Ajaran
Meragukan : Fikirlah secara bijaksana
Bahagian ke 2 (Bersiri)
Apabila bercakap hal ajaran yang
menyeleweng yang terdapat di dalam masyarakat kita tidak hanya bermaksud kepada
ajaran yang berkait dengan amalan agama Islam semata-mata. Penyelewengan dalam
ajaran dan akidah Islam membatasi semua perkara seperti dalam ilmu perdukunan
melayu, amalan persilatan, adat-adat melayu, perayaan tradisi, sesetengah
budaya/kesenian melayu dan amalan dalam hidup seharian seperti mengekalkan
kecantikan, menambah kekuatan dan sebagainya. Tetapi di dalam usaha kita
mendapatkan ilmu agama untuk pengisian rohaniah wajiblah kita memastikan
sesuatu ilmu yang diterima itu tidak bercanggah dengan akidah, kepercayaan dan
penghayatan sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah saw. Sikap berhati-hati ini
amat penting supaya tidak Islam
terperangkap dalam ajaran yang meragukan. Faktor penting yang menyebabkan
seseorang terpengaruh kepada ajaran atau kepercayaan yang salah disebabkan
kejahilan ilmu ataupun cetek fahaman asas agama itu sendiri dan kalau tidak
jahil pun, ia disebabkan sifat kurang teliti, tidak berfikir secara munasabah
dan terlalu bersifat ghairah kepada sesuatu ilmu yang pada andaiannya terlalu
tinggi tanpa menimbangkan kebenarannya.
Menyedari kepada kelemahan kita seperti di
atas membuatkan pengembang ajaran sesat ini memperagakan pelbagai style usaha
menarik pengikut mempercayainya. Gaya hidup moden dan ramainya golongan
intelektual memaksa penyebar ajaran ini memikirkan teknik baru dalam memikat
perhatian orang ramai untuk menyertai kumpulan mereka. Akan tetapi permodenan
diri kita tidak bermakna fikiran juga moden malah terdapat cara berfikir
sebahagian besar umat Islam masih tidak berubah. Ramai yang masih mengkagumi
sihir, ilmu kebal, tangkal azimat, tempat keramat dan ilmu hitam yang lain.
Akibatnya segala amalan agama yang dilakukan menyempang daripada ajaran Islam
tanpa disedari.
Secara rasional tidaklah terlalu sukar
untuk mengenal penyelewengan ajaran agama jika kita berhati-hati. Ciri-ciri
dalam ajaran sesat yang mudah dikenali sebagai contoh,
1. Kumpulan itu mendakwa seseorang atau termasuk
gurunya sebagai nabi atau rasul atau percaya ada lagi nabi selepas nabi
Muhammad saw dan wahyu pula masih turun, maka nyatalah kesesatannya.
2. Mendakwa guru atau ketua kumpulan sebagai maksum
(tidak membuat dosa), tidak pernah melakukan kesalahan, kesilapan, percakapan
dari guru 100% benar, setiap kata guru adalah perintah yang wajib dilaksanakan
maka kita mesti pertimbang dengan adil kesahihan ajarannya.
3. Mengaku sebagai Imam Mahadi yang telah diturunkan
oleh Allah swt juga adalah sebahagian yang boleh kita ragukan. Sejarah
membuktikan hampir setiap zaman ada saja orang yang mengaku menjadi Imam Mahadi
seperti di India, Pakistan, Arab atau di Nusantara.
4. Mendakwa roh orang mati terutama yang dikatakan wali
menjelma di dalam badannya. Ajaran karut ini juga dipercayai oleh beberapa
agama lain.
5. Mendakwa kononnya kunci syurga ada di tangan tok
guru, dia yang menentukan siapa boleh masuk syurga atau neraka atau dia yang
boleh menjamin seseorang untuk diampunkan dan kemudian masuk syurga. Tidak ada
sesiapa diberi kuasa oleh Allah swt sebagai pengampunkan dosa orang lain.
6. Ada kalanya kesesatan ajaran begitu melampau hingga
mengaku tuhan telah menjelma dalam dirinya (wihdatul wujudiah) dan ada yang
mengaku oleh kerana Nabi saw sudah wafat maka dialah wakil kepada Nabi saw.
