Siri Teladan

Nasib Seorang Pesara

 

Haji Zaid (bukan nama sebenar) adalah seorang pesara yang telah bersara beberapa tahun yang lalu. Jawatan terakhirnya sebelum bersara adalah Ketua Kerani dalam sebuah jabatan kerajaan. Dia mempunyai 7 orang anak iaitu 3 perempuan dan 4 lelaki. Semua anak-anaknya sudah berumah tangga dan mempunyai anak masing-masing. Ketika sihatnya Haji Zaid lebih menonjol sebagai orang yang kaya cucu. Memang ramai cucunya. Ada diantara cucunya juga sudah berumah tangga. Sebagai kepala keluarga Haji Zaid boleh dianggap berjaya mendidik anak-anaknya kerana ramai anak-anaknya berjaya dalam pelajaran dan kerjaya masing-masing. Paling-paling lekeh anaknya bukanlah seorang buruh kasar tetapi seorang pegawai juga sekadar kelulusan politeknik. Oleh itu Haji Zaid amat dihormati kerana kesungguhannya memberi pelajaran kepada anaknya hingga setiap anaknya berjaya dan hidup senang dengan pendapatan masing-masing.

 

Setelah bersara dan anak-anaknya mempunyai rumah masing-masing tinggallah Haji Zaid bersama isterinya di sebuah rumah teres kos sederhana. Mereka kesunyian cuma hujung minggu adalah sorang dua anak atau cucunya datang menjenguk mereka. Haji Zaid tidak kisah kerana dia dan isterinya masih dan mampu memandu kereta ke rumah anak-anaknya jika terasa rindu kepada anak-anak dan cucunya.

 

Tujuh tahun selepas bersara tanpa diduga Haji Zaid di serang angin ahmar menyebabkan dia menjadi lumpuh seluruh anggota.

 

Pada awalnya anak-anaknya menghantarnya ke hospital swasta agar dapat diubati dan supaya sembuh dengan segera. Tapi malangnya tidak banyak perubahan atau pemulihan pada anggotanya. Kos rawatan di hospital swasta semakin meningkat. Ini menimbulkan cakap-cakap belakang di kalangan anak-anaknya siapa mahu bayar kos hospital yang semakin hari semakin tinggi. Pencen bulanan yang diterima oleh Hj. Zaid tidak cukup untuk menampung kos perubatannya.

 

Apabila cadangan supaya berkongsi sama rata diusulkan ada anak-anaknya menolak dengan berbagai alasan. Tidak ada saving lah.. gaji tak cukup kena bayar hutang lah… itulah… inilah… alasan mereka. Ada juga anak-anaknya yang memarahi Angahnya kerana menghantar bapa mereka ke hospital swasta. Dituduh Angahnya pandai-pandai buat keputusan tanpa berbincang terlebih dahulu. Akhirnya Haji Zaid terpaksa mengeluarkan wang simpanannya yang diperolehi dari gratuity pencen dan EPF yang disimpan sejak bersara dulu. Bila duit itu tidak cukup barulah anak-anaknya top up supaya mencukupi.

 

Keluar dari hospital swasta, Haji Zaid dihantar ke hospital kerajaan pula. Oleh kerana dia pesara maka tidaklah banyak perbelanjaan rawatan semasa di hospital kerajaan. Lama juga dia berada di hospital kerajaan. Mula-mula berada di sana kerap juga anak-anak dan cucu datang melawat. Tapi apabila sudah lama semakin hari semakin jarang anak-anak datang menjenguknya. Berbagai alasan diberikan seperti sebok, letih dan sebagainya. Sebagai seorang ayah yang lumpuh anggota tentulah sedih, jiwa tertekan, kecewa, rindu apabila anak-anak cucu tidak menampakan muka. Setiap hari hanya isterinya sahaja yang setia menunggunya di sisi katil wad sakitnya. Haji Zaid mengeluh juga dan amat kecewa terhadap tingkah laku anak-anaknya akhir-akhir ini. Setiap masa titisan air mata bergenang di kelopak matanya yang ketara kedut dan cengkung itu. Ada juga isterinya menelefon anak-anaknya supaya datang. Bila telefon baru datang… lama kelamaan bosan juga isterinya untuk menelefon anak-anaknya, tak ubah seperti pahat dengan pemukul. Sekali ketuk datanglah mereka..

 

Setelah tidak ada tanda-tanda sembuh Haji Zaid pulang ke rumahnya kos sederhana di suatu taman perumahan di KL untuk meneruskan kehidupannya yang lumpuh. Semasa di rumahnya juga keadaan yang sama berulang. Anak-anaknya jarang benar balik untuk menziarahi ayah mereka yang lumpuh atau menziarahi ibu mereka yang juga sudah tua yang terpaksa memikul tanggung jawab menjaga ayah mereka.

