ARTIKEL ILMIAH

PENGGUNAAN TEKNOLOGI DALAM MATEMATIK

Pengenalan

                 Pelaksanaan Sekolah Bestari , yang merupakan salah satu aplikasi perdana koridor raya multimedia, membuka laluan kepada penggunaan teknologi dalam pendidikan secara meluas atau global. Penggunaan teknologi merupakan salah satu komponen pengurusan Sekolah Bestari yang bertujuan mengoptimumkan pengajaran dan pembelajaran, sebagai alat pemprosesan maklumat dan produktiviti serta meningkatkan produktiviti profesional. Untuk merealisasikan wawasan 2020, teknologi memainkan peranan yang besar dalam pendidikan. Budaya persekolah sudah tiba masanya harus berubah daripada suatu yang berdasarkan memori kepada yang bermaklumat, berpemikiran kreatif, berfikrah dan penyayang dengan penggunaan teknologi terkini (KPM, 1997). Dalam pendidikan matematik, penggunaan teknologi menyediakan pelajar untuk bersaing dengan masyarakat dunia serta menghadapi cabaran abad ke 21. Penggunaan teknologi adalah untuk memudahkan tugas guru tetapi bukan mengambil alih tugas guru. Guru memainkan peranan sebagai fasilitator, iaitu membimbing pelajar bagaimana hendak menggunakan teknologi secara optimum, menggunakan teknologi untuk menyiasat, meneroka dan membina konsep matematik.

 

Komputer Dalam Pendidikan Matematik

                 Penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik dapat memperkembangkan dan memperkayakan lagi topik yang disampaikan. Menurut Cockcroft (1982 ) menyarankan bahawa penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran matematik bukan sahaja boleh memperbaiki kualiti pengajaran malah mengubah kepentingan sesuatu topik dalam matematik. Menurut kajian yang dilakukan ( Al Ghamdi, 1987; Mc Coy, 1991; Chazan,1988; Henderson and Landersman, 1992; Funkhouser, 1993 ) mendapati bahawa perisian komputer yang digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dapat membantu pelajar memahami konsep dan prinsip matematik dengan mudah dan efektif. Pelajar yang menggunakan komputer dalam matematik memiliki sikap yang lebih positif terhadap dirinya sebagai ahli matematik dan berupaya menyelesaikan masalah yang lebih kompleks. Kumpulan pelajar yang belajar berbantukan komputer mempunyai kemampuan mengekalkan maklumat dalam jangka masa yang lebih lama. Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan beberapa aplikasi seperti spreadsheet, multimedia dan internet.Penggunaan perisian seperti microsoft-excell, microsoft-word, microsoft powerpoint dapat menarik minat pelajar terhadap matematik. Komputer juga merupakan media pengajaran dan pembelajaran yang dapat menarik minat pelajar serta mempelbagaikan teknik dan kaedah penyampaian guru matematik agar pelajar tidak lagi menganggap mata pelajaran matematik sebagai suatu mata pelajaran yang sukar dan membosankan. Perisian-perisian ini boleh membantu pelajar meneroka dan menyiasat perkara-perkara yang berkaitan dengan matematik. Sebagai seorang guru , kita perlu sedar bahawa komputer tidak dapat mendekati betapa banyaknya komunikasi antara guru dan murid dan pelbagai strategi pengajaran yang dilakukan di dalam bilik darjah masih perlu diamalkan. Hubungan manusia masih diperlukan, penerapan nilai-nilai murni di kalangan para pelajar harus diberi tumpuan.

 

Kalkulator Grafik Dalam Pendidikan Matematik

                  Kewujudan kalkulator grafik bukan sahaja mengubah cara guru mengajar matematik tetapi turut mengubah kandungan matematik yang dipelajari oleh murid. Kalkulator grafik berupaya mengira nombor perpuluhan, pecahan dan nombor-nombor yang kompleks.Kalkulator grafik mempunyai kemudahan manipulasi simbolik untuk digunakan dalam menyelesaikan masalah -masalah yang berkaitan dengan algebra seperti pengembangan, pemfaktoran, kebarangkalian , integrasi dan matriks. Kalkulator grafik  mempunyai kemudahan untuk mempamerkan asas data dan asas formula bagi mempercepatkan proses dalam menyelesaiakan masalah berkaitan dengan graf fungsi dan carta. Kelebihan-kelebihan ini menjadikan kalkulator grafik sangat berguna dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Dengan wujudnya kalkulator grafik, proses dalam pendidikan matematik memberi peluang untuk mempertingkatkan penerokaan dan penyiasatan.