7. Ada ajaran dimana ketuanya mengaku pernah berdialog
dengan Nabi saw di Makkah mengenai isu semasa dan seterusnya mendapat perintah
untuk mengembangkan ilmu yang didakwa diterima semasa pertemuan dengan baginda.
8. Apabila seseorang atau kumpulan menafikan hukum
Allah secara nyata berkata tidak wajib sembahyang, tak perlu berpuasa, zakat,
haji dan lainnya maka sudah nyata itu ajaran yang bercanggah dengan Islam.
9. Bertambah nyata kesesatan orang yang mengubah
al-Quran, mempermainkannya dan mencampur adukkannya dengan perkataan lain.
10. Kita patut meragui sebarang ajaran yang disampaikan
secara sulit dan tersorok. Sifat Islam itu telus, berani kerana benar dan
Rasulullah saw menyampaikan ajarannya secara terbuka. Rasulullah juga tidak
pernah menyekat atau membeza-bezakan pengikutnya.
11. Menonjolkan kehebatan fizikal pada diri sehingga
menggerunkan pengikutnya. Ada pula yang mengakui, fizikal akan jadi kebal
sekiranya melakukan amal tertentu. Mempunyai kehebatan yang luar biasa,
perkasa, mempunyai ilmu kebatinan yang tiada tandingannya dan mampu
melaksanakan perkara-perkara yang diluar keupayaan orang biasa.
12. Mengamalkan jampi serapah yang berlainan maksud dari
kehendak amalan Nabi saw dan ajaran Quran.
13. Mengaku mempunyai kadam dikalangan makhluk alam lain
dan bersahabat dengan apa yang disebut orang halus. mengaku kebal, boleh
ditanam hidup-hidup oleh pengikutnya dan sebagainya yang semaksud.
Allah berfirman
bermaksud: “Bertanyalah kepada ahli-ahli zikir (orang alim) sekiranya kamu
tidak mengetahui”– (an-Nahl 43).
Dari sudut mendalami ajaran agama dan penghayatan
kepadaNya, tidak kurang juga orang mengambil kesempatan dalam menyebarkan
ajaran yang meragukan. Di peringkat yang tertinggi umpamanya terdapat ajaran
yang berselindung di sebalik nama tassawuf ini bukan sahaja hari ini malah
telah ujud sebelum zaman Imam Al Ghazali lagi hatta selepas sahaja wafat
Rasullullah saw terus sahaja lahir kumpulan-kumpulan yang mengaku nabi yakni
mengaku mewarisi kerasulan Muhammad saw (nabi palsu) dan kumpulan yang
memansuhkan zakat. Para sahabat terutama Khulafaur Rasyidin mengambil masa
berpuluh tahun menghapuskan kumpulan ini. Tidak mustahil saki baki yang
bertunas dari kumpulan itu terus tersebar kepercayaannya hingga hari ini.
Dalam kitab “Tuhfah Al-Raghibin Fi Bayan
Haqiqatu Iman Al-Mu’minin” oleh ‘Alim Al-Fadhil Muhmammad Arshad telah
menyatakan terdapat tiga belas (13) golongan fahaman salah yang berselindung
disebalik nama sufi atau ahli tasauf. Golongan ini cukup terang bersalahan
kerana ajaran-ajaran mereka bertentangan dengan ajaran Islam yang berpandukan Al-Quran
dan sunnah Rasulullah s.a.w. Golongan tersebut ialah:
1. Golongan Pertama; Habibiyyah:
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Apabila seseorang itu telah sampai kepada martabat kasih kepada Allah, maka segala yang haram menjadi halal bagi mereka. Fardhu sembahyang, puasa dan sebagainya bebas samada mahu melakukannya atau tidak.
b. Mereka tidak perlu menutup aurat.
c. Bila mencapai martabat yang paling tinggi “kasih” kepada Allah segala dosa besar seperti zina, minum arak dan sebagainya boleh mereka lakukan dan tidak mendapat azab daripada Allah.
d. Segala ibadat zahir tidak perlu mereka lakukan dan mereka hanya perlu bertafakkur sahaja untuk beribadat.
e. Harus bagi mereka untuk bersetubuh dengan segala perempuan.
f. Segala harta didunia ini adalah milik anak Adam. Dan kita semua adalah dari keturunan anak Adam, jadi kita berhak segala harta yang berada di muka bumi ini
2. Golongan kedua; Auliyaiyyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Apabila seseorang itu sampai kepada darjat wali Allah, terlepas mereka daripada segala suruhan dan larangan dan martabat wali lebih mulia dari martabat nabi.