 

Maklumlah sudah berpangkat besar.. seboklah seharian hidup mereka.... Jiran-jiran sebelah rumah hanya mampu bersimpati dan menahan sedih bercampur geram terhadap kerenah anak-anak Haji Zaid yang sudah mula tidak bertanggung jawab. Yang berpangkat sebok dengan tugasnya. Yang lain pula dengan alasan dan urusan sendiri yang sengaja dibuat-buat. Isteri Haji Zaid lah yang memasak makanan untuk suaminya, mencuci pakaian, menyalin “pampers” suaminya, mencuci najis, memapah untuk memandikannya, berjaga di waktu malam dan semuanya.... segalanya dilakukan olehnya yang sudah tua itu...

 

Kadang kala ada juga sesekali anak-anaknya menjengah datang. Bila ada sekali sekala anak-anaknya datang disuruh juga oleh Mak Jah (isteri Haji Zaid) supaya menyalin “pampers” dan membasuh najis ayah mereka. Malangnya semua anaknya menolak kerana tak sanggup. Sengaja mereka membuat alasan kononnya takut terlihat kemaluan ayah mereka yang memungkinkan ayah mereka malu. Tapi tidak ada helah yang amat menyedihkan melainkan seorang anaknya sanggup mengeluarkan alasan tidak sanggup kerana najis ayahnya “terlalu busuk”. Mendengar alasan itu hati Mak Jah remuk bagai digilis keretapi.

 

Selepas dua tahun Haji Zaid dan Mak Jah menderita hidup sengsara keadaan tidak diduga berlaku. Zahirnya Haji Zaid yang sakit dan lumpuh sebaliknya Mak Jah dahulu yang diambil oleh Allah swt kembali mengadapNya. Mak Jah menghembuskan nafasnya yang terakhir di dalam bilik mandi rumahnya tanpa disedari oleh suaminya yang terlantar di katil. Kematian Mak Jah akibat kemalangan. Dia tergelincir jatuh disebabkan lantai bilik mandi menjadi licin oleh sabun yang dikeluarkan dari mesin basuh. Kepalanya terhantuk kepada bucu lantai dan dia mati di situ. Innalillahi wainnaialaihi rajiun...

 

Kematian Mak Jah dengan mengejut itu telah menjadikan jiwa Haji Zaid tertekan hebat. Dia menjadi tidak keruan. Kerap meracau dan sering menangis berseorangan. Sudah tidak ada lagi tempat baginya menaruh harapan dan bersusah kepada keuzurannya. Dia sudah jarang bercakap dan lebih banyak berdiam diri. Makan bila hanya dipaksa. Minum bila hanya disuap.

 

Kematian Mak Jah lebih menyerlahkan sikap buruk anak-anak mereka. Kata putus bagi menjaga ayah mereka tidak pernah dicapai. Yang berpangkat besar memberi alasan rumah banglonya tidak ada bilik khas untuk ayahnya. Setiap bilik sudah didiami oleh anak-anak dan orang gaji.

 

Seorang lagi anak lelakinya menghadapi masalah isterinya yang tidak sanggup menjaga bapa mertua. Jijik dengan najis bapa mertuanya. Khuatir takut rumah mereka nanti menjadi hancing dengan najis bapa mertuanya.

 

Yang anak perempuan pula mana mungkin boleh menjaga kerana mereka semuanya bekerja dan sebok dengan urusan dan bisnes. Berbagai alasan yang mereka berikan semata-mata mahu melepas tangan dan menghindarkan diri dari terlibat secara langsung dari menjaga bapa mereka yang sudah tidak membawa apa-apa makna lagi bagi diri mereka. Begitulah pendirian mereka. Tidak ada seorang pun dari anak-anaknya yang ramai itu bersedia membela ayah mereka.

 

Akhirnya seorang jiran yang prihatin dari dulu yang selalu mengambil berat menawarkan keikhlasan untuk menjaga ayah mereka dengan syarat dibekalkan ubat dan “pampers” kerana dia seorang yang bekerja sebagai “Jaga” yang bergaji kecil dan tidak mampu. Pucuk dicita ulam pun tiba. Tawaran “Abang Jaga” diterima sebulat suara malah anak-anak Haji Zaid offer lagi dengan sedikit gaji sebagai imbuhan.

