Wajib kita memerangi syaitan

 

Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam(dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; Sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah : 208)

 

Kita wajib memerangi dan mengalahkan segala bentuk syaitan. Hal itu disebabkan dua perkara iaitu:

1.     Kerana syaitan itu musuh yang nyata menyesatkan, tidak boleh diharapkan adanya kebaikan dari syaitan dan tidak boleh diharapkan perdamaian, bahkan kepuasan para syaitan akan membinasakan kita.

Oleh itu tidak ada alasan untuk merasa aman dari musuh (syaitan)  ini dan tidak bijak untuk dilupakan. Perhatikan firman Allah SWT. dalam Al-Quran yang bermaksud:

Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu! (Yasin : 60)

Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.(Al-Faatir 6)

2.     Sebab kita wajib memusuhi syaitan itu ialah kerana syaitan sudah menjadi tabiatnya, dilahirkan untuk menyesatkan kita dan mereka selalu bersiap sedia untuk memerangi kita, siang-malam terus menerus berusaha dengan senjata-senjatanya, sedangkan kita tidak sedar dan lalai daripadanya, maka apalah jadinya kita nanti.

Sekiranya kita tergolong dalam orang beriman dan beribadah kepada Allah dan mengajak manusia kepada keredhaan Allah dengan ucapan dan perbuatan, maka kesemuanya ini amat bertentangan dengan kemahuan syaitan dan cita-citanya. Ini bermakna kita sudah ada persediaan untuk membuat syaitan gagal dalam menghasut dan menjahanamkan kita. Maka syaitan pun demikian, dia sudah siap pula untuk melawan dan memerangi serta menipu kita sampai kita binasa bahkan hancur sama sekali, kerana diapun sudah merasa tidak aman lagi daripada kita

Syaitan itu, bagi orang-orang yang baik padanya menjadi teman kerana selalu menurutkan kemahuannya seperti kafir atau juga mereka yang tidak mempunyai maksud untuk memerangi syaitan dan tidak benci kepadanya. Terhadap orang-orang yang demikian itu syaitan sudah bermaksud untuk membinasakan, menyesatkan dan menjahanamkan terus-terusan.

Sebenarnya terhadap orang-orang yang sejalan dengannya, syaitan tetap merasa bermusuhan secara umum, tetapi terhadap yang menentangnya, rasa permusuhannya adalah secara khusus dan persoalan penentang bagi syaitan dianggap penting sekali, kerana bersama syaitan itu terdapat banyak pembantu-pembantu dan teman-temannnya untuk membinasakan kita. Di antaranya yang paling garang ialah hawa nafsu kita sendiri, di samping itu banyak sebab-sebab dan lobang serta pintu untuk syaitan masuk kepada kita sedangkan kita sering lupa.

Benar sekali apa yang yang dikatakan oleh Sayyidina Yahya bin Muad'dz Arrozy;

"Syaitan itu pengganggur, penuh waktunya untuk menjalankan rencananya, sedangkan engkau terus sibuk dan syaitan melihatmu, tetapi engkau tidak melihatnya, engkau lupa kepada syaitan, tapi syaitan selalu ingat kepadamu, dan untuk mengalahkanmu syaitan banyak pembantunya"

Oleh kerana itu kita wajib mempunyai tekad untuk memerangi dan mengalahkan dia. Jika tidak, kita tidak mungkin aman dari binasa dan kehancuran.

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1