3. Golongan ketiga Thamrakhiyyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Iktiqad mereka ialah tidak lagi terikat dengan suruhan dan larangan Allah. Golongan ini mengharuskan menyanyi dan segala alat muzik. Mereka diharuskan untuk berzina dan sebagainya. Golongan ini diasaskan oleh Abdullah Thamrakhiyyah.
4. Golongan keempat Ibahiyyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Kita tidak perlu melakukan kerja-kerja menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran kerana kita sendiri tidak mampu melakukan kerja-kerja tersebut apalgi untuk menyeru orang lain
b. Golongan ini mengharuskan zina dan tidak berdosa.
5. Golongan kelima Haliyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Diharuskan menari dan bertepuk tangan sambil menyanyi sehingga pengsan.
b. Kata mereka bahawa “Sheikh kami berada dalam suatu hal”.
6. Golongan keenam Huriyyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Iktiqad golongan ini hampir sama dengan iktiqad golongan Haliyah, cuma mereka menambah semasa kami pengsan ketika menyanyi, kami didatangi oleh bidadari daripada syurga lalu kami jima’ dengan mereka dan setelah sedar kami mandi junub.
7. Golongan ketujuh Waqi’iyyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Iktiqad golongan ini ialah bahawa kita tidak perlu kenal Allah Taala. Ini kerana kita ini lemah lagi seorang hamba. Jadi kita tidak perlu mengenal Allah lagi.
8. Golongan kelapan Mutajahiliyyah/Mutahalliyyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Golongan ini memakai pakaian-pakaian yang elok dan melakukan pekerjaan fasiq. Antara kata mereka bahawa: Kami tidak dapat lari dari melakukan zina
9. Golongan kesembilan Mutakasilah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Golongan ini malas bekerja. Kerja mereka hanyalah meminta-minta daripada orang ramai samada atas nama zakat atau sedekah.
10.
Golongan
kesepuluh Ilhamiyyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Golongan ini enggan belajar dan membaca Al-Quran. Pada pandangan mereka, Al-Quran itu hanya merupakan hijab untuk mengenal Allah. Kerana itu mereka hanya mempelajari syair-syair dan kata hikmah sahaja sebagai jalan amalan mereka.
11.
Golongan
kesebelas Hululiyyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Bahawa setiap makhluk bersatu dengan Allah Taala.
b. Harus kita memandang kepada perempuan yang cantik dan boleh menari dan memeluknya. Kerana sifat cantik itu adalah sifat Allah yang dianugerahkan kepada kita semua.
c. Apabila seseorang itu sunyi dari hawa nafsu dan ikhlas kepada Allah, maka gugurlah segala amal syariat. Segala ibadah seperti sembahyang, puasa, zakat dan sebagainya.
12.
Golongan dua
belas Wujudiyyah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Iktiqad golongan ini berdasarkan kepada tafsir kalimah “La Ilaha IllaLlah” iaitu: Tidak ujud melainkan ujud Allah. Dan pandangan mereka lagi bahawa tidak maujud melainkan dalam kandungan ujud segala makhluk. Makhluk dan Khaliq boleh bersatu. Iaitu setiap makhluk terdapat ujud Allah. Allah dan makhluk adalah dari satu jenis dan sebangsa. Golongan ini juga beriktiqad bahawa tuhan bertempat dan tertakluk kepada masa
13.
Golongan tiga
belas Mujassimah
Pengakuannya
yang nyata sesat ialah;
a. Allah mempunyai anggota seperti tangan, kaki,
berdaging dan sebagainya.
b. Allah Taala itu berupa tetapi tidak tahu bagaimana
rupanya.
c. Allah Taala bergerak samada naik atau turun. Dan
tempat kediaman Allah Taala ialah diatas ‘Arash.
Marilah kita berfikir secara bijaksana
supaya pengetahuan serta ajaran Islam yang kita terima adalah yang benar-benar
di jalan yang lurus yang diredhai oleh Allah swt.
Sambung ke siri 3