 

Maka berpindahlah Haji Zaid dari rumahnya ke rumah jirannya bagi menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

 

Keengganan anak-anak menjaganya paling menyedihkan hati Haji Zaid. Sungguhpun menderita sakit dia masih mampu menahan kesakitan itu tetapi kesakitan dihati melihatkan tingkah laku anaknya lebih menyakitkan. Dia menjadi lebih tersiksa. Selama 13 bulan dia berada bersama jirannya yang menjaga, mempeduli dirinya tanpa mengeluh, tanpa berleter, tanpa bermasam muka atau menunjukkan sikap benci. Mereka “Abang Jaga”, isteri dan anaknya cukup sayang pada Hj Zaid yang tidak Hj Zaid perolehi dari anak-anaknya sendiri. Hj Zaid merenung mengenangkan nasibnya... Abang Jaga yang tidak ada hubungan keluarga tiada hubungan darah dengannya mampu memberikan kasih sayang padanya lebih dari anak sendiri, “kenapakah anak-anak aku tidak mampu bersikap semulia ini...”.keluhnya.

 

Hinggalah pada suatu hari dia berkata dalam sebak dan tangis kepada Abang Jaga dan isterinya dalam nada lemah dan terketar-ketar, “Man… Tipah… Pakcik terhutang budi kepada kamu berdua… Pakcik dah tak ada anak yang lain lagi di dunia ini... hanya kamu, dan Tipah yang Pakcik ada... Kamulah anak Pakcik dunia akhirat… anak-anak kamu juga cucu Pakcik dunia akhirat…..”.

 

Dia menangis kuat…

 

Esoknya, dia minta dipanggilkan ketua masyarakat disitu untuk bertemu. Dengan bantuan ketua masyarakat itu dia meminta semua harta dan rumahnya dipindahkan kepada Abang Jaga apabila dia meninggal dunia nanti. Abang Jaga menolak kerana selama ini pertolongannya hanya ikhlas kerana Allah semata-mata. Dia tidak mengharapkan balasan apatah lagi sebuah rumah dan harta-harta milik Hj Zaid. Bukan itu tujuannya....

 

Seminggu selepas berwasiat Haji Zaid menghembuskan nafasnya yang terakhir ditengah-tengah deruman ayat-ayat Yaasin yang berkumandang yang dibacakan oleh Abang Jaga dan isteri serta penduduk di situ apabila melihatkan keadaannya yang semakin nazak. Jenazahnya dimandi, dikapan dan disembahyangkan di rumah Abang Jaga juga dan diimamkan oleh Abang Jaga sendiri yang merasakan pengorbanan dia kepada Hj Zaid hanyalah sekadar sedekah jariahnya semasa hidup untuk Hj Zaid. Akhirnya jenazah Hj Zaid disemadikan di sisi kubur isterinya yang sentiasa dia rindui.

 

Selepas kematian.

 

Anihnya, cerita lain pula yang ditimbulkan oleh anak-anak Hj Zaid terhadap Abang Jaga yang mempedulikan ayah mereka selama ini. Bukan terima kasih yang diberi kepada Abang Jaga tetapi fitnah pula yang dilempar. Abang Jaga, mereka lemparkan tuduhan tidak pernah cukup dengan duit yang mereka berikan sebagai upah menjaga Hj Zaid telah menghasut ayah mereka agar semua harta dan rumah diberikan padanya serta Abang Jaga seorang yang jahat, tamak, penipu, busuk hati, pembelot dan seorang pencuri. Itu lah yang dijaja oleh anak-anak Hj Zaid kemana-mana mereka pergi...

 

Abang Jaga tidak mengambil kisah semua apa tuduhan yang dilemparkan padanya. Dia tidak pun memindahkan harta milik Hj Zaid atas namanya kerana dia telah berfikir lebih awal bahawa fitnah itulah yang dia akan terima nanti. Abang Jaga yang bijaksana dan ikhlas menghulur pertolongan pada Hj Zaid telah mengambil keputusan menyerahkan urusan penwakafan rumah Hj Zaid kepada ketua masyarakat di situ. Akhirnya rumah Hj Zaid diwakafkan sebagai “tempat Asuhan Fardu Ain” untuk kanak-kanak di sekitar kawasan perumahan itu yang mengajar kanak-kanak soal asas agama, fardu ain, dan kelas pengajian Al-Quran.

 

Semuga Allah mencucuri RahmatNya ke atas roh Haji Zaid dan isterinya serta memberkati keluarga En Othman (Jaga pasaraya) dan Pn Latifah (surirumah).

 

Kepada anak-anak Hj Zaid.... pulanglah ke pangkal jalan... bagaimanakah caranya kamu mahu menebus kesalahan dan derhaka kamu kepada ayah dan ibu kamu yang telah kembali ke Rahmatullah????????????? Berbaloikah kamu meraung di bubur mereka???? Tepuk dada tanya iman????????

 

Nukilan; mohd_noor_shafie

 

 

Hosted by www.Geocities.ws

1