pihak.

                        “Saya bukannya pakar dan kami adalah rakyat biasa yang ingin melihat belas kasihan
                        bagi sesetengah dari kita yang telah memberi sumbangan kepada masyarakat melalui
                        berbagai cara,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

                        Anwar yang sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun telah diberi pilihan oleh
                        kerajaan sama ada hendak menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL)
                        atau terpaksa dihantar balik ke penjara untuk rawatan konservatif di situ.

                        Perkara ini telah dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng dalam
                        satu majlis taklimat mengenai kesihatan Anwar kepada kira-kira 80 diplomat asing
                        Jumaat lalu.

                        Pakar dari Belanda Dr Thomas Hoogland yang memeriksa Anwar atas permintaan
                        keluarganya berkata, bekas timbalan perdana menteri itu perlu dibedah dengan
                        segera untuk mengelakkan beliau daripada berhadapan dengan masalah sakit
                        belakang yang lebih kronik.

                        Katanya, tempat yang paling sesuai sekali untuk melakukan pembedahan itu ialah di
                        kliniknya di Munich, Jerman.

                        Bagaimanapun, kerajaan telah memutuskan pembedahan itu harus dilakukan di
                        dalam negara. Chua memberitahu 14 orang pakar perubatan telah sependapat
                        bahawa pembedahan itu boleh dilakukan di HKL.

                        Sementara itu, dalam surat rayuan mereka, kumpulan prihatin berkenaan
                        berpendapat Anwar boleh dikawal ketat pegawai penjara dan diplomat Malaysia
                        semasa rawatan di luar negara dan dibawa pulang selepas beliau sembuh dari
                        pembedahan.

                        Mereka juga berpendapat seseorang banduan tidak harus dinafikan rawatan pakar
                        pilihannya sendiri.

                        “Sementara kami merakamkan penghargaan terhadap layanan profesional yang
                        diberikan oleh pihak hospital dalam merawat Datuk Sri Anwar, perbincangan tentang
                        kesihatan beliau sudah lama berlarutan dan keadaan kesihatan beliau semakin teruk.

                        “Oleh yang demikian kami merayu supaya kerajaan dapat menunjukkan rasa prihatin
                        serta rasa kemanusiaan terhadap seorang warganegara yang pernah banyak
                        menyumbang kepada tanah airnya. Kami merayu agar Datuk Sri Anwar diberikan
                        peluang untuk mendapatkan rawatan perubatan mengikut pilihannya sendiri,” kata
                        kenyataan itu.

                        Mereka percaya, sikap terbuka dan rasa perikemanusiaan yang diperlihatkan ini
                        akan disanjung bukan sahaja oleh rakyat Malaysia tetapi juga oleh negara-negara
                        yang telah lama menghormati Malaysia kerana keprihatinannya.
 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1