Taubat
perlu dilakukan ikhlas dan bersungguh-sungguh
MANUSIA kerap terperangkap dalam dosa
dan kemungkaran yang dilakukannya sendiri. Sebagai insan yang serba lemah,
manusia selalu terjerat dalam langkahnya yang sumbang. Allah sentiasa memberi
peringatan kepada hamba-Nya terhadap kelemahan diri mereka sebagai manusia dan
menggariskan panduan atau cara terbaik untuk mengawal diri, perasaan serta
tingkah laku. Begitu juga dengan cara menyucikan jiwa. Allah turut menegaskan,
setiap manusia akan menerima balasan daripada apa yang mereka usahakan.
Justeru, mereka amat perlu berhati-hati dalam memastikan bahawa mereka memilih
jalan yang benar dan diredai Allah.
Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa
yang melakukan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu
dan tidak mendapat pelindung dan tidak (pula) menolong baginya, selain Allah.”
(Surah an-Nisaa’, ayat 123).
Selain itu, Allah mengingatkan manusia
perlu bertanggungjawab terhadap setiap tindakan atau perbuatannya. Manusia
tidak wajar sama sekali meletakkan kesalahannya ke atas diri orang lain. Allah
berfirman yang bermaksud: “Dan tidaklah seseorang membuat dosa kemudaratannya
kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul
dosa orang lain.” (Surah al-An’aam, ayat 164)
Di samping semua perkara ini, kita
tidak wajar menjadikan kelemahan semula jadi sebagai alasan untuk meneruskan
tabiat buruk dan perbuatan keji yang dilakukan selama ini. Kita tidak harus
sama sekali menganggap bahawa, dengan fitrah kita yang lemah dan kerdil, kita
akan cenderung melakukan kesilapan ataupun sifat sering lalai itu adalah akhlak
semula jadi sebagai manusia. Dalam perkara ini, apa yang cukup penting ialah
kita tahu untuk membezakan di antara kesilapan dan dosa yang disengajakan atau
yang sebaliknya. Dalam satu ayat, Allah berfirman, yang bermaksud: “Dan kamu
pula tidak dianggap berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya,
tetapi (yang dianggap berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati
kamu melakukannya.” (Surah al-Ahzab, ayat 5)
Allah sememangnya mengasihi dan
mencintai hamba-Nya yang sentiasa bertaubat dan berusaha menjauhi dosa. Dengan
bertaubat dan berusaha dengan apa cara juga pun untuk menjauhi maksiat serta meninggalkan
dosa yang pernah dilakukan, akan menjadikan seseorang hamba itu lebih baik
daripada sebelumnya. Malah, dia akan menjadi seorang insan yang sentiasa
berhati-hati dalam tindakannya. Jiwanya lebih suci, hatinya sentiasa cenderung
kepada kebaikan dan hidupnya lebih terarah menuju cita-cita yang diredai Allah.
Fudalah ibn ‘Ubaid berkata, Rasulullah bersabda ketika haji wida’, “Mahukah
kamu jika aku beritahu mengenai mukmin? Mukmin ialah orang yang manusia lain
amanahkan harta dan diri mereka kepadanya (orang lain berasa aman daripada
gangguan terhadap harta dan diri mereka). Muslim ialah orang yang manusia lain
terselamat daripada lidah serta tangannya manakala Mujahid ialah orang yang
dapat menundukkan nafsunya untuk sentiasa taat kepada Allah, sementara Muhajir
pula ialah orang yang meninggalkan semua dosa dan kesilapan (yang
dilakukannya).”