 

Perisian Geometer's Sketchpad (GSP)

                  Perisian Geometer's Sketchpad digunakan untuk mengajar topik geometri dapat membantu pelajar menguasai tiga peringkat awal dalam pemahaman konsep geometri, iaitu membuat visualisasi, membuat penerokaan dan penyiasatan , membuat analisis dan membuat deduksi secara informal. GSP digunakan sebagai alat tunjukacara di mana pelajar boleh melihat sendiri cara dan bagaimana sesuatu bentuk geometri dibina dan seterusnya menentukan sifat-sifat geometri.GSP juga menyediakan  pelbagai contoh penyiasatan untuk pelajar,membincang proses dan hasil tugasan. Sebagai contoh, guru boleh menyuruh pelajar menyiasat  nibah perimeter kepada diameter poligon sekata , meneroka soalan-soalan berkaitan dengan tangen sebuah bulatan dan masalah-masalah terbuka. Pelajar boleh melakukan pembinaan geometri dan mereka sendiri menentukan formula untuk menghuraikan perhubungan-perhubungan yang mereka temui. Pelajar bekerja dalam kumpulan secara koperatif untuk menyiasat sifat-sifat geometri, memerhatikan corak-corak dan menggunakan penaakulan untuk membuat kojektur-konjektur. Pembinaan yang dilakukan dengan menggunakan GSP adalah tepat dan mudah diperbetulkan sekira terdapat kesilapan atau membuat pembaharuan. Selain daripada pembinaan, GSP juga berupaya melakukan penjelmaan seperti translasi, pantulan, putaran dan pembesaran.Pelajar boleh melihat dengan jelas bagaimana penjelmaan berlaku, menerangkan sifat-sifat translasi, pantulan, putaran dan pembesaran secara meneroka dan menyiasat. Ini boleh menarik minat pelajar terhadap keindahan matematik dan cuba mengaitkannya dengan dunia sebenar.

 

Penggunaan Spreadsheet

                   Spreadsheet digunakan untuk melakukan pengiraan yang kompleks, penjadualan, memplot dan meneroka fungsi, meneroka kebarangkalian dan statistik, menyelesaikan masalah melalui modeling, meneroka penjelmaan geometri. Dengan adanya perisian spreadsheet, pelajar boleh mencari penyelesaian bagi suatu graf dengan mudah. Kebolehan spreadsheet dalam melakukan pengiraan dengan cepat membolehkan pelajar menyelesaikan masalah dengan mencuba banyak kali kemudian menentukan penyelesaian yang terbaik..Ianya juga dapat membantu pelajar memahami secara mendalam tentang kebarangkalian, memplotkan rajah dan menyiasat perubahan yang berlaku apabila koordinat-koordinat titik pada rajah berubah. Huraian tentang penggunaan spreadsheet di atas menunjukkan bahawa ianya sangat berkesan dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran matematik.

 

Penggunaan Internet

                   Internet adalah suatu sumber pengajaran dan pembelajaran matematik. terdapat pelbagai bahan menarik yang meliputi pelbagai tajuk seperti aritmetik, geometri, statistik, kalkulus, algebra dan sebagainya. Antara bahan yang  boleh dimanfaatkan oleh guru dan pelajar berhubung dengan pendidikan matematik ialah teori pembelajaran dan aplikasi, penyelesaian masalah, forum matematik, soal jawab matematik, rancangan pengajaran, sejarah matematik dan perisian matematik. Penggunaan internet dapat membantu mewujudkan suasana pembelajaran bestari yang menekankan pembelajaran akses kendiri, kadar kendiri dan terarah kendiri.

 

Kesimpulan

                  Dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran matematik, guru perlu bijak memilih teknologi yang sesuai. pemilihan bergantung kepada topik yang diajar, latat belakang dan kesediaan pelajar serta infrastuktur sekolah. Guru perlu mengintergrasikan teknologi secara berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan teknologi perlu melibatkan pelajar belajar secara bermakna. Pengintergrasian teknologi dalam pengajaran dan pembelajaran akan berlaku secar berkesan dalam kelas yang berpusatkan pelajar di mana guru berperanan sebagai fasilitator. teknologi tidak boleh dianggap sebagai jawapan kepada semua masalah yang dihadapi dlam dunia pendidikan hari ini malah ia merupakan pengupaya (tools) sahaja. Guru perlu utamakan pedagogi bukan teknologi.

 

Rujukan

  1. KPM (1997). Sekolah Bestari Di Malaysia: Suatu Lonjakan Saujana. Kuala Lumpur.
  2. Cockcroft, W.H (1986). Mathematics Counts, London : HMso
  3. Al Ghamdi, Y.A.S. (1987). "The Effectiveness of Using Microcomputers In Learning Algebraic Precedenc Conventions".   Doctoral Dissertation, Frorida State University.
  4. Duren, P. (1990). Enhancing Inquiry Skills Using Graphics Software, The Computing Teacher
  5. Nota "MS-Excell Im Maths Education 1" oleh Dr Elvira L. Arellano
  6. Nota "Perkenalan Kepada GSP 2 (Sifat Dinamik dan Kaedah Pengajaran)" oleh En Chai Hock Beng
  7. Nota "Mengapa kalkulator Grafik? (Bahan Bacaan)" oleh En Chai Hoch Beng
  8. Nota "Isu dan Trend Penggunaan Teknologi Dalam Matematik" oleh En Norjoharuddeen Mohd Nor

 

BACK
Hosted by www.Geocities.ws

1