Perutusan YDP PILGM

 

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah 1425

 

“ Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) tuhan ialah dua belas bulan ( dalam setahun ) yang demikian telah ditetapkan oleh-nya dalam kitab Allah pada hari ia menciptakan langit dan bumi: antaranya empat bulan yang dihormati; ketetapan yang demikan itu ialah agama yang betul dan lurus. Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu sendiri dalam bulan-bulan yang dihormati itu ( dengan melanggar larangannya ) dan pergilah kaum kafir musyrik itu seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya. Tetapi ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang bertakwa”   ( Surah Taubah 9:36 )

Ayat in diturunkan semasa Nabi Muhammad s.a.w. mengerjakan haji terakhir dalam tahun ke 10 hijrah. Penurunan ayat ini telah mengubah Kalender Arab awam menjadi Kalender Islam agama yang suci.

 

Ahli persatuan Islam yang dihormati sekelian pada tanggal 22 Februari 2004 M ( Ahad ) apabila sahaja masuknya waktu Maghrib maka berlakulah perubahan tahun hijrah dari 30 Zulhijjah 1424 kepada 1 Muharram 1425 .Umat Islam digalakkan membaca doa akhir tahun 1424 ( sebelum waktu maghrib ) dan awal tahun 1425 ( apabila masuk waktu maghrib ). Kewujudan kelender Hijrah ( Era Islam )  barangkali adalah yang terakhir dalam sistem kalender selepas era Kristian. Tarikh bermulanya tahun Hijrah adalah dikira dari tahun Nabi Muhammad s.a.w berhijrah dari Makkah ke Madinah pada 16 Julai 622 M.  

 

Mengapa Hijrah telah dipilih sebagai titik permulaan kalender Islam dan bukannya tarikh kelahiran  atau tarikh wafat Nabi Muhammad s.a.w, tarikh al-Quran diturunkan atau tarikh kejayaan dalam medan peperangan seperti penawanan Makkah ? Jawapannya  ialah Hijrah dipilih kerana ia merupakan pengorbanan utama pertama umat Islam untuk memeliharaajaran dalam peringkat pembentukannya. Perkataan Hijrah banyak disaah tafsirkan oleh banyak sarjana barat. Hijrah bukan bermakna pelarian ataupun melarikan diri tetapi perkataan Arab Hajara bermakna memutuskan pertalian atau meninggalkan kaum sendiri.

 

 

Tahun Hijrah dikira dari tahun penghijrahan Rasullullah s.a.w, tetapi bilakah ianya didokumenkan. Usaha mendokumenkan kalender Islam ini telah dilakukan pada tahun ke 17 Hijrah iaitu tahun keempat Khalifah Umar, beliau tergerak untuk menubuhkan kalender Islam dan mengeluarkan kenyataan “ Hijrah telah memisahkan kebenaran dengan kepalsuan, oleh itu, biarlah ia menjadi era zaman yang baru.  Sementara itu kata-kata Syed Abul Hasan Nadvi bahawa kedatangan abad ke 15 sesungguhnya ialah satu peristiwa yang unik untuk direnung kerana era Islam tidak bermula dengan kejayaan peperangan Islam ataupun kelahiran atau kewafatan Nabi Muhammad s.a.w mahupun dengan penurunan wahyu sendiri. Era Islam bermula dengan Hijrah, atau pengorbanan atas nama kebenaran dan untuk memelihara wahyu. Pilihannya diilhamkan oleh tuhan. Tuhan mahu mengajar manusia bahawa perjuangan antara kebenaran dengan kejahatan adalah abadi. Tahun Islam tidak mengingatkan umat Islam tiap-tiap tahun akan kebesaran dan keagungan Islam sebaliknya pengorbanannya dan menyuruh mereka bersedia untuk berkorban.

 

Oleh itu saya menyarankan kepada ahli persatuan bersempena dengan perubahan tahun hijrah ini, marilah sama-sama kita korbankan nafsu amarah   dan amalan-amalan buruk  dengan mencorakkan diri kita dengan sifat-sifat mahmudah (baik). Keazaman yang tinggi  untuk melakukan perubahan ke arah yang terbaik samada terpendam di dalam jiwa  atau telah diluahkan  insya Allah akan dimakbulkannya. Apa yang penting ialah keikhlasan kepada Allah dan berpandukan ilmu yang sah daripada Al-Quran dan Al-Sunnah, bukan ikut-ikutan semata-mata. Wassalam.

 

Dr. Maarof Zainal Abidin

YDP PILGM

 

Hosted by www.Geocities.ws

1