Bagaimanapun, kita perlu istiqamah
dalam usaha meninggalkan dosa. Dengan kata lain, kita perlu benar-benar ikhlas
dalam bertaubat, menyedari kesilapan yang dilakukan, dan berazam tidak
mengulanginya. Ingatlah bahawa Nabi Adam diterima taubatnya kerana lima perkara
dan iblis tidak diterima taubatnya, juga kerana lima perkara. Nabi Adam
mengakui dosanya, menyesali perbuatannya, menyalahkan dirinya, segera bertaubat
dan tidak putus harapan daripada rahmat Allah. Iblis pula tidak mengakui
dosanya, tidak menyesali perbuatannya, tidak mencela dirinya, tidak segera
bertaubat dan putus harapan terhadap rahmat Allah. Dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan Abu Daud dan Ibn Majah daripada Ibn ‘Abbas, “Sesiapa yang selalu
memohon ampun (beristighfar), Allah akan menjadikan setiap kegelisahan
penyelesaian baginya dan setiap kesempitan, jalan keluar dan mengurniakan
rezeki (daripada sumber) yang tidak disangka-sangka.” Selain cenderung
melakukan dosa, manusia juga cenderung membabitkan orang lain dalam kesalahan
yang dilakukannya, terutama untuk menyelamatkan dirinya daripada penghinaan dan
hukuman manusia. Ini adalah perbuatan keji, terutama jika orang yang
dibabitkannya itu tidak bersalah sama sekali. Manusia seperti ini seolah-olah
lupa bahawa selain kehidupan di dunia, ada lagi kehidupan lain iaitu di
akhirat. Selain itu, mereka menganggap
bahawa yang paling penting baginya pada ketika itu hanyalah perlu terlepas
daripada pandangan buruk dan hukuman manusia. Oleh demikian, mereka sanggup
menggunakan apa saja cara yang ada demi mencapai hasratnya iaitu menutup
kesalahannya. Dalam hubungan ini, mereka akan berusaha sedaya upaya untuk
mengaburi mata orang lain. Mereka sanggup berbohong, berlakon dan memberi
keterangan palsu semata-mata untuk membuat orang ramai mempercayai bahawa mereka
tidak terbabit langsung dengan sesuatu kesalahan itu. Lebih menyedihkan, jika
terlalu mendesak, mereka ini akan sanggup menganiayai orang lain, atau sahabatnya
sendiri, untuk mencapai hasratnya iaitu dibebaskan daripada tuduhan yang dilemparkan
terhadapnya.
Abu al-Qasim al-Hakim pernah ditanya:
“Adakah dosa yang dapat mencabut atau menghancurkan iman seseorang?” Jawab
beliau: “Ya, ada tiga perkara yang boleh mencabut iman seseorang hamba.
Pertama, tidak bersyukur atas nikmat Islam. Kedua, tidak berasa bimbang
hilangnya iman dan ketiga, menganiayai orang Islam.” Mukmin sentiasa
memanfaatkan segala nikmat dan peluang yang dikurniakan Allah kepadanya untuk
meneguhkan peribadinya. Ini kerana, dia meyakini bahawa selain ilmu yang
dimiliki, ketakwaan menentukan ketinggian peribadinya di sisi Allah.
Imam Al-Syafie pernah berkata: “Demi
Allah, keperibadian seorang pemuda ialah dengan ilmu dan takwa. Apabila tiada
ilmu dan takwanya maka tiadalah lagi keperibadiannya.” Selain itu, mukmin ini
akan sentiasa mengambil pengajaran terhadap semua perkara yang berlaku di
sekelilingnya. Sebagai contoh, musibah yang menimpa seseorang akibat dosa,
kemungkaran dan kezaliman yang dilakukannya. Hamba Allah yang mulia ini tidak
mudah menghina, memandang rendah terhadap orang itu, malah akan segera
mengingatkan dirinya sendiri agar berhati-hati dalam semua tindakannya. Selain
itu, memohon perlindungan serta petunjuk Allah dan menanamkan perasaan cinta
dalam diri terhadap semua bentuk kebaikan. Dia turut mengingatkan dirinya
bahawa, sebagai manusia, dia tidak mempunyai jaminan penuh akan bebas daripada
melakukan kesalahan dan dosa.
Saidina Umar berkata: “Cukuplah bagi
seseorang (dianggap) tersesat jika dia melakukan tiga perkara. Mencela
perbuatan orang lain, padahal dia turut melakukannya. Dia nampak kesalahan
orang lain tetapi tidak nampak diri sendiri dan dia mengganggu sahabatnya
dengan perbuatan yang tidak penting bagi dirinya.”
